Cerpen – Rahsia Hatimu : Dewan Siswa Mac 2007

RAHSIA HATIMU

OLEH : AINUNL MUAIYANAH MUHAMMAD SULAIMAN

DEWAN SISWA MAC 07

Jangan datang dalam hidup ini jika sekadar mahu mengulang kenangan lama dan menambahkan luka yang sedia ada.

Aku mengulang ayat itu beberapa kali dalam hati ini. Ingin aku laungkan dan jeritkan di telinganya agar kata-kata ini bersemi untuk kesekian kalinya. Malangnya nasihat bonda teguh menghalang. Nasihat bonda menjadi tembok yang begitu teguh dan payah untuk aku runtuhkan kerana aku tidak pernah di ajar untuk menjadi anak derhaka.

“ Anak ayah sihat?.”

Aku sekadar membalas soalannya dengan senyuman yang hambar yang cuba aku gulakan. Aku punya nama. Nama yang indah yang dipilih olehmu. Mengapa sekadar membahasakan diri ‘anak ayah’. Mengapa tidak memanggil nama itu?. Tak perlu hendak hebohkan di sini aku anakmu kerana semua orang tahu kenyataan itu. Bentak hati kecilku lagi.

“Mengapa. Anak ayah tak suka ayah datang?”

Sekali lagi panggilan itu memualkanku. Menyesakkan ruang nafasku dengan sebu. Tolonglah panggil namaku, bukannya ‘anak ayah’. Aku benci sungguh.

“ Safi………” mataku hampir berkaca apabila bonda menegurku. Bonda mengapa harus dibela lelaki ini lagi?. Dari kecil hingga aku dewasa tidak pernah aku mendengar yang buruk-buruk tentang lelaki di hadapanku ini. Lelaki yang malu untuk aku panggil ayah sekalipun. Segalanya yang baik-baik belaka. Sedangkan hati bonda telah hancur luluh dengan kelakuannya. Itu kata hatiku

“ Maaf ya. Mungkin Safi letih. Maklumlah ‘orang kuat’ sekolah kan.” bonda mengusikku tetapi mata bening bonda tidak boleh menyembunyikan hakikat. Bonda marah benar dan tersinggung dengan kelakuanku. Itu aku tahu.

Bonda mengertilah aku bukan pelakon yang hebat. Aku tidak pandai bermuka-muka di hadapan orang yang aku tak suka. Yang lebih tepat lagi yang aku benci sekian lama.

“Bonda tidak pernah mengajar anak bonda untuk kurang ajar dengan sesiapa.”

Sebaris kata bonda biarpun dalam nada mendatar itu cukup mengesan di hatiku. Kata-kata bonda biarpun seakan berbisik pada diri sendiri tetapi aku tahu kata-kata untuk aku. Siapa lagi anak bonda kecuali aku. Aku yang bernama Safi Mawaddah.

Aku seakan ingin menghamburkan air mata yang cuba aku tahan derasnya. Aku yang tabah dan sukar menumpahkan titisan keramat ini benar-benar tersentuh dengan kata-kata bonda kerana dalam dunia ini hanya bonda yang aku sayang serta aku hormati. Senada katanya bisa menghiris ketabahan ini dan mengalirkan kelukaan dan air mata.

Ayah pulang ke Kuala Lumpur usai menghantar aku dan bonda ke rumah. Sepanjang yang aku tahu, bonda tidak pernah mempelawa ayah melangkah masuk ke dalam rumah dan ayah pula seakan tahu batas adabnya. Ayah tidak pernah melangkah kaki ke kawasan rumah kami. Garis sempadan ayah hanya di pintu pagar sahaja. Sememangnya seharusnya begitu, jerit hatiku dan tentunya tidak pernah aku luahkan di hadapan bonda.

“ Safi…,” aduh bonda, jangan memanggil aku dengan nada begitu. Nada itu bersifat ingin mengajar aku. Aku sudah menjadi anak bonda hampir 17 tahun. Aku juga bijak membaca nada suaramu, bonda.

Aku merenung wajah hening bonda.

“Safi, biar apa pun yang terjadi, dia tetap ayah Safi. Safi berbintikan namanya dan dia jugalah yang akan mewalikan Safi suatu hari nanti. Bonda harap Safi mengerti maksud kata-kata bonda. Safi sudah cukup dewasa untuk memahaminya.”

“ Maka Safi juga sudah cukup dewasa untuk mengetahui mengapa agaknya kasih Bonda pada ayah tidak pernah berkalih. Ayah sudah ada hidupnya sendiri. Tetapi bonda…,” bonda tunak merenungku sehingga mematikan semarak semangatku untuk bertanya. Aku menekur bisu kembali. Aku tahu aku sudah melampau batas adabku.

