Kawan-kawan,
Hari ini 1 Januari 2009, maka aku akan tunaikan janji aku semasa menulis entri ini.
Terimalah puisi aku yang tersiar di Tunas Cipta Disember08. Puisi ini ada sejarahnya semasa dicipta tetapi biarlah sejarahnya aku simpan dan kunci kemas dan buang kuncinya ke laut.
MERDEKAKAN HATIMU
Bertahun lama
Kau memenjara peribadi
Diantara bilah kesangsian jiwa
Hingga mata hatimu lamur
Menebak episod pura
Seputar dunia boneka
Haruskah kau merandau serpihan pahit
Di dunia pojokmu sendiri dan sepi?
Membiar kekejaman bayang-bayang
Menjadi raja di jajahan jiwamu?
Merdekakan hatimu
Bebaskan dari kegalauan perasaan
Suara-suara bersipongang
Mengajak kau berperang
Merebut kebebasan yang hilang
Nah
Ini tanah nurani
Mampirlah!
Hirup harum kembang merah
Mekar di pagi murni
Ada manis yang harus kau cicip
Di jemarinya yang mekar
Disitulah kekuatanmu
Seorang pejuang
AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN
KUALA TERENGGANU
Malangnya di majalah Tunas Cipta tersalah tulis nama aku menjadi AINIL MUAIYANAH. Sedih betul. Sejak bila pula aku pergi pejabat pendaftaran Negara minta surat tukar nama pun aku tidak tahu tetapi aku tidak hantar surat teguran pada bonda Ani, editor Tunas Cipta itu. Aku diam-diam sahaja.
Kawan-kawan, dengan senang hati aku mahu menerima teguran mengenai puisi kerdil ini.