Pulau Redang : Syurga Lautan


Aku ke tanah yang berpasir halus dan putih itu. Aku ke Pulau Redang!

Bertahun-tahun belajar di tanah pesisir air, aku sering menyimpan impi ke sana tetapi sering dikekang dengan masalah kewangan dan beberapa faktor lagi lalu niat itu aku simpan diam-diam sahaja. Lalu tiba-tiba ada khabar dari kayangan mengirimkan percutian tidak berbayar itu sudah tentu hatiku bergenderang ria. Aku telah ke Pulau Redang tau kawan-kawan.

Ya, Pulau Redang itu cantik dan menawan sekali untuk pencinta dan pemuja lautan. Lautnya biru dan jernih. Pasirnya yang putih seperti hamparan saujana salji putih. Karangan yang membentuk dirinya bertahun-tahun sering memukau. Ikan-ikan yang mesra berenang bersama kita seolah kita juga kawanannya. Langit yang biru dan penuh bintang apabila malam. Deru angin yang beralun manja. Aduh~

Namun sayangnya, banyak batu karang yang sudah mati. Sudah jadi putih dan bersatu dengan pasir-pasir di dasar lautan. Aku tidak berkesempatan melihat baby shark dam dugong. Aku sekadar dapat melihat belut gergasi dan ikan-ikan gergasi sahaja. Ke Pulau Redang aku asyik snorkling dari pagi ke petang. Malam pula bermesyuarat dan kelana di tepian pantai dan melihat manusia-manusia yang lain.

Banyak yang aneh aku temui di sana. Banyak manusia menjadi mereka yang lain di pulau itu. Rupanya jarak yang terpisah antara lautan dan tanah besar bisa mengubah wajah-wajah manusia menjadi orang yang kita tidak kenali. Ada yang mahu berpesta bagai dunia ini tiada paginya. Ada yang bercanda bagaikan dunia ini hanya ada mereka berdua. Bau laut dan bunyi ombak telah menyihir ramai manusia rupanya.

Di Tanah Redang aku temui sisi diri aku yang lain dan telah hilang bertahun-tahun dulu. Aku temui diriku yang pendiam, penuh waspada, senyum, memerhati Aku menemui diri aku yang kesendirian dan keseorangan. Dilangit Redang yang membalut tubuhku seolah telah melukiskan bahawa di Tanah ini aku harus jadi sendiri dan keseorangan. Melihat bagaimana diri menjadi hilang di kawanan manusia yang ramai.



Didada laut ini aku kembali kepada tuhan

Pesan Untuk Pria


(Catatan ini khusus untuk pria diluar sana yang masih bujang dan hatinya masih tidak terikat pada sesiapa dan sedang tersesat membaca catatan mengarut di sini)

Pria, sila tawan hati aku dengan kata-kata yang manis tetapi realistik seperti ini. tawanlah!

 

Ada org yang menghabiskan waktunya berziarah ke di Mekah

Ada orang menghabiskan waktunya berjudi di Miraza

Tapi aku ingin habiskan waktu ku disisimu sayangku

Berbicara tentang anjing-anjing kita yang nakal dan lucu

Atau tentang bunga bunga yang manis di lembah mandalawangi

 

Ada soldadu-soldadu amerika mati kena bom di danau

Ada bayi yg mati lapar di vietnam

Tapi aku ingin mati disisimu manisku

Setelah kita bosan hidup dan terus tertanya-tanya

Tentang tujuan hidup yang tidak seharusnya kita pun tahu

 

Mari sini sayangku

Kalian yang pernah mesra

Yang pernah baik dan simpati padaku

Tegaklah kelangit luas atau awan yang mendung

Kita tak pernah menanamkan apa-apa

Kita tak akan pernah kehilangan apa-apa

Nasib terbaik adalah tidak pernah dilahirkan

Kedua dilahirkan tetapi mati muda

Dan yang tersial adalah berumur tua

Berbahagialah mereka yang mati muda

 

Makhluk kecil kembalilah dari tiada ke tiada

Berbahagialah dalam ketiadaan

 

 

Filem Gie

Aku perlu berhenti mengkritik!


