Khabar di pagi hari : Puisi Berdarah


Pagi-pagi, Zulfazlan Jumrah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada aku.

Terkejut. Darah terasa menyimbah ke muka.

Dalam hati berkocak “Betul ke?.”

Aku gegas turun ke bawah dan membeli Berita Harian.

Nah!


Benarlah, Zulfazlan tidak berbohong dan mataku tidak menipu. Ini puisi kedua tersiar dan yang pertama di akhbar.

Wah! Aku tidak percaya juga kerana baru sedikit waktu aku cipta puisi berdarah itu. Masih terlalu baru dan telah tersiar.

Dahulu aku rasa aku paling tidak berbakat dalam penulisan puisi sebab puisi aku tidak ekonomik dan seperti cerpen. Orang yang sering menerima puisi aku juga mengakuinya dan aku tidak pernah punya kekuatan untuk menghantar pada mana-mana editor.

Tetapi

Kini aku punya kekuatan untuk memberanikan diri untuk terus menghantar puisi aku yang sekian banyak.

Sekarang masa untuk menyerang media cetak. Seranggggggg (Macam cerita perang pula jadinya).

Kawan-kawan,

Aku masih mahu mengucapkan perkataan ini untuk sekian kalinya, Syukur dan Alhamdulillah.

Dan terima kasih pada yang tidak putus menyokong. Ada masa aku belanja teh tarik kat kedai mamak eh.

Heh!


Kita cipta sejarah baru


( Ini tulisan dari fakir bahasa dan sejarah)

Sejarah pernah berbicara, katanya bahasa Melayu bahasa penyatuan bangsa Malaysia.

Ketika Negara sedang racau dengan konflik perkauman , bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi dan bahasa pertuturan seluruh rakyat Malaysia ketika itu.

Semua orang seperti mengiakan dan mengakui. Ingat, sejarah tidak boleh berbohong, tetapi orang boleh berbohong tentang sejarah.

Sekarang, aku buka TV, baca blog, buka akhbar, aku lihat kita berdikit-dikit mahu cipta sejarah baru.

Kamu mahu tahu drama-drama kegemaran aku. Drama-drama kegemaran aku dari produksi Red Film. Dramanya bersifat urban dan lebih mendekati realiti berbanding segelintir drama TV yang seperti kiambang, akarnya tidak jejak bumi, pucuknya tidak mengapai awan.

Ya, drama dan filem dari produksi ini menyajikan kita manusia urban yang cakap bahasa rojak dan bahasa Inggeris tetapi itulah gambaran Malaysia yang sebenar. Masih adakah golongan yang bertutur bahasa baku atau menggunakan laras bahasa klasik ataupun menggunakan struktur ayat yang tersusun rapi bagaikan baru keluar dari hospital Dewan Bahasa dan Pustaka? Kalau ada segelintir amat dan yang segelintir itu tidaklah mewakili rakyat Malaysia secara amnya. Yang berlambak adalah mereka yang berbahasa rojak, setia dengan loghat negeri, berbahasa Manglish dan sebagainya dan berlambah itulah yang mewakili warna rakyat Malaysia (menurut hukum statistik)

Kalau mengikut hukum IUCN , spesies rakyat Malaysia yang berbahasa baku adalah spesies yang hampir pupus dan perlu diselamatkan seperti spesies Panda. Tahu?

Kini, apa yang aku katakan, kita mahu cipta sejarah baru? Kita mahu mengangkat bahasa lain sebagai bahasa perpaduan, bukan bahasa Melayu.

Kini Bahasa Inggeris di angkat sebagai bahasa perpaduan. Kalau tidak pintar berbahasa Inggeris maka anda berada di strata yang lebih rendah sedikit. Anda mahu membangkang kenyataan ini? Atau dalam diamnya anda menyokong? Tidak perlu dicanang bukti, buka sahaja media cetak dan media elektronik dan lihatlah bergunung-ganang bukti.

Jangan rasa terkejut pula kalau suatu hari nanti , anak kita ditanya “Apakah bahasa perpaduan rakyat Malaysia?” dan anak anda dengan muka manis menjawab “English, Mom.”

Ketika itu, identiti kita dimana?

 

 

Notakakitangan : Tiba-tiba tulisan aku semakin serius. Tidak huha huha. Aish~

Kali terakhir merasa berada di Malaysia.


Yeesang.. ketika sambutan tahun baru. Tangan saya tu, yang berbaju ungu

Aku rasa sudah terlalu lama. Semenjak aku meninggalkan sekolah harian dan berpindah ke asrama.

