Buku Bulan Ini : Tetralogi Laskar Pelangi yang mengasyikkan


 

 

 

 

 

Aku suka membaca. Dari kecil sehingga kini, kegilaan pada buku tidak pernah puput. Di pojok kecil blog ini, aku akan mencadangkan beberapa buku ‘wajib baca’  setiap bulan dan mengomentar sedikit sebanyak intipati ceritanya, posisi menarik serta roh buku tersebut.

 

Mungkin dengan cara begini, kita dapat berkongsi kegilaan yang sama dan mungkin pandangan yang berbeza mengenai buku-buku yang sama yang aku baca. Malah sekiranya kamu ada cadangan mana-mana buku yang relevan dan berkaitan, mohon diberitahu juga.

 

Nah, bulan ini aku menyajikan 2 buku yang enak dan wajib baca. Sarat buah fikiran malah menjadi best seller di pasaran buku di negaranya. Aneh! Kerana cerita dalam bukunya bukan kisah erotik atau air mata seperti kebanyakan aliran buku popular yang lain tetapi aku dapat merasakan perasaan yang jujur seperti air dari tujuh pergunungan. Dingin dan menggetarkan. Itulah tetralogi Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi karya Andrea Hirata. Aku tak dapat menyudahi buku ketiganya Endensor lantaran tidak cukup duit membelinya. Ceritanya mudah, hanya kisah perjuangan mendapatkan apa yang dikatakan orang ’pendidikan’

 

Membaca buku Laskar Pelangi, anda akan terburu rasa sedih dan mengutuki diri andai tidak menghargai pendidikan yang diterima. Betapa di dunia luar sana, ada manusia yang merasa perit tidak dapat meneruskan pendidikannya lantaran tunduk pada desakan hidup walhal kecintaannya pada ilmu melebihi tujuh lautan.Sedangkan di sudut dunia yang lain, ada anak-anak yang dirayu ibu-bapanya agar menerima ilmu pendidikan kerana hati anak muda itu tidak terisi lagi roh ilmu.

 

Aku terhanyut pada watak genius Lintang dan akhirnya aku tersentak amat dengan pengakhiran nasibnya. Ah, kejam. Itu kataku ketika membacanya. Tetapi apabila Lintang menuturkan rasa syukur kerana memenuhi impian ayahnya tidak mewarisi pekerjaan ayahnya sebagai nelayan tetapi menjadi buruh kasar, aku terhenti bacaan seketika. Sayu~

 

Angota Laskar Pelangi saling melengkapi kekurangan yang lain dan aku percaya pada pengakhiran ceritanya bahawa tidak semestinya seseorang yang tidak berjaya di alam sekolah tiada masa depannya. Nasib tidak pernah belajar untuk mendahului kita selagi kita mahu mengatasinya.

 

Novel Laskar Pelangi sarat ilmu saintifik tetapi diseimbangkan dengan penceritaan yang segar dan ada kaitnya dengan jalan cerita. Pemikirannya aku kagumi, tentang cinta pertama, semangat ingin pelajar, keteguhan hati guru-guru serta kekejaman kapitalis-kapitalis. Laskar Pelangi tidak perlu kata-kata kesat mencerminkan rasa tidak puas hatinya terhadap sesuatu isu tetapi olahan ceritanya memberikan kebebasan dan ruang kepada kita kepada pembaca untuk menilai. Kita seolah-olah terpujuk ke dalam pemikiran pengarang tanpa kita sedari kita akan bersetuju dengannya. Mengagumkan!

 

Apabila anda langsung membaca siri kedua Tetralogi Laskar Pelangi,  Sang Pemimpi, anda diburu lucu pada watak-wataknya yang polos. Aku sentiasa tertawa dan kelucuannya bukanlah dibuat-buat tetapi hadir sendiri. Lucu pada watak Jimbron yang bodoh-bodoh alang dan polos, kebijaksanaan dan kelicikan Arai serta sudut pandangan Ikal yang aneh-aneh. Dahulu, ada orang cadangkan sebuah buku karya seorang penulis ini yang kononnya kelakar dan boleh ketawa bergulir-gulir membacanya tetapi bagiku karyanya biasa-biasa sahaja. Malah kelucuan yang cuba diterapkan jelas buatan dan plastik semuanya. Indah khabar dari rupa. Berbeza dengan Sang Pemimpi, kita seolah-olah disihir dengan watak-wataknya dengan aneh-aneh dan kepolosan sikapnya.

