Cara menangani Mabuk Buku


 

Siapa mahu buku ini? Angkat tangan!

Siapa mahu buku ini? Angkat tangan!

Bagaimana kalau kamu pergi perpustakaan kemudian kamu terjumpa buku lama yang bertahun-tahun anda idamkan? Malah buku itu sudah tidak diterbitkan lagi oleh mana-mana penerbitan.?

Kamu teruja? Kamu ingin memilikinya? Kamu mula mengambil buku itu dan membukanya. Ah bau aroma buku lama itu memabukkan kamu. Tulisannya yang sedikit kabur dan ada bahagian yang dimakan anai-anai itu pun sudah membuatkan kamu tanpa sabar meratah setiap kata dan ilmu dalam buku tersebut. Bagaimana kamu tidak sedar ada buku-buku lama tersesat di perpustakaan kampung kamu itu?

Aku tanyakan pada kamu? Benar kamu mahu memiliki buku itu? Buku yang layaknya dimasukkan dalam kutub khanah khazanah harta ilmu sedunia itu sememangnya membuatkan kamu dirasuk syaitan barangkali.

Aneh~ buku itu orang tidak pernah hirau pun. Entah-entah kalau kamu bertanya pada cik pustakawati itu, belum tentu dia boleh menjawab lokasi buku itu dengan baik, entah-entah dia tidak sedar pun kewujudan buku itu. Namun kamu bukan golongan remeh temeh sebegitu kan?

Mari, aku ajarkan kamu cara-cara mengatasi pesona dan rasukan buku lama berkulit kuning kusam itu kepada kamu. Ayuh pelajari caraku ini supaya kamu tidak terus mabuk teruja.

Mula-mula kamu senyum pada Cik Pustakawati itu, katakan kamu mahu pinjam buku tersebut. Cik Pustakawati yang rupawan itu tentu sahaja senang hati mengambil kad pinjaman yang diselit dalam kantung coklat kecil di muka pertama buku tersebut. Kemudian dia akan cap tarikh pemulangan di kertas putih bergaris yang kosong tanpa warna biru.

Ayuh, pulang ke rumah. Nikmati buku itu. Ratah maklumatnya. Kemudian balut buku itu dengan kertas plastik yang bermutu tinggi dan selitkan di antara khazanah buku-buku yang banyak dalam rak kamu.

Selang seminggu, kamu datang dengan muka pahit. Ingat, jangan senyum langsung biarpun Cik Pustakawati itu rupawan dan senyumannya manis bergula. Mengerti?

“Buku yang saya pinjam itu hilang. Berapa harganya, biar saya bayar ganti rugi.”

Muka kena sedih, senyuman mesti pahit, kalau kamu boleh menangis pun lagilah tambah kredit.

Cik Pustakawati itu akan menyatakan harga ganti rugi buku terbabit. Kamu bayar sahaja berapa juga jumlah amaunnya. Kemudian kamu keluar dan kali ini baru kamu boleh tersenyum manis. Kamu juga boleh menjerit kegirangan tapi ingat pastikan jarak dengan perpustakaan itu sejauh beratus meter.


Selamat menjadi tuan milik buku itu ya~

 

 

 

Notakakitangan : Kalau orang tanya mana kamu dapat info ini, jangan kata dari blog ini. Sila padamkan ingatan anda tentang penulisnya. Aku tidak mahu dituduh menyebar info mengarut. Heh~