Mengenang Sasterawan Negara S. Othman Kelantan


Waktu itu hampir 1 pagi dan saya sedang bersengkang mata menyiapkan saki baki proposal dan membaca jurnal bertimbun, saya menerima kiriman SMS daripada Kak Hanie Salwah. Isi SMS lebih kurang begini

“Ayahanda SN S. Othman Kelantan telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah dan moga Allah merahmatinya Amin”

Saya terkedu, terdiam dan sejenak terkenang. SMS itu tidak saya balas. Bukan tiada respons tetapi saya tidak terkata mahu kata apa.

Mengenali sasterawan SN S. Othman Kelantan ketika dibangku sekolah lewat cerpen Pusaran yang paradoks pada diri saya dan saya berpeluang bertentang mata dengan SN S. Othman Kelantan ketika mengikuti program MPR. Ketika itu, saya kira gelaran sasterawan Negara masih ala-ala pisang goreng panas lagi padanya. Hangat.

S. Othman Kelantan seorang yang lucu. Walaupun tubuhnya kecil molek tetapi tenaganya dan semangatnya tinggi. Waktu ceramahnya pada kami, tidak sedikit pun mood ceria turun. Ada sahaja leluconnya dan kantuk hilang dibawa pergi. Allahyarham tidak lokek ilmu, apa sahaja soalan dijawabnya. Ketika ceramahnya pada kami, saya masih ingat lagi katanya dia sedang dalam proses menulis cerita tentang pengalamannya ke Selatan Thailand. Rangka ceritanya berkisah begini, si penulis tersalah mengambil dompet orang lain yang disangkanya dompetnya sendiri. Saya tertarik pada cerita falsafah begitu. Seperti mana dia menawan saya dengan ceritera Nagogho Astana yang saya curi-curi baca di bilik simpanan perpustakaan sekolah ketika tingkatan 3.

Dunia sastera kehilangan seseorang penulis yang berwibawa dalam ceritanya. Ah, saya kira saya baru sahaja menemuinya dalam majlis sastera yang saya hadir. Namun, Allah lebih sayangkan Allahyarham.

Saya harap pojok kecil mengenang Allahyarham ini salah satu apresiasi saya terhadap Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Al- Fatihah~