 

Sebentar anda akan jadi pilu, kemudian datangnya rasa lucu, kagum dan segalanya bergaul rata. Itulah kuasa kata-kata. Dan kuasa itu dimiliki oleh penulis bernama Andrea Hirata. Helaian bab didalam kedua-kedua buku ini bagaikan helaian mozek atau puzzle yang boleh dicantum-cantum dan disuai padan. Di saat anda tertanya-tanya perjalanan bab di buku pertama, anda boleh menemui jawapannya di buku kedua.

 

Karya tetralogi ini bukanlah karya yang sempurna kerana kesempurnaan itu bukanlah milik manusia tetapi karya ini boleh kukatakan indah dan mendatangkan kerugian pada sesiapa yan bergelar pencinta buku untuk tidak membaca. Anda akan jadi terinspirasi dan tidak menyesal memilikinya. Malah aku terpaksa mengikat perut  semata-mata mahu memiliki buku ini sepanjang bulan ini. =)

 

 

Advertisements

Kembara : Mereka manusia pintar yang tolol..


Kami memang manusia yang penuh emosi tetapi emosi kami bersebab. Malah kami sedar amat diri kami yang kurang ilmu. Kami selalu berdendang-dendang pantun ‘Buah cempedak di luar pagar’ sebab kami budak yang baru belajar dan minta ditolong-tolong kalau berbuat salah.


Namun, kami geram amat apabila berdepan dengan manusia tolol yang tidak mahu mengaku kejahilannya. Ah ! apa mereka fikir mereka golongan terpelajar dan terdidik sewenangnya mahu merendahkan kami yang kurang terpelajar ini? Aku cukup merasa benci apabila manusia terpelajar ini memperlekehkan orang disekeliling mereka dan mendabik dada kononnya merekalah yang tahu tentang segala-galanya dan menjangka orang lain itu bodoh tolol.


Pengalaman berdepan dengan manusia tolol mengaku pandai ini cukup menyakitkan hati. aku fikir rasa ini aku seorang sahaja yang rasa tetapi perasaan tidak puas hati dan sakit hati ini turut dikongsi dengan 5 rakanku yang lain.


Mereka seolah-olah ingin menuntut penghormatan dari kami dengan memperagakan ilmu yang mereka miliki walhal ilmu mereka itu hanyalah senipis bawang. Aku fikir mereka patut diajari bahawa sebelum mahu orang lain menghormati kita, kita haruslah belajar menghormati orang lain.


Ah, aku pernah berjumpa rentetan manusia pintar dan bijak pandai tetapi begitu merendahkan diri. Maka rasa hormat datang tanpa diminta. Tidak bolehlah begitu wahai golongan yang kononnya pendidik dan terdidik? Apakah sikap kamu yang sinis dan memandang rendah kebolehan orang lain serta sikap perasan bagus itu boleh mendatangkan hormat daripada orang lain? Jika itu yang kamu fikirkan, maaf jika aku katakan bahawa itu fikiran orang-orang tolol yang jahil.


Waktu peristiwa berdarah itu berlaku, aku ingin sahaja menyua buku Laskar Pelangi karya Andrea Hirata dan menunjukkan bab Lintang menentang cikgu Fizik dari Sekolah PN. Aku mahu sahaja menyuruh mereka baca dan insaf diri. Ah sayangnya, aku manusia yang terikat dengan birokrasi pendidikan yang menjelakkan. Aku harus tunduk takut pada manusia-manusia ‘gergasi’ ini.

Ah!

.

.

.

.

Peringatan : Ini entri penuh emosi dan sebarang perkataan yang kurang molek harap di maafkan~


Kembara : Banglo, sungai dan tut tut


Aneh bukan pilihan yang aku lakukan. Aku tidak memilih daerah terdekat dengan rumah mahupun yang boleh aku sampai dalam masa 20 minit dari rumah sendiri. Kerana bagiku, pengalaman adalah harta tak ternilai bagi seseorang dan aku dahagakan pengalaman hidup terbuang sebegitu rupa. (Aneh kan?)

Ketika sampai di Gua Musang, aku terasa ada rasa dingin dan damai menyusup. Gua Musang seperti daerah terbuang yang indah. Bukit-bukit batu kapur yang menyimpan pelbagai misteri alam menyambut kami. Kami sampai waktu petang sore dengan letih amat setelah bertukar bas sebanyak 2 kali. Kuala Terengganu-Kota Bharu-Gua Musang.


