Yang Manis dan Yang Ranum : Diskusi Karya Mantan MPR


 

Cuba teka yang mana satu adalah Ainunl Muaiyanah?

Cuba teka yang mana satu adalah Ainunl Muaiyanah?

 

 

Aku mulakan entri ini dengan merafak syukur pada Allah. Alhamdulilah.

Aku selamat pulang ke Selangor dan kembali dengan selamatnya ke Terengganu.

Kenapa aku pergi Selangor?

Aku pergi mengubati jiwa dan mencari sebahagian diri aku yang hilang dan telah tertinggal di mana-mana daerah rahsia di Selangor.

Haha…

Tidaklah. Sebenarnya aku memenuhi undangan kawan-kawan mantan MPR untuk menghadiri Majlis Diskusi Karya Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) di Dewan Bahasa dan Pustaka. Oleh kerana karya aku turut didiskusikan maka molek kiranya aku hadir bersama. Mendengar apa yang diperkata dan membaiki apa yang salah tetapi yang lebih penting bertemu kembali dengan rakan-rakan yang sejiwa, seaneh, seasing yang aku telah anggap macam keluarga.

Alhamdulilah, karya aku mendapat komen yang baik dari Rahman Shaari yang mengatakaan aku menggunakan bahasa perbandingan yang baik dan Dr. Mawar Shafie pun mengatakan benda yang lebih kurang sama tetapi dia memberi pandangan bahawa karya aku kurang sesuai menggunakan perkataan arab iaitu ajnas di dalam penulisan yang bukan berunsukan agama. Tidak mengapa, aku akan muat turun kertas diskusi karya di blog ini.

Aku berkesempatan mendengar bual bicara Kak Nisah, Mawar Shafie dan Rozninah ( Editor Dewan Sastera) di bilik VIP. Isu seputar mengenai penulis muda dan Kak Nisah menasihati aku supaya kerap tembus media supaya pembaca mengingati namaku yang unik. Yalah nama aku kan AINUNL, bukan ainul mahupun ainun ataupun ainil. Aku rasa terharu apabila Dr Mawar Shafie masih ingat lagi cerpen Rahsia Hatimu yang dikomen di dalam Dewan Siswa dua tahun lalu dan mengatakan cerpen itu cerpen yang bagus dan aku perlu meningkatkan lagi gaya penulisan cerpen dan mengekalkan ketelitian dalam mengedit karya sesudah siap. Bukan menghantar karya bagai rumah siap tetapi pahat masih berbunyi. Selain itu, Kak Nisah mengakui dia dapat mengesan isu sebenar yang aku mahu utarakan di dalam cerpen Gerai Pisang Goreng Abah itu dan yang paling indahnya cerpen itu turut disukai oleh abahnya.

Apabila membuat program begini, sememangnya tidak dapat lari daripada bertemu dengan khalayak sastera dan ahlinya. Kadang-kala apabila asyik bertemu dengan kawan-kawan baru dan lama, majlis sastera jadi majlis reunion (menurut kak nisah) dan apa yang diidkusikan kita tidak dengar lagi sebab terlalu sibuk bertukar cerita. Begitu juga dengan majlis ini. Aku bertemu dengan teman-teman maya yang tidak disangka-sangka dan idola-idola aku dalam dunia sastera. Ketika pendaftaran aku bertemu dengan HAzwan, tuan punya TAsik Hijau. Wah, dia lebih kacak dan segak daripada gambarnya di blog. Terkejut juga sebab selalunya kami hanya bertukar-tukar cerita tetapi kali ini bertukar-tukar pandangan mata. Ehem.. Kemudian ketika mahu mengambil makanan, seseorang menegur aku

” Ini Ainunl Muaiyanah ya.”

Terkejut juga sebenarnya. Sebab aku penulis kerdil dan walaupun Kak Nisah kata nama aku boleh melintas di media cetak suatu hari nanti tetapi masih belum ada orang yang kenal mesra begitu.

“Ini Kak Bayan la. Penulis blog birungu kan?”

Apalagi kami sakan juga lah berbual. Kak Bayan datang atas tiket urusan kerja di bawah YADIM. Sempat juga Kak BAyan bertanyakan sesuatu mengenai entri panassss aku. Wah, muka aku memerah juga sebab entri yang bertujuan mendidik telah ditafsir sebagai mengkritik. Ketika itu Firdhaus Hasraf sudah menjeling-jeling di hujung meja. Aku rasa dia pun mahu tumpang sekaki memberi pandangan. Aku menjelaskan apa yang sebetulnya dan kata InsyaAllah entri susulan untuk membetulkan fahaman salah mengenai entri tersebut.

