Hati aku adalah boneka yang dikawal jari-jari akalku


Ada kawan aku bersikap begini. Kalau dia tidak suka seseorang, dia tidak akan bermuka-muka untuk suka. Dia dengan senang hati akan menunjukkan reaksi kurang senangnya. Katanya, aku tahu apa yang aku aku mahu. Kalau tidak suka, tidak sukalah. Buat apa masih mahu bermanis-manis muka pula?

Kau?

Soalnya pada aku. Aku? Aku fikir aku tidak begitu. Aku jarang mahu menarik muka walaupun aku benci orang itu segenap jiwa dan sepenuh hatiku. Aku masih boleh ketawa, aku masih boleh lagi tersenyum dan aku masih ada rasa rasa melayan candanya.

Hipokrit?

Mungkin. Tetapi bukankah lebih baik begitu daripada bermuka kurang senang dan menimbulkan perkara kurang enak. Aku sekadar cuba memupuk suka. Manalah tahu syaitan yang menghasut aku membenci dia kan dan kebencian aku itu bukanlah apa-apa sebenarnya. Siaplah tahu kan?

Tetapi akhir-akhir ini aku sedar, semakin dalam aku membenci orang itu,semakin aku akan cuba menjauhkan diri darinya. Aku khuatir akan menghamburkan perkataan yang kurang molek. Aku risau perkara benci yang tuhan jatuhkan dalam hatiku ini semakin mekar. Aku akan kurang-kurangkan menghadapnya atau menatap mukanya atau berbual dengannya. Aku akan jarak-jarakkan diri aku, mendiamkan diri dan menjadikan diri aku ini orang yang asing. Lantaran fikirku, cara ini sahaja yang boleh buat aku tidak berterusan membenci dan membiarkan hati aku ini masa rehat untuk melupakan kebencian itu sehingga tidak tahu mengejanya pun.


Maafkan aku atas tingkah aku yang kurang menyenangkan. Aku ini hanya manusia. Yang hatinya adalah boneka yang dikawal oleh jari-jari akalku. Mungkin masa itu akalku salah mentafsir dan melukakan hati kamu dan kamu. Maafkan aku.

Tetapi aku juga terluka dengan kelakuan kamu.,

Advertisements

Kepada kawanku yang bernama wanita~


Aku ini wanita yang dilahirkan dengan perasaan yang halus. Bukanlah yang mampu menjahit luka-luka semudah dan sekejap cuma. Mungkin luka di hati aku ini memakan waktu bertahun-tahun atau selamanya aku diberi nafas oleh tuhan.

Lalu bila kau ajukan kepada aku tentang soal hati dan perasaan. Tentang ketegaran yang aku tegakkan. Tentang senyum aku yang manis bergula di dalam pahitnya kopi yang aku hirup. Apakah yang kamu mahu aku katakan?

Sedang dalam hidup ini pilihan bukannya semua diatur ditangan kita.

Betapa sinikalnya hidup kita ada kalanya apa yang kita lakukan dan kita gerakkan bukanlah atas kemahuan kita tetapi atas kesedaran akal budi kita.

Lalu aku dan kau juga adalah wanita. Mengapa kita harus mencipta sengketa yang akan membuahkan senyum pada dia yang tidak punya hati serta perasaan? Yang akan tertawa pada rendahnya tingkah kita?

Bukankah kita wanita, walaupun lahir dari rahim yang berbeza tetapi kromosom yang mengikat kita tetap sama. Naluri kita dekat dan hampir serupa. Bgaimana kamu sanggup bertindak kejam denganku dan bagaimana aku sanggup menyiat hatimu? Tentu tidak bukan?

Hapuskan semuanya. Hapuskan senyum dia yang menjelekkan. Manusia seperti itu bukankah harus diajar bagaimana untuk menghormati wanita seperti kita. Harus diajar bagaimana untuk menghargai hati perempuan seperti kita.

Mari kawanku,raih tanganku dan buangkan segala yang menyesakkan di dadamu. Marilah.

Majlis Membaling Topi!