Banglo bekas tinggalan KESEDAR menyambut kami untuk berteduh. Wah kalau pasukan SEEKERS tengok dari luar sahaja pasti mahu menjadikan banglo kami dan banglo sebelah itu sebagai tempat eksperimental. Banglo sederhana dengan halaman luas (ah lama aku mengidamkan rumah sebegini) dan sebatang anak sungai mengalir di belakang rumah membuatkan aku jatuh cinta kali pertama terpandang.

Kami kelelahan dan aktiviti yang best untuk dibuat ialah..

.

.

.

.

.

TIDO ~ZzZzZZzzzzzzzzzzz~

Teka-teki


Maafkan aku meninggalkan kisah ‘nyanyian hujan’ ini terlalu lama. Bukannya minat menulis semakin menurun tetapi kekangan masa untuk menulis dan kesibukan dek latihan praktikal.


Aku rasa isu emas hitam melonjak naik merupakan isu yang hangat, panas dan menyakitkan tetapi aku mengambil sikap tidak mahu komen. Isu ini akan melelahkan dan menjelakkan kita sebagai golongan marhaen yang sentiasa selalu menjadi anekdot boneka politik. Maaf, aku bukan orang politik atau ahli ekonomi yang bijak merancang dalam penentuan hala tuju ekonomi negara kita. Aku hanya pelajar yang bakal terjerut dengan hutang PTPTN usai majlis graduasi setahun akan datang.


Cuma suka aku mengingatkan pembaca blog ini, isu emas hitam ini telah diolah dengan menarik oleh Faisal Tehrani dalam cerpennya `Bulan di Kaki Langit Kuala Lumpur’ (lebih kurang la tajuknya). Sama-sama kita menilai buah fikiran dan usulnya didalam cerpen tersebut. Huhu. Tak moh nak komen lebih-lebih. Cari cerpen tersebut dan baca kemudian fikir dan nilai. Cerpen itu ada terselit di buku antologi cerpen ”Kekasih Sam Bo Po’ dan pernah tersiar didalam majalah Massa yang telah terhenti penerbitannya.


Dan..


Selepas entri ini, aku akan hidangkan pengalaman aku sepanjang latihan praktikal yang akan tamat 3 minggu lagi. Banyak pengalaman unik , menarik dan tak ternilai yang aku lihat dan alami sepanjang 6 minggu sebelum ini.


Sebelum pengalaman terhidang, aku meninggalkan pembaca dengan soalan dan pilihan jawapan.

Soalan : Sebelum latihan praktikal ini aku mendapat 3 tawaran tempat. Persoalannya, tempat mana yang aku telah pilih? Aku anak jati daerah Kuala Selangor dan kadang-kadang menjadi penghuni tak tetap di Kajang.

A) Zoo Negara, Ampang, Selangor

B) Nature Education Centre , Taman Alam Kuala Selangor, Selangor

C) Global Enviroment Centre, Gua Musang , Kelantan.

The Overture : Kisah muzik yang mengasyikkan


Aku baru sahaja menonton VCD The Overture (Hom Kong), filem Thailand yang penuh inspirasi mengenai kisah guru muzik yang memainkan muzik tradisional Thailand iaitu Ra-nad ek.

 

Kita tolak ke tepi filem-filem seram Thailand yang mual dan menjijikkan, The Overture membawa jiwa romantis dan membuai rasa. Juga semangat dengan segala rasa cinta pada dunia muzik. Aku mudah sekali jatuh cinta dengan filem ini usai menonton permulaannya. Skripnya, ceritanya, gambar wayangnya harus diberi pujian.

 

Mungkin kerana aku sedari dahulu jatuh cinta pada muzik gamelan dan teringin mahir menarikan kayu penuras di atas bilah-bilah perunggunya. Maka untuk jatuh cinta dengan cerita ini tidaklah sesusah mana.

 

Ra-nad ek lebih menyerupai gambang kayu di dalam kumpulan alat muzik gamelan, menghasilkan bunyi secara larasan kayu mengikut pitch. Perbandingannya mungkin jelas dilihat ialah ialah gambang kayu, bilah-bilahnya diatur di atas kotak kayu berbanding Ra-nad ek bilah-bilah kayunya di ikat sebaris dan disangkut seumpama buaian santai di pantai.

 

Satu pujian harus diberikan kepada produksi filem ini kerana berusaha melahirkan filem yang indah. Aku sukar menemukan filem inspirasi seperti ini, sederhana dan indah di Malaysia. Bolak-balik kisah cinta mual, lawak-lawak bodoh, keruntuhan akhlak moral, seram sejuk dan entah apa-apa cerita remeh yang difilemkan.

