Nostalgia mesin taip yang berketik-ketik


Malam menekur bisu. Saya terjaga ditengah malam. Mengesat mata. Bangun dari baringan dan menuju pintu yang ibu biarkan sedikit terbuka supaya mudah terdengar apa-apa kalau saya menjerit atau sewaktu dengannya.

Saya dengar dentingan dan ketukan bersilih ganti. Kemudian bunyi panjang dan terasa seperti hempasan kertas-kertas. Mungkin itu buat saya terganggu. Saya ketika itu gadis kecil yang berbaju T-Shirt geloboh.

Saya menuju bilik kecil dibahagian hadapan berhampiran anjung rumah. Ada lampu yang masih menyala dan cahaya terbias sedikit menerangkan ruang tamu gelap yang menempatkan kerusi panjang rotan dan sofa lunyai.

Saya lihat sosok lelaki dengan kata mata bulat besar seperti John Lennon tetapi dalam versi akademik. Matanya terkesip-kesip melawan kantuk dan secawan teh dari daun teh yang dibeli dikedai cina di kampung menemannya di atas meja. Bau buku menerpa.

“Abah.”

Saya seru perlahan sambil membawa bantal yang saya ‘rompak’ dari tangan adik saya. Saya ambil kerusi kecil disebelahnya dan duduk melihat apa-apa yang dibuatnya.

“Kenapa tidak tidur?” Abah bertanya.

Saya geleng kepala. Abah meneruskan kerjanya. Sekejap-kejap melihat nota cakar ayam yang ditulisnya kemudian diterjemahkan dalam bentuk ketukan-ketukan besi yang menghentam kertas. Bunyinya keras dan bingit tetapi lama-lama menjadi irama yang bisa dirindui oleh sesiapa. Irama itu dirindui oleh saya, anak kecil yang menemankan malam abah.

Mesin taip besi yang mempunyai kekunci huruf akan ditekan kemudian hentaman logam berabjab bagaikan soldadu menerima arahan jeneral akan siap-sedia menghentam jalur berdakwat seterusnya pada kertas. Maka melekatlah huruf-huruf yang seterusnya membentuk ayat yang dikarang abah di atas kertas. Ketika itu betapa kagumnya saya pada abah yang seperti perwira apabila berjaya menaip dengan pantas tanpa kesalahan apa-apa.

Kemudian tangan kecil saya akan mengambil kertas-kertas kosong dan mencoret apa-apa. Sesekali apabila abah berhenti menggunakan mesin taip itu untuk menanda buku latihan anak muridnya, saya pantas sekali menggunakan kaedah cuba-jaya untuk menaip perkataan dan huruf-huruf yang saya tulis sebentar tadi. Mungkin otak dan tangan kerdil saya belum cukup pantas mengatasi wibawa abah yang pantas menaip. Saya terkial-kial mencari huruf dan menekannya kuat-kuat dengan seluruh tenaga seperti mahu mengetuk paku besar ke dalam kayu cengal yang keras.

Ketak.. ketak.. ketak keting…..! ketak ketak keting!

Bunyi itu bertingkah-tingkah disepanjang malam yang entah bila berakhir. Sedar-sedar esok paginya saya di atas tilam dan sepertinya malam tadi saya bermimpi bangun menemani abah. Seperti bermimpi walaupun realitinya saya tertidur polos di bilik kecil berhampiran anjung rumah dan abah dengan tangannya yang kekar itu mendukung saya dan meletakkan saya di dalam bilik tidurku.

Saya, mesin taip manual abah adalah kenangan-kenangan yang kejap-kejap menerpa kotak memori apabila melihat Abah dan jarak yang memisahkan kami.

Itu tahun-tahun ketika saya kecil kemudian saya jadi terasing dan terpisah dari dunia malam abah. Mesin taip manual yang menemankan malam-malam abah disimpan selepas Abah memiliki komputer dari Kakak seperti di dalam seperti kenangan saya yang tersimpan dalam kotaknya. Mesin taip itu masih baik dan sesekali abah keluarkan dan gunakan seperti memori yang ada dalam ingatan aku. Mesin taip manual itu seperti lambang kasih dan cinta abah yang dibungkus dalam caranya yang tersendiri. Biar ada komputer di rumah, sekali-sekala abah akan mengeluarkan mesin taip untuk mengisi surat-surat rasmi atau menaip alamat hatta surat yang dikirim kepada saya.

