2753 Langkah


Aku berjalan 2753 langkah

Sepanjang langkah tersebut aku menangis

Aku menangis mengenai diri aku, tentang aku.

 

 

 

 

 

Bila aku hitung, rupanya sudah lama aku tidak menangis untuk diri sendiri. Bertahun-tahun lamanya

Selama ini aku menangis untuk orang lain atau perkara lain.

Tadi aku menangis untuk diri sendiri. Untuk diri sendiri.

 

 

.

.

.

Sampai bila kita mampu tersenyum sahaja? Kan?


 

Belajar bersyukur


Kawan,

Jika kamu fikir dugaan yang menimpa kamu itu maha hebat , maha berat sehingga tidak mampu kamu menanggungnya, percayalah ada yang lebih teruk diberi dugaan dalam hidupnya.

Ya, kita juga harus percaya tidaklah kita diduga melainkan kita boleh menempuhnya.

Bagaimanapun kamu menuduh dunia kejam dengan kamu dan kamu merintih-rintih dan berlara begini? Walhal ada yang diduga lebih berat dari penanggungan kamu dan masih boleh tersenyum dan mengucapkan syukur.

Kalau kamu kata kamu diberi pilihan yang tidak wajar. Pilihan yang kamu tidak mahu dan kamu merasakan pilihan yang lagi satu itu lebih baik, percayalah itu hanya hasutan nafsu dan segalanya dusta belaka. Bagaimana kamu boleh menentukan mana lebih bahagia untuk kamu sedangkan melihat masa depan pun kamu tidak tahu. Anehnya kamu. Sering ingin mengapai bulan dan menginjak rumput dibumi. Cuba sesekali kamu berbaring dan merasa lembutnya rumput-rumput mengapung badan kamu melihat bulan yang angkuh dan tidak peduli itu.

Kawan,

Belajarlah mengucapkan syukur. Kerana dalam syukur itu ada kegembiraan dan kebahagiaan yang kamu tidak tahu bentuknya.


Notakakitangan : Yana, bila kali terakhir kamu mengucapkan syukur?

Tag dari Adi


 
 

Adi tag aku di mukabuku. Sebenarnya aku culas buat tag tetapi aku lihat blog aku sudah bersarang seminggu, maka tag ini buat hilang rindu. Aku hilang mood menulis walhal banyak perkara yang aku perlu tulis di blog ini seperti resensi novel Maryamah Karpov yang telah aku baca atau ulasan filem Laskar Pelangi atau pengalaman aku ke pesta buku. Namun Tuhan tarik balik nikmat menulis pada aku. Untuk menyusun aksara dan menterjemahankan makna yang aku rasa pun payah amat sekarang. Aku fikir Tuhan mahu beri aku ruang waktu untuk lebih banyak berfikir.

Aku rasa begitulah. (senyum sedikit yana)

YOU HAVE TO ANSWER THE FOLLOWING USING SONGS BY ONLY ONE BAND/ARTIST.
1 song title per question, no repeats.

Pick a band/artist:
Ebiet G. Ade

1. Are you a male or female:
Gadis Remang-Remang

2. Describe yourself:
Nyanyian Pendek Buat Anak Gadis Berambut Panjang

3. How do you feel about yourself:
Hidup II

4. Describe your ex boyfriend/girlfriend:
Seberkas Cinta Yang Sirna

5. Describe your current boy/girl situation:
Dua Minit Ini Misteri

6. Describe your current location:
Jakarta 1

7. Describe where you want to be:
Berjalan di Hutan Cemara

8. Your best friend is:
Dia Lelaki Ilham dari Syurga

9. Your favorite color is:
Bias Warna

10. You know that:
Masih Ada Waktu

11. What’s the weather like:
Dimanakah Matahariku?

12. If your life was a television show what would it be called?
Potret Hitam Putih

13. What is life to you:
Untuk Kita Renungkan

14. What is the best advice you have to give:
Kita Hanya Bidak-Bidak Catur

15. If you could change your name what would you change it to:
Camellia

16. What will you re-post this note as?
Berita Kepada Kawan

Ayuh, Kita Bercanda


Jika kamu ketandusan idea untuk memilh tempat berkencan dan bercanda bersama teman tersayang atau orang yang tersayang

Atau kamu sudah bosan kelintar ke semua pusat membeli belah sehingga tidak tahu pojok mana lagi mahu kamu melepak.

Atau teman kamu sudah merungut tiada lagi tayangan cerita yang menarik minat di panggung selepas tayangan Talentime berakhir.

Aduh, kamu sudah runsing mahu memenuhi minat teman kamu (kamu meminatinya) yang pelik dan aneh. Walhal kamu ingin mendampinginya secara serius.

Atau kamu tidak tahu apa lagi yang boleh menarik perhatian si dia yang gemar duduk sahaja di rumah ketika hujung minggu.

 

Ayuh, langsaikan semua kesulitan, kerungsingan, kebosanan kamu, si dia tersayang dan teman-teman ke PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR di PWTC. Lihatlah bagaimana rakyat Malaysia menjadi gila ingin memiliki buku seperti di musim jualan runtuh di Sogo. Hiruplah bau buku yang memabukkan dan biarkan aksara-aksara berwarna warni ini menjungkarbalikkan diri kamu.