Bonda bangun perlahan-lahan dari sofa. Memandangku sejenak. Kemudian berlalu pergi ke dalam biliknya. Aku terus diterpa salah.

Bonda kembali padaku dan menyerahkan sebungkus hadiah yang dibalut kemas.

“Hadiah dari ayah.” Itu sahaja kata bonda padaku. Hanya sebaris kata dan langsung masuk ke biliknya. Kemudian aku terdengar sayup-sayup lagu kegemaran bonda. Lagu klasik itu biarpun hanya serangkap cuma tetapi benar-benar menusuk kalbu.

Lagu itu hanya berkumandang apabila bonda sedang berwalang hati. Aku menyeka air mata yang mengalir dipipiku. Air mata yang menjadi saksi kekesalan aku meruntun sedih bonda.

Tudung periuk pandai menari

Menari lagu putera mahkota

Kain buruk berikan kami

Buat menyapu si air mata

Bait lagu itu menguasai suasana petang yang hening ini. Aku membuka bungkusan hadiah dari orang yang aku benci sekian lama.

Untuk anak ayah

(Yang dewasa tanpa ayah dapat melihatnya)

Selamat hari lahir anakku..

ayahmu

Ucapan ayah yang ringkas itu aku tenung dalam sebak. Hadiah ayah adalah telefon bimbit Nokia dari model yang terbaru. Handphone ini memang aku suka benar namun bukan berniat untuk memilikinya kerana aku tidak mahu menyusahkan bonda. Aku sekadar menyatakan kesukaanku tanpa niat apa-apa

Itulah ayah yang tidak pernah membiarkan aku hampa. Ada sahaja hadiahnya untukku. Apa sahaja yang aku inginkan pantas sahaja ayah tunaikan. Mungkin kerana dia tidak disampingku untuk melihat aku dewasa (seperti yang tertulis dalam ucapannya) maka dia tidak banyak soal untuk memberi aku apa-apa. Tetapi sayangnya kebencianku yang menjadi nanah ini telah menutup kebaikannya.

Masakan aku boleh lupakan peristiwa itu. Ketika itu aku kecil lagi. Masih di sekolah rendah. Suatu hari bonda menyuruh aku bersiap cepat.

“ Kita akan ke rumah nenek”

Rumah nenek?. Aku jadi pelik metah. Kami tidak pernah ke rumah nenek sepanjang aku hidup di dunia ini. Sehingga aku menyangka dalam hidupku hanya bonda dan ayah sahaja.

Ayah diam sahaja apabila bonda kata kami akan ke rumah nenek. “Ayah sakit” itulah jawapan bonda kepadaku sekiranya aku bertanya mengapa ayah diam sahaja apabila aku cuba untuk bercakap dengannya.

Ayah sudah lama jatuh sakit. Sakit ayah pelik dan tidak kebah. Ayah hanya baring di atas katil seperti mayat hidup. Bondalah yang bersusah payah melayan kerenah ayah. Aku tidak berani untuk bermesra dengan ayah seperti selalu lantaran ‘amaran’ bonda.

Apabila sampai di rumah nenek, kedatangan kami di sambut dingin sahaja. Nenek (emak sebelah ayah) menjeling bonda dan aku tajam. Dia langsung tidak menyambut salamku.

Di rumah nenek, aku diam tidak berkutik sedangkan aku kanak-kanak yang riang dan gemar bergurau.

“ Kau bukan cucu rumah ini. Jangan nak berani makan apa-apa di rumah ini,” aku jadi segan apabila sepupu perempuanku yang sering bertocang dua merampas biskut yang aku ambil di atas para. Aku terasa mahu menamparnya sahaja. Siapa dia untuk menuduh sebegitu rupa. Kami setaraf sahaja. Berani dia lancang berkata sebegitu rupa.

Aku mengambil tindakan drastik merampas kembali biskut itu dan berlari menuju bonda. Sepupuku mengejar aku sekeliling rumah. Bonda cuba untuk mempertahankanku. Iyalah aku ini kan anak bonda, tentulah bonda akan melindungi aku.

Suasana kecoh seketika apabila sepupuku yang tidak tahu adab menengking bonda seperti bonda ini babu di rumah ini. Geram sungguh aku melihatnya. Aku sering diasuh oleh bonda agar jangan kurang ajar dengan orang tua tetapi sepupuku terlebih ajar pula.

