Pengkhianat cinta atau Pendusta cinta?


Siapa yang mahu menjadi pengkhianat cinta? Kalau seseorang itu berkasih sejujurnya, pasti dia tidak mahu menjadi pengkhianat cinta. Namun adakalanya kamu yang tidak mahu menjadi pengkhianat cinta tetapi akhirnya kamu memilih menjadi pendusta cinta. Lalu siapa yang lebih teruk si pengkhianat cinta atau pendusta cinta?

Aku menemui watak-watak ini dalam hidup aku. Mereka yang tidak mahu dituduh menjadi pengkhianat cinta yang kemudiannya menjadi pendusta cinta. Mereka bermula menjadi pemuja cinta. Berhari-hari hidup dalam khayal dan bunga-bunga ria. Dalam diari harian, pasti tertulis nama si pria atau si perawan. Hidup sedetik tanpa mengungkapkan namanya seperti tidak lengkap bagai lagu tanpa irama. Rasanya kalau disuruhnya menyebut nama kecintaannya setiap minit pun ada yang sanggup.

Namun suatu hari, mereka ini bangun dari tidur dan mereka rasa pawana telah membawa rasa cinta pergi. Kali ini mereka tidak memandang wajah si dia dengan perasaan yang sama. Malah mereka ini telah memandang orang lain dengan perasaan yang lebih dari si dia. Masa telah membawa kecintaannya pergi. Masa dituduh menyebabkan rasa cinta yang pudar dan tidak semanis dahulu lagi. Mungkin hormon kimiawi cinta yang dirembeskan oleh kalenjar pituari telah semakin susut dan tidak melonjakkan perasaan girang. Segala macam teori punca-punca cinta pudar bermain-main di fikiran. Malah hati seakan kosong walaupun si dia ada di depan mata.

Sayangnya, mereka ini memilih berdiam daripada berkata benar. Mereka tidak mahu dituduh sebagai pengkhianat cinta. Mereka tidak mahu dikatakan punca perpisahan. Mereka tidak mahu dikritik kawan-kawan dan masyarakat bahawa mereka golongan pengkhianat cinta. Mereka mula bersikap dingin. Mereka berdikit-dikit memadam rutin hariannya. Mungkin hari ini mereka sengaja lupa menghubungi si dia ataupun tidak membalas pesanan ringkasnya. Mereka mencabar sabar si dia. Mereka menguji takah kemarahan si dia. Mereka menunggu si dia yang melafazkan kata putus dan pisah akbibat tidak tahan dengan sikap endah tak endah. Mudahlah mereka menuduh si dia yang berubah dan mengharap apa-apa yang tidak mampu mereka sediakan.

Malangnya, sabar si dia bukannya sesaga sahaja. Si dia masih bertahan dan selalu tersenyum. Bagaimana kalau si dia menganggap itu duga dan ujian dalam bercinta ataupun si dia juga punya fikiran seperti mereka? Tidak mahu dianggap si pengkhianat cinta? Lalu bagaimana hujung hubungan kamu-kamu ini? Kamu-kamu cuba bertahan? Sampai bila?

Bayangkan suatu hari nanti, kamu-kamu saling bertanya, sejauh mana cinta kamu pada pasangan kamu dan kamu menjawab kamu masih sayang dan cinta padanya. Maka jadilah kamu pendusta cinta. Mengada-adakan cinta meskipun cinta sudah tidak ada. Menjadikan cinta itu kehilangan makna.


Berdirilah dan berkata benar wahai kawan-kawanku. Berkatalah dengan segala keberanian yang pernah wujud dalam hidup kamu. Katakan bahawa hatimu telah hilang rasa cinta. Mengakulah itu salah kamu tidak membendung cinta dari pergi. Mengaku salah bukan bererti kamu kalah. Sebaliknya itu satu kemenangan untuk diri kamu. Kemenangan menegakkan kebenaran untuk hati kamu. Bebaskan diri kamu.

Tidak mengapa kawan-kawanku kamu menjadi pengkhianat cinta. Kamu sekadar mengkhianati cinta bukan mengkhianati diri sendiri dan orang lain. Kamu tidak membiarkan kemunafikan menjalar dalam jiwa kamu.

Percayalah, sampai bila kamu boleh berdusta? Lidah pun bisa tergelincir kata dan mengkhianati kamu juga suatu hari nanti. Ketika itu kamu bukan sahaja dituduh mengkhianati, malah menjadi pendusta juga.


Notakakitangan : Aku rasa semakin hari entri aku berbau cinta. Aish~. Nasib baik belum ada sesiapa yang berani email masalah cinta padaku.  “Mama, mama tolonglah aku yang sedang bingung, kurasakan virus-virus cinta, ku butuh doktor cinta.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s