Aku mahu menulis karya ! (tanda seru)


Puisi Merdekakan Hatimu melengkapkan koleksi tahunan karya-karya aku yang tersiar. Karya pertama yang tersiar ialah Mencari Qudwah di Dewan Siswa Jun 2006 dan cerpen itu melayakkan aku menyertai MPR06 hujung tahun itu di Port Dickson. Selepas itu cerpen Rahsia Hatimu pula tersiar di Dewan Siswa Mac07. Pada tahun yang sama juga cerpen Gerai Pisang Goreng Abah tersiar di Dewan Sastera sisipan Tunas Cipta Oktober 07.

Aku berniat dalam hati, sekurang-kurangnya satu karya setiap tahun tetapi ada seseorang menghantar komentar katanya sebagai salah seorang mantan / graduan MPR, satu karya tersiar setahun adalah sedikit dan tidak produktif. Ya, aku akui perkara itu tetapi menulis cerpen bukan benda enteng dan mudah. Kalau mahu menulis cerpen kosong dan bunga-bunga cinta aku boleh siapkan 5 cerpen dalam satu hari tetapi aku tidak mahu menghasilkan karya sampah dan kosong buah fikir. Masalah. Bahan bacaan makin menyempit. Idea banyak tetapi pembendaharaan kata dan susunan ayat makin kurang indah dan cacar marba.

Dan yang paling utama, ada luka dalam dan menyagat dalam dunia itu.

Oleh kerana itu, aku makin cenderung memilih untuk menulis puisi. Selalunya aku tulis puisi dalam telefon bimbit beberapa minit sebelum terlelap dan puisi itu aku hantar pada sesiapa yang bertuah di dalam daftar kawan-kawan aku didalam telefon itu. Esoknya bila aku terjaga, aku akan lihat kembali puisi-puisi mengarut itu dan kalau indah dan bermakna aku akan pindahkan dalam bentuk salinan lembut.

Kawan-kawan,

Ini tahun baru, aku berjanji akan cuba menulis karya-karya yang lebih berkualiti. Lebih rebel dan kurang emosional barangkali. Haha.

Doakan ya.