Eh Lelaki Edisi April 2008 (Cinta dan Kereta)


Suatu petang dingin, ada seseorang teman lelaki bertanya padaku.

“Yana, bagi kau cinta itu bagaimana?”

Aku terkedu. Dalam hati menyeranah. Aku bukan pakar cinta mengapa bertanya padaku? Riak wajahnya kosong tetapi matanya sarat harapan jawapan.

“Cinta itu seperti kereta.”


Matanya membuntang dan terus sahaja menyanggah jawapanku. Kalau nak menyerang balik, mengapa sibuk bertanya? Ah mesti dia tengah kalut dalam cinta.

Aku mempertahankan kerelevanan jawapan yang sebenarnya tiba-tiba muncul dalam minda.


Mengapa kau ingin memiliki kereta. Mestilah untuk kesenangan. Untuk memudahkan kau kemana-mana bukan? Jikalau kau sudah bersedia untuk memiliki kereta makanya kau telah mengumpul wang yang cukup sekurang-kurangnya untuk depositnya serta kewangan yang kukuh untuk bayaran bulanannya serta minyaknya. Takkan lah hendak kereta tapi tak cukup wang bukan.

RELEVAN

Begitu juga dengan cinta, mengapa kau ingin memiliki cinta. Untuk melengkapi apa yang kurang dalam diri. Untuk mencari bahagia dalam diri. Ada juga yang mencari dirinya yang hilang. Jika kau sudah bersedia untuk bercinta maknanya kau sudah bersedia untuk terikat dengan komitmen dan juga suka duka dalam bercinta kerana dunia cinta bukannya hanya indah-indah.

Kemudian apabila sudah memiliki kereta, biarpun boleh membanggakan diri, biarpun membahagiakan tetapi ingatlah kereta itu benda bukan hidup. Perlu diberi nafas nyawa untuk terus boleh berjalan. Minyak enjinnya harus diperiksa setiap 5,000km. Penyaman udara haruslah dielakkan bocor. Pemeriksaan terhadap saluran udara, karburetor, sistem pencucuhan supaya berkeadaan baik. Tayar juga harus diisi dengan angin untuk mengelakkan tayar mudah menjadi botak. Malah seribu satu macam penjagaan kereta yang rumit dan ruwet. Cuba bayangkan, kau tidak melakukan penyelenggaraan, mesti kereta mudah rosak kan?.


RELEVAN

Cinta juga perlu penjagaan seperti kereta. Harus diberi nyawa semasa hayatnya. Jangan berharap sekali kita mengikat rasa, rasa itu akan kekal selamanya. Kadang-kala perasaan itu mudah berubah.

Sedangkan pasir dipantai boleh berubah, apatah lagi manusia. Kita tidak perlu selalu mengungkapkan rasa sayang dan cinta kerana keistimewaannya akan hilang. Cukuplah sesekali kita memperbaharui ucapan tersebut pada hari-hari istimewa seperti minyak enjin kereta yang perlu diservis setiap takat perjalananannya. Nah, kalau kau enggan untuk itu, pastilah cinta akan berdikit-dikit pudar.

Ya, memiliki kereta sememangnya gah dan menyeronokkan. Bangga bukan bila mampu menayangkan kereta dihadapan rakan-rakan. Namun harus diingat kereta itu bukannya benda bernyawa. Yang meniupkan nyawanya ialah tangan-tangan manusia. Adakala kereta itu rosak dan terlibat dengan kemalangan tanpa sengaja atau kecuaian individu lain. Takkanlah nak biarkan kereta itu tersadai di garaj sahaja. Mesti kena hantar bengkel dan waktu itu dompet kau juga mengempis. Sungguh perit tetapi kau akan lakukan juga bukan? Kau tak minta kereta kau rosak tetapi kerosakkan itu bukanlah boleh dirancang.


RELEVAN

Cinta juga begitu. Mana mungkin sempurna. Adakalanya ada pihak yang merajuk. Takkan mahu biarkan sampai menjadi barah? Kalau kereta boleh dihantar ke bengkel , begitu juga cinta harus dihantar ke bengkel hati. Yang merajuk harus dipujuk. Yang marah-marah sayang harus diambil perhatian. Yang terkecil hati harus diperbesarkan hatinya. Ah leceh bukan? Itu yangs selalu kau rungutkan tapi itulah pengorbanannya. Anggap sahaja cinta ini seperti kereta. Seperti mana kau membelai kereta, seperti itu kau membelai cinta.


Jawapan aku panjang. Matanya terbelalak besar tanda kagum dengan teori aku yang aku baru cipta tak sampai 3 minit. Dia membelanja jus honey dew tanda terima kasihnya. Saat dia pergi aku terasa mahu tergulir-gulir. Ah, aku doktor cinta tak bertauliah. Pengalaman pun tak ada mahu diajari tentang cinta pada orang lain. Sepatutnya aku sarankan dia tengok cerita CINTA arahan Khabir Bahtiar. Kan senang. Atau kalau dia jelak dengan filem Melayu, pergi sahaja ke kedai Speedy dan pilih cerita orang putih yang berlambak-lambak menghikayat cerita cinta.


Namun aku mengerti. Lelaki ini kurang mengerti mengekspresi rasa hati. Ah mungkin analogi kereta dan cinta ini tepat juga. Untuk lelaki diluar sana yang sering merasakan leceh tentang peraturan cinta yang ruwet, ingat sahaja. Cinta itu seperti kereta. BroOoOOmmmmmm.


ANEKDOT :

Suka amat mebaca karya HAMKA ’Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’. Ada satu falsafah cinta yang aku kagumi hingga sekarang ”Cinta itu seperti mengejar kijang dirimba, semakin diburu semakin jauh ia berlari akhirnya tidak tahu jalan untuk kembali”

2 thoughts on “Eh Lelaki Edisi April 2008 (Cinta dan Kereta)”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s