Aku rasa aku perlu berhenti mengkritik!

Semenjak pulang ke tanah asal ini, semakin banyak aktiviti sastera yang dapat dihadiri. Apabila bertemu dengan kawan-kawan sealiran sudah tentu perlu ada buku terbaru yang dibaca,atau pasti yang ada tanya apa karya baru ataupun bertanya pendapat buku-buku atau karya-karya yang mereka baca dan baru-baru ini diminta memberi komen kepada karya-karya mereka untuk proses penambahbaikan. Aduhai~

Sebelum itu selalu mengingatkan kawan-kawan yang mohon khidmat mengkritik supaya bertelinga kuali dengan kritikan aku yang adakalanya berempah ratus dan pedas-pedas juga. Lantaran kalau aku mengkritik berlandaskan pembacaan aku sebagai pembaca dan apa seorang pembaca mahukan apabila membaca karya bukanlah seorang yang serba lengkap dengan segala teori sastera. Walhal aku masih lagi rabun-rabun dengan teori puitika melayu sekalipun.

Namun semenjak terlibat dengan professional pengkritik ini, aku rasa aku sukar sekali mahu konsisten menulis cerpen. Lantaran sentiasa diselubungi mood mengkritik sampai dengan karya sendiri pun nak cari gaduh dan cari pasal juga. Ada sahaja yang tidak kena dengan karya sendiri. Baik dari susunan ayat mahupun penyusunan plot. Ada sahaja yang tidak kena. Walhal kalau tugas pengarang itu haruslah menulis sahaja bukanlah mengedit karya semasa menulis. Tugas-tugas mengedit ini haruslah dilakukan selepas karya itu siap. Tetapi kalau belum habis satu perenggan pun aku sudah kritik karya sendiri bagaimana mahu hasilkan 7-8 muka surat untuk cerpen. Aduh-aduh, payah sekali.

Jadi kawan-kawan yang baik budi, silalah sokong aku dengan menghentikan gejala penyakit mengkritik karya buat seketika. Dalam sehari dua ke? J lepas itu kita sambung balik ya.

Surat Kepada Kamu (Yang Tidak Sepadan)


Kamu, aku ingin berhenti berkata dan bersuara. Aku ingin memutus semuanya. Aku ingin pergi dan sendiri. Cukup apa yang telah kau tahan cukup dengan apa yang kita bicarakan. Aku senang kita tiada apa-apa. Seperti telah putusnya api pada kayu yang menjadi abu dan debu.

TIDAK SEPADAN


Aku kira:

Beginilah nanti jadinya.

Kau kawin, beranak dan berbahgia


Sedang aku mengembara serupa Ahasveros.

Dikutuk-sumpahi Eros

Aku merangkaki dinding buta

Tak satu jua pintu terbuka.


Jadi baik juga kita padami

Unggunan api ini

Karena kau tidak ‘kan apa-apa

Aku terpanggang tinggal rangka.


Chairil Anwar

Februari 1943


Sumber :

Chairil Anwar – Aku Ini Binatang Jalang (Penerbit Gramedia Pustaka Utama, Jakarta)

Teater Mana Setangginya?


Mana setangginya? Mana harumnya?

Akhirnya saya Berjaya menonton teater Mana Setangginya!

Khabar pementasan Mana Setangginya telah aku dengar semasa aku sedang berperang menyiapkan projek tahun akhir lagi. Kira-kira dua bulan lalu. Apabila aku mendengar bahawa tarikh pementasan teater itu semasa aku sudah pulang ke tanah asal maka aku sudah terlonjak-lonjak gembira. Setelah dipujuk beberapa orang dan berjaya mempedayakan kawan-kawan maka aku dapat menonton teater Mana Setangginya di Istana Budaya.