Mesin taip manual dengan bunyi ketak ketak keting dan kononnya bingit adalah irama yang menjadi saksi kepolosan saya ketika kecil sebelum dunia diluar merejamnya dengan ganas sekali.


Notakakitangan : Wahyudi, kamu telah membuat aku bernostalgia.


Advertisements

Kerana Manisnya Gula II


Antara benda yang wajib dibeli di kedai runcit depan hostel semasa zaman belajar adalah sebungkus gula dan sebotol kicap untuk memenuhi selera makan yang sedikit berbeza di tanah duka. Saya suka sekali membancuh air dan makan dibilik sendiri kalau punya kesempatan pada waktu tengah hari.

Ada satu ketika berlakunya kekecohan apabila stok gula di pasaran tiada. Saya pun sedikit gelisah kerana stok gula di bilik sudah habis kerana ketika itu baru sahaja pulang dari cuti semester dan terlupa merompak stok gula di rumah.

Waktu cuti habis juga, ramai kawan-kawan saya yang pulang ke rumah dalam status ‘in a relationship’ telah kembali ke kampus dengan status ‘bujang’ (menurut bahasa mukabuku). Saya pun jadi hairan. Putus cinta pun boleh berjamaah juga ya.


Rupa-rupanya krisis kekurangan gula ada kaitan dengan atmosfera cinta. Agaknya apabila sudah terpaksa kurangkan gula dalam makanan dan minuman atau minum minuman tak bergula kerana gula tiada dipasaran, fikiran mereka jadi runsing. Lalu mungkin ini salah satu sebab mereka putus cinta kerana mereka telah terlupa bagaimananya manisnya bercinta kerana tidak lagi merasa minuman yang manis, makanan yang manis atau perkara yang manis-manis.

Saya syak saja teori itu.

Tetapi macam betul sahaja?

Kamu rasa? Bagaimana?


Notakakitangan : Baik kita sama-sama berdoa supaya tiada krisis kekurangan gula ketika musim cuti sekolah. Kan musim cuti sekolah musim orang kenduri kendara. Nanti tidak pasal-pasal ada yang tidak jadi kahwin kerana telah melupai manisnya perkahwinan itu.

Kerana manisnya gula



Tempat kerja saya terletak betul-betul di belakang kilang gula yang bagi saya mungkin yang terbesar di negeri ini. Mungkin. Ini bukan fakta ya. Kilang gula yang saban hari ada lori-lori besar yang mengangkut gula ke serata Malaysia keluar masuk dan menakutkan saya atau mungkin Arjuna.

Saya selalu terfikir ketika melewati pintu besar kilang gula yang bersebelahan kuil bersebelahan stesen minyak Esso itu, kalau-kalau gula naik harga apakah ada orang akan merusuh membawa sepanduk dan berarak dari stesen komuter menuju ke kilang gula itu untuk menunjukkan rasa protes kerana harga gula yang semakin meningkat yang berkadar langsung dengan kadar diabetis negara ini?

Oh ya, itu imaginasi saya sahaja.

Beberapa bulan saya bekerja, kilang gula yang teguh itu masih mengeluarkan asap putih berkepul-kepul dan dilalui sekian banyak kereta termasuk saya dan Arjuna. Kemudian apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gula sebanyak 20sen, imaginasi saya itu tidak berlaku pun. Tiada orang berarak dan merusuh membantah kenaikan harga gula di hadapan kilang gula. Apa yang ada hanya perarakan kereta yang menunggu untuk melepasi lampu isyarat dihadapan kilang gula itu untuk menuju ke destinasi masing-masing setelah penat memenuhi tuntutan duniawi pada setiap petang.

Saya syak mereka tidak berani berarak sebab setiap petang ada polis trafik akan mengawal lalu-lintas di situ. Saya syak sahaja.