3 tahun berperang rasa segalanya tamat dengan hanya 3 saat melenggok langkah di atas pentas. Hanya 3 saat sahaja?

Ish.. ish..

Satu-satunya jambangan bunga yang aku terima dan dipaksa tinggalkannya di tanah duka
Satu-satunya jambangan bunga yang aku terima dan dipaksa tinggalkannya di tanah duka

Baiklah dengan rasminya aku mengumumkan bahawa tuan tanah birungu telah selamat menamatkan pengajian dengan aman, damai, tenteram, sentosa, cemerlang, gemilang dan terbilang (serta seangkatan perkataan yang sinonim dengannya)

Maka aku telah siap sedia melambung-lambung mortar boat serta mengibas lengan jubah yang bertenun benang emas itu. Setelah 3 tahun menahan segala perasaan suka duka riang gembira sedih rawan, sengsara derita akhirnya tanah berdebu dan penuh duka itu aku tinggalkan juga.

Kasut ungu berenda perak. Kelintar satu Sg Wang mencari kasut sahaja
Kasut ungu berenda perak. Kelintar satu Sg Wang mencari kasut sahaja

Sebelum naik ke pentas, pellbagai perasaan bergaul. Berdebar-debar. Kasut tumit tinggi berona ungu setinggi 3 inci itu mujur sahaja tidak membuatkan aku terperosok jatuh. Ya, baju kurung songket pahang bermanik emas itu mujur tidak membuatkan aku dibakar hangat. Segala-galanya menyakinkan 🙂

Baju songket kurung pahang. Berona ungu, warna cinta dan bertenun benang emas
Baju songket kurung pahang. Berona ungu, warna cinta dan bertenun benang emas

Majlis ini juga menyaksikan impian aku yang bertahun-tahun itu terlaksana juga. Asyik berkata mahu mencapai awan biru dan langit malam tetapi tidak pernah berjaya kerana kekangan waktu dan kewangan. Lalu aku ke tanah duka itu dengan bersayap putih dan berterbangan dengan riang rianya.

Tiket kapal terbang bersayap putih
Tiket kapal terbang bersayap putih

Akhir kata,

Kawan-kawan yang seangkatan. Selamat bergraduasi ya


Pulang Ke Tanah Duka


Selamat kembali ke tanah luka.

Terimalah bunga-bunga yang kami karang dari 7 lautan. Hapuslah air matamu yang pernah turun bersama nyanyian ombak. Terbangkan duka lalu bersama deru semilir yang dingin dari timur. Tenggelamkan cerita sedih dengan hamburan ombak.

Datanglah ke tanah yang pernah menggiris hatimu suatu ketika dahulu tanpa keruh di hati.

Apakah tiada kenangan indah yang mengikat hatimu disini? Apakah tiada tawa pernah tercipta?Apakah kamu tiada pernah mengaris senyum di tanah ini? Apakah semua hanyalah duka dan luka sahaja? Tidak bukan?

Bukankah katamu, tanah duka ini juga tempat kamu membawa hati yang lara ketika kamu dibunuh oleh cerita luka dari tanah di seberang barat sana? Bukankah tanah ini tempat kamu berlirih juga?

Telah kami tenun kurung songket bunga tabur idamanmu. Telah kami renjis dengan warna ungu, warna cintamu. Pulanglah ke tanah ini. Debu-debu jalanan yang pernah melekat dikakimu telah kami hapuskan. Marilah kita basuh segalanya dengan nyanyian hujan yang jernih.

Kami menanti hadirmu dengan senyuman.

Belajar Tentang Berkat


Hujung minggu lepas aku belajar tentang berkat.

Aku pulang ke kampung halaman setelah 3 minggu di perantauan. (Walaupun Kajang dengan Kuala Selangor itu dekat tetapi aku tetap mahu kata aku di perantauan! J ). Selepas baru dapat gaji barulah boleh pulang ke kampung halaman dengan senang lenang dan hati tenang. Dapat juga beli sikit-sikit barang dan tidaklah pulang dengan tangan kosong.