Mulanya ingin sahaja aku beli tiket di Grand Stand tetapi siapalah aku yang masih tidak bergaji untuk menginginkan yang bukan-bukan lalu dengan pasrah sahaja aku menyuruh Hafiz beli tiket yang paling murah sekali. Namun mungkin kerana kami ini bernasib baik tiket kami yang hanya untuk Stall telah dinaiktarafkan dan kami mendapat tempat dibawah sekali.

Disebabkan aku bukanlah seorang yang arif dalam bidang teater dan menonton teater hanyalah sekadar kesukaan atau kegemaran aku sahaja maka mungkin aku kurang pandai mentafsir dan memberi komen untuk teater. Props untuk teater ini mengagumkan dan paling aku suka sekali ialah pelakon-pelakon extra yang menambahkan seri teater ini. Jikalau teater ini sekadar menonjolkan watak-watak utama sahaja mungkin emosi dan perasaan dalam teater ini tidak tersampai dengan baik.

Kalau dari sudut lakonan, Azizah Mahzan tidak dapat disangkal bagusnya. Aku yang sememangnay menyukai Tony Yusoff boleh berikan tepukan kepada lakonan ayng bagus. Disebabkan Sabrina yang memegang watak Iriam berlakon bersama azizah Mahzan maka lakonannya sedikit mundur namun masih baik lagi..

Secara keseluruhan walaupun naskhah agung SN Nordin Hassan ini merupakan naskhah yang berat dan sedikit sukar untuk dihadam tetapi pementasan ini berjaya menyampaikannya dengan baik. Aku masih dapat memahaminya walaupun sudah terlalu lama aku tidak membaca kembali naskhah tersebut.

Cuma mungkin gambar-gambar dilayar lebar itu boleh diperbaiki kerana kelihatan seperti kartun pula terutamanya gambar belut (atau naga?)itu. J

Sesiapa yang tidak menonton teater ini pasti akan berasa sedikit menyesal. Marilah kita bersama menyokong teater Malaysia!

Seminar Pemikiran SN Arena Wati – Pertembungan Budaya Bugis Makassar – Tanah Melayu


Aku ke Dewan Bahasa menemani Kak Hani menghadiri Seminar Pemikiran SN Arena Wati. Dipaksa rela sebenarnya. Karya pertama yang aku kenal daripada Arena Wati ialah Sakura Mengorak Kelopak semasa berjalan menyusur rak-rak sastera di sekolah menenganh. Namun aku tidak punya kesempatan yang khusus untuk membaca karyanya. Namun Kak Hani yang sudah hampir melengkapkan koleksi penulis Arena Wati yang terkenal dengan novel-novel triloginya itu sangat menyenangi penulis ini yang dikatakannya bagaikan menulis novel yang penuh konspirasi-konspirasi yang sukar diduga.

Walaupun aku kurang dekat dengan karya Arena Wati tetapi semasa membaca makalah dan kertas kerja yang dibentangkan aku dipagut pesona untuk membeli dan seterusnya membaca karya-karyanya.

Namun semasa di seminar itu, aku terlihat satu peristiwa. Lalu aku terfikir, ada beza juga budaya kita Melayu dengan budaya Bugis Makassar. Mungkin bagi kita kalau buat begini tidak apa, mungkin bagi bangsa lain, tidak boleh. Betapa uniknya manusia yang tinggal dalam satu bumi yang bulat dan tanah serta langit yang sama boleh berbeza budaya, tangapan dan pemikiran sebegitu? Aku terfikir nak sambung Sarjana di dalam bidang sosiobudaya pula.

Semasa aku bersalam dengan ibu Halimah isteri kepada allayarham Arena Wati, dia berkata ” Dinginnya tangan” dan semasa makan-makan bersama Kak Rai, Kak Rai memperkenalkan aku dengan Zurinah Hassan. Dapat juga bertegur sapa dengan dia. Selama ini duduk menyorok sahaja sebab malu.

Notakakitangan:

Aku pernah terbaca, orang Bugis meluahkan amarahnya dengan mata pedang. Benarkah?

