Eh Lelaki : Sila berdiri dan katakan jawapan kamu dengan berani


Mengapa mahu mengatakan orang lain yang salah dalam perhubungan itu jika kamu sendiri masih ragu-ragu? Kamu yang tidak dapat memberi jawapan untuk hati kamu sendiri? Anehnya kamu mahu bertanya nilai kasih sayang seseorang yang terus terang menyayangi kamu tanpa perlu sebab.

Suatu malam, seorang lelaki menghubungi aku. Sebetulnya dia bukan kenalan aku tetapi akibat sikap syarikat telekomunikasi Celcom yang mengitar-semula nombor yang telah tamat tempoh, maka kami sudah berbual dua-tiga kali di dalam talian. Awalnya dia bertanya khabar kemudian perbualan kami mengalur ke arah peribadi. Dia bertanya kepada aku dalam nada suaranya yang tertahan-tahan.

“Yana, awak pernah bercinta atau sekarang ada sudah ada yang punya?”

Aku senyum walaupun senyuman itu tidak terlihat olehnya.

“Tidak, saya tidak pernah bercinta dan sekarang ini masih belum berpunya. Mengapa?”

Aku mula mencucuk jarum provokasi. Aku tahu ada sesak sedang memenuhi benaknya.

“Jadi, awak ini tiada pengalaman bercinta lah. Urm…”

Ayatnya terputus-putus dan ketika itu aku tertawa kecil dan membalas.

“Jangan risau biarpun saya tiada pengalaman bercinta tetapi saya boleh memberi khidmat kaunseling cinta terbaik di Malaysia. Lalu mengapa?”

Dia menghelakan nafas dan mula membuka cerita. Sebetulnya bukan dia mahu melamar aku menjadi kekasihnya tetapi dia mahu pandangan dari seorang perempuan untuk masalahnya. Aku mendengar dengan tekun dan kadang kala tersenyum kecil.

Katanya

Saya punya seorang kekasih. Bercinta 5 tahun dari bangku sekolah namun kami tidak seperti orang lain. Kami jarang berjumpa, jarang berhubung, jarang berpesanan ringkas. Masalahnya saya tidak tahu sama ada dia mahu menunggu saya lagi atau tidak? Pengajian saya lagi 1 tahun setengah. Dia sudah bekerja dan punya kereta. Tetapi saya belum ada apa-apa. Saya tidak tahu sama ada dia masih menyayangi saya lagi atau tidak. Saya fikir saya hendak jumpa dia dan bertanya apakah dia masih lagi menyayangi saya? Sekarang ini kalau saya call , lama berdering baru dia angkat. Tidak macam selalu.

Aku menjawab

Sebenarnya bukanlah isu sama ada dia masih menyayangi kamu atau tidak, sebaliknya isu yang paling penting perlu diselesaikan ialah diri kamu. Kamu menghadapi isu komitmen yang mana hampir semua lelaki pada umur kamu hadapi. Kamu takut dengan komitmen. Kamu sebenar tidak bersedia untuk manjalinkan hubungan yang serius tetapi kamu mahu seseorang mengambil berat tentang kamu. Kamu takut untuk menjalinkan hubungan yang akhirnya ialah perkahwinan. Seharusnya kamu bertanya pada diri, apakah kamu tidak akan memandang perempuan lain dengan perasaan yang sama kamu memandangnya? Nah, kalau begitu, benarlah kamu menyayangi dia dan nyahkan rasa takut pada komitmen itu. Lalu mengapa membiarkan dia menanti dan menyalahkan dia dengan pertanyaan “Apakah awak masih menyayangi saya.”

Berdiri di hadapannya dan katakan dengan berani, kamu punya masa pengajian yang masih bersisa dan selepas itu kamu mahu mencari pekerjaan yang stabil untuk menyara keluarga. Kamu cuma perlukan masa. Ikat hubungan kamu dengan perasaan dan tanggungjawab. Ajarkan dia tentang janji setia dan kepercayaan. Tegaskan di hadapannya bahawa kamu menyayanginya. Apalah yang perempuan mahukan selain daripada kenyataan kesetiaan dan kasih sayang? Jangan biarkan dia tertanya status dirinya dalam hati kamu. Dia sebetulnya khuatir apakah kamu masih lagi mahu padanya dengan sikap kamu yang adakalanya sedikit dingin dan irit untuk menghubunginya. Lalu dia sedang bermain tarik tali untuk menguji perasaan kamu. Itu sahaja.

Akhirnya, belajar mencintainya dengan sederhana dan serahkan segalanya kepada Tuhan. Lalu apa yang perlu kamu resahkan di sini?

Kawan aku menghelakan nafas lega dan aku dapat terdengar suaranya yang seakan tersenyum riang. Dia mengakui benar kataku dia khuatir pada komitmen. Akhir bicaranya


“Yana, terima kasih. Bercakap dengan awak melapangkan dada saya.”


Aku hanya tertawa. Benarkah?


Notakakitangan : Sebetulnya aku mereka-reka teori cinta itu sendiri. Teori yang aku perolehi dari pemerhatian terhadap kisah cinta kawan-kawan aku. Bukanlah aku ini penasihat kaunseling cinta yang pakar sebenarnya. Jadi, selepas ini jangan ada email pada aku dan berkata “Nama saya B. Saya bertemu dengan A dua tahun lalu. Kami kini sedang bahagia melayari alam cinta. Namun dia seakan berubah. Apa perlu saya lakukan….. Jejaka Bingung”. Mengerti?