Catatan Yang Terlewatkan – [PPMN 2009, Ayer Keroh, Melaka]


Aku sudah lama pulang dari Melaka membawa banyak cerita, banyak gosip-gosip serta anekdot-anekdot. Namun disebabkan terikat dengan tanggungjawab menjadi moderator dan wartawan tidak berbayar untuk blog MPR, maka aku tinggalkan dahulu segala catatan disini dan menumpahkan sepenuh perhatian untuk menyiapkan lintasan separa lansung dari Melaka khas untuk blog Minggu Penulis Remaja.

Aku terasa letih juga untuk menulis setiap ulasan bagi setiap sesi yang berlangsung. Bayangkan banyak kertas kerja yang terpaksa aku ulang-baca, tekuni, fahami dan menaip ulasan dan ringkasan sepadat mungkin. Paling-paling nipis kertas kerja tersebut dalam 5 muka surat. Itupun yang paling nipis dan paling ringkas, bayangkan yang kalau yang berjela dengan isi dan bahasa ditahap bahasa melayu ilmiah dan tinggi? Lantaran kerana terlalu menelaah kertas kerja adakalanya aku boleh berhujah dan mengeluarkan kata-kata dalam kertas kerja apabila aku dan rakan-rakan yang berdiskusi di meja Melaka waktu itu.

Nasib baik aku sekadar dikehendaki menaip ulasan sahaja. Soal format atau upload gambar-gambar diserahkan kepada moderator lain. Oh ya, secara tidak langsung aku telah dinaik-taraf menjadi moderator blog MPR. Walhal selama ini aku sering sahaja bersembunyi dan tidak pernah menaikkan nama disana serta sekadar menjadi pemerhati bebas sahaja.

Ada kertas kerja yang mahal harganya iaitu kerja kerja Ustaz Azman. Biarpun aku boleh kategorikan ringkas tetapi sangat memberikan makna kepada penulis-penulis baru terutamanya aku. Malangnya aku kehilangan kertas kerja tersebut. Kasihan sungguh. Ini yang kena mengernyit mata dengan Ustaz Azman. Mana tahu boleh dapat salinannya kan? 😉

Ada juga kertas kerja yang berat pemikirannya. Sebagai pengulas, aku harus pula membacanya berulang-kali untuk memahami makna yang mahu disampaikan ataupun perkara yang ingin diperkatakan. Ada juga kertas kerja yang memilih untuk menerangkan sesuatu isi dalam bahasa yang kompleks dan ayat yang berjela walhal boleh sahaja diterangkan dalam bahasa yang ringkas. Nah, inilah peri pentingnya kebolehan menyaring ilmu. Kan kawan-kawan~

Secara keseluruhannya, Perhimpunan Penulis Muda Nasional menyimpulkan kenangan-kenangan yang masam-masam-manis. Hehe. Sebenarnya semua kenangan di sana adalah muluk-muluk belaka. (Senyum)

 

Anekdot :

Aku telah dipaksa-rela dan menjadi bidan terjun untuk mengacara majlis bagi sesi 1 dan sesi 2. Sempat juga buat lawak semasa perut semua orang sedang berdondang sayang. Aduh~ Aku jadi malu sendiri. Bagaimana aku boleh terlupa tatacara mengacara majlis?

Advertisements

Berita dari Melaka


Dari Melaka ke negeri Pahang

Singgah di Johor beli berangan

Kami ucapkan selamatlah datang

Apa yang kurang di caci jangan.

 

Aku ke Melaka untuk berwisata~

 

 

 

Hihi.. Sebenarnya aku ke Melaka untuk menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Resort Ayer Keroh, Melaka. Semua penulis muda yang berumur 40 ke bawah dijemput memeriahkan perhimpunan ini. Sekiranya ada kerajinan, aku akan update cerita dari Melaka, update foto-foto bersama penulis tersohor, sasterawan-sasterawati, anekdot-anekdot lucu yang aku lihat. Segalanya dari meja di Melaka ini.

 

 

 

Tetapi ini bukan janji tau.Sekiranya ada kerajinan dan kelapangan ya.

