Kamu tahu apa maknanya ANEH, PELIK, ASING?


Masa lalu-lintas di blog komuniti ini, aku terbaca tulisan adik ini.

Masa itu aku gelak sinis dan aku kata dalam hati, “Adik, kamu bukan manusia asing dan pelik. Kau hanya manusia yang minat sesuatu yang lain sahaja, yang lebih serius

Katanya, dia manusia pelik yang minat benda aneh dan menulis puisi, memilih untuk membaca bacaan matang dan tulisan sasterawan Negara. Kalau mahu lebih lanjut baca tulisannya.

Dulu, aku pun rasa saya ini pelik dan aneh tetapi akhirnya aku memutuskan aku tidak pelik dan tidak juga aneh. Aku cuma meminati sesuatu yang lain , yang tidak mengikut arus. Aku sekadar mempunyai prinsip hidup. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Ketika aku mengikuti MPR06, aku menulis puisi nyanyian hujan dan aku kata, aku tulis puisi ini sebab aku terperangkap dalam dunia sains walhal aku cenderung pada sastera. Aku dibidas oleh encik Shamsudin Othman dan Kak Raihani. Kata mereka ” itu bukan kepelikan dan keanehan lagi sebab semua pelajar sekarang belajar Sastera. Kami ingat kamu menulis puisi ini kerana kamu meminati puisi Pak Sapardi Djoko Damono yang terkenal dengan puisi hujan dan boleh tersihir dengannya.”

Ya. Adik, kamu tidak pelik dan aneh dan aku cukup tidak suka kamu kata kawan-kawan kamu pelik tidak minat sealiran dengan kamu. Kamu yang meminati bacaan serius-serius dan ‘aneh’ kononnya.

Tahu bagaimana aku menemui manusia aneh itu yang bernama dia?

Dia berpakaian menurut aliran gothic dan emo. Serba hitam. Dia menginai kukunya dengan warnahitam dan rambutnya celoreng biru, kadang-kala merah dan pernah sekali dia warnakan hitam balik. Pakaian pilihannya paling-paling tidak mesti XS dan dia tidak peduli kata orang. Orang di sekeliling tempat kami belajar ini jenis yang prejudis dengan manusia seperti dia akan akan meluncur kata ‘perempuan jalang’ dengan senangnya.

Ya, dia tidak rasa dirinya aneh dan aku berkawan dengan dia bukan berdasar kulit rupa tetapi bersandar pada hati budi. Jangan kamu sangka kamu boleh menipu dia kata novel SHIT itu karya A Samad Said sebab dia sudah baca novel Shit karya Shahnon Ahmad yang berbaur politik itu seawal usianya di sekolah rendah. Bukan seperti kamu –kamu yang tidak tahu karya Mira Edora yang ditulis oleh Khadijah Hashim itu yang pernah difilemkan itu dan kamu boleh senang-senang kata nama novel itu ialah seorang pelakon filem dan masih mendakwa kamu aneh!.

Dia suka aliran muzik yang bagiku keras dan jiwa kacau. Dia sudah lama minat aliran muzik indie yang katanya liriknya lebih telus dan jujur sebelum era muzik indie mendominasi pasaran lagi. Malah dia cukup tidak suka bila Estranged menang Juara Lagu dengan lagunya Itu Kamu. Katanya lagu itu kamu itu kabur isinya, liriknya macam hidangan tidak lengkap. Ada pembuka selera tetapi tidak ditutup dengan pencuci mulut. Dia lagi terseksa bila tahu Estranged membolos Juara Lagu Akhir dengan lagu Yang Pernah kerana dia tidak faham apa yang kumpulan itu hendak sampaikan dengan liriknya. Dia ada seluruh koleksi lagu Estranged sebab kualiti muziknya baik tetapi kalau jatuh bab lirik dia tidak dapat ampunkan. Kata dia, muzik sahaja tidak cukup untuk mendokong lagu kalau liriknya cacar marba. Walhal dia bukanlah pejuang muzik. Dia hanya seseorang yang ingin menikmati lagu yang berkualiti dan dia menyampah dengan lagu-lagu yang dia tidak faham apa yang mereka mahu sampaikan.

Dia dengan pakaiannya yang kamu kata tidak beradab itu masih boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Mengetahui Hamlet yang ditulis oleh Shakespeare. Kalau aku beli Dewan Sastera sebab ada sisipan Tunas Cipta dahulu, dia baca majalah itu dan mengemari cerpen yang pintar dan bijak bahasanya dan mengajak pembaca berfikir. Malah ruangan puisi Siti Zainon Ismail itu bacaan wajibnya. Malah ketika aku menghadiahkan buku My Name is Red karya Orhan Pamuk ketika ulang tahunnya, dia menangis riang sebab itu buku idamannya selepas SNOW tetapi dia tidak punya cukup wang untuk membelinya dan di sini tidak menjual buku-buku tidak komersil seperti itu dan aku terpaksa membeli buku itu semasa aku balik ke Kuala Lumpur. Kamu-kamu yang mendakwa kamu itu aneh, kamu tahu siapa Orhan Pamuk dan novelnya itu berkisah tentang apa?


Aku tetap rasa dia lebih aneh dari kamu. Kalau dia minat muzik indie , punk dan segalanya yang menyerabutkan jiwa itu bukan sebab ikutan-ikutan seperti kamu. Dia minat sebab dia tahu kenapa perkara itu perlu menjadi minatnya. Kadang-kala buah fikirannya mengagumkan aku dan menjadi idea untuk aku menulis cerpen.

Ya. Aku tetap kata dia aneh dan keanehan dia itu banyak. Kamu kata kamu aneh sebab kamu memilih untuk serius dengan perkara yang serius dan bukannya aneh. Kamu hanya sekadar memilih sesuatu minat. Seperti orang yang masih lagi hobinya mengumpul setem walhal zaman sekarang orang memilih untuk menulis email.

Dalam dunia ini tiada lagi yang aneh. Apa yang kamu rasa aneh sekarang akan menjadi yang biasa-biasa sahaja satu hari nanti.

Percayalah~