Lagu tudung periuk : Serangkap pantun yang pilu

2008 September 12
by ainunlmuaiyanah

Tudung periuk hai pandailah menari,

Menarilah lagu putera mahkota

Kain lah yang buruk hai berikan kami

Buat menyapu si air lah mata

Kecintaan aku pada lagu-lagu klasik ini sudah lama dan pelik sebab tiada satu pun ahli keluarga aku terlibat dalam kes kipas-susah-mati khutub khanah klasik nasional fm ini. Pertama kali menyukai lagu ini apabila terjumpa cebisan kata dalam lagu ini di antara novel Noor Suraya yang kemudiannya membuatkan aku memburu lagu ini di mana-mana kerana aku ingin dengar bagaimana pantun sedih ini dilagukan.

Ada kenangan indah tentang lagu ini. Suatu hari ketika aku belajar di varsiti Lembah Pantai, aku sedang makan dan bunyi seruling bersenandung menyerkup keheningan cafe waktu itu. Aku mencari dan terjumpa seorang yang sedang asyik meniup seruling di salah satu gerai makan di sana. Lantas aku meminta abang itu meniupkan senandung lagu tudung periuk dan saat itu aku benar-benar jatuh cinta. Sungguh! Pada lagu itu, pada indahnya melodi dan kata, bunyi seruling yang mersik, pada kesedihan-pilu yang membalut. Indah!

Kecintaan aku pada lagu ini aku selitkan di salah satu cerpen yang tersiar di Dewan Siswa Mac 2007 ‘Rahsia Hatimu’. Lagu yang sedih dan pilu dimana mendapat komen yang baik daripada Mawar Shafie kerana menyelitkan lagu tersebut.

Lagu Tudung Periuk ini terselit di dalam filem SUMPAHAN SEMERAH PADI lakonan P. Ramlee. Filem yang aku gemar kerana skripnya yang indah. Jatuh cintalah pada lagu klasik ini. Pantun yang serangkap ini merangkum seluruh rasa sedih yang ada.

Birungu : Lagu ini mengingatkan aku tentang seseorang. Kenangan yang pedih tetapi menjadi nostagia yang indah.

2 Respons leave one →
  1. 2008 September 12

    lagu2 klasik itu mencuit nostalgia

  2. 2008 September 14

    kikiey, betullah. lagu klasik ini mmg antik. tetapi bukan utk org antik sahaja. huhu

Tinggalkan jawapan

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS