Eh Lelaki : Sila berdiri dan katakan jawapan kamu dengan berani


Mengapa mahu mengatakan orang lain yang salah dalam perhubungan itu jika kamu sendiri masih ragu-ragu? Kamu yang tidak dapat memberi jawapan untuk hati kamu sendiri? Anehnya kamu mahu bertanya nilai kasih sayang seseorang yang terus terang menyayangi kamu tanpa perlu sebab.

Suatu malam, seorang lelaki menghubungi aku. Sebetulnya dia bukan kenalan aku tetapi akibat sikap syarikat telekomunikasi Celcom yang mengitar-semula nombor yang telah tamat tempoh, maka kami sudah berbual dua-tiga kali di dalam talian. Awalnya dia bertanya khabar kemudian perbualan kami mengalur ke arah peribadi. Dia bertanya kepada aku dalam nada suaranya yang tertahan-tahan.

“Yana, awak pernah bercinta atau sekarang ada sudah ada yang punya?”

Aku senyum walaupun senyuman itu tidak terlihat olehnya.

“Tidak, saya tidak pernah bercinta dan sekarang ini masih belum berpunya. Mengapa?”

Aku mula mencucuk jarum provokasi. Aku tahu ada sesak sedang memenuhi benaknya.

“Jadi, awak ini tiada pengalaman bercinta lah. Urm…”

Ayatnya terputus-putus dan ketika itu aku tertawa kecil dan membalas.

“Jangan risau biarpun saya tiada pengalaman bercinta tetapi saya boleh memberi khidmat kaunseling cinta terbaik di Malaysia. Lalu mengapa?”

Dia menghelakan nafas dan mula membuka cerita. Sebetulnya bukan dia mahu melamar aku menjadi kekasihnya tetapi dia mahu pandangan dari seorang perempuan untuk masalahnya. Aku mendengar dengan tekun dan kadang kala tersenyum kecil.

Katanya

Saya punya seorang kekasih. Bercinta 5 tahun dari bangku sekolah namun kami tidak seperti orang lain. Kami jarang berjumpa, jarang berhubung, jarang berpesanan ringkas. Masalahnya saya tidak tahu sama ada dia mahu menunggu saya lagi atau tidak? Pengajian saya lagi 1 tahun setengah. Dia sudah bekerja dan punya kereta. Tetapi saya belum ada apa-apa. Saya tidak tahu sama ada dia masih menyayangi saya lagi atau tidak. Saya fikir saya hendak jumpa dia dan bertanya apakah dia masih lagi menyayangi saya? Sekarang ini kalau saya call , lama berdering baru dia angkat. Tidak macam selalu.

Aku menjawab

Sebenarnya bukanlah isu sama ada dia masih menyayangi kamu atau tidak, sebaliknya isu yang paling penting perlu diselesaikan ialah diri kamu. Kamu menghadapi isu komitmen yang mana hampir semua lelaki pada umur kamu hadapi. Kamu takut dengan komitmen. Kamu sebenar tidak bersedia untuk manjalinkan hubungan yang serius tetapi kamu mahu seseorang mengambil berat tentang kamu. Kamu takut untuk menjalinkan hubungan yang akhirnya ialah perkahwinan. Seharusnya kamu bertanya pada diri, apakah kamu tidak akan memandang perempuan lain dengan perasaan yang sama kamu memandangnya? Nah, kalau begitu, benarlah kamu menyayangi dia dan nyahkan rasa takut pada komitmen itu. Lalu mengapa membiarkan dia menanti dan menyalahkan dia dengan pertanyaan “Apakah awak masih menyayangi saya.”

Berdiri di hadapannya dan katakan dengan berani, kamu punya masa pengajian yang masih bersisa dan selepas itu kamu mahu mencari pekerjaan yang stabil untuk menyara keluarga. Kamu cuma perlukan masa. Ikat hubungan kamu dengan perasaan dan tanggungjawab. Ajarkan dia tentang janji setia dan kepercayaan. Tegaskan di hadapannya bahawa kamu menyayanginya. Apalah yang perempuan mahukan selain daripada kenyataan kesetiaan dan kasih sayang? Jangan biarkan dia tertanya status dirinya dalam hati kamu. Dia sebetulnya khuatir apakah kamu masih lagi mahu padanya dengan sikap kamu yang adakalanya sedikit dingin dan irit untuk menghubunginya. Lalu dia sedang bermain tarik tali untuk menguji perasaan kamu. Itu sahaja.

Akhirnya, belajar mencintainya dengan sederhana dan serahkan segalanya kepada Tuhan. Lalu apa yang perlu kamu resahkan di sini?

Kawan aku menghelakan nafas lega dan aku dapat terdengar suaranya yang seakan tersenyum riang. Dia mengakui benar kataku dia khuatir pada komitmen. Akhir bicaranya


“Yana, terima kasih. Bercakap dengan awak melapangkan dada saya.”


Aku hanya tertawa. Benarkah?


Notakakitangan : Sebetulnya aku mereka-reka teori cinta itu sendiri. Teori yang aku perolehi dari pemerhatian terhadap kisah cinta kawan-kawan aku. Bukanlah aku ini penasihat kaunseling cinta yang pakar sebenarnya. Jadi, selepas ini jangan ada email pada aku dan berkata “Nama saya B. Saya bertemu dengan A dua tahun lalu. Kami kini sedang bahagia melayari alam cinta. Namun dia seakan berubah. Apa perlu saya lakukan….. Jejaka Bingung”. Mengerti?

Ukhuwah yang Absurd


Jalinan ukhuwah ini sangat absurd. Mungkin kita sangka kita tidak mungkin akan menjalinkan hubungan dengan seseorang kerana faktor demografi atau jarak. Mungkin ketika kita berhubung dengannya, kita tidak yakin bahawa puzzle-puzzle dalam hubungan itu akan menyatu dan bercantum dan akhirnya membentuk gambar yang indah.

Dahulu aku fikir begitu juga. Aku tidak yakin akan bertemu dengan rakan-rakan maya atau yang aku kenal melalui nama di dalam akhbar sebab jalan untuk berjumpa itu seakan kabur. Namun semakin aku dewasa, membesar serta mengembara negari-negeri di Malaysia, aku bertemu dengan watak-watak ini. Watak yang aku hanya kenali di alam maya atau mereka yang menyapa aku lewat blog. Internet menjadi pemudah cara. Telefon pula mendekatkan kita. Laman sosial mencanak-canak muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Semuanya menjadikan jarak beratus-ratus batu bagaikan terhapus begitu sahaja dan kita terasa begitu dekat antara satu sama lain. Benar?

Lalu, aku mengalami peristiwa ini lagi. Seseorang yang aku kenali lewat blog dan status dia sebagai adik kepada kenalan blog aku. Tidak pernah aku sangka bahawa aku akan berjumpa dengannya dan seterusnya membawanya kelintar satu bandar ini.

Aneh kan yang bernama ukhuwah ini?

Kamu tidak akan menjangka bila terjalin dan harapnya tidak akan terputus.

Lalu kini aku percaya jalinan ukhuwah ini sangat absurd seperti jalinan kawan dalan laman sosial itu.


p/s : Kepada Mahfuzah Othman, terima kasih kerana sudi bertemu dengan saya ya. Lain kali saya bawa kamu pusing-pusing lagi ya. Bawalah keluarga dan sanak saudara. Hehe.

Cara menangani Mabuk Buku


 

Siapa mahu buku ini? Angkat tangan!
Siapa mahu buku ini? Angkat tangan!

Bagaimana kalau kamu pergi perpustakaan kemudian kamu terjumpa buku lama yang bertahun-tahun anda idamkan? Malah buku itu sudah tidak diterbitkan lagi oleh mana-mana penerbitan.?

Kamu teruja? Kamu ingin memilikinya? Kamu mula mengambil buku itu dan membukanya. Ah bau aroma buku lama itu memabukkan kamu. Tulisannya yang sedikit kabur dan ada bahagian yang dimakan anai-anai itu pun sudah membuatkan kamu tanpa sabar meratah setiap kata dan ilmu dalam buku tersebut. Bagaimana kamu tidak sedar ada buku-buku lama tersesat di perpustakaan kampung kamu itu?

Aku tanyakan pada kamu? Benar kamu mahu memiliki buku itu? Buku yang layaknya dimasukkan dalam kutub khanah khazanah harta ilmu sedunia itu sememangnya membuatkan kamu dirasuk syaitan barangkali.

Aneh~ buku itu orang tidak pernah hirau pun. Entah-entah kalau kamu bertanya pada cik pustakawati itu, belum tentu dia boleh menjawab lokasi buku itu dengan baik, entah-entah dia tidak sedar pun kewujudan buku itu. Namun kamu bukan golongan remeh temeh sebegitu kan?

Mari, aku ajarkan kamu cara-cara mengatasi pesona dan rasukan buku lama berkulit kuning kusam itu kepada kamu. Ayuh pelajari caraku ini supaya kamu tidak terus mabuk teruja.

Mula-mula kamu senyum pada Cik Pustakawati itu, katakan kamu mahu pinjam buku tersebut. Cik Pustakawati yang rupawan itu tentu sahaja senang hati mengambil kad pinjaman yang diselit dalam kantung coklat kecil di muka pertama buku tersebut. Kemudian dia akan cap tarikh pemulangan di kertas putih bergaris yang kosong tanpa warna biru.

Ayuh, pulang ke rumah. Nikmati buku itu. Ratah maklumatnya. Kemudian balut buku itu dengan kertas plastik yang bermutu tinggi dan selitkan di antara khazanah buku-buku yang banyak dalam rak kamu.

Selang seminggu, kamu datang dengan muka pahit. Ingat, jangan senyum langsung biarpun Cik Pustakawati itu rupawan dan senyumannya manis bergula. Mengerti?

“Buku yang saya pinjam itu hilang. Berapa harganya, biar saya bayar ganti rugi.”

Muka kena sedih, senyuman mesti pahit, kalau kamu boleh menangis pun lagilah tambah kredit.

Cik Pustakawati itu akan menyatakan harga ganti rugi buku terbabit. Kamu bayar sahaja berapa juga jumlah amaunnya. Kemudian kamu keluar dan kali ini baru kamu boleh tersenyum manis. Kamu juga boleh menjerit kegirangan tapi ingat pastikan jarak dengan perpustakaan itu sejauh beratus meter.


Selamat menjadi tuan milik buku itu ya~

 

 

 

Notakakitangan : Kalau orang tanya mana kamu dapat info ini, jangan kata dari blog ini. Sila padamkan ingatan anda tentang penulisnya. Aku tidak mahu dituduh menyebar info mengarut. Heh~

8 jam


Dahulu,

8 jam aku belajar menahan sakit, menghimpun kekuatan dan mereka segala macam kemungkinan dan situasi yang wujud.

Terasa bagai minit-minit yang berlalu itu menarah-hati hati aku yang sedia terluka. 8 jam aku terasa macam berbulan-bulan.

Mataku tidak terlelap walaupun sepicing. Jikalau aku terlelap aku dihantui mimpi buruk dan aku kira lebih baik aku berjaga menghadapi realiti.

8 jam itu, aku terasa aku tidak dihormati, perasaan aku dicabar dengan keadaan, hatiku dicalar.

Aku bina kekuatan yang bukan sedikit, aku balut luka-luka di hati dengan selendang merah darah. Aku ingin menjadi manusia lain, yang tanpa hati dan perasaan.

Manusia yang boleh menyatakan kenyataan paling kejam yang orang lain tidak terfikir aku akan lakukan.

8 jam masa berlalu. Aku berjaya membina benteng ego aku, mengisytiharkan perang dalam diam, membiarkan orang fikir aku alah dalam perang walaupun sebenarnya aku menang.

Ingat, aku ingat kata-kata itu “MENGALAH UNTUK MENANG”

Tetapi aku tidak menjadi manusia lain, manusia tanpa hati dan perasaan kerana bagi aku jika emosi mengatasi rasional, bermakna aku akan kalah dalam peperangan ini.

Dan sekarang aku melalui kembali 8 jam itu,

Dalam sepicing mata, aku sudah tiba. Oh 8 jam itu bukanlah apa-apa bagi aku sekarang.

Ingat, bukan apa-apa pun.

Ada Apa Dengan Kita?


Menonton filem Ada Apa Dengan Cinta kembali. Semuanya selepas aku dan kawan aku berkaraoke lagu Ada Apa Dengan Cinta.