Lalu harga gula tetap naik, kilang gula yang besar dan kelihatan gagah dan garang dengan sekian lori keluar masuk melalui pintunya tetap beroperasi dan kereta-kereta tetap bersusun melalui jalan di hadapan kilang gula itu untuk menunggu lampu isyarat ketika waktu puncak. Semuanya masih begitu juga. Masih seperti hari-hari biasa.

Saya pula kadang-kadang ke kedai makan memesan nasi goreng kampung dan sirap limau atau sesekali berkata pada pelayan di kedai makan itu

“Eh encik, air sirap limau ni kurang manis lah. Tambah gula sikit ya.”

Apa yang anda mahu saya tulis?


Kalau profesion berblog ini dikira sejak zaman bayi lagi, saya rasa tahun ini, saya sedang sibuk menyiapkan anak kesayangan saya ini masuk tadika. Tadika yang menerima pelajar comel berusia 5 tahun. Kalau tadika itu hanya terima kanak-kanak berusia 6 tahun sahaja, maka saya akan berusaha mencari tadika lain atau tahun hadapan sahaja saya hantar dia pergi sekolah tadika (jimat duit belanja.) Hehe.

Blog ini sudah mencecah 2 tahun. Kalau dikira usia sebenar terlibat dalam dunia blog ini rasanya sudah mencecah 5 tahun (dahulu ada blog lama tetapi telah ditinggalkan atas sebab-sebab peribadi dan sebab-sebab tidak peribadi).

Kalau dihitung, sudah banyak entri yang berguna, semi berguna, suku berguna atau tidak berguna langsung di dalam blog ini. Hujung tahun sememangnya bulan yang tidak produktif kerana sibuk memnuhi tuntutan duniawi. Blog adalah tuntutan kebajikan atau melampiaskan rasa bosan atau mungkin tempat saya menjungkar-balikkan perkataan tanpa ada editor yang cuba mengawasi saya dengan mata tajamnya. (Opsss..)

Jadi saya mahu meminta pembaca (kalau ada pembacalah) menulis diruangan komen apa yang anda mahu saya tulis di blog yang penuh emosional dan melodrama ini. Anda boleh letakkan komen seperti

Anonymous : Sila tulis entri yang penuh humor! (dengan nada tegas)

Ali(memang nama sebenar) : Jangan tulis emo-emo lagi boleh tak?

 

 

Atau apa-apa sahaja. Terima kasih ya. Mungkin komen yang paling terkesan, dikesan, mengesan akan menerima sesuatu dari saya?

 

 

Notakakitangan : Walhal, sedang kering idea ini. Barulah muncul entri ini.

Lentera Mustika – Mengimbau kenangan (Ini bukan review buku)


(Amaran : Jika anda fikir ini review untuk buku Lentera Mustika, jangan teruskan membaca, jika tidak anda pasti akan sedikit terkilan .)

Buku Lentera Mustika sudah lama ada ditangan tetapi aku kesuntukan masa dan sedang berehat membaca novel dalam genre sedemikian. Kemudian suatu malam terdetik membaca Lentera Mustika. Aku membacanya tanpa mengetahui jalan cerita. Lentera Mustika seumpama kotak Pandora yang indah. Tiada aku tahu apa yang tersimpan didalamnya selain sampul bukunya yang cantik.

Lalu helaian dan helaian berlalu, aku terpekur. Membaca Lentera Mustika seolah-olah melihat refleksi diri suatu masa dahulu. Seolah-olah Lentera Mustika adalah cermin dihadapanku yang menayangkan wayang cerita aku sedikit masa dahulu.

Ya, pantunnya. Pantun-pantun yang akrab dalam jiwa. Menulis pantun dalam SMS merupakan tabiat aneh yang paling aku suka. Kemudian aku sedar, diantara pantun-pantun yang dipilih oleh Kak Nisah merupakan pantun-pantun yang pernah digunakan untuk dikirimkan melalui SMS kepada seseorang.

Gagasan pemikiran Lentera Mustika dan idea bagaimana mahu melestarikan budaya melayu itu merupakan antara cetusan idea yang pernah aku bincangkan dengan seseorang dan orang-orang tertentu. Betapa membaca Lentera Mustika itu dekat benar dengan jiwaku dan keperibadian serta pemikiran aku terhadap pantun dan penggunaanya.