 

DAHULU

Aku ada teman akrab namanya Mehala, bangsa India dan beragama Hindu. Duduk sebelah menyebelah saat kawan-kawan aku yang lain seronok memilih kaum serumpun. Aku memilih dia dan kami duduk di barisan hadapan, betul-betul depan papan hijau itu. Ketika kelas Pendidikan Agama Islam, dia memilih untuk tinggal di kelas bersama aku dan kawan-kawan berbanding mengikuti kelas Pendidikan Moral dan dia masih lagi score dengan cemerlang mata pelajaran Pendidikan Moral dengan cemerlang , gemilang dan terbilang mengalahkan kawan-kawannya yang tidak pernah ponteng kelas langsung.

Ada ketika dia meminta aku mengajarnya menulis jawi. Ketika itu tulisan jawi aku boleh tahan dan aku boleh baca jawi sangat baik (hasil didikan matapelajaran Khat). Dia pernah menduduki peperiksaan Agama Islam dan mendapat markah yang boleh tahan. Lulus dan mendapat B. Ketika itu kami seronok amat.

Paling aku suka ketika Deepavali. Maruku yang dibuat sangat sedap. Bapanya seorang guru besar dan akan menempah catering dari orang melayu untuk memasakkan makanan khas untuk kami yang beragama muslim. Aku merupakan manusia setia yang akan pergi ke rumahnya setiap kali Deepavali sehingga satu keluarganya masih kenal aku kalau selisih di mana-mana.

Dia sering kata, bagaimana aku boleh menyembah Tuhanku sedangkan aku tidak nampak walhal dia yang nampak setiap hari pun terasa culas mahu menyembahnya. Dia bertanya bukan bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman atau agama. Sekadar mahu tahu dan harus ingat ketika itu kami di sekolah rendah dan dia bertanya ketika kami di darjah 5.

Ketika itu aku cetek dalam soal agama dan aku sekadar jawab menggunakan perbandingan.

“Bagaimana Mehala rasa air dalam botol ini?” aku hulur botol mineral penuh padanya.

Dia rasa dan dia jawab, tiada rasa apa-apa. Tawar.

“Kalau aku tambahkan air gula dan bagi kau rasa?”

“Tentulah rasanya manis.”

“Tapi kau tidak nampak pun gula itu dan kau rasa rasanya manis. Begitulah aku rasa ketika menyembah Allah.”

Itu jawapan aku pada dia. Dia senyum dan tidak bertanya apa-apa lagi.

 

TIDAK LAMA DAHULU

Aku pergi ke sekolah menengah kebangsaan dahulu sebelum dapat tawaran sekolah asrama. Di situ Mehala masih ada dan aku berkenalan dengan seorang berbangsa Cina,namanya Chong Poh She. Aku selalu ingat dia itu watak POOH, rancangan tivi yang aku paling suka sekali.

Kami bagaikan 3 rangkai yang tidak terpisah. Aku di kelas RPK dan mereka berdua di kelas lain. Apabila waktu rehat, sememangnya kami akan makan bersama. Sebenarnya Chong Poh She dan Mehala tidak serasi tetapi apa yang membuatkan mereka menerima antara satu sama lain adalah AKU. Mereka bersabar dengan kerenah antara satu sama lain kerana aku. Mereka tidak sanggup lihat aku bersedih kalau mereka bergaduh (Aku tahu perkara ini setelah aku bertukar sekolah) . Aneh bukan?

Dan perkara yang paling aku suka tentunya sambutan Tahun Baru Cina. Aku mengajak kawan satu kelas menyambutnya di rumah Chong Poh She. Setelah parents Chong tahu perkara ini, mereka menempah catering orang Melayu dan siap pinggan mangkuk sekali. Mereka khuatir kami tidak mahu makan atas dasar was-was. Makanan waktu itu lazat dan aku menambunkan diri dengan menambah sewenang-wenangnya. Untuk pertama kalinya, aku mendapat AngPow.

Aku masih lagi ke rumahnya walaupun aku sudah berpindah sekolah dan mengunjungi dia di kedainya kalau berkelapangan.

Ketika aku mahu berpindah sekolah, mereka menangis dan menghadiahkan aku sesuatu. Chong buatkan aku calendar yang tertulis nama aku menggunakan computer dan Mehala memberi aku cawan yang tertulis perkataaan FRIEND.

Aku tahu selepas aku berpindah , mereka terus dengan hala tuju hidup masing-masing dan tidak akrab lagi.

 

SEKARANG

Bertahun-tahun aku di asrama dan di matrik , aku terasa tidak berada di Malaysia.

Nasib baik ketika di universiti, aku merasa kembali di Negara Malaysia.

Tahun pertama, aku sangat rapat dengan kaum Cina dan India. Aku tidak menjadikan mereka entiti asing dan komuniti kecil. Pedulikan orang lain yang memandang aku asing kerana boleh bergurau dan bertepuk tampar dengan mereka.

