Dr, Apakah lagu terbaik untuk mengubati penyakit saya?


Suatu hari, aku berjumpa dengan pakar kaunseling terbaik dari yang terbaik untuk menyelesaikan masalah aku.

Aku katakan padanya bahawa aku menghadapi masalah untuk menulis tesis tahun akhir. Bukan masalah logistik atau apa-apa. Tetapi setiap kali aku buka komputer riba untuk menulis tesis, aku akan digoda-goda untuk menulis puisi, cerpen dan entri. Menambahkan keparahan apabila lagu-lagu yang sering menemani aku waktu dinihari tidak memberi semangat untuk menulis tesis sebaliknya menyitir idea untuk menaip perkara lain selain daripada tesis.

Lalu doktor menyediakan preskripsi ubat untuk aku. Katanya masalah aku ini berat dan mungkin akan menyebabkan perkara-perkara yang aku akan menyesal seumur hidup. Lalu pakar kaunseling yang bertaraf doktor itu menyenaraikan lagu-lagu yang diharamkan untuk aku dengar semasa aku menulis tesis.

Ini merupakan lagu-lagu yang dikategorikan haram untuk aku dengar semasa menulis tesis tahun akhir

Ebiet G. Ade

Kopratasa

Musikalisasisi Sapardi Djoko Damono

Mohram

Harmoni

Zubir Ali

Bila kategori haram maknanya aku tidak boleh berkompromi langsung. Aku tidak boleh memasang, mendengar atau menyelitkan di dalam senarai lagu-lagu yang boleh didengari semasa menulis tesis pada waktu dinihari. Jikalau aku mendengarnya maka nescayalah tesis aku jadi terbengkalai sehingga menjadi bangkai yang tidak boleh ditutup dengan nyiru lagi. Aku akan jadi sesat dan menyimpang jauh dari tujuan asal.

Lalu, aku bertanya pada doktor itu apakah jenis-jenis lagu yang boleh aku dengari untuk memberi semangat aku menulis tesis yang aku benci segenap jiwaku

Doktor itu tersenyum dan berkata

.

.


“SOUL SAVIOR – Hidup Berantakan”

Aku terkebil-kebil dan mataku membuntang.