Mula-mula kegilaan ini datang, aku sekadar meminjam himpunan pantun-pantun lama yang ada di dalam buku kulit keras berwarna merah ‘Kurik Kundi Merah Saga’ itu kemudian berdikit-dikit menaip SMS dengan pantun buatan sendiri. Menaip SMS dengan berpantun seperti memberi cabaran kepada diri. Bagaimana mahu membalas pantunnya dari si dia dengan pantas dan kena maksudnya. Kadang-kala mencari pembayang yang indah dan bermakna itu sukar jika ilmu alam kita kurang. Iyalah takkan bolak-balik mahu guna pembayang Pak Mail pergi ke kedai, Berjalan- jalan dengan Cik Nyonya, Burung kedidi terbang sekawan? Kan? Klise amat.

Pengalaman peribadi semasa menulis pantun hati dan perasaan ini, jika kita benar-benar memaksudkannya, pasti pantun yang dicipta bila dibaca sampai sekarang, terasa perasaan itu masih ada. Kadang-kadang hati terasa disiat-siat juga. Perasaan ketika mencipta pantun-pantun itu bertahun-tahun dahulu bagai mengimbau-imbau. Benarlah kalau orang dahulu mencipta pantun dengan sepenuh jiwa, sampai kini kita pun terkesan sama.

Dahulu, pantun aku gunakan untuk menyampai rasa, menyimpul marah, menjeruk hati dan segala-galanya dalam pantun. Lantaran aku tidak pandai mahu berkata atau merangkai kata soal hati dan perasaan. Malah menulis pantun aku lihat sebagai tindakan bijaksana dan berhemah untuk memberitahu apa yang ada dalam hati. Menyatakan amarah, terasa hati atau mungkin rindu?

Itu kisah bertahun-tahun dahulu. Sekarang ia hanya sekadar menjadi kenangan yang bila dikenang membuatkan aku tersenyum, tertawa dan sakit hati. Budaya itu sudah pun aku tinggalkan diatas kuburnya. Mungkin suatu hari, kalau ada yang menyuntiknya, kegilaan itu akan berbunga, mekar dan bermusim semula? Siapa tahu kan

Sementara itu, selamat tinggal semua kenangan lalu dan masa yang indah. Kita telah memilih untuk selamanya tidak menjadi segaris.

Oleh itu, aku senang sekali menuliskan pantun-pantun yang pernah aku cipta sewaktu kegilaan menulis pantun dalam SMS itu.

Selasih tuan di hujung kota

Selasih hamba di dalam hutan

Kasih tuan sepantun kata

Kasih hamba seluas lautan


Betullah upih dibuat timba

Airnya tiris jatuh semula

Betullah kasihan diri hamba

Hati terguris orang tak bena


Kalau bulan turun melabuh

Mengapa kapal dilambung ombak

Kalau hujan merenyai jatuh

Mengapa tanah basahnya tidak?


Apa diharap kepada rotan

Rotan tidak mengikat raga

Apa diharap kepada bulan

Bulan tidak menyinar cahaya


Notakakitangan : Azam tahun baru? Baru tinggalkan tulisan melodrama. TEKAD.


Puisi Menunggu Pagi II


Setelah sebulan disiarkan di Tunas Cipta Disember 2009, maka aku turunkan puisi Menunggu Pagi II disini.

 

Menunggu pagi II

 

Para biduan malam

Mempersembahkan

Suara cengkerik rimba

Teriak riang-riang malam

Tarian gemalai warna rama-rama

Padaku di pesta ini

 

Jasadku ada

Jiwaku tiada

 

Mereka mempersenda kesetiaanku

Menunggu burung dewata

Melayahkan rembulan diribaan

Untukku dalam impiku

 

Jiwaku ada padanya

Jasadku tiada padanya

 

Dihujung malam

Kebenaran milik mereka

Aku penunggu pagi

Hampa

Kubunuh biduan malam yang kecewa

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Lata Belatan

14 Mac 2008

 

 

Notakakitangan : Sesiapa yang mahu dapatkan Dewan Sastera dan Tunas Cipta Disember 2009, bolehlah hubungi saya di ainunl.muaiyanah[at]gmail[at]com. Dapat diskaun 50% tau.