Sebelum pulang, hulur sedikit duit pada Abah. Walaupun sedikit sebab baru bekerja setengah bulan tetapi mahu rasa menghulur juga. Rupanya perasaan itu indah ketika kita memberi wang kepada abah dan ibu setelah mereka memberi kita wang bertahun-tahun tanpa jemu.

Kemudian ketika masuk pejabat pada hari Isnin, ada orang memberikan wang kemenangan bermain badminton kepada aku. Walhal aku yang dipaksa rela masuk untuk bermain bagi pihak jabatan mana tahu ada wang kemenangan itu dan jumlah wang tersebut sama banyak dengan jumlah yang aku beri pada abah. Aku terdiam seketika.

Saat itu aku belajar tentang berkat. Dahulu ibu pernah berkata, lambaklah berapa banyak duit pun tetapi jika tiada keberkatan kita tetap akan terasa tiada cukup juga.

J

 

Notakakitangan : Cis! Adik-adik sudah pandai pau aku. Kalau pau aku pau kaya tidak apa.

Selamat Ulang Tahun~


Selamat Ulang Tahun Yana~

Selalunya aku berpuasa pada hari ini. Sepatutnya. Hari ini hari lahir saya dalam bulan Islam. 14 Rejab.

Seharusnya aku sedar semasa keluar di malam hari dan bulan purnama di langit cerah menandakan 14 Rejab makin hampir. Namun saya terlupa. Sedangkan hari-hari biasa pun aku lalai juga tarikhnya apatah lagi bulan Islam ini. Betapa daifnya ingatan aku

Lalu aku titipkan doa untuk diri sendiri. Selamat Ulang Tahun Yana.

 

Notakakitangan : Teringat kata-kata sendiri ketika menyambut ulang tahun setahun yang lalu “Menjadi dewasa bukannya mudah. Tidak menjadi dewasa menyesakkan jiwa”

Kisah kecil puisi Merdekalah Hatiku


Semalam aku dikucup mimpi!

Ketika menulis matlamat berapa karya yang mahu tersiar tahun ini di entri ini, aku sekadar menulis nombor yang kecil sahaja kerana aku tahu aku kurang konsisten untuk berkarya dan sangat culas dan pemalu untuk menghantar karya. Lalu aku sasarkan hanya 5 karya sahaja. Hanya 5. Itu pun aku ada kata nafasku akan tercungap-cungap.

Benar, kita harus menyimpan mimpi dan sasaran itu berjaya aku penuhi. Aku sudah ada 5 karya yang disiarkan dalam tahun ini dan karya yang kelima itu disiarkan di Mingguan Malaysia yang aku kira sedikit sukar untuk ditembusi.

Aku menulis puisi Merdekalah Hatiku ketika zaman-zaman sakit jiwa di hujung tahun pengajian universiti. Ketika rasa menjadi kurang seimbang, jiwa kacau dan segala yang menyesakkan. Semuanya tentang kesakitan.

Setelah aku tulis puisi itu senafas rasa, aku tiada membukanya atau membacanya kembali. Kemudian aku membuka kembali puisi dan pembacanya sebagai pembaca bukannya penulis dan aku sekadar mencuba nasib menghantarnya ke Mingguan Malaysia pada Selasa lepas tanpa harapan tinggi. Tiada sangka akan dipertimbangkan untuk disiarkan. Terima kasih En Ku Seman dan Mingguan Malaysia.

Lalu kawan-kawan,aku ingin berpuasa mengkritik dan mohon jasa baik kawan-kawan mengkritik karya ini. Mohon diperbetulkan jika ada yang kurang kena. Jikalau tidak pun, boleh sahaja memberikan pandangan. Silalah ke laman ini ya untuk membaca puisi itu.

Lalu berapa pula batu tanda yang terbaru untuk tahun ini? 10 karya?

 

Notakakitangan : Puisi aku yang terdahulu bertajuk Merdekakan Hatimu, terbaru Merdekalah Hatiku. Biarpun bukan bulan merdeka tetapi terasa mahu perkara yang merdeka sahaja.