Kemudian tidak terduga aku bertemu dengan penulis yang aku gila-gilakan sejak aku tingkatan 2 iaitu Kak Siti Hajar Mohd Zaki. Cerpennya pernah buat aku menangis dan aku tidak sangka boleh bertemu dia disini. Sempat bertukar cerita dan alamat rumah dan sempat bergambar juga. Hehe. Aku akan tulis entri khas mengenai dia. KHAS. Seperti aku menulis entri mengenai jatuh cinta pada puisi Azhan Uthmani.

Aku rasa diskusi ini diskusi yang berjaya. Aku sekadar mengukur melalui kehadiran nama-nama besar dalam arena sastera ke majlis kecil yang dikatakan diskusi syok-sendiri oleh graduan mantan MPR seperi Malim Ghozali PK, Puan Mahaya Mohd Yassin, Faisal Tehrani, Shamsuddin Othman, (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga editor majalah Tunas Cipta bonda Ani, Dewan Sastera (Puan Rozninah Abu Azib), Dewan Siswa (Puan ZAinton Abu Samah) yang memeriahkan diskusi.

Cuma pada pendapat aku, mungkin bahan di dalam diskusi ini harus dikurangkan dan di hadkan kepada cerpen dan puisi sahaja atau novel sahaja kerana masa yang diperuntukkan tidak cukup untuk mengupas 11 cerpen atau 10 puisi dan beberapa novel.

Ah, hujung minggu ini hujung minggu yang indah. Bertemu dengan adik beradik yang sejiwa kadang-kala membuatkan nafsu menulis itu melonjak-lonjak tanpa batas dan aku akan terus menulis tanpa henti.

Tahniah kepada AJK dan penganjur kerana dapat melaksanakan program ini biar bertemu dengan payah dan karenah birokrasi yang ruwet. Ode , kamu kelihatan cocok sekali dengan jawatan kamu itu, walaupun ada orang kata kamu buaya tembaga saya tetap percaya kamu buaya darat sahaja, bukan buaya tembaga. Haha. Ilham Hafiz, terima kasih kerana sudi menghantar saya ke 7eleven untuk membeli minum malam dan kemudian ke UIA. Harap jangan berkecil hati dengan peristiwa hari itu. Kak Hanie yang sempoi dan sporting, terima kasih kerana menjaga kami yang berdarah muda, KAk HAnie telah melakukan kerja yang terbaik dan hanya Allah sahaja yang tahu apa yang Kak Hani lakukan dan dapat membalasnya. Nabiha, terbuai mendengar kamu bersyair, diskusi akan datang mari kita berduet bergurindam pula ya. Zarina, teruskan menulis karya-karya yang baik dan tetapkan hati dalam membuat keputusan. Zulfazlan, huh, saya rasa kamu lebih buaya dari si Ode ini tetapi lain kali kita berjanji berbaju secocok lagi ya. Macam sate ayam yang dicucuk-cucuk gitu. Sepadan. Hehe. Nissa, lepas ni kamu lepaskan kontrak menjaga laptop itu kepada orang lain, saya cemburu melihat kamu terlebih glamour la pula. Sudah-sudah, kita ni dah meningkat usia , bagilah can pada yang muda pula. Haha. En Nimoiz T.Y, saya sangka orang serius tetapi minta ampun la. En Nimoiz sememangnya seorang yang selamba dan tidak seperti karya yang serius itu. insyaAllah, saya akan cuba menjadi seperti apa yang ditulis di buku itu tetapi tidaklah seperti dlaam cerpen Peminat itu ya. (sekadar menyebut beberapa nama). Kepada yang tidak dapat disebutkan, teruskan menulis-menulis dan TERIMA KASIH atas segalanya.

Kawan-kawan,

Jikalau ada yang tersalah tingkah, harap-harap dimaafkan dan ditegur. Andai terlanjur bicara minta tolong diingatkan. Ingat frasa cerpen Mencari Qudwah? Kita jangan mengutuk tetapi mengkritik. Kritik dengan hemah dan bernas tanpa merosakkan nama mana-mana pihak. Kita ini adik-beradik sastera biarpun tidak sedarah.

Kan?

Salam manis

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Kertas Kerja Puisi

Kertas Kerja Cerpen