Dr, Apakah lagu terbaik untuk mengubati penyakit saya?


Suatu hari, aku berjumpa dengan pakar kaunseling terbaik dari yang terbaik untuk menyelesaikan masalah aku.

Aku katakan padanya bahawa aku menghadapi masalah untuk menulis tesis tahun akhir. Bukan masalah logistik atau apa-apa. Tetapi setiap kali aku buka komputer riba untuk menulis tesis, aku akan digoda-goda untuk menulis puisi, cerpen dan entri. Menambahkan keparahan apabila lagu-lagu yang sering menemani aku waktu dinihari tidak memberi semangat untuk menulis tesis sebaliknya menyitir idea untuk menaip perkara lain selain daripada tesis.

Lalu doktor menyediakan preskripsi ubat untuk aku. Katanya masalah aku ini berat dan mungkin akan menyebabkan perkara-perkara yang aku akan menyesal seumur hidup. Lalu pakar kaunseling yang bertaraf doktor itu menyenaraikan lagu-lagu yang diharamkan untuk aku dengar semasa aku menulis tesis.

Ini merupakan lagu-lagu yang dikategorikan haram untuk aku dengar semasa menulis tesis tahun akhir

Ebiet G. Ade

Kopratasa

Musikalisasisi Sapardi Djoko Damono

Mohram

Harmoni

Zubir Ali

Bila kategori haram maknanya aku tidak boleh berkompromi langsung. Aku tidak boleh memasang, mendengar atau menyelitkan di dalam senarai lagu-lagu yang boleh didengari semasa menulis tesis pada waktu dinihari. Jikalau aku mendengarnya maka nescayalah tesis aku jadi terbengkalai sehingga menjadi bangkai yang tidak boleh ditutup dengan nyiru lagi. Aku akan jadi sesat dan menyimpang jauh dari tujuan asal.

Lalu, aku bertanya pada doktor itu apakah jenis-jenis lagu yang boleh aku dengari untuk memberi semangat aku menulis tesis yang aku benci segenap jiwaku

Doktor itu tersenyum dan berkata

.

.


“SOUL SAVIOR – Hidup Berantakan”

Aku terkebil-kebil dan mataku membuntang.


Advertisements

GIE : Puisi Cahaya Bulan


Sebelum aku tonton filem GIE, aku sudah mesra dengan runut bunyi dari filem tersebut dan puisi ini yang pertama menghambat hatiku dan merompak hati aku pergi.

 

Akhirnya semua akan tiba

Pada suatu hari yang biasa

Pada suatu ketika yang telah lama kita ketahui

 

Apakah kau masih berbicara selembut dahulu

Memintaku minum susu dan tidur lelap

Sambil membenarkan letak leher kemejaku

 

Kabut tipis pun turun pelan-pelan

Di lembah kasih, lembah mandalawangi

Kau dan aku tegak berdiri

Melihat hutan-hutan yang menjadi suram

Meresapi belaian angin yang menjadi dingin

 

Apakah kau masih membelaiku semesra dahulu

Ketika kudekap kau

Dekaplah lebih mesra, lebih dekat

 

Apakah kau masih akan berkata

Kudengar derap jantungmu

Kita begitu berbeda dalam semua

Kecuali dalam cinta

Kalau ada yang menjejak blog ini setahun dahulu, pasti akan terperasaan aku meletakkan 2 baris terakhir puisi ini dalam laman DALAM DIRIKU

“Benarkah kita begitu berbeda dalam semua kecuali dalam cinta?”

 

 

Benarkan?

 

 

 

P/S : Suara Nicholas semasa membaca puisi ini telah membawa hati aku pergi sebelum sempat aku menyitanya. Aduh~


Belajar Menulis Puisi


Kalau ada orang bertanya aku bagaimana menulis puisi, jujur aku katakan aku tidak tahu.

Tetapi

Aku boleh ajarkan satu tips

 

 

Belajar membenci sesuatu. Kebencian bagaikan roh lain yang akan merasuk kamu dan membuatkan kamu boleh menyusun ayat yang indah. Ayat yang membunuh.

Sebaliknya, kesukaan dan kesedihan akan membuatkan kau tidak berpijak pada realiti. Bahasa kau menjadi longgar dan kaku. Kamu akan mengulang-ulang ayat yang sama, nada yang sama tanpa rasa jemu kerana kau dibius oleh kegembiraan dan kesedihan.

Ingat, tidak payah sedih-sedih. Terus sahaja benci. Kebencian boleh melahirkan kata-kata nan indah.

Kalau kau memilih kesedihan, nanti tidak semena-mena ada yang menyapa kau dengan panggilan EMO atau EMOSIONAL.

 

 

Notakakitangan : Oh, ini tips mengarut. Aku hilang mood menulis. Rasanya perlu bertapa di Gua Cha dahulu.

Earth Hour


Kawan-kawan,

Boleh aku pinjam sedikit waktu?

Untuk kamu menyisipkan ingatan ini dalam jadual harian kamu

Atau mungkin untuk kamu menjadi manusia pengingat.


Kawan, ini acara tiap tahun. Namun mungkin kamu tidak tahu. Tidak mengapa. Nasib baik tahun ini acara ini dapat sokongan media. Hebahan dibuat dari corong ke corong dan sekarang seolah-olah satu Malaysia tahu hal ini bukan?