Aku tertangkap dengan kata-kata watak Cikgu Taufik Bagastoro ketika mengumumkan pemenang Lumba Puisi.

“Anak-anak, tujuan Lumba Puisi yang setiap tahun kita adakan adalah agar kita tetap sadar bahawa kita memiliki satu kekayaan yang tidak ternilai harganya iaitu bahasa Indonesia.”

Lalu, aku terkesan. Filem ini mengangkat puisi-puisi Chairil Anwar yang membuatkan ada antara penonton filem itu mencari buku Aku karya Sumanjo ketika terbang ke Indonesia atau gerai buku Indonesia ketika Pesta Buku.

Malah filem AADC menggunakan medium puisi sebagai penggerak cerita serta menganggungkan khazanah terbesar mereka iaitu Bahasa Indonesia. Ayat ini dilayangkan di gegendang telinga semua penonton termasuk kita di Malaysia.

Lalu Ada Apa Dengan Kita? Adakah kita ada filem-filem kita menyatakan kekayaan terbesar kita ialah Bahasa Melayu. Malah kalau mahu berbicara bahasa melayu pun kadang-kadang kita malu sebab tidak standard berbanding dengan fasih berbahasa Inggeris. (aku tidak menolak kepentingan BI di sini). Kalau ada pun sekadar selingan sahaja atau anekdot menambah tawa.

Ada Apa Dengan Kita? Bila kita rasa mahu mewah dengan bahasa kita sendiri? Bila ada filem kita benar-benar mengangkat keindahan bahasa dalam acuan moden? Dahulu aku ada tonton filem Kad Cinta yang membacakan puisi JM Aziz, berkolek bersajak tetapi lewat dewasa ini, sangat jarang. Apa yang aku lihat cerita-cerita biasa yang diberi kosmetik dengan indah.

Aku sering lihat, pertandingan deklamasi puisi sekadar menonjolkan pemenang-pemenang atau deklamator sahaja walaupun sebenarnya sayembara tersebut bertujuan untuk mengangkat keindahan bahasa dan makna puisi tersebut. Kalau kita bertanya pada deklamator-deklamator puisi , apakah mereka benar-benar tahu makna implisif dalam puisi itu dan roh dalamnya? Apakah mereka mengenali tampang si penulis puisi itu? Berapa ramai yang boleh menjawab dengan baik? Aku yakin boleh dikira dengan jari. Ramai deklamator yang memilih untuk membacakan puisi kerana sesuai dengan tone suara atau puisi itu mudah digayakan bukan kerana mesej puisi itu. Kita terlalu dikosmetikkan dengan kemenangan dan rasa mahsyur sehingga kita lupa perkara yang penting di situ iaitu bahasa melayu.

Cukup, aku si Fakir Bahasa yang sekadar cinta pada keindahan bahasa kita, Bahasa Melayu.

Kawan-kawan,

Aku tetap suka penamat AADC kerana konflik itu dileraikan dengan puisi yang ditulis oleh Rangga.

 

Perempuan datang atas nama cinta

Bonda pergi kerna cinta

Digenangi racun jingga dalam wajahmu

Seperti bulan telah tidur dalam hatimu

Yang berdiri kelam dan kedinginan

Ada apa dengannya

Meninggalkan hati untuk dicaci

Lalu kali ini aku lihat dari syurga dalam mata seorang hawa

Ada apa dengan cinta

Tapi aku pasti akan kembali dalam satu purnama

Kerna aku ingin kamu

Itu sahaja

 

 

NotaKakiTangan ; Aku masih berhutang resensi Album Dewangga Sakti. Aish~

Puisi di Malam Keramaian di Pasar Cinta – Merangkul Bahagia


Hari ini hari kasih sayang. Sebetulnya aku tidak pernah hirau tarikh ini. Aku cuma hirau tarikh sebulan dari sekarang. Itu sahaja. Tetapi seorang kawan aku bermuram durja. Dia berlirih-lirih mengajak aku keluar bercanda malam semalam. Aku pun jadi hairan. Mingggu ini musim hormon progesteron sedang mencanak-canak naik ke?

Aku buat penyelidikan serba sedikit dan baru aku tahu rupanya semalam adalah malam hari kasih sayang.