Seorang aku di Laman Beringin Istana Budaya


Ya, setelah 3 tahun bertapa di pantai sepanjang tanah pesisir air aku kira aku perlu muncul disana-sini mengutip semua yang pernah aku tinggalkan semasa bertapa. Aku ini umpama anak penyu baru keluar dari kelosong telur setelah berlama-lama dieram didalam hangatnya pasir. Maka anak penyu itu dengan pantasnya mengensot menuju laut untuk belajar menjadi perenang dan penghuninya yang sejati. Aku terasa aku seperti itulah.

Aku ke Istana Budaya untuk menghadiri Malam Puisi Utusan. Nasib baik ada pahlawan yang baik budi mahu menumpangkan aku ke Istana Budaya. Kalau tidak ada kesatria itu mungkin aku sedang beratap-ratap hiba di ruang peraduan barangkali pada waktu itu. Di sana aku bertemu dengan lagi dengan yang lain lalulah jadilah kami seperti rombongan Cik Kiah ke Istana Budaya pula. Nasib baik kami dapat meja di tengah-tengah dekat dengan layar lebar kalau-kalau ada yang rabun tidak nampak wajah pembaca puisi di hadapan.

Seronok rasanya dapat berkumpul semua dengan kawan-kawan sekapal. Kali terakhir rasanya semasa di Melaka tempoh hari. Ialah aku ini kan bagai sireh yang pulang ke ganggang ataupun bangau yang kembali hinggap ke belakang kerbau setelah puas berterbang-terbangan. Kami bertukar-tukar cerita dan sesekali mengusik antara satu sama lain. Kalau ada meja yang meriah dengan gelak tawa itulah meja kami agaknya.

Sebenarnya sebelum aku ke Istana Budaya ada seorang dua menitipkan pesan pada aku supaya merakam gambar Hafiz AF7, Siti Nurhaliza, Mila. AKu senyum-senyum sahaja kerana aku mendengar deretan nama penyanyi daripada nama si pembaca puisi. Tidak apa. Dalam usaha memasyarakatkan seni untuk rakyat kita kenalah ambil juga orang-orang seni yang lebih besar namanya walapun dari cabang yang berlingkar-lingkar bezanya supaya mereka hadir di majlis-majlis begini. Manalah tahu ada seorang dua yang sangkut dan jatuh cinta dengan puisi dan dunia sastera kan?

Kalau mahu dikomen, aku jelas sekali kecewa dengan persembahan deklamator puisi dari si Mila itu. Sudah puisinya aku gemari iaitu Sesetia Malam Pada Siang tetapi Si Mila ini baca seperti tiada jiwa dan kata orang-orang ialah cover cantik. Kalau Siti Nurhaliza dan Hafiz AF7 boleh tahan juga. Ok. Aku akui suara Hafiz sedap dan aku rasa sayu bila Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Penantian daripada allahyarham Zubir Ali yang merupakan lagu kegemaran aku dan lagu ini aku pernah titipkan di angin lalu untuk seseorang.

Keseluruhan persembahan menghiburkan cuma aku sedikit terganggu dengan persembahan dua orang bakal besan dan bacaan puisinya. Tidak perlu aku rincikan ketidakpuashatian disini tetapi sesiapa yang hadir di majlis itu mesti mengerti apa yang aku maksudkan. Itulah kata orang, orang mahu bina rumah dia mahu bina rumah, akhirnya rumah runtuh tertimpa diri sendiri.

Kalau ditanya mana persembahan mana yang paling aku sukai tentulah aku kata persembahan Khalid Salleh dengan puisinya Selsema. Sangat ironi dan satira.

Selepas persembahan berkesempatan berbual dengan Mejar Dr Faiz. Dia membacakan puisi Teja Ku Tulis Sejarahmu karya Ku Seman. Orangnya aku lihat sangat merendah diri dan serasa berbual dengan abang-abang sahaja tanpa ada batasan Dr Faiz itu salah seorang calon angkasawan Negara jua. Katanya dia sedang menerjunkan diri dalam bidang puisi. Mahu kenal orang-orang dan bahasanya. Mejar Faiz itu merendah diri benar nampaknya. Senang berbual dengannya.