Ini bumi kita tempat tinggal kita. Sungguhpun kita bersikap tidak peduli tetapi kita peduli juga dalam tidak sedar. Bila kita merungut panas, bila kita merungut musim yang tidak menentu sebenarnya kita menjadi peduli. Lalu, aku dengan rasa rendah hati menyeru pembaca blog ini dan kawan-kawan diluar sana agar menyokong kempen Earth Hour.

Caranya sangat enteng.

Pada 28 Mac, tepat 8 malam, di mana sahaja anda berada sila padamkan lampu dan kalau boleh setiap penggunaan suis elektrik (jangan pula suis peti sejuk dimatikan). Kita bergelap selama sejam. Hanya sejam sahaja kawan. Kita sokong kempen ini. Usaha ini biarpun kecil pada kita, ada kemungkinan besar maknanya untuk orang lain diluar sana.

Walupun baru memasuki tahun ke 3, namun kempen ini sudah dikira berjaya. Tahun lepas aku padamkan lampu dan menyendiri dalam gelap dan aku seorang sahaja yang buat begitu dalam rumah aku.Tahun ini ramai kawan-kawan aku mahu menjayakan kempen ini bersama.

Kamu pula bagaimana?

Kalau pintu kesedaran sudah terbuka, jangan segan-segan mahu klik di sini dan mendaftar sebagai tanda sokongan kamu semua.

Tolong aku cari ADI – MASKARA 5


Maskara 5
Maskara 5

Ini poster MASKARA 5. Aku pergi ke acara ini satu tahun setengah yang lalu. Ketika itu cuti semester dan aku rasa musim itu musim yang menggembirakan. Menghadiri malam penutup MPR07,esoknya ke Maskara 5 (Malam untuk Perempuan) dan seterusnya ke majlis seorang kawan yang aku sudah lupa namanya.

Sekarang acara ini sudah sampai MASKARA 13. Aku cuma mampu hadir ke MASKARA 5 sahaja tetapi sampai sekarang aku paling ingat satu perkara.

Aku disihir oleh satu puisi yang dibacakan oleh ADI. Aku tidak tahu siapa dia. Aku sekadar tahu dia kawan kepada salah seorang pembaca puisi pada malam itu juga namanya MAWK. Info yang aku dapat, dia sekarang sudah terbang ke Berlin untuk menyambung pengajian dalam kesusateraan Inggeris

Puisinya ringkas tetapi pemilihan katanya membuatkan maknanya sangat dalam. Pertama kali bila ADI meluncurkan suaranya, aku sudah disihir sehingga aku terlupa untuk merakam persembahannya. Aku terdiam sehingga bait kata terakhirnya. Bagaimana dia boleh menukangi puisi yang sederhana tetapi maknanya besar itu. Tajuk puisi itu ialah SYUKUR.

Aku cari puisinya itu di mana-mana blog yang menulis ulasan MASKARA 5 tetapi hampa. Oleh itu sesiapa yang membaca entri ini, dan tahu siapa ADI yang aku maksudkan dan tahu puisinya atau menyimpan rakaman video pada malam MASKARA 5, silalah hubungi aku ya. Minta tolong sungguh-sungguh ini.

Aish~ adakah aku perlu menunggu 7 tahun lagi untuk membaca kembali puisinya atau bertemu dengannya?

Ini ADI


P/S : tiba-tiba blog aku menjadi blog menjejak kasih pula. Hehe.

Kredit gambar : Blog Lanraga

Ketakutan!


Kawan,

Kamu tahu apakah ketakutan yang paling harus ditakuti?

Ketakutan itu ialah apabila kau sudah hilang rasa takut dan tidak takutkan apa-apa lagi.

 

 

Ketika ini, aku berdepan dengan ketakutan itu. Aku tidak merasa takut. Aku hadapi risikonya dengan tenang dan dengan wajah tanpa salah

 

Kawan,

Sila nasihatkan aku agar berasa takut. Tolonglah nasihatkan aku sekarang.

 

Tolonglah!

Puisi Dua Minit Sebelum Subuh di URTV


Ingat puisi Dua Minit Sebelum Malam?

Apabila aku tulis puisi itu disini, ada kawan lama aku beri cabaran buat puisi Palestin. Jujur, aku tiada idea langsung sebab aku tidak pandai tulis puisi Palestin lalu aku ubahsuai puisi Dua Minit Sebelum Malam menjadi Dua Minit Sebelum Subuh.

Kemudian, aku hantar ke satu penerbitan dan karya itu tersiar pada hari ini.

Kalau sesiapa rajin, bolehlah beli URTV edisi 741 (15 Mac-31 Mac 2009). Gambar muka hadapannya Dafi dan Diana Danielle.


Fuh sudah 4 karya, 2 puisi dan 2 cerpen. Rasanya aku ada bilang di blog ini, aku hanya letakkan target aku hanyalah 5 karya sahaja untuk tahun ini sebab aku culas menghantar karya dan karya yang tersiar hanyalah setahun satu sahaja pada tahun-tahun sudah.

Terima kasih pada Syahidah kerana memberi cabaran tersebut kepada aku.

1 karya lagi kawan-kawan, hanya 1 karya lagi.


Aku rasa nafas aku tersekat-sekat.

Hehe.;)