Aneh~ Mengapa mahu merasa tersish dan dipinggirkan. Hari kasih sayang bukanlah apa-apa kalau kamu tidak berteman. Aku rasa, hari kasih sayang tidak perlu ditonjolkan secara berlebihan sehingga yang tidak ada pasangan pun terasa kurang kasih sayang. Aku pun tidak ada pasangan dan aku tidak rasa kurang sebab aku penuhkan dengan kasih sayang dari teman sebilik, kawan-kawan satu kursus yang bisa buat aku ketawa atau aku buat mereka tertawa. Kawan-kawan, single is not crime.

Kawan-kawan,

Jangan terpengaruh dengan provokasi murahan ini atau doktrin yang bertahun-tahun menjarah pemikiran kita. Aku kira media massa harus mengurangkan liputan tentang isu ini, cuba-cuba lah menukarkan tarikh hari kasih sayang ini menjadi satu fenomena yang lain, yang lebih mengikut acuan kita. Buatlah tarikh itu jadi hari memberi coklat seMalaysia ke? Aku rasa kalau pengaruh media itu benar punya kuasa, mereka boleh menyebarkan perkara baru dan dakyah baru sehingga satu negara boleh jatuh percaya. Namun, kalau orang media masih terikut-ikut dengan acuan luar, bukanlah mereka yang menguasai media tetapi medialah yang menguasai mereka.

Jadi, marilah kita merangkul bahagia dengan cara kita.

Lagu tanpa Roh Lirik


Aku sepatutnya menulis tesis tetapi semakin aku dekat dengan tesis semakin aku berserabut dan jadi kacau.

Jiwa jadi tidak tenteram dan hati makin sakit.

Namun, aku sudah hilang keterujaan menulis entri. Kalau aku dihasut dengan nafsu menulis ini aku boleh menghantar entri hampir setiap hari.

Jadi aku harus bermeditasi . Kembali ke pangkal jalan. Mencari diri aku yang hilang.

Semasa aku berjalan-jalan di blog Adi, aku tersagat dengan keperitan dia menulis lirik. Ya, aku fikir penulisan lirik sesebuah lagu biarpun didokong oleh aliran muzik yang bawah tanah atau atas tanah haruslah ada erti dan ada jiwa. Tidak kisah mahu mengangkat lagu puisi, punk, rock & roll mahupun balada dan etnik kreatif sekalipun, liriklah yang mencerminkan roh sebenar lagu tersebut.

Lewat kebelakangan ini, aku dengar banyak lagu-lagu popular tetapi liriknya kosong. Tidak perlu disebutkan beberapa tajuk lagu disini, aku kira pendenagr yang baik boleh menilai lagu yang baik. Kebiasaannya aku akan mudah jatuh cinta dengan lirik sesebuah lagu barulah lagunya. Oleh kerana itu, aku cenderung menyukai lagu puisi seperti Kopratasa, Ebiet G. Ade dan terbaru Sapardi Djoko Damono. Aku pernah membaca ahli kumpulan Kopratasa berkata, lagu puisi haruslah sederhana, tidak boleh berlebihan sehingga lagu menutup makna puisi tersebut. Malangnya lagu-lagu sekarang banyak mengutamakan irama dan muzik tanpa ada jiwa pada liriknya.

Oleh itu kepada Adi, aku harap kau akan dapat menulis 5 lirik lagu itu ya. Semoga berjaya membuang ayat bulan, bintang angin dan awan dalam lirik kau!

Oh ya, ini puisi yang aku tulis bertahun dahulu. Daripada bersawang di dalam laptop, moleklah kiranya aku letakkan di blog sebagai entri baru. Sebetulnya aku tidak tahu dimana mahu hantar sajak sebegini. Di Mastika boleh tak?

BUKAN SI JALANG MALAM


Bukan si jalang malam merenggut tenang

Di carik halus dengan jemari lurus panjang

Satu-satu tenang terbang di arak awan hitam


Tetap bukan si jalang malam

Menghembus nafas puaka dari lurah darah

Himpun sorot dendam paling dalam


Si jalang malam bukan penghimpun dosa

Biarpun namanya terkandung noda

Semuanya ialah tukang topeng-topeng kebinatangan

Ghairah menukangi kisut-kisut calar di wajah

Dengan solek tebal penipuan


AinunL Muaiyanah Sulaiman