Teater : Pengalaman dan Kenangan


Tanpa sengaja aku tertonton persembahan Akim, pelajar Akademi Fantasia 7 yang membawa lagu Titah Sultan dari teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Aku tidak ada kecenderungan menyokong mana-mana pelajar tetapi persembahan Akim membuatkan aku menonton persembahan itu berkali-kali. Mungkin disebabkan keberkesanan persembahannya, atau lakonannya atau kerana lagunya. Aku suka konsert AF ke 8 kerana berani tampil dengan idea teater muzikal. Aku cukup suka sekali. Lagu Titah Sultan merupakan playlist wajib aku sekarang.

AF7 konsert ke 8 telah mengingatkan aku pengalaman berlakon teater. Aku tidak pernah terlibat dalam kelab drama di universiti mahupun di sekolah menengah tetapi KOMSAS menemukan aku kepada peluang berlaakon teater. Pertama ketika ditingkatan 1 dan kemudian ketika di tingkatan 4. Hanya dua kali sahaja. Kedua-dua itu seperti bidan terjun sahaja.

Ketika tingkatan 1, aku mendapat watak Tun Fatimah dari teater Bila Roboh Kota Melaka (KOMSAS tingkatan 1). Namun guna suara orang lain iaitu Syazwani (sekarang rasanya dia di UIA). Ialah, ketika itu aku bukan pelakon professional pun mahu ingat dialog berjela-jela. Peanat juga mulut terpaksa kumat-kamit tetapi tidak keluar suara. Pelakonnya semua adalah perempuan, termasuklah yang menjadi Sultan Mahmud itu, kelakar juga bila fikir. Sekolah kami tidak membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan bila buat drama ini.

Ketika itu malunya tuhan sahaja yang tahu sebab aku ini pemalu betul hendak berlakon di depan umum begitu. NAsib baik yang tonton drama itu hanyalah rakan-rakan setingkatan dan drama itu dipentaskan ketika budak lelaki sedang menunaikan solat Jumaat. Untuk mengelakkan budak lelaki mengintai persembahan kami. Sehinggakan kami terpaksa menampal setiap cermin di dalam dewan itu dengan kertas surat khabar untuk mengelakkan lelaki yang tersesat atau ponteng solat Jumaat daripada menonton secara sembunyi semasa pementasan itu diadakan.

Kemudian, semasa tingkatan 4, pihak maktab menyuruh jabatan bahasa mengadakan pementasan teater bagi setiap naskah drama pentas KOMSAS tingkatan 4. Setiap satu pementasan akan menggabungkan dua kelas. Seingat aku, kelas aku bergabung dengan kelas 4B. Ketika undian kami mendapat tugas mementaskan drama Titik-Titik Perjuangan, sejujurnya aku mengharapkan kami mendapat drama Serunai Malam hasil tangan sasterawan negara Usman Awang kerana aku suka skripnya berbanding dengan drama-drama yang lain. 😉

Tanpa sangka Haziq (seteru aku di kelas merangkap Tuan Pengarah) akan datang jumpa aku dan tawarkan aku watak Perempuan Tua. Ketika itu aku fikir aku mahu berada dibelakang tabir sahaja. Mulanya mahu menolak tetapi Haziq meminta dengan nada yang baik dan muluk-muluk , maka aku pun pertimbangkan. Lagipun semasa Haziq sudi terima jawatan pengarah merangkap pelakon juga, dia sudah pesan, dia akan jadi pengarah kalau mendapat kerjasama sahaja. Lalu ketika itu aku fikir, aku harus beri kerjasama bukan dan Haziq memintanya secara peribadi, menemui aku yang kononnya seterunya bukannya melalui orang lain.

Aku tidak sangka kami yang tidak pernah ada pengalaman mementaskan teater akan berjaya menghasilkan teater yang membawa seribu emosi. Marah, takut, sedih dan sebagainya. Kami buat improvasi di dalam skrip unuk memberi kelainan. Ketika itu ramai juga yang memuji produksi kami. Kami harap-harap kami menang juga tetapi anehnya kami dapat tempat kedua. Ada gosip-gosip liar kata, ada seorang guru tidak menyenangi beberapa orang dari produksi kami, ada juga kata kami kalah kerana mengubah skrip dan scene di dalam naskhah tersebut. Ketika itu ramai yang terkejut kami kalah sehingga pemenang teater itu pun terkejut mereka boleh menang kerana mereka sememangnya sangka kami menang.

Kami tidak ambil pusing kerana kami belajar sesuatu, sungguhpun kita tidak boleh menang di hati pengadil tetapi kemenangan di hati penontonlah yang lebih utama. Lantaran apabila kita bertanding bukanlah kemenangan yang perlu dikejar tetapi sejauh mana kita dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Kan?

Kawan sekelas aku yang bernama Azhar di kenali dengan nama MABUK kerana melakonkan watak lelaki mabuk dalam drama tersebut. Lakonannya memang berkesan lah. Seingat aku sekarang dia di UKM. Nasib baik mereka tidak memanggil aku Perempuan Tua, kalau tidak siap lah.. hahaha. Mungkin kerana aku bukan pelakon yang baik barangkali?

Notakakitangan : Terima kasih kepada kawan-kawan yang pernah memberi kenangan manis kepada aku… suatu masa dahulu.