Nenek muncul di tengah-tengah kekecohan itu. Sepupuku yang tidak malu itu mengadu entah apa-apa dengan nenek. Bonda cuba untuk melindungi aku tetapi nenek hanya menyorot tajam wajah bonda.

Langsung nenek menampar bonda. Bonda tersungkur jatuh. Tidak cukup dengan itu, nenek menghentak kepala bonda ke tiang dengan segala sumpah seranah dihamburkan. Aku menjerit ketakutan dan menangis apabila melihat kepala bonda berdarah.

Ayah pula dimana?. Hanya baring di katil memerhatikan kami tanpa sebarang reaksi. Ayah adalah saksi perbuatan nenek. Aku jadi cukup benci dengan ayah ketika itu. Mengapa ayah tidak menyelamatkan bonda dari nenek yang kejam itu?. Nenek yang sedang mencederakan bonda?.

Tidak cukup dengan itu, nenek mengheret bonda di hadapan ayah. Nenek memaki hamun bonda yang katanya tak tahu malu merosakkan kebahagiaan orang lain. Kebahagiaan siapa? . Neneklah yang merosakkan kebahagiaan kami?. Aku menjerit dalam hati. Aku terperosok duduk ketakutan di bucu rumah.

Ayah pula masih begitu. Memandang nenek dan bonda tanpa reaksi. Apa yang aku tahu, selepas itu wajah nenek puas dan bonda pula menangis tersedu-sedu. Nenek menarik aku dan bonda keluar rumah rumah dan mencampakkan beg pakaian kami. Kami telah dihalau!!!!.

Bonda tidak menangis merayu untuk masuk ke rumah ‘puaka’ itu. Bonda terus menahan teksi dan meninggalkan ayah dan rumah itu serta isinya.

Semenjak itu aku tidak pernah melihat ayah. Sememangnya aku tidak sudi pun. Ayahkah dia jika hanya berdiam sahaja melihat isterinya di seksa oleh emaknya sendiri?. Manusiakah dia melihat kekejaman di hadapan mata sendiri?. Bertahun-tahun benci itu bertamu di atma ini sehingga wajah ayah yang kubenci itu muncul tiba-tiba di hadapan rumah baru kami beberapa tahun lalu

Walaupun aku kagum dengan kesetiaan bonda yang tidak pernah tergugah walaupun ramai lelaki datang menyerah namun pada hakikatnya kesetiaan bonda seringkali mengundang amarah dan rajukku. Lantaran kesetiaan dan kasih bonda untuk lelaki yang paling aku benci seluruh penghidupanku. Lelaki yang tidak dapat aku kikis walau sesaat lantaran dia adalah ayahku

Mengapa setelah pelbagai ranjau dan onak kami tempuhi, hati bonda masih seteguh karang untuk lelaki itu?. Masakan aku tidak dapat menekanya. Jikalau tidak tentulah bonda telah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup kami. Sekurang-kurang apabila begitu aku dapat mengisytiharkan kemenangan kepada ayah bahawa hati bonda bukan lagi untuk ayah.

Dalam hidup kami hanyalah ada aku, bonda dan adik bonda. Kami tiada saudara mara lain. Adik bonda yang aku panggil Auntie Miera sudah bertahun lamanya membawa hatinya yang lara ke Jerman. Semuanya kerana lelaki durjana yang mengkhianati perjanjian cinta mereka. Mengapa kehadiran lelaki hanya menyusahkan kaum kami sahaja?. Aku semakin membenci golongan tersebut

Suatu petang Auntie Miera pulang dalam remang senja merah. Aku sungguh gembira lantaran selama ini kami sering berhubung dengan email sahaja. Aku sering meluahkan rasa kebencianku pada ayah kepada Auntie Miera.

Namun petang itu menjadi saksi pada lafaz kata-kata Auntie Miera yang menyentak girangku.

“Auntie akan berkahwin tak lama lagi.”

KAHWIN!. Perkataan itu bagai halilintar membelah bumi. Dahulu kata Auntie hatinya telah lama tertutup untuk mana-mana lelaki. Lalu mengapa dibuka hatinya lagi untuk di lukai.

Semalaman aku berkurung dalam bilik tanda memprotes Auntie Miera. Namun ketika tengah malam, aku terlalu lapar dan cuba menyelinap keluar dari bilik. Akhirnya aku tertangkap oleh Auntie Miera.

”Sayang…”syahdu hatiku mendengar Auntie Miera memanggil nama timbanganku. Mawaddah yang bererti kasih sayang

Auntie meraih tanganku.

”Mengapa terlalu marah pada keputusan Auntie?. Bersungguh benar sayang benci pada perkahwinan. Mengapa perasaan benci yang keterlaluan ini membenih dalam jiwa sayang?.”