 

Notakakitangan: Oh ya, aku bertemu dengan seseorang yang selama ini menyapa aku di ruang sembang internet sahaja. Dia yang kehilangan Qudwahnya bertahun-tahun dahulu rasanya telah bertemu dengan Qudwahnya barangkali.

Surat Kepada Dia (Yang telah kuhapuskan namanya)


Aneh. Kamu datang menjalinkan hubungan yang entah mulanya dari mana. Kemudian kamu menyemai benih-benih menjadi pohonan bunga yang indah dan cantik. Jajaran bunga yang kau tanam menjadi mekar dan mewangi dan entah mengapa aku tidak menghalang untuk kamu menceroboh tanah yang bukan sesiapa mudah untuk menjejakkan kakinya. Kemudian perlahan-lahan kau terbangkan wanginya bunga-bunga itu dan kita saling menjalin rasa pada diri dan kepercayaan. Namun percayakah kamu bahawa tiada apa pun yang perkara yang berlaku dalam dunia ini tanpa tahu Nya. Tiada apa-apa pun bisa kita sembunyikan kerana dunia ini sebenarnya hanya bebola yang kecil dan kita berdiri bersama-sama di atasnya.

Sungguh. Kebenaran sudah terbongkar dan terbongkang!


Aku selama ini berani meneguk racun yang akan kau tawari. Begitulah aku sepanjang waktu ini. Lalu kali ini aku akan meneguk racun yang penghabisan dan mengendahkan kau datang untuk menawarkan penawar seperti yang selalu kau lakukan. Biar racun ini mencengkam ulu hati dan menjerut leher aku sehingga mati. Biar aku lebih rela begitu daripada membiarkan perasaan kasihan kamu yang kamu tukarkan menjadi penawar menyusur ruang tekakku dan tubuhku untuk menyingkirkan racun itu. Biar.

Aku dengan rasminya mengutuskan perisytiharan perang yang tiada akhirnya. Perang yang tiada jalan damai. Aku randai kegalauan ini diantara kita. Ini jurang yang apinya menyala dibawah. Meski kau angkat bendera damai sekalipun, meski kau tawarkan seluruh kerajaan hati kau sekalipun, meski kau sanggup meredah jurang ini dengan tubuh kamu tanpa kebal sekalipun tetap tidak akan aku berpaling dan memaafkan kamu. Tidak. Aku tidak akan belajar untuk memaafkan kamu. Aku akan mengendah untuk mengeja perkataan maaf sekalipun diwaktu apa-apa pun. Perkataan maaf tiada wujud dalam perang kita. Tidak sekali. Perang ini tanpa hujung dan berakhirnya mungkin selepas kita tiada ditanah ini lain. Hanya selepas itu.

Lalu kamu mahu bertanya kepada aku mengapa kamu aku musuhi sepenuh jiwaku melebihkan kebencian Qabil kepada Habil yang merampas adiknya sendiri. Lalu kamu mempamerkan wajah minta kasihan itu lagi nescaya aku tanpa agak-agak akan membakar wajah kau dengan api yang kamu ciptakan. Aku akan menyimbahnya dengan darah aku yang kamu tumpahkan. Cukuplah kamu membunuh aku dengan tingkah kamu. Cukuplah dengan mendengar perkhabaran yang angin lalu titipkan. Cukup. Cukup aku berdepan dengan kebenaran. Cukup.

Aku tidak perlukan helaian simpati dan belas kasihan kamu menjadi jalinan kain yang membalut aku bila kelukaan. Aku tidak perlukan rasa simpati. Aku tidak mahukan kasihan. Tidak mahu.

Jangan kau sebut aku dibakar cemburu. Jangan kamu kata perkataan itu . Tidak! Bukan itu. Aku kecewa dengan sikap talam dua muka kamu. Bukankah telah aku katakan jikalau musuh meski pernah minum secawan, makan sepinggan mahupun tidur setilam tetap namanya musuh dan bukan harus dicampuri. Mana ikrar dan perjanjian kita. Mana? Lalu kini kau mahu tanyalah lagi apa punca perang ini bermula? Sungguh. Perasaan dikhianati oleh seseorang yang kita percaya adalah lebih dahsyat daripada perbuatan orang luar . Seperti dibakar api yang diam-diam duduk di dalam sekam. Pijar hangat.


