Adakah anda diminati orang-orang secara tiba-tiba?


Adakah..

Anda rasa hairan tiba-tiba sahaja ada orang yang dengan ramah tamah mendekati anda walhal sebelum ini anda dianggap orang yang dianggap paling tidak wujud dikampus?

Anda pelik apabila tiba-tiba sahaja anda mendapat ’kad cinta’ dengan wajah-wajah yang tidak anda kenali didalam kad itu padahal sebelum ini satu kad pun tidak pernah anda perolehi?

Anda rasa tiba-tiba sahaja ada yang ingin menjadi kawan anda, bukan satu tetapi ramai sekali..?

Anda dihampiri dan dijanjikan pelbagai harapan untuk memperbaiki kehidupan anda dikampus sedangkan selama ini tidak pernah ada orang peduli anda sakit ke, demam ke, sihat ke?

Apabila anda bangun pagi, ada nota-nota kecil diselitkan dibawah pintu bilik anda dan anda terasa semacam saja?

Jangan khuatir dengan situasi ini.

Jangan rasa risau mahupun gundah gulana dan memikirkan cara-cara untuk mengelakkan diri daripada mereka-mereka yang ’meminati’ anda.

KERANA

Semua ini akan berakhir tepat jam 5.oo petang 16 Oktober 2008.

Selepas tarikh itu tiada orang pun yang berminat untuk mendekati anda, bercakap dengan anda mahupun menyelitkan nota-nota cinta buat anda.

Semuanya akan hilang bagaikan angin ribut.

Anda tidak percaya kata-kata saya?

Anda fikir saya menipu?

Baik kita tengok siapa yang menjadi ’tipah tertipu’ nanti.

Saya atau anda.

Tetapi sukacita saya nasihatkan anda, manfaatkan peluang rasa dikenali ini sebaiknya kerana manalah tahu anda akan dilupakan buat selama-lamanya selepas ini?

Siapa tahu kan?