 

P/s : Ada sesiapa yang mahu mengirimkan salam pada penulis-penulis yang kamu minati? Aku dengan senang hati akan cuba menyampaikannya 😉

 


 

Aku mahu berpacaran


Masa borak-borak dengan kawan dari dunia zarathustha, tiba-tiba keluar idea bernas ini.

Aku rasa aku mahu berpacaran!

atau dalam bahasa moden nan serba ringkas

Aku mahu ada boyfriend

Aku pula merencana jejaka yang bakal jadi lelaki idaman malaya aku ini


1) Pandai main organ bunyi-bunyian seperti gitar, piano, violin, seruling

2) Mempunyai suara yang lemak merdu disukai ramai

3) Berpersonaliti menarik

.

Ala-ala program mentor atau gadis melayu pula kan? Ini rencana menjadi teruna idaman malaya aku. Lalu siapa di luar sana mempunyai ciri-ciri di atas, kalau tidak 3 ciri yang no 1 itu jadilah. Ada?

 

 

 

 

Ada tak?

 

 

 

 

 

 

 

Haha. Aku mengarut sahaja.

 

Sebenarnya aku terasa mahu orang menukar puisi-puisi aku menjadi lagu-laguan. Aku ingin dengar bagaimana roh yang aku hembus semasa menulis puisi itu diinterpretasikan menjadi nyanyian, menjadi lagu puisi. Bagaimana ya?

Lalu aku perlukan khidmat orang yang baik hati dan tahu bermain alat muzik untuk menyitir nota-nota muzik di atas puisi-puisi aku. Lalu siapa yang baik budi mahu menawarkan khidmatnya?

Tidak semestinya lelaki ya, perempuan pun boleh sahaja kerana aku bukan mahu mencari kekasih sebaliknya aku sekadar mahu mencari seorang kawan nan baik hati =). Lalu ada sesiapa yang diluar sana tidak kira berjantina apa yang mahu merealisasikan mimpi tuan tanah birungu ini?

 

Jika ada, bolehlah hubunginya saya di alamat email ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com

 

 

😉

 

 

 

p/s : Sebagai ganjaran, saya akan dedahkan proses kreatif, rahsia dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sehinggalah puisi-puisi itu boleh terhasil. hihi

Ucapan yang terlewatkan


Aku telah buat dua entri. Satu tajuknya : Surat kepada ibu dan satu lagi :guru bukan dewa dan murid bukan lembu.

 

Kemudian aku tarik kembali entri tersebut dan aku simpan dalam folder untuk bacaan aku sahaja.

 

Maaf, aku tiada kekuatan untuk siarkan entri yang bagiku begitu peribadi sifatnya.

 

Maaf, selamat hari ibu kepada ibu aku dan selamat hari guru kepada sesiapa sahaja yang pernah berikan aku ilmu.

 

Hanya ini sahaja yang berani aku tulis.

 

Terima kasih.

 

 

 

 


 

Teater : Pengalaman dan Kenangan


Tanpa sengaja aku tertonton persembahan Akim, pelajar Akademi Fantasia 7 yang membawa lagu Titah Sultan dari teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Aku tidak ada kecenderungan menyokong mana-mana pelajar tetapi persembahan Akim membuatkan aku menonton persembahan itu berkali-kali. Mungkin disebabkan keberkesanan persembahannya, atau lakonannya atau kerana lagunya. Aku suka konsert AF ke 8 kerana berani tampil dengan idea teater muzikal. Aku cukup suka sekali. Lagu Titah Sultan merupakan playlist wajib aku sekarang.

AF7 konsert ke 8 telah mengingatkan aku pengalaman berlakon teater. Aku tidak pernah terlibat dalam kelab drama di universiti mahupun di sekolah menengah tetapi KOMSAS menemukan aku kepada peluang berlaakon teater. Pertama ketika ditingkatan 1 dan kemudian ketika di tingkatan 4. Hanya dua kali sahaja. Kedua-dua itu seperti bidan terjun sahaja.