Bahasa Auntie Miera memang puitis biarpun bertahun di luar negara. Aku membisu namun jawapan yang bergema dalam hatiku lelaki adalah pemusnah kehidupan bonda dan Auntie Miera!.

”Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu di bakar. jangan kerana marahkan ayah, sayang benci pada lelaki.”

Aku tetap begitu. Diam membeku namun sorot mataku jelas mencerminkan keteguhan pendirianku.

”Nampaknya rahsia yang berkurun ini harus di bongkarkan juga. Moga benci dan marah tidak lagi bertamu di hati sayang.”

Auntie Miera terus merencanakan cerita. Punca kehancuran perkahwinan ayah dan bonda lantaran kasih mereka tidak direstui oleh nenek, ibu kepada ayah. Lantaran bonda bukan dari keturunan syed-syarifah. Namun mereka teguh hati. Perkahwinan tetap di teruskan biarpun badai melanda

Malangnya selepas beberapa tahun aku lahir, ayah jatuh sakit yang tenat. Penat bonda menyusung ayah ke sana ke mari untuk berubat. Sehingga suatu hari, seorang bomoh memberitahu ayah terkena penyakit santau. Walaupun tanpa sumber yang kukuh, bonda tahu itu adalah perbuatan nenek. Lantaran itu, ayah di hantar ke rumah agam nenek kembali. Biarpun hati bonda terluka, namun demi ayah pulih kembali bonda rela. Natijahnya, bonda terpaksa di ceraikan untuk membayar harga kesihatan ayah.

” Ini adalah rahsia yang perlu Auntie simpan. Tetapi auntie tidak mahu jiwa sayang rosak lataran terlalu benci ayahmu sendiri. Malah satu rahsia terbesar mengapa bonda merelakan dirinya di ceraikan ayah masih tersimpan dalam laci cendana dalam bilik bonda. Pergilah sayang lihat sendiri.”

Air mataku mengucur jatuh mendengar kisah tragis bonda dan ayah. Itukah punca ayah tidak menolong bonda ketika nenek menghina dan mendera bonda?. Ayah yang terkena santau bagaikan tiada punya hati dan perasaan. Lalu apakah kemunculan ayah pada ketika ini untuk menebus kembali penderitaan kami?

Bilik bonda adalah bilik terlarang. Aku sememangnya tidak selalu masuk ke bilik bonda. Malah aku tidak mahu pun lantaran bilik itu penuh dengan kenangan terhadap ayah.

Semasa aku melangkah masuk ke bilik bonda, bau semerbak cendana menerpa. Bonda tidur pulas dengan wajah yang tenang. Dengan tangan yang terketar-ketar, aku membuka laci cendana itu. Usai aku membaca dokumen yang aku temui. Air mataku mengucur laju tanpa segan silu. Ya Allah berdosanya aku membenci ayah selama ini dan mempertikaikan kesetiaan bonda.

Patutlah bonda tidak pernah menerima sesiapa lagi dalam hidupnya. Bonda wanita tanpa rahim. Bonda telah menjalankan pembedahan lantaran kanser rahim selepas kelahiranku. Sedang kasihnya pada ayah masih bersisa, bagaimana mahu menyemai kasih yang lain pula.

Bonda terjaga lantaran terdengar senduku. Saat itu, aku sujud di kaki bonda memohon ampun. Ampunkan aku bonda atas kelancanganku!

Menulis cerpen ini juga, aku mulakan dengan satu ayat yang aku tidak tahu hujung pangkalnya, bagaimana cerita itu akan terbentuk masih belum tergambar di ruang fikir tika menulis baris pertama cerpen ini. Setelah berbulan, aku rasa terpanggil untuk menyuarakan isu ini. Perempuan tanpa rahim apakah ada makna di mata masyarakat? Lagi?

Kemudian, kata demi kata terluncur tanpa kawal. Ah cerpen ini membuat aku jadi sayu, membuat aku ingin jadi wanita tabah jika takdir tertulis sudah. Di samping itu, aku kembangkan konflik jiwa seorang anak yang membenci ayahnya lantaran sikap tidak acuhnya pada bonda. Bukankah kita secara azali akan melindungi mereka yang tertindas? Dan jiwa anak itu semakin tertekan kerana sikap baiknya bonda pada lelaki yang dia benci sekian lama. Malah dia sendiri anti pada institusi kekeluargaan. Inilah watak-watak anak yang jiwanya tercedera akibat runtuhnya rumahtangga ibubapanya. Sukar dibendung apa yang mereka fikir.

