Arkib Label: padang bulan

Review : Dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas.


Nota : untuk kipas susah mati Andrea Hirata.


Ketika membaca Maryamah Karpov, percayalah, saya benar-benar terkilan dan kecewa. Ibarat layang-layang di awanan yang naik di angin, tiba-tiba sahaja entah tali mata yang kejam telah memotong saya, melayangkan saya diudara lalu jatuh terjunam. Lebih-lebih lagi dikatakan itulah buku terakhir daripada tetralogi Laskar Pelangi.

Mujur-mujur novel ini hadir. Novel ini menamatkan teka-teki apakah nasib Maryamah yang terkenal kerana permainan catur Karpovnya setelah diketepikan habis-habisan oleh pembuatan kapal Mimpi-mimpi Lintang di dalam novel Maryamah Karpov.

2 novel yang didatangkan dalam satu pakej menarik. Tengok gambar dibawah? Menarik kan?

Bertambah menarik, kebetulan novel Dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas diluncurkan pada 25 Jun 2010 dan kebetulan ada teman ke Bandung pada waktu itu. Wah apa lagi, terus minta dibelikan ole-ole Bandung. Begitulah sesiapa yang ke Indonesia kalau temannya penulis. Bukan diminta belikan baju atau kain tetapi minta dibelikan buku.

Sebelum komentar bukunya, sila-sila jenguk promo videonya.

Andrea Hirata menghadirkan kisah yang manis dalam Dwiloginya ini. Seolah-olah buku-buku ini merupakan kajian bertahun-tahun pada kaum Melayu. Biarpun tidak saintifik tetapi bila dibaca dan dibaca perlahan-lahan saya mengakui kebenaran kata-kata Andrea. Andrea menulis bukan nada sinis tetapi naif dan jujur semasa mendedahkan kebenaran dalam kehidupan masyarakat Melayu itu yang gemar ngobrol di warung kopi, sikap suka menggelar-gelar orang.


Andrea tidak mengutuk atau mengkritik tetapi Andrea menulis pandangannya sepertinya dari hatinya yang ikhlas seperti dalam laman web rasminya

Namun Kawan, sesudah engkau membaca Dwilogi Padang Bulan, kuharap dirimu paham pula mengapa aku menulis Maryamah Karpov begitu rupa. Karena, tanpa memahami kekhasan dan keeksentrikan sosiologi dari mana aku berasal, barangkali akan agak susah menerima bahwa sedikit banyak Dwilogi Padang Bulan inspired by a true story.

Maka yang kulakukan di dalam Maryamah Karpov adalah menggambarkan cultural landscape dan moralitas sebuah masyarakat di mana kemudian di atasnya kuletakkan kisah Dwilogi Padang Bulan. Ini adalah desain yang sangat sengaja sesuai dinamika kreativitas.

menjadikan kita sebagai pembaca turut menekur, menelusuri dan memikir kejujuran cerita Andrea tanpa perlu dipaksa-paksa.

Padang Bulan, berkisah Ikal, lelaki yang bertarung sampai penghabisan demi martabat dan cinta yang bersahaja. Namun saya kurang seronok membaca Padang Bulan. Mood-nya seolah-olah turun naik sedikit dan ceritanya dipecahkan terlalu mengikut mozek dan melompat-lompat sehingga emosi pembacaan saya sedikit terganggu. Namun, begitu, Andrea tetap menghidangkan kisah lelaki yang sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Sanggup menjadi tinggi, sanggup belajar catur dan bertarung habis-habisan hanya untuk meninggikan martabat dan sekurang-kurang memenangi hanya sekali salah satu daripada kelebihan si penyaing. Walaupun penghujungnya seperti sudah dapat saya terka sedikit namun keasyikan membaca novel ini masih tidak terganggu.

Apabila membuka helaian-helaian buku kedua, Cinta di Dalam Gelas. Saya seolah-olah menemui kematangan dalam kepengarangan Andrea. Gaya tulisan Andrea yang paling saya sukai seperti di dalam Sang Pemimpi dan Endensor sepertinya ditumpahkan betul-betul ke dalam acuan cerita Cinta di Dalam Gelas. Bermula hanya kisah kecil, Maryamah yang mahu tunduk pada kuasa takdir. Saya tidak membaca terlalu banyak buku yang berunsur feminisme dan ditulis oleh lelaki melalui pandangannya. Ya,perempuan dan kekuatan perempuan memang tema yang klise. Namun ketika saya membaca novel ini, seolah-olah saya tersihir untuk menantangi takdir hidup kerana kekuatan diri yang ada pada Maryamah.

Ini bukan kisah ratapan hidup yang harus ditangisi, namun seburuk-buruk takdir hidup Maryamah, dia menangisi nasibnya hanya semalaman dan selepas itu disekang seluruh air matanya dan menantangi hidup keesokan harinya. Ya, bermula hanya kisah kecil, MAryamah mahu memenangi nasibnya, Andrea terus-terusan mengalirkan saktinya dalam penulisan, membuatkan kita terpesona dengan wibawa dan kekuatan Maryamah yang bukan sedikit, kelicikan dan kepintaran dan sikap obses Detektif M. Nur, kegigihan dan kepintaran Ikal dalam membantu Maryamah menentangi lawannya. Watak-wataknya sepertinya benar-benar hidup. Semua pesona itu dimulai dengan catur. Hanya permainan catur. Menarik sekali sungguh menarik. Mungkin kerana saya salah seorang penggemar kopi dan juga pernah bermain catur menjadikan roh-roh dalam buku ini mudah benar saya hadam dan rasai.


Malah Buku Besar Peminum Kopi yang diomel Ikal membuatkan saya terkikik-kikik tertawa kerana benar lucu, komedi dan sedikit halus memerli. Dalam segelas kopi seperti menyimpan semua rahsia hidup. Antara kata-kata indah dan manis (menyentuh hati saya) ialah

“Jika kuseduhkan kopi,ayahmu menghirupnya pelan-pelan lalu tersenyum padaku.” Mesti tak terkata, anak-anak tahu bahwa senyum itu adalah ucapan terima kasih antara ayah dan ibu untuk kasih sayang yang balas membalas, dan kopi itu adalah cinta di dalam gelas. |Cinta di Dalam Gelas|

Membaca buku Cinta di Dalam Gelas membuatkan saya menimbang-nimbang juga rencana untuk menyambung pengajian, Ingin sekali membuat riset (kajian) budaya. Betapa budaya tidak pernah gagal untuk mempesonakan saya.


Walaupun, Andrea menyatakan, cerita ini based on true story, saya memutuskan ada unsur fiksi dan non fiksi di dalam novel ini. Saya juga tertanya-tanya benarkan lumba catur dianggap seperti permainan hidup dan mati untuk pencintanya ketika sambutan hari kemerdekaan Indonesia? Namun, teman saya di Makassar, Firdaus Amyar memberitahu bahawa apa yang dinukilkan oleh Andrea benar malah Firdaus sendiri memasuki pertandingan catur dan memenanginya.

Tahniah Andrea kerana menghadiahkan buku ini untuk semua peminat dan pembaca sastera nusantara.