Ketika tingkatan 1, aku mendapat watak Tun Fatimah dari teater Bila Roboh Kota Melaka (KOMSAS tingkatan 1). Namun guna suara orang lain iaitu Syazwani (sekarang rasanya dia di UIA). Ialah, ketika itu aku bukan pelakon professional pun mahu ingat dialog berjela-jela. Peanat juga mulut terpaksa kumat-kamit tetapi tidak keluar suara. Pelakonnya semua adalah perempuan, termasuklah yang menjadi Sultan Mahmud itu, kelakar juga bila fikir. Sekolah kami tidak membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan bila buat drama ini.

Ketika itu malunya tuhan sahaja yang tahu sebab aku ini pemalu betul hendak berlakon di depan umum begitu. NAsib baik yang tonton drama itu hanyalah rakan-rakan setingkatan dan drama itu dipentaskan ketika budak lelaki sedang menunaikan solat Jumaat. Untuk mengelakkan budak lelaki mengintai persembahan kami. Sehinggakan kami terpaksa menampal setiap cermin di dalam dewan itu dengan kertas surat khabar untuk mengelakkan lelaki yang tersesat atau ponteng solat Jumaat daripada menonton secara sembunyi semasa pementasan itu diadakan.

Kemudian, semasa tingkatan 4, pihak maktab menyuruh jabatan bahasa mengadakan pementasan teater bagi setiap naskah drama pentas KOMSAS tingkatan 4. Setiap satu pementasan akan menggabungkan dua kelas. Seingat aku, kelas aku bergabung dengan kelas 4B. Ketika undian kami mendapat tugas mementaskan drama Titik-Titik Perjuangan, sejujurnya aku mengharapkan kami mendapat drama Serunai Malam hasil tangan sasterawan negara Usman Awang kerana aku suka skripnya berbanding dengan drama-drama yang lain. 😉

Tanpa sangka Haziq (seteru aku di kelas merangkap Tuan Pengarah) akan datang jumpa aku dan tawarkan aku watak Perempuan Tua. Ketika itu aku fikir aku mahu berada dibelakang tabir sahaja. Mulanya mahu menolak tetapi Haziq meminta dengan nada yang baik dan muluk-muluk , maka aku pun pertimbangkan. Lagipun semasa Haziq sudi terima jawatan pengarah merangkap pelakon juga, dia sudah pesan, dia akan jadi pengarah kalau mendapat kerjasama sahaja. Lalu ketika itu aku fikir, aku harus beri kerjasama bukan dan Haziq memintanya secara peribadi, menemui aku yang kononnya seterunya bukannya melalui orang lain.

Aku tidak sangka kami yang tidak pernah ada pengalaman mementaskan teater akan berjaya menghasilkan teater yang membawa seribu emosi. Marah, takut, sedih dan sebagainya. Kami buat improvasi di dalam skrip unuk memberi kelainan. Ketika itu ramai juga yang memuji produksi kami. Kami harap-harap kami menang juga tetapi anehnya kami dapat tempat kedua. Ada gosip-gosip liar kata, ada seorang guru tidak menyenangi beberapa orang dari produksi kami, ada juga kata kami kalah kerana mengubah skrip dan scene di dalam naskhah tersebut. Ketika itu ramai yang terkejut kami kalah sehingga pemenang teater itu pun terkejut mereka boleh menang kerana mereka sememangnya sangka kami menang.

Kami tidak ambil pusing kerana kami belajar sesuatu, sungguhpun kita tidak boleh menang di hati pengadil tetapi kemenangan di hati penontonlah yang lebih utama. Lantaran apabila kita bertanding bukanlah kemenangan yang perlu dikejar tetapi sejauh mana kita dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Kan?

Kawan sekelas aku yang bernama Azhar di kenali dengan nama MABUK kerana melakonkan watak lelaki mabuk dalam drama tersebut. Lakonannya memang berkesan lah. Seingat aku sekarang dia di UKM. Nasib baik mereka tidak memanggil aku Perempuan Tua, kalau tidak siap lah.. hahaha. Mungkin kerana aku bukan pelakon yang baik barangkali?

