Maktab Atas Kayangan : Pengeboman Aspuri


Kawan-kawan maktab atas kayangan,

Kita menyatu pada hari ini atas dasar kenangan . Kenangan 4 tahun lalu di maktab atas kayangan iaitu pengeboman aspuri.

Ya, kita marah pada golongan mereka yang memulakan segalanya iaitu AL-JALS. Malah kita menyeranah sepanjang malam itu sehinggakan pihak atasan maktab menghimpunkan kita di surau untuk meredakan segala amarah berbangkit.

Kini sudah 4 tahun segalanya berlaku. Yang rahsia telah terbongkang dan terbongkar. Siapa yang jadi mastermind telah diketahui.

Dan kini jika cerita ini berbangkit, kita hanya tersenyum dan tertawa kecil.

Ya itu namanya kenangan. Biarpun pedih tetapi bisa jadi yang indah.

Malam itu aku sememangnya berjaga kerana tuntutan SPM bersama rakan sebilik. Getarnya akibat peristiwa itu masih terasa. Kamu tahu bagaimana rasa di medan perang? Bak pengeboman di perang tahu. Siap ada balingan bom permulaan lagi. Benar-benar macam di medan perang.

Masa itu kita warga aspuri betul-betul menyeranah aspura dan Al-JALS dan warga aspura menyumpah AL-JALS kerana menceroboh masuk aspura waktu sembahyang jumaat, punca semua ini terjadi.

Kawan-kawan,

Sama-sama kita mengenang tarikh ini 28 November 04. Setelah 4 tahun meninggalkan maktab atas kayangan, tarikh ini masih menghambat kita, kemana-mana.

Sekian.

Advertisements

Kembara : Pasar Chowrasta


Kalau kamu mahu biarkan aku menunggu kamu, tinggalkan aku di kedai buku dan aku boleh biarkan masa berlalu tanpa jemu.

Aku kembara ke Pulau Pinang beberapa bulan yang lepas untuk tugasan praktikal dan bertemu dengan syurga buku yang membuatkan mata dan tanganku tidak keruan memilihnya.

Rasa syurga itu aku temui di Pasar Chowrasta, Pulau Pinang. Kalau anda lalu di depan pasar itu anda hanya temui kedai-kedai jeruk dan baju tetapi jika anda mencemar kaki ke tingkat 2 pasar itu anda akan temui satu pojok dimana timbunan buku-buku second hand menunggu untuk menemui tuan yang baru

Waktu itu duit di tangan hanya ada RM50 sahaja dan aku temui buku-buku lama yang aku idamkan dan dijual dengan harga yang murah bukan main. Malah masih boleh tawar menawar lagi.

Anda tahu rasanya? Benda yang lama anda idam boleh didapati dengan harga murah tetapi anda masih tidak boleh memilikinya. Rasanya sakit amat tahu?

Aku hanya membeli beberapa buku yang mampu milik

Aku tinggalkan Pasar Chowrasta itu dengan rasa hampa.

Tetapi suatu hari nanti aku akan datang ke pulau mutiara dan berkunjung ke pasar itu dan ketemu lagi jurujualnya yang peramah.

Kejar..kejar kenangan yang bersisa itu!


Entri ini saya tulis dengan linang air mata yang merembes tiba-tiba dan untuk orang yang payah amat menangis seperti saya, saya rasa perasaan ini aneh.

Saya ke blog lama saya yang saya tinggalkan kerana escapism dan saya terjumpa shoutout aneh di blog lama saya. Shoutout itu berbunyi

Syida : Aku link blog kau ya.

Ya. Syida kawan lama saya di maktab atas kayangan. Kami duduk sebaris dan kami ada lima orang. Lima orang yang gila-gila. Saya duduk paling kiri diikuti Azian, Ana, Syida, Wiyah. Kami menempuh hari-hari di maktab itu sepanjang 2 tahun bersama dan kami menemui pelbagai kerenah yang aneh-aneh.

Lalu mengapa saya menangis dan mengapa bahasa saya jadi halus begini?

Kerana ayat yang sebaris itu telah membangkitkan kenangan bertahun dahulu. Kenangan yang timbul tenggelam bersama waktu.

Saya kagum dengan Syida masih menjejak kawan-kawan sedang saya begini tenggelam dengan kenangan dan tak mahu bangkit lagi dan bila saya ke blog dia senaraikan link kawan-kawan maktab kami. Disana saya temui blog Nadiah Hakim yang comel, blog Azian yang kini di UK dan beberapa blog rakan saya yang lain.

Bagaimana ya mahu menghapuskan apa yang tertulis sedangkan yang terhapus itu bisakah terpadam sepenuhnya?

Kepada Syida, terima kasih kerana menjejak kawan-kawan lama membuatkan saya menjadi syahdu amat. Sungguh!

