Lagu tanpa Roh Lirik


Aku sepatutnya menulis tesis tetapi semakin aku dekat dengan tesis semakin aku berserabut dan jadi kacau.

Jiwa jadi tidak tenteram dan hati makin sakit.

Namun, aku sudah hilang keterujaan menulis entri. Kalau aku dihasut dengan nafsu menulis ini aku boleh menghantar entri hampir setiap hari.

Jadi aku harus bermeditasi . Kembali ke pangkal jalan. Mencari diri aku yang hilang.

Semasa aku berjalan-jalan di blog Adi, aku tersagat dengan keperitan dia menulis lirik. Ya, aku fikir penulisan lirik sesebuah lagu biarpun didokong oleh aliran muzik yang bawah tanah atau atas tanah haruslah ada erti dan ada jiwa. Tidak kisah mahu mengangkat lagu puisi, punk, rock & roll mahupun balada dan etnik kreatif sekalipun, liriklah yang mencerminkan roh sebenar lagu tersebut.

Lewat kebelakangan ini, aku dengar banyak lagu-lagu popular tetapi liriknya kosong. Tidak perlu disebutkan beberapa tajuk lagu disini, aku kira pendenagr yang baik boleh menilai lagu yang baik. Kebiasaannya aku akan mudah jatuh cinta dengan lirik sesebuah lagu barulah lagunya. Oleh kerana itu, aku cenderung menyukai lagu puisi seperti Kopratasa, Ebiet G. Ade dan terbaru Sapardi Djoko Damono. Aku pernah membaca ahli kumpulan Kopratasa berkata, lagu puisi haruslah sederhana, tidak boleh berlebihan sehingga lagu menutup makna puisi tersebut. Malangnya lagu-lagu sekarang banyak mengutamakan irama dan muzik tanpa ada jiwa pada liriknya.

Oleh itu kepada Adi, aku harap kau akan dapat menulis 5 lirik lagu itu ya. Semoga berjaya membuang ayat bulan, bintang angin dan awan dalam lirik kau!

Oh ya, ini puisi yang aku tulis bertahun dahulu. Daripada bersawang di dalam laptop, moleklah kiranya aku letakkan di blog sebagai entri baru. Sebetulnya aku tidak tahu dimana mahu hantar sajak sebegini. Di Mastika boleh tak?

BUKAN SI JALANG MALAM


Bukan si jalang malam merenggut tenang

Di carik halus dengan jemari lurus panjang

Satu-satu tenang terbang di arak awan hitam


Tetap bukan si jalang malam

Menghembus nafas puaka dari lurah darah

Himpun sorot dendam paling dalam


Si jalang malam bukan penghimpun dosa

Biarpun namanya terkandung noda

Semuanya ialah tukang topeng-topeng kebinatangan

Ghairah menukangi kisut-kisut calar di wajah

Dengan solek tebal penipuan


AinunL Muaiyanah Sulaiman