Menyemarak api yang telah padam


Semasa aku di sekolah menengah, 4 majalah ini merupakan bacaan wajib aku iaitu Minda, Dewan Masyakarakat, Fokus dan Dewan Siswa. Ketika itu, semua cerpen dalam dewan siswa siswa aku akan baca dan mudah ingat pada nama penulisnya. Sehingga kini aku sedar, betapa kuatnya pengaruh cerpen-cerpen yang di siarkan dalam dewan siswa dalam ingatan aku. Kadang-kala apabila aku layar ke blog-blog yang ada, aku seakan dejavu membaca nama penulisnya. Seakan-akan nama mereka pernah membesar bersama usia dunia sastera aku dan nama mereka pernah aku jumpa di antara helai cerpen yang pernah tersiar. Ketika itu aku sudah obsesi dengan Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (yang sudah tiada lagi) dan nama-nama seperti Salina Ibrahim, Faisal Tehrani, Wira Budiman (sekadar menyebut beberapa nama) sudah biasa dalam ruang ingatan sastera aku. Malah aku cemburu melihat nama-nama ini terpilih untuk Minggu Penulis Remaja (MPR). Ketika itu MPR bagaikan trofi untuk pencinta sastera remaja seperti aku

Kini , aku lihat jarang ada cerpen-cerpen remaja di dewan siswa atau tunas cipta yang berjaya memahat dalam ingatan aku kerana kesegaran cerita dan keunikan olahan bahasanya. Tiada yang boleh membuatkan aku tertanya-tanya siapa penulisnya seperti puisi Sekeping Kad ataupun cerpen Bisik Pada Angin dan mengujakan aku untuk terus-menerus mengulang baca seperti cerpen Cikgu Tomok.

Lalu aku rasa aku perlu lakukan sesuatu. Sekurangnya untuk membina tugu memori ingatan pada kumpulan cerpen dan puisi dari khalayak sastera ini. Menulis komentar barangkali?

Lalu aku mencadangkan kepada Nissa’ Yusof, (penyair remaja yang sedang meningkat naik) teman MPR06 untuk menghidupkan blog MPR06 yang seperti hidup segan mati malu-malu. Blog MPR06 dilihat merupakan pencetus kepada penubuhan blog MPR. Namun setelah tertubuhnya blog MPR, blog kami seolah-olah jadi rumah hantu. Tidak berpenghuni. Ialah sudah ada gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Jadi, kami tetapkan begini, kami akan menulis komentar mengenai karya-karya mantan MPR06 yang pernah tersiar. Sebagai permulaan, aku sudah menulis komentar mengenai cerpen NIssa’ Yusof,. Tetapi kenalah beringat, aku bukan sarjana lingualistik mahupun pakar bahasa tetapi aku sekadar mahu menulis mengenai pendapat peribadi dan apa yang aku rasa dan aku faham. Aku menulis sebagai pencinta sastera dan si fakir bahasa yang masih belajar.

Kepada kawan-kawan MPR06 yang mahu karyanya digula-garamkan, marilah menghantar karya yang mahu dikomentar kepada aku. Mari kita menyemarakkan api yang telah padam. Biarkan terbakar! Hehe.

 

 

Notakakitangan : Terima kasih Nissa kerana memberi komentar untuk puisi BAju Kurung Merah Darah. Nanti saya belanja awak choki-choki ya. hehe