Notakakitangan : Terima kasih kepada kawan-kawan yang pernah memberi kenangan manis kepada aku… suatu masa dahulu.

Resensi Novel Maryamah Karpov


Atas budi baik Firdaus Amyar, kenalan aku di blog, aku beroleh naskah Maryamah Karpov sebelum naskah itu tiba di Malaysia. Terima kasih saudara Firdaus.

Aku membaca novel ini dengan harapan yang tinggi kerana ketiga-tiga novel buah tangan Andrea Hirata tidak menghampakan aku. Lebih-lebih lagi apabila novel ini dikatakan menulis mengenai perempuan dari sisi berbeza yang tidak pernah diteroka oleh penulis Indonesia yang lain. Salah satu kelebihan Andrea ialah Andrea bisa menjadikan sesuatu yang kecil itu menjadi besar dan manis.

Plot novel bermula dengan Ikal di tahun akhir pengajian di Perancis dan kemudian dia kembali ke Pulau Belitong, Indonesia. Kemudian Ikal masih diburu dengan keinginan bertemu A Ling seperti di novel-novelnya sebelum ini. Keinginan untuk berjumpa dengan A Ling yang menurut info terdampar di antara Pulau Batuan membuatkan Ikal melakukan kerja-kerja diluar batas logika dan kekuatan fizikalnya. Dia mula melakukan kerja-kerja kuli untuk menampung perbelanjaannya membeli perahu untuk menemui A Ling. Apabila duitnya tidak cukup, maka Ikal mula membuat idea gila dengan membina perahu seterusnya membawanya ke Pulau Batuan menemui A Ling. Idea-idea gila Ikal inilah yang sering membuatkan dia dipersendakan orang kampungnya dan mereka sering membuat taruhan ke atas Ikal. Namun berkat daripada mimpi dan keinginan Ikal, dia Berjaya membawa A Ling pulang ke Pulau Belitung.

Secara jujurnya, aku sedikit kecewa dengan Maryamah Karpov kerana jalan cerita tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Andrea tidak memperkembangkan watak mak cik Maryamah yang pintar bermain catur karpov. Bahagian itu disentuh sedikit sahaja oleh Andrea di dalam novel ini. Malah kisah Nurmi, iaitu anak Mak Cik Maryamah yang pintar bermain biola hanya mendapat perhatian yang sedikit sahaja walhal aku tertunggu-tunggu watak itu dikembangkan (disebabkan pengaruh promosi novel ini)

Selain daripada itu plot novel ini dikembangkan sedikit lambat, novel ini hanya berlegar-legar pembuatan kapal sahaja. Aku rasakan 35 bab awal novel ini menarik sekali tetapi apabila memasuki bab 36 dan seterusnya, novel ini berjalan lambat dan mellow. Kisah pembuatan kapal dan pelayaran Ikal ke Pulau Batuan ditulis terlalu banyak sehingga membuatkan mood pembaca menjadi resah, tidak seperti ketika aku membaca Laskar Pelangi dahulu.

Walaupun novel ini sedikit mengecewakan aku sebagai pembaca kerana jalur ceritanya tidakla seperti yang aku harapkan tetapi gaya Andrea menulis masih tidak hilang. Di dalam novel ini, Andrea seakan-akan menulis sosio-budaya Pulau belitong merangkumi sikap-sikap kebiasaan Melayu Belitung yang gemar bertaruh, suka minum kopi di warung. Membaca novel Maryamah Karpov seakan-akan membuat kita membaca tesis mengenai demografi penduduk Pulau Belitung dalam bentuk penceritaan yang menarik. Kekuatan novel ini ialah Andrea Hirata bisa menjadikan hal-hal yang kecil menjadi sebegitu besar dan indah. Gaya penulisan Andrea itulah yang membuatkan aku tidak jemu untuk terus membacanya.

Maryamah Karpov telah melengkapkan tetralogi Laskar Pelangi. Aku berharap novel ini cepat-cepat datang ke Malaysia. Menanti itu satu penyiksaan dan lagi menyiksakan kalau-kalau yang dinanti itu tidak seperti yang diharap (sambil mengenyit mata pada kaksu)