Hasilnya, aku mudah meminta kerjasama daripada pihak mereka kalau ingin melakukan program.

Ya.

Aku tahu secara harfiahnya Malaysia ini milik Melayu sebab sejarah membuktikannya begitu

Tetapi

Mereka tetap bukan komuniti asing dan mereka Rakyat Malaysia juga bukan?

 

Selamat Tahun Baru Cina kepada Chong Poh She dan kawan-kawan yang lain.

 

 

Notakakitangan : Aku rasa entri ini patut dipos ketika Bulan Merdeka lah. Setuju?


 


100


PERTAMA

Ini entri ke 100.

Dalam tidak sedar aku telah menulis sehingga 100 entri.

Dahulu ketika mula-mula menulis entri ini, aku terus memilih kata ganti diri AKU berbanding saya di blog lama.

Disebabkan blog ini dibangunkan dengan hati yang berdarah kena tarah maka kata ganti diri aku melambangkan diri yang keakuan dan tegas lah kononnya. Berbanding dengan pengunaan kata ganti diri saya yang lemah-lembut-gemalai. Dahulu aku sekadar berkata, aku akan kembali menggunakan kata ganti diri saya dalam penulisan blog selepas 100 entri. Hanya selepas itu.

Dan ini adalah entri yang ke 100. (Berapa banyak kali 100 daaa..)

Blog ini sudah berusia lebih setahun dan kalau luka berdarah pun sudah kering dan berkuping pun. Aku bertanya kembali dan membuat timbang tara lagi, apakah molek aku kembali menggunakan kata ganti diri saya dalam penulisan blog ini atau mengekalkan gaya penulisan yang sedia ada?

Aku terasa aku patut buat undian atau poll . Setuju?

KEDUA

Apabila aku langkau blog ke blog, aku mula menimbal-nimbal apakah konsep blog aku? Ada blog yang membuat kritikan terhadap sastera. Ada yang buat mengenai makan-makan, ada yang buat jual-jual dan selepas blog menjadi satu trend, melimpah ruah blog mengenai diri sendiri. Lalu sukar bagi aku mencari blog yang betul-betul bagus untuk dibaca dan dikomen. Aku juga menilai, duduk letaknya blog aku. Konsepnya bagaimana? Nama birungu tetapi tiba-tiba jadi nyanyian hujan. Tagline pula saya datang, saya lihat, saya takluk. Huh. Macam macam tidak selari pula. Satu menyimpang ke daksina, satu ke paksina dan satu tidak tahu ke mana.

Kalau menulis tentang diri sendiri, blog ini bukan tatapan umum kawan-kawan. Blog ini macam tetingkap yang taboo untuk kawan-kawan alam realiti aku baca. Pernah ada seorang terbuka blog aku dan mereka kata, aku di dalam blog dan hidup realiti berbeza. Macam dua personaliti yang berbeza. Itu kata kawan aku lah. Jadi kalau menulis kehidupan seharian ini macam suatu yang sterotaip, biasa-biasa. Ah bosan.

Kalau menulis mengenai kritikan sastera atau komen buku, aku rasa entri itu paling irit sekali di baca orang dan dikomen. Mungkin aku bukan komentar yang bagus dan point-point yang aku beri semuanya tidak kuat. Mungkin.

Aku terfikir juga, aku mahu menulis mengenai makan-makan. Wah ini sememangnya aku suka sekali. Makan dan makan. Pergi suatu tempat, makan dan komen di blog. Wah Nampak macam hebat. Malangnya, aku asyik terperuk di kampus dan pengangkutan merupakan isu yang paling menyampah untuk disuarakan di tempat ini. Lalu bagaimana aku hendak pergi sana-sini, makan-makan dan menulis komen di sini?

Ah. Pilihan mudah. Aku tulis apa yang aku suka, dan dibaca dengan kawan-kawan yang aku suka. Begitu?

KETIGA

Selamat Tahun Baru Cina kepada kawan-kawan dan seluruh rakyat Malaysia.

Tapi aku sedih lah. Kenapa aku tidak dapat limau pun sejak semalam ni?

~


 

Al-Fatihah untuk Sasterawan Negara Arena Wati


Rasanya baru sahaja, aku menulis belangsukawa mengenai pemergian sasterawan Negara S. Othman Kelantan di blog ini dan aku dikejutkan dengan berita pemergian Sasterawan Negara Arena Wati menerusi beberapa blog penulis dan facebook. Ah, kita kehilangan mutiara yang besar dalam areana sastera Melayu.

Kita sedekahkan Al-Fatihah untuk SN Arena Wati.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Dan

Pak Arena Wati meninggalkan karya yang ranum untuk kita nikmati bersama.

 

Al-Fatihah