 

Telah aku isytiharkan perang antara kamu dan aku.

Catatan yang terlewatkan II [PPMN 09, Ayer Keroh Melaka]


Aduhai saudaraku, aku tidak tahu mana angin yang meniupkan perkhabaran ke telinga kamu bahawa aku hadir di perhimpunan mergastua terbesar Malaya ini. Dalam suratmu yang setiap ayatnya adalah pertanyaan mengenai perihal mergatua yang hadir dalam perhimpunan ini membuatkan aku rungsing bermalam-malam memikirkan jawapannya.

Aduh saudaraku, ramai yang hadir sehingga aku pun kurang cerap setiap spesies ada. Adalah molek jika aku perincikan tingkah laku dan tingkah kata yang aku lihat sepanjang perhimpunan ini supaya soalan kamu yang berjurai-jurai panjangnya terjawab jua dan kemusykilan tidak menjadi musykil lagi. Saudaraku,

Di perhimpunan ini, ada naga-naga gagah dan perkasa serta bersisik emas yang berkilauan. Sisik-sisik emas itu pantas menggoda sesiapa yang memandangnya dan ramai yang akan rasa gentar walaupun naga itu menghelakan nafasnya. Kumpulan naga ini siap-sedia memberikan sisik-sisik emas itu kepada sesiapa yang pintar mengolah kata dan ayat atau tidak malu bertanya untuk mendapatkannya tetapi awas siap sedia dengan segala soal yang bijak menduga dari naga-naga bersisik emas ini.

Ada juga singa-singa yang baru terjaga setelah lama tidur dalam gua gelap yang dingin. Apabila matahari berjaya mencuri-curi masuk di antara rekahan batu akibat luluhawa maka singa itu mula terpinga kerana berapa lama banyak telah berjalan mengubah struktur demografi hutan yang dahulunya didiami dan ditakluki. Kini dia cuba berjalan menyusur selok-belok hutan itu untuk memahami struktur demografi dan mencari tanah-tanah baru untuk menebarkan jajah takluknya kembali.

Di sana juga ada burung-burung merak yang cantik dan menawan. Burung-burung merak ini malu-malu untuk menayangkan ekornya yang warna-warni dan sekali-sekala apabila dia mengembangkan ekornya yang seperti kipas yang bersulam cantik pasti ramai yang tertawan, ramai yang terpana dengan gemerlap dan gemilangnya corak ekor burung-burung merak ini. Namun sukar sekali orang mendapatkan peluang melihat bukaan ekor mereka yang cantik dan sesiapa yang beroleh peluang memang beruntung sekali.

Namun awas, tidak lupa pula ular-ular yang berbisa. Bila-bila masa sahaja akan membelit mangsanya dan menyemburkan bisanya merata-rata. Kalau ada yang terkena aduhai malangnya nasib disepanjang perhimpunan ini malah boleh melarat-larat sakitnya sehingga berminggu-minggu lamanya. Ular-ular ini akan menyusup dan menyelinap. Pada mulanya orang fikir ular ini tiada bisa dan tidak berbahaya tetapi awas ya ular yang tenang dan dingin itu tiada bisanya.

Tetapi ada juga burung-burung yang gemar bercericau. Walaupun burung-burung ini kecil sekali tetapi boloknya besar sekali. Mereka terbang dari satu dahan ke satu dahan mendendang bicara. Banyak yang mereka mahu katakan, banyak perkara yang mahu mereka keluarkan namun sayangnya yang berbunyi hanya ketukan tin-tin kosong sahaja. Sudahlah kurang bermanfaat dan menambahkan bingit serta mengganggu harmoni alam sekitar sahaja

 

Saudaraku, oleh kerana ilmu aku yang cetek maka hanya ini sahaja yang aku dapat perincikan. Apalah aku ini untuk menghuraikan berlebih-lebihan pula. Semoga suratku dapat menjawab segala perkara perkara yang menyelubung fikiran kamu itu.    