Aku ingin sekali menjadi watak seperti bonda. Memaafkan takdir yang kejam dan menerimanya dengan redha. Wanita, sungguhpun pedih lelaki menghiris hatinya, masih berbekas ruang maaf dihatinya. Wanita yang tidak mendidik rasa untuk membenci walaupun hatinya hancur terluka. Wanita tabah ini aku angkat dari sebanyak-banyak wanita tabah diluar sana.

Komen Mawar Shafie yang tinggi di dalam Dewan Siswa membuatkan aku segan sebenarnya. Apabila membaca kembali cerpen ini, aku sebenarnya tidak tahu siapa aku ketika menulisnya. Sebab ayat-ayat ini bagaikan ditulis tanpa sedar. Mungkin sebahagian diriku ada tertinggal disana. Ya, ketika itu aku memang sedang menggilai lagu ’tudung periuk’ dan aku menyukai bau cendana. Segalanya mengenai nostalgila-gila ini sememangnya menemankan aku tika menulis cerpen ini.

Terimalah cerpen kedua aku yang tersiar di media cetak. Sebarang komen amatlah aku alukan. Maaf, jika cerpen kerdil ini tidak seindah mana.

21 thoughts on “Cerpen – Rahsia Hatimu : Dewan Siswa Mac 2007

  1. salam Ainul,

    sekali lagi tahniah diucapkan (tahniah pertama di cerpen 1 lagi).
    yg ini lebih mudah saya ikuti. lagipun jalan ceritanya ttg kehidupan biasa masyarakat.
    klimaksnya pun menarik juga. cuma…

    watak ‘ayah’, kenapa ayahnya tak mahu masuk ke rumah? (biasanya orang bersalah saja buat begitu kan?). ayahnya tak bersalah … tp tak taulah kalau penulis nak jadikan sebagai elemen kejutan (nampak bersalah, tapi tidak). ‘kasihan’ juga pada si ‘ayah’ hehehehe

    -luc

    p/s: saya ‘kritik’ sbb nak membantu mengesan mana yg kurang (pd saya). bukan nak ‘condemn’, ya! slamat maju jaya

    Like

  2. salam luc

    terima kasih sekali lagi ya.. saya suka metah bila orang rajin komen cerpen saya dan saya dengan senang hati menjawab persoalan ini

    watak ayah saya bentuk begitu ada makna tersirat bermakna apabila si ayah tidak mahu masuk ke dalam rumah bermakna dia menjaga adabnya dan mengelakkan fitnah. lagipun rumah itu bukankah rumah jandanya dan bekas isterinya jikalau si ayah @ lelaki masuk sewenang-wenangnya ke rumah janda bukankah akan menimbulkan fitnah masyarakat setempat. lagipun kurang manis rasanya lelaki masuk ke rumah wanita sewenang-wenangnya lebih-lebih lagi status wanita itu janda.

    begitulah struktur pemikiran saya ketika menulis bahagian ayah tidak masuk ke rumah itu.Ya memang kasihan. tetapi bukankah kadang-kala cinta itu tidak semestinya memilik?

    jangan risau kalau komen lebih2. saya senang hati membaca nya dan memberi maklum balas..

    sekian~

    Like

  3. Pingback: Aku mahu menulis karya ! (tanda seru) « nyanyian hujan

  4. wah, saya amat kagum apabila membaca cerpen ini. saya ingin bertanya di manakah saya boleh membaca cerpen kedua anda ( yang anda sebutkan di atas)? apakah tajuknya?

    Like

  5. salam…hai… saya izzati n saya kini sedang belajar di salah sebuah ipg di dlm bidang bahasa…saya ingin meminta kebenaran saudari untuk mengkaji cerpen saudari yang bertajuk “Rahsia hatimu”…oleh itu…bolehkah saudari memberi sedikit latar belakang saudari/ biodata saudari??saya amat berharap agar comment saya ini dapat dibalas dengan kadar yang segera..sekian.. saudari boleh menghubungi saya di- zatiey_mizi@yahoo.com

    Like

  6. Assalamualaikum, Ainul. Sedih juga apabila membaca cerpen ini. saya mahu menggunakan karya saudari untuk tugasan saya dalam pangajian di ipg. Harap ianya mendapat restu dari pihak saudari.

    Like

    • Siti Norbaya: Salam, saya tiada halangan untuk menggunakan cerpen ini sebagai bahan untuk tugasan di IPG. Mohon emel detail tugasan tersebut kepada saya di ainunl.muaiyanah[@]gmail[dot]com.

      Like

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s