Nostalgia mesin taip yang berketik-ketik


Malam menekur bisu. Saya terjaga ditengah malam. Mengesat mata. Bangun dari baringan dan menuju pintu yang ibu biarkan sedikit terbuka supaya mudah terdengar apa-apa kalau saya menjerit atau sewaktu dengannya.

Saya dengar dentingan dan ketukan bersilih ganti. Kemudian bunyi panjang dan terasa seperti hempasan kertas-kertas. Mungkin itu buat saya terganggu. Saya ketika itu gadis kecil yang berbaju T-Shirt geloboh.

Saya menuju bilik kecil dibahagian hadapan berhampiran anjung rumah. Ada lampu yang masih menyala dan cahaya terbias sedikit menerangkan ruang tamu gelap yang menempatkan kerusi panjang rotan dan sofa lunyai.

Saya lihat sosok lelaki dengan kata mata bulat besar seperti John Lennon tetapi dalam versi akademik. Matanya terkesip-kesip melawan kantuk dan secawan teh dari daun teh yang dibeli dikedai cina di kampung menemannya di atas meja. Bau buku menerpa.

“Abah.”

Saya seru perlahan sambil membawa bantal yang saya ‘rompak’ dari tangan adik saya. Saya ambil kerusi kecil disebelahnya dan duduk melihat apa-apa yang dibuatnya.

“Kenapa tidak tidur?” Abah bertanya.

Saya geleng kepala. Abah meneruskan kerjanya. Sekejap-kejap melihat nota cakar ayam yang ditulisnya kemudian diterjemahkan dalam bentuk ketukan-ketukan besi yang menghentam kertas. Bunyinya keras dan bingit tetapi lama-lama menjadi irama yang bisa dirindui oleh sesiapa. Irama itu dirindui oleh saya, anak kecil yang menemankan malam abah.

Mesin taip besi yang mempunyai kekunci huruf akan ditekan kemudian hentaman logam berabjab bagaikan soldadu menerima arahan jeneral akan siap-sedia menghentam jalur berdakwat seterusnya pada kertas. Maka melekatlah huruf-huruf yang seterusnya membentuk ayat yang dikarang abah di atas kertas. Ketika itu betapa kagumnya saya pada abah yang seperti perwira apabila berjaya menaip dengan pantas tanpa kesalahan apa-apa.

Kemudian tangan kecil saya akan mengambil kertas-kertas kosong dan mencoret apa-apa. Sesekali apabila abah berhenti menggunakan mesin taip itu untuk menanda buku latihan anak muridnya, saya pantas sekali menggunakan kaedah cuba-jaya untuk menaip perkataan dan huruf-huruf yang saya tulis sebentar tadi. Mungkin otak dan tangan kerdil saya belum cukup pantas mengatasi wibawa abah yang pantas menaip. Saya terkial-kial mencari huruf dan menekannya kuat-kuat dengan seluruh tenaga seperti mahu mengetuk paku besar ke dalam kayu cengal yang keras.

Ketak.. ketak.. ketak keting…..! ketak ketak keting!

Bunyi itu bertingkah-tingkah disepanjang malam yang entah bila berakhir. Sedar-sedar esok paginya saya di atas tilam dan sepertinya malam tadi saya bermimpi bangun menemani abah. Seperti bermimpi walaupun realitinya saya tertidur polos di bilik kecil berhampiran anjung rumah dan abah dengan tangannya yang kekar itu mendukung saya dan meletakkan saya di dalam bilik tidurku.

Saya, mesin taip manual abah adalah kenangan-kenangan yang kejap-kejap menerpa kotak memori apabila melihat Abah dan jarak yang memisahkan kami.

Itu tahun-tahun ketika saya kecil kemudian saya jadi terasing dan terpisah dari dunia malam abah. Mesin taip manual yang menemankan malam-malam abah disimpan selepas Abah memiliki komputer dari Kakak seperti di dalam seperti kenangan saya yang tersimpan dalam kotaknya. Mesin taip itu masih baik dan sesekali abah keluarkan dan gunakan seperti memori yang ada dalam ingatan aku. Mesin taip manual itu seperti lambang kasih dan cinta abah yang dibungkus dalam caranya yang tersendiri. Biar ada komputer di rumah, sekali-sekala abah akan mengeluarkan mesin taip untuk mengisi surat-surat rasmi atau menaip alamat hatta surat yang dikirim kepada saya.

Mesin taip manual dengan bunyi ketak ketak keting dan kononnya bingit adalah irama yang menjadi saksi kepolosan saya ketika kecil sebelum dunia diluar merejamnya dengan ganas sekali.


Notakakitangan : Wahyudi, kamu telah membuat aku bernostalgia.


32 thoughts on “Nostalgia mesin taip yang berketik-ketik”

  1. Ada juga dulu guna. Kawan punya. Dalam tahun 1996 gitu. Tulis-tulis tangan, petang-petang pergi rumah dia tulis sajak konon. Tapi masa lebih suka melukis. Tapi nak jadi pelukis dan lirisis macam S. Amin Sahab. Tapi akhirnya dapat kerja macam Abu Lahab. Duduk site. Tapi tak suka mesin taip. Bising.

    Like

  2. Assalamualaikum w.b.t.

    Ainunl Muaiyanah…
    Coretan ini benar-benar meninggalkan kesan nostalgik kepada saya. Teringat dulu masa ibu saudara saya sedang menyambung pengajiannya. Setiap kali dia balik cuti semester, saya pasti teruja menunggu dia pulang ke rumah datuk dan nenek. Seterusnya, ada sebuah beg hitam yang berisi mesin taip manual itu menjadi perhatian saya. =)

    Like

  3. aiseh…kena cari buku yang bertajuk “Bagaimana untuk mengenakan orang yang membuli anda.”

    hihihi…nanti akak tak boleh buli lagi =)

    (ada ke buku yang bertajuk begini?)

    Like

  4. Saya pun belajar menaip dulu waktu sekolah-sekolah guna mesin taip. Sakit jari telunjuk, ganti dengan hantu.

    Dulu-dulu, kalau dapat curi-curi gunakan mesin taip abang saya buat menaip apa-apa (sahaja), memang akan rasa sangat puas. Dapat satu helai penuh, rasa seperti dah siapkan satu mahakarya.

    Like

    1. KhairulHak : Betul-betul. Kadang-kadang saya taip sahaja apa yang nak ditulis. Saya suka bunyi mesin taip yang kononnya dengar macam kita sedang bekerja dengan semangatnya itu🙂

      Puas bila selesai menaip satu mukasurat🙂

      Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s