 

Daripada saudaramu si Penjaga Mergastua

Terbang Ke Dada Langit sambil berpimpin tangan dengan Dewangga Sakti


Semalam aku terbang ke dada langit selepas puas berlayar ke pulau yang jauh bersama Dewangga Sakti. Cemburu? Aduhai, aku sekadar duduk bersimpuh di Rumah Pena sambil meronggeng bersama Pak Abdul sahaja. Tidak lebih tidak kurang pun. J. Aku berlibur dengan lagu-lagu dari satu zaman ke satu zaman. Dari tahun 70an ke zaman ini. Sekejap aku terbang ke Jepun dan keluar negara sekejap. Sangat santai dan segalanya adalah percuma sahaja. Tidak percaya? Kecewa? Kamu tanya aku pergi kemana dan dimana aku mendapatkannya? Hanya di Rumah Pena dan bersama Dewangga Sakti pada malam tadi pada acara Maskara Showcase.

Si pembaca mantera

Awalnya majlis dimulakan dengan bacaan mantera sehijau lelalang dari Attokz Dikulgai. Dari bait manteranya aku syak dia membaca mantera dari bahasa Jawa halus kerana hanya beberapa perkataan dari bahasa Jawa yang aku faham. Atau mungkin dia menggunakan bahasa lain? Itu aku tidak tahu pula. Pada sesi 1, Dewangga Sakti membawakan lagu Kapal Rimyo, kemudian dengan kata-kata alunan yang santai mereka mendendangkan lagu 4 Dara dan lagu dari album mereka Selembar Kasih dan beberapa lagu lagi. Tetapi aku suka benar pada sesi ke 2. Pemilihan lagu-lagunya antara lagu-lagu kegemaran aku dan lagu yang aku paling sukai ialah lagu Tudung Periuk. Ketika itu aku rasa syahdu dan mahu juga menyapu si ayer mata. Dewangga Sakti juga mengalunkan sebuah lagu Jepun dan Sway. Sebelum mereka menutup persembahan mereka menjemput Sinaganga menyanyi bersama mereka malangnya aku tidak tahu lagunya. Kemudian mereka menutup persembahan mereka yang menghiburkan dengan lagu wajib Johor Sport Club.

En Biola yang menyanyikan lagu Tudung periuk

Aku kehabisan duit untuk membeli 3 buku yang tertulis nama Pramoedya Ananta Toer bertajuk Perburuan, Subuh dan Gulat Di Jakarta sehingga terpaksa meminjam dari Kak Hani. Sempat juga bertegur sapa dengan blogger popular Zamry Mohamad. Mula takut juga nak menegur, maklumlah blogger popular dan orang kuat PTS pula. Ketika berbual dengannya, dia sempat merungut “Macam manalah saya nak buat kawan, kalau orang yang pergi ke blog saya tidak tinggalkan jejak?”. Ialah dia itu blogger terkenal, aku ini blogger ikan bilis dilautan. Masakan enggang berjalan seiring dengan pipit. J. Tidak mengapa, nanti aku tinggalkan jejak di semua blognya. Baru dia tahu. Hahahahaha.

Kak hani dan Ode

Terima kasih kepada Ode dan Kak Hani yang membawa aku pergi ke Rumah Pena. Sudahlah dibawa pergi kemudian dengan muka tidak malu terpaksa meminjam duit sebab mahu membeli buku Pramoedya Ananta Toer. Alahai~ 😉

Oh ya Aku terlupa aku masih berhutang komentar mengenai album Dewangga Sakti – Mabuk Kepayang di blog ini. InsyaAllah aku akan cuba siapkan.

Anekdot: Kata-kata aluan penyanyi Dewangga Sakti sebelum menyanyikan lagu Sway “Disebabkan saya tidak belajar Sains dan MAtematik dalam bahasa Inggeris maka sebutan BI sahaja ada sedikit kureng (suwey) sikit”