Ada Apa Dengan Kita?


Menonton filem Ada Apa Dengan Cinta kembali. Semuanya selepas aku dan kawan aku berkaraoke lagu Ada Apa Dengan Cinta.

Aku tertangkap dengan kata-kata watak Cikgu Taufik Bagastoro ketika mengumumkan pemenang Lumba Puisi.

“Anak-anak, tujuan Lumba Puisi yang setiap tahun kita adakan adalah agar kita tetap sadar bahawa kita memiliki satu kekayaan yang tidak ternilai harganya iaitu bahasa Indonesia.”

Lalu, aku terkesan. Filem ini mengangkat puisi-puisi Chairil Anwar yang membuatkan ada antara penonton filem itu mencari buku Aku karya Sumanjo ketika terbang ke Indonesia atau gerai buku Indonesia ketika Pesta Buku.

Malah filem AADC menggunakan medium puisi sebagai penggerak cerita serta menganggungkan khazanah terbesar mereka iaitu Bahasa Indonesia. Ayat ini dilayangkan di gegendang telinga semua penonton termasuk kita di Malaysia.

Lalu Ada Apa Dengan Kita? Adakah kita ada filem-filem kita menyatakan kekayaan terbesar kita ialah Bahasa Melayu. Malah kalau mahu berbicara bahasa melayu pun kadang-kadang kita malu sebab tidak standard berbanding dengan fasih berbahasa Inggeris. (aku tidak menolak kepentingan BI di sini). Kalau ada pun sekadar selingan sahaja atau anekdot menambah tawa.

Ada Apa Dengan Kita? Bila kita rasa mahu mewah dengan bahasa kita sendiri? Bila ada filem kita benar-benar mengangkat keindahan bahasa dalam acuan moden? Dahulu aku ada tonton filem Kad Cinta yang membacakan puisi JM Aziz, berkolek bersajak tetapi lewat dewasa ini, sangat jarang. Apa yang aku lihat cerita-cerita biasa yang diberi kosmetik dengan indah.

Aku sering lihat, pertandingan deklamasi puisi sekadar menonjolkan pemenang-pemenang atau deklamator sahaja walaupun sebenarnya sayembara tersebut bertujuan untuk mengangkat keindahan bahasa dan makna puisi tersebut. Kalau kita bertanya pada deklamator-deklamator puisi , apakah mereka benar-benar tahu makna implisif dalam puisi itu dan roh dalamnya? Apakah mereka mengenali tampang si penulis puisi itu? Berapa ramai yang boleh menjawab dengan baik? Aku yakin boleh dikira dengan jari. Ramai deklamator yang memilih untuk membacakan puisi kerana sesuai dengan tone suara atau puisi itu mudah digayakan bukan kerana mesej puisi itu. Kita terlalu dikosmetikkan dengan kemenangan dan rasa mahsyur sehingga kita lupa perkara yang penting di situ iaitu bahasa melayu.

Cukup, aku si Fakir Bahasa yang sekadar cinta pada keindahan bahasa kita, Bahasa Melayu.

Kawan-kawan,

Aku tetap suka penamat AADC kerana konflik itu dileraikan dengan puisi yang ditulis oleh Rangga.

 

Perempuan datang atas nama cinta

Bonda pergi kerna cinta

Digenangi racun jingga dalam wajahmu

Seperti bulan telah tidur dalam hatimu

Yang berdiri kelam dan kedinginan

Ada apa dengannya

Meninggalkan hati untuk dicaci

Lalu kali ini aku lihat dari syurga dalam mata seorang hawa

Ada apa dengan cinta

Tapi aku pasti akan kembali dalam satu purnama

Kerna aku ingin kamu

Itu sahaja

 

 

NotaKakiTangan ; Aku masih berhutang resensi Album Dewangga Sakti. Aish~