Filem Mereka Bilang, Saya Monyet!


Aku baru tonton filem ini setelah terbaca di blog KAK ADEQ. Lalu setelah menonton filem MEREKA BILANG, SAYA MONYET aku boleh letakkan filem ini di antara filem-filem yang aku sukai.

Filem ini satu filem kritikan sosial, itu yang aku dapat rumuskan dan sesiapa yang menonton filem ini harus berfikir diluar kotak dan melihat di sebalik apa yang diwayangkan. Filem ini berdasarkan cerpen karya Djenar Maesa Ayu iaitu Lintah dan Melukis Jendela dan filem ini diarahkan olehnya juga.

Ceritanya berkisar watak Adjeng seorang penulis yang mempunyai kisah silam yang menghantuinya seterusnya membentuk 2 watak hidupnya. Satu gadis agresif di depan kawan-kawan akrabnya dan dua anak penurut dan pasif di hadapan ibunya. Adjeng ingin lari daripada kisah silam dan kepasifan di hadapan ibunya lalu memilih menumpahkan kisahnya di dalam cerpen yang bertajuk Lintah.

Konflik hidup Adjeng dikembangkan melalui teknik flash back segaris dengan cerita ini berjalan dan kemuncak cerita ini adalah pada ketika cerpen Lintah itu di siarkan di akhbar dan kemudian cerita dileraikan dengan penamat yang memuaskan, tidak tersangka.

Kenapa aku suka cerita ini?

1

Mungkin kerana dalam diriku ada jiwa penulis dan aku begitu tertarik dengan penceritaan cerpen Lintah yang sinikal dan luar kotak. Suatu hari nanti aku harap aku punya kelebihan dan keberanian untuk mengolah idea dan cerita seperti itu. Unik sekali.

Bacalah permulaan cerpen Lintah yang dimuatkan dalam filem ini

“Ibu saya memelihara seekor lintah. Lintah itu dibuatkan sebuah kadang yang mirip seperti rumah boneka berlantai dua, lengkap dengan kamar tidur, ruang makan, ruang tamu dan kamar mandi dan ditempatkan di sebelah kamar ibu. Saya selalu merengek kepada ibu untuk memelihara haiwan lain, namun ibu mempertahankannya sebagai haiwan peliharaan tunggal di rumah kami”

2

Aku suka skrip dan kata-kata di dalam filem ini

3

Lakonan pelakonannya hidup dan menjiwai watak. Malah Titi Sjuman (watak Adjeng) itu menang anugerah pendatang baru terbaik melalui lakonannya

Namun filem ini sedikit berani. Contohnya adegan Adjeng membuat seks dengan teman lelakinya dan adegan di kelab. Malah filem ini terlalu terbuka menontonkan watak wanita sebagai perokok tegar dan peminum alkohol. Mungkin ini realiti zaman sekarang begini dan Djenar Maesa Ayu cuba berjujur dengan filemnya.

5 bintang!

Filem Pensil : Satu Percubaan


Kali pertama aku teringin amat menonton filem ini apabila melihat posternya di panggung wayang dan aku tertarik pada metafora tajuknya PENSIL. Kemudian aku terdengar bahawa penggambarannya dibuat di daerah kelahiranku atau lebih tepatnya kampung sebelahku menambahkan keterujaan untuk menonton filem ini.

Namun sebenarnya setelah menonton filem ini aku agak sedikit kecewa dengan penamatnya. Penamat yang aku kira terlalu selamat dan biasa seperti penamat filem JANGAN PANDANG BELAKANG. Penamat yang selamat ini sebenarnya bagiku menjemukan dan menyebabkan nilai ekstetika filem itu sedikit terjejas. Aku rasa contoh penamat yang baik seperti dalam filem PERFUME.

Jikalau kita lihat lakonan pelakonnya memperlihatkan tahap yang biasa-biasa sahaja. Adakalanya lakonan M Subash yang membawa watak seorang lelaki melayu-india yang cacat sedikit keterlaluan. Aku kira sekiranya lakonan M Subash lebih sederhana itu lebih baik bagi memperlihatkan kesengsaraan dan kepayahan hidup seorang yang cacat kerana bagiku tugas seorang pengarah filem bukanlah mengajar mesej kepada penonton sebaliknya membiarkan penonton mencari mesejnya dalam filem tersebut.

Selain itu persoalan yang bermain-main di fikiran aku sepanjang filem ini

M. Subash melakonkan watak seorang lelaki melayu-india yang beragama Islam. Bolehkan begitu?( ini tiada bau-bau perkauman ya)”

Keseluruhannya aku sekadar boleh memberi filem ini 3 bintang sahaja. Satu percubaan yang baik untuk M Subash kerana cuba membawa tema baru di dalam dunia perfileman ini dan lari dari kisah cinta dan lawak bodoh remeh temeh.