Cerpen Tanyalah Pada Jiwa di majalah FOKUS SPM


Baru semalam aku menulis menyatakan bahawa cerpen Hati Milik Nur tersiar di Mingguan Wanita. Namun hari ini ketika aku pergi kedai yang biasa menjual majalah di depan hostel, aku membelek majalah FOKUS SPM dan aku terlihat namaku di bahagian cerpen.

Wah karya yang aku hantar bulan lalu telah tersiar. Cerpen itu bertajuk Tanyalah Pada Jiwa. Cerpen ini juga antara cerpen yang terperap bertahun-tahun lamanya dalam simpanan. Cerpen ini sederhana sahaja. Kisah pelajar yang keliru dengan pilihannya. Itu sahaja. Aku tidak terlalu bermain dengan bahasa atau jalan cerita yang kompleks seperti Mencari Qudwah.

Terima kasih Puan Shahriza Sidin, editor majalah Fokus SPM kerana menyiarkan cerpen tersebut. Puan Shahriza ada mengirimkan email kepada aku dan mengatakan akan mempertimbangkan cerpen tersebut untuk disiarkan.

Tahun ini sudah ada 3 karya yang disiarkan. Matlamat aku pada tahun ini sekurang-kurangnya 5 karya. Tinggal lagi 2 sahaja. Alhamdulillah. Azam tahun ini yang mahu serang media sekurang-kurangnya tercapai juga.