Siapa kata rakyat Malaysia ini culas membaca. Kalau berjalan ke pesta buku, kamu akan jadi sesak nafas kerana ramai orang yang gila membeli belah terutamanya dihujung minggu di hari gaji. Kamu jangan rasa nak pengsan kalau lihat ada ibu-bapa yang senang sekali mengeluarkan ribuan duit secara tunai untuk membeli buku-buku di sana.

Oh ya temui aku di pesta buku pada Jumaat, 17 April. Aku akan hadir diwaktu pagi ketika pintu PWTC baru sahaja dibuka. Jangan segan-segan mahu menegur aku, kalau lihat aku bersendirian dan kelihatan galak melihat pelbagai jenis buku.Mungkin aku akan berlama-lama di gerai buku Indonesia yang menawarkan pelbagai buku yang menarik. Tahun ini aku hadir sebagai pembeli, aku harap tahun depan aku hadir sebagai penulis dan ada buku pula. Doakan ya =)

Kawan,

Ayuh kita bercanda

Menyemarak api yang telah padam


Semasa aku di sekolah menengah, 4 majalah ini merupakan bacaan wajib aku iaitu Minda, Dewan Masyakarakat, Fokus dan Dewan Siswa. Ketika itu, semua cerpen dalam dewan siswa siswa aku akan baca dan mudah ingat pada nama penulisnya. Sehingga kini aku sedar, betapa kuatnya pengaruh cerpen-cerpen yang di siarkan dalam dewan siswa dalam ingatan aku. Kadang-kala apabila aku layar ke blog-blog yang ada, aku seakan dejavu membaca nama penulisnya. Seakan-akan nama mereka pernah membesar bersama usia dunia sastera aku dan nama mereka pernah aku jumpa di antara helai cerpen yang pernah tersiar. Ketika itu aku sudah obsesi dengan Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (yang sudah tiada lagi) dan nama-nama seperti Salina Ibrahim, Faisal Tehrani, Wira Budiman (sekadar menyebut beberapa nama) sudah biasa dalam ruang ingatan sastera aku. Malah aku cemburu melihat nama-nama ini terpilih untuk Minggu Penulis Remaja (MPR). Ketika itu MPR bagaikan trofi untuk pencinta sastera remaja seperti aku

Kini , aku lihat jarang ada cerpen-cerpen remaja di dewan siswa atau tunas cipta yang berjaya memahat dalam ingatan aku kerana kesegaran cerita dan keunikan olahan bahasanya. Tiada yang boleh membuatkan aku tertanya-tanya siapa penulisnya seperti puisi Sekeping Kad ataupun cerpen Bisik Pada Angin dan mengujakan aku untuk terus-menerus mengulang baca seperti cerpen Cikgu Tomok.

Lalu aku rasa aku perlu lakukan sesuatu. Sekurangnya untuk membina tugu memori ingatan pada kumpulan cerpen dan puisi dari khalayak sastera ini. Menulis komentar barangkali?

Lalu aku mencadangkan kepada Nissa’ Yusof, (penyair remaja yang sedang meningkat naik) teman MPR06 untuk menghidupkan blog MPR06 yang seperti hidup segan mati malu-malu. Blog MPR06 dilihat merupakan pencetus kepada penubuhan blog MPR. Namun setelah tertubuhnya blog MPR, blog kami seolah-olah jadi rumah hantu. Tidak berpenghuni. Ialah sudah ada gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Jadi, kami tetapkan begini, kami akan menulis komentar mengenai karya-karya mantan MPR06 yang pernah tersiar. Sebagai permulaan, aku sudah menulis komentar mengenai cerpen NIssa’ Yusof,. Tetapi kenalah beringat, aku bukan sarjana lingualistik mahupun pakar bahasa tetapi aku sekadar mahu menulis mengenai pendapat peribadi dan apa yang aku rasa dan aku faham. Aku menulis sebagai pencinta sastera dan si fakir bahasa yang masih belajar.

Kepada kawan-kawan MPR06 yang mahu karyanya digula-garamkan, marilah menghantar karya yang mahu dikomentar kepada aku. Mari kita menyemarakkan api yang telah padam. Biarkan terbakar! Hehe.

 

 

Notakakitangan : Terima kasih Nissa kerana memberi komentar untuk puisi BAju Kurung Merah Darah. Nanti saya belanja awak choki-choki ya. hehe

Sepucuk Surat Ungu I


Suatu hari,aku mengutuskan surat berwarna ungu dan sampulnya juga dari rona ungu lembut. Aku tulis serangkap pantun dengan segala perasaan tertahan. Dadaku membuncah dan perasaan aku terbancuh bersamanya.

Kalau bulan turun melabuh

Mengapa kapal dilambung ombak?

Kalau hujan merenyai jatuh

Mengapa tanah basahnya tidak?

 

Aku tatap surat tersebut dan aku lipat perlahan bagaikan menunggu masa menahan aku daripada mengutusnya. Semasa tukang pos mengambilnya dariku, ada perasaan yang hilang di situ. Aku kejar tukang pos dengan harap aku punya peluang untuk menahannya dari menghantar surat ungu itu. Namun hampa mendakap aku.

Saat itu aku tahu, takdir telah melukisnya untuk aku.