Catatan yang terlewatkan II [PPMN 09, Ayer Keroh Melaka]


Aduhai saudaraku, aku tidak tahu mana angin yang meniupkan perkhabaran ke telinga kamu bahawa aku hadir di perhimpunan mergastua terbesar Malaya ini. Dalam suratmu yang setiap ayatnya adalah pertanyaan mengenai perihal mergatua yang hadir dalam perhimpunan ini membuatkan aku rungsing bermalam-malam memikirkan jawapannya.

Aduh saudaraku, ramai yang hadir sehingga aku pun kurang cerap setiap spesies ada. Adalah molek jika aku perincikan tingkah laku dan tingkah kata yang aku lihat sepanjang perhimpunan ini supaya soalan kamu yang berjurai-jurai panjangnya terjawab jua dan kemusykilan tidak menjadi musykil lagi. Saudaraku,

Di perhimpunan ini, ada naga-naga gagah dan perkasa serta bersisik emas yang berkilauan. Sisik-sisik emas itu pantas menggoda sesiapa yang memandangnya dan ramai yang akan rasa gentar walaupun naga itu menghelakan nafasnya. Kumpulan naga ini siap-sedia memberikan sisik-sisik emas itu kepada sesiapa yang pintar mengolah kata dan ayat atau tidak malu bertanya untuk mendapatkannya tetapi awas siap sedia dengan segala soal yang bijak menduga dari naga-naga bersisik emas ini.

Ada juga singa-singa yang baru terjaga setelah lama tidur dalam gua gelap yang dingin. Apabila matahari berjaya mencuri-curi masuk di antara rekahan batu akibat luluhawa maka singa itu mula terpinga kerana berapa lama banyak telah berjalan mengubah struktur demografi hutan yang dahulunya didiami dan ditakluki. Kini dia cuba berjalan menyusur selok-belok hutan itu untuk memahami struktur demografi dan mencari tanah-tanah baru untuk menebarkan jajah takluknya kembali.

Di sana juga ada burung-burung merak yang cantik dan menawan. Burung-burung merak ini malu-malu untuk menayangkan ekornya yang warna-warni dan sekali-sekala apabila dia mengembangkan ekornya yang seperti kipas yang bersulam cantik pasti ramai yang tertawan, ramai yang terpana dengan gemerlap dan gemilangnya corak ekor burung-burung merak ini. Namun sukar sekali orang mendapatkan peluang melihat bukaan ekor mereka yang cantik dan sesiapa yang beroleh peluang memang beruntung sekali.

Namun awas, tidak lupa pula ular-ular yang berbisa. Bila-bila masa sahaja akan membelit mangsanya dan menyemburkan bisanya merata-rata. Kalau ada yang terkena aduhai malangnya nasib disepanjang perhimpunan ini malah boleh melarat-larat sakitnya sehingga berminggu-minggu lamanya. Ular-ular ini akan menyusup dan menyelinap. Pada mulanya orang fikir ular ini tiada bisa dan tidak berbahaya tetapi awas ya ular yang tenang dan dingin itu tiada bisanya.

Tetapi ada juga burung-burung yang gemar bercericau. Walaupun burung-burung ini kecil sekali tetapi boloknya besar sekali. Mereka terbang dari satu dahan ke satu dahan mendendang bicara. Banyak yang mereka mahu katakan, banyak perkara yang mahu mereka keluarkan namun sayangnya yang berbunyi hanya ketukan tin-tin kosong sahaja. Sudahlah kurang bermanfaat dan menambahkan bingit serta mengganggu harmoni alam sekitar sahaja

 

Saudaraku, oleh kerana ilmu aku yang cetek maka hanya ini sahaja yang aku dapat perincikan. Apalah aku ini untuk menghuraikan berlebih-lebihan pula. Semoga suratku dapat menjawab segala perkara perkara yang menyelubung fikiran kamu itu.    

 

Daripada saudaramu si Penjaga Mergastua

Advertisements

11 thoughts on “Catatan yang terlewatkan II [PPMN 09, Ayer Keroh Melaka]”

  1. Terima kasih mengunjungi blog saya,
    saya teruja melihat blog ini seakan-akan ditampilkan oleh saorang sasterwan. Anda mungkin salah saorang insan cintakan keindahan dan itula yang dapat saya tafsirkan dari coretan-coretan yang dipaparkan.
    Untuk urusan foto perkahwinan anda boleh menghubungi saya di talian 012 2450 599.sekian terima kasih.
    Kaarishitam.

    Like

    1. kaarishitam : Ya, gambar-gambar tersebut cantilk. bolehlah berguru dengan awak kalau mahu mendalami bidang fotografi ni.:)

      insyaAllah kalau sudah sampai seru saya akan hubungi awak. tetapi lambat lagi lah

      Like

    1. Zulkifli Mohamed : saya sekadar memberi pandangan dari pembacaan. bukan dengan segala teori sastera. 🙂 .

      hoho. saya komen kat blog dia, kalau saya kahwin. bukan saya akan berkahwin. ish. (dah berpeluh ni)

      Like

    1. En Ariff Mohamad : Mohon diperbetulkan disini ya. Saya tidaklah mengata sesiapa. Tidak sekali pun. Mohon menukarkan perkataan mengata yang berkonotasi negatif itu kepada perkataan yang lebih molek lagi untuk tidak menimbulkan salah faham di sini. Mohon diperluaskan perbendaharaan kata ya. Saya menulis entri yang berbentuk satira disini. Saya kira satiranya jelas bukan untuk mengata sesiapa

      Saya ni bukanlah sesiapa dan tidaklah arif seperti En Ariff Mohammad.

      Saya harap apa yang keruh telah dijernihkan disini.

      Like

  2. Salam. Kembangkan lagi cacatan ini sebagai sebuah cerpen satira. Sebagai karya satira bahagian yang menyebut PPMN tu tak perlu. Sebahagian plotnya sudah dibina. Oleh itu, boleh dijadikan cerpen satira yang baik. Satira ni, orang yang ‘terasa’ akan terasa tetapi dia tak boleh kata apa-apa sebab tulisan/karya secara khusus tak sebut apa-apa pun macam yang dia terasa tu. Nak kata iya, memang iya, tapi tak ada bukti.

    Dalam entri ini, bukti bahawa satira ini menyebut PPMN sangat jelas, kerana ada disebutkan pada judul entri. Sebab itu ada yang akan terasa bahawa dialah naga, ular, merak, singa dan sebagainya.

    Terus menulis, ya!

    Like

    1. Kak Nisah Haron : Terima kasih kak nisah kerana memberi komen dan semangat. saya akan cuba fikirkan untuk kembangkan entri ini menjadi sebuah cerpen yang lebih baik.

      Ya, saya menulis berdasarkan apa yang saya lihat di dalam perhimpunan itu tetapi tidaklah bermaksud saya mahu mengata atau menyamakan orang dengan merak, harimau atau apa-apa. :). Sekadar memerikan sahaja. Benarlah siapa yang makan cili pasti terasa pedasnya.

      Ya, saya akan terus menulis!

      Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s