 

Aku kira idea menerbitkan cerita berkisah muzik ini harus diteroka. Sangat jarang penerbit filem mahu menampilkan ’Filem kita Wajah Kita’.  Kalau ada menampilkan muzik gamelan pun ada sedikit didalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2 tetapi orang hanya ingat tentang hantunya bukan alat muzik gamelannya. Kalau ada pun aku boleh cadangkan kamu semua menonton drama bersiri KAMI yang mengangkat muzik indie secara tidak langsung. Ceritanya bagus dan tidak seperti drama TV biasa-biasa ini ( kita tolak dahulu perilaku wataknya yang kurang adab ya)

 

Lama aku menyimpan hasrat untuk menulis cerpen mengenai muzik gamelan tetapi aku masih mencari resipi dan maklumat lagi.  Moga-moga tercapai ~ Amin~

Di wajahmu Kulihat Bulan


Diwajahmu Kulihat Bulan

Oleh Sam Saimun

Ditulis : Mochtar Embut

Album : Senandong Tanah Ayer-ku (1962)

 

Di wajahmu ku lihat bulan
bersembunyi di sudut keningan
sadarkah tuan kan ditatap insan
yang haus akan beleian

Di wajahmu ku lihat bulan
menerangi hati gelap rawan
biarlah daku mencari naungan
di wajah damei rupawan

Serasa tiada jauh
dan mudah dicapei tangan
ingin hati menjangkou
kiranya tinggi di awan

Di wajahmu ku lihat bulan
yang mengintei di balik senyuman
jangan biarkan ku tiada berkawan
hamba menantikan tuan

 

Kali pertama mendengar lagu ini sewaktu aku menonton filem Perempuan Melayu Terakhir. Aku terpesona dengan liriknya dan lagunya. Tika itu lagi ini dinyanyikan oleh Teacher’s Pets. Sampaikan aku menunggu sehingga bahagian penghargaan terpapar untuk mencari siapa penyanyi dan tajuk lagunya. Ah hatiku telah tertawan waktu itu.

 

Kemudian aku berusaha mencari lagu itu di layar maya sebab aku tahu lagu lama tidak lagi di rak-rak kedai muzik. Kalau untung nasib bolehlah aku menjumpai lagu ini dimana-mana. Ya aku temuinya di laman Hamlau yang memuatkan info Ebiet G. Ade, salah satu penyanyi puisi pujaanku dari seberangnya. Aku menghubungi Hamlau meminta ehsannya untuk mengirim lagu itu lewat email kepadaku.

Lagu ini sarat dengan pengharapan. Benar, tiap bait lagu adanya pengharapan tetapi disimpan kemas dan dikunci rapat. Hanya dirintih-rintih sahaja.

 

Pertamanya membuatkan aku terpesona adalah pada pada perlambangan bulan yang digunakan dalam lagu ini. Betapa terpesonanya watak si lelaki ini sehingga terlihat bulan yang indah diwajah perempuan itu.

 

Ya bulan secara buktinya tidak indah. Kering seperti padang pasir dan berlompang sana-sini dipermukaannya. Tetapi sebelum bukti itu muncul, bukankah bulan dilihat objek yang paling indah diwaktu malam lantaran cahayanya, bulatnya. (ingat-ingat orang dahulu mana ada elektrik)

 

Malah sehingga kini perumpamaan bulan bagaikan mendominasi dunia jiwa-jiwa biarpun klise.

 

Aku kira si pencipta lagu atau penyanyinya menujukan lagu ini untuk kekasihnya yang berlainan darjat. Ah cinta antara darjat sering sahaja menumpahkan air mata. Berapa orang yang bahagia kalau darjah yang ditujah-tujah untuk dimaknakan dalam kehidupan. Lihatlah watak Hayati- dalam Tengggelamnya kapal Van der Wijck karya Hamka. Kalau tidak suka membaca, tengok sahaja pelbagai cerita Cinta Antara Dua darjat misalnya.

 

Selain daripada lirik aku juga tertawan dengan muziknya. Lagu lama biarpun orang kata ”ah ketinggalan zaman kah” tetapi sarat jiwa. Cuma satu sahaja yang tidak relevan lagi untuk zaman sekarang. Si pemuja dalam lagu ini hanyalah memuja tanpa mahu meluahkan rasa. Ya, tipikal orang Melayu. Sarat kiasan dan sebagainya. Tetapi zaman sekarang ini susah juga kalau mahu pendam-pendam bukan?

 

Download : Sam Saimun – diwajahmu Kulihat Bulan 


Anekdot:

Sampai kini mencari kekuatan untuk berani berkata sudut paling dalam di hati ini