Kita cipta sejarah baru


( Ini tulisan dari fakir bahasa dan sejarah)

Sejarah pernah berbicara, katanya bahasa Melayu bahasa penyatuan bangsa Malaysia.

Ketika Negara sedang racau dengan konflik perkauman , bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi dan bahasa pertuturan seluruh rakyat Malaysia ketika itu.

Semua orang seperti mengiakan dan mengakui. Ingat, sejarah tidak boleh berbohong, tetapi orang boleh berbohong tentang sejarah.

Sekarang, aku buka TV, baca blog, buka akhbar, aku lihat kita berdikit-dikit mahu cipta sejarah baru.

Kamu mahu tahu drama-drama kegemaran aku. Drama-drama kegemaran aku dari produksi Red Film. Dramanya bersifat urban dan lebih mendekati realiti berbanding segelintir drama TV yang seperti kiambang, akarnya tidak jejak bumi, pucuknya tidak mengapai awan.

Ya, drama dan filem dari produksi ini menyajikan kita manusia urban yang cakap bahasa rojak dan bahasa Inggeris tetapi itulah gambaran Malaysia yang sebenar. Masih adakah golongan yang bertutur bahasa baku atau menggunakan laras bahasa klasik ataupun menggunakan struktur ayat yang tersusun rapi bagaikan baru keluar dari hospital Dewan Bahasa dan Pustaka? Kalau ada segelintir amat dan yang segelintir itu tidaklah mewakili rakyat Malaysia secara amnya. Yang berlambak adalah mereka yang berbahasa rojak, setia dengan loghat negeri, berbahasa Manglish dan sebagainya dan berlambah itulah yang mewakili warna rakyat Malaysia (menurut hukum statistik)

Kalau mengikut hukum IUCN , spesies rakyat Malaysia yang berbahasa baku adalah spesies yang hampir pupus dan perlu diselamatkan seperti spesies Panda. Tahu?

Kini, apa yang aku katakan, kita mahu cipta sejarah baru? Kita mahu mengangkat bahasa lain sebagai bahasa perpaduan, bukan bahasa Melayu.

Kini Bahasa Inggeris di angkat sebagai bahasa perpaduan. Kalau tidak pintar berbahasa Inggeris maka anda berada di strata yang lebih rendah sedikit. Anda mahu membangkang kenyataan ini? Atau dalam diamnya anda menyokong? Tidak perlu dicanang bukti, buka sahaja media cetak dan media elektronik dan lihatlah bergunung-ganang bukti.

Jangan rasa terkejut pula kalau suatu hari nanti , anak kita ditanya “Apakah bahasa perpaduan rakyat Malaysia?” dan anak anda dengan muka manis menjawab “English, Mom.”

Ketika itu, identiti kita dimana?

 

 

Notakakitangan : Tiba-tiba tulisan aku semakin serius. Tidak huha huha. Aish~