Anwar Ridhwan – Berbagi Duka


Di sebalik helaian Jurnal Sulung, saya jumpa puisi ini, yang hanya sekerat sahaja. Lalu saya sudah jatuh cinta pandang pertama.

Apakah yang lebih membahagiakan kita

selain berbagi duka

kau sepertiga, kau sepertiga, aku sepertiga

di dunia kita bertiga.

Saya tanyakan pada si penulis catatan itu, namun tidak mendapat jawapan. Saya sedikit sedih.

Lalu, ketika membuat kerja sukarela untuk projek MPR di bahagian pengambangan sastera (yang rasanya pejabat itu seperti pejabat kami jua), saya jumpa buku ini di antara banyak-banyak buku yang tersusun di sekian banyak meja. Waktu itu saya benar-benar hampir pulang


Saya belek-belek sahaja. Melambung untung nasib dan di helaian terakhir, saya jumpa puisinya – Berbagi Duka. Rasanya kawan-kawan yang terlihat peristiwa saya menjumpai puisi ini tentu sahaja masih teringat reaksi saya. Jadi biarkanlah menjadi rahsia. Kan?

Untuk kawan-kawan diluar sana, saya catatkan puisi Anwar Ridhwan – Berbagi Duka disini.

Anwar Ridhwan – Berbagi Duka


Kudengar patrum mendedas dari senapang

Menceritakan luka sebuah hutan


kulihat pukat diturunkan

Meriwayat riba sebuah lautan


Ku dengar sesuatu melengking

antara tikton dan jarum jam


Kupelihara kalian, burung-burungku

(disangkar ini)

Kupelihara kalian, ikan-ikan karang

(di akuarium ini)

kupelihara diriku disini


Apakah yang lebih membahagiakan kita

selain berbagi duka

kau sepertiga, kau sepertiga, aku sepertiga

di dunia kita bertiga.


Notakakitangan : Penulis catatan telah membalas email saya, tetapi dia terlewat 3 hari. Hihi

Advertisements

Cinta Ini


Pagi-Tengah Hari dan Petang.

Mesti radio akan menyiarkan lagu ini. Saya pun tidak pasti stesen mana kerana sibuk membuat kerja. Dahulu saya sudah jatuh cinta, apakah lagi sekarang. Antara album cik Siti, saya paling menyenangi album Lentera Timur kerana hampir semua lagunya saya suka.

Nissa dapat meneka bahagian baris ayat yang paling saya suka. Cemerlang! Nanti saya belanja ABC special ya. Kalau pembaca bijak bestari, baris ayat yang manakah yang paling saya suka sekali?

Terfikir juga, apakah stesen radio baru mengesan bahawa lagu ini sangat sedap dan liiknya indah. Betapa terlewatnya kamu. Sungguh terlewat sekali.

Tetapi tidak terlewat untuk saya berkongsi kan?

Betapa engkau menyintai
Agungkan aku bagai seorang puteri
Selalu kau puja diriku ini
Melayang aku tak memijak bumi

Namun terkadang ku rasakan
Apakah sikapmu tak berlebihan
Aku wanita tak sempurna
Bukan sekilaunya batu permata

Marilah bersama jalani cinta kita apa adanya
Saling mengerti dan sudi menerima
Kita manusia biasa
Marilah menjaga kesucian cinta rahmat yang Kuasa
Saling berpadu hati untuk berdua
Dalam dakapan mesra

Nikmati suka berbagi duka
Seiring denganmu aku bahagia
Genggam jemari dan berjanji
Setia selamanya sampai akhir nanti


Notakakitangan: Saya tidak suka video klip ini kerana saya jangka video klipnya lebih indah. Tapi ini jauh indah dari rupa.

Pesanan Untuk Seseorang


Ada satu yang mengikat kita lagi : Buku.

Jadi, simpan sahaja. Namun jangan hilangkan.


Supaya suatu hari nanti, kau atau aku. Masing-masing punya alasan untuk bertemu.

Untuk memulangkan dan untuk menerima.

Untuk memberi dan untuk mengambil.

atau

untuk memulakannya atau menamatkannya


(Tayangan gambar: Filem – Definitely, Maybe)

Beg-Buku dan Baca-baca@LRT


Zaman muda-muda, saya suka menyandang handbag yang kecil molek. Lambang wanita elegen – kononnya. Ini semua akibat pengaruh kakak saya. Kemudian saya membesar dan membesar dan mula memilih tata gaya sendiri mengikut kehendak diri.

Saya sudah tinggalkan zaman handbag kecil molek yang muat-muat untuk masukkan purse. Keperluan diri semakin banyak, purse mengembung dengan segala macam kad-kad dan resit-resit yang mungkin berguna suatu hari nanti. Kalau berjalan mahu juga membawa paling-paling tidak, compact powder atau eyeliner. Sesekali mahu bawa kamera. Namun sebab yang utama, saya akan membawa sebuah buku di dalam beg itu.

Jelas handbag kecil molek tidak memenuhi kehendak diri dan saya mula memilih membawa beg yang sebesar alam yang boleh membawa sekali sekalian barang-barang seperti yang tersebut di atas. Dahulu, sebelum saya ada Arjuna, saya selalu kelintar Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan awam. Sebut sahaja mana perkhidmatan awam yang saya tidak pernah naik dan hafal laluannya. Dari LRT, Monerail, Star, KTM (yang lembap macam siput), semua saya pernah naik. Yang paling menyeronokkan (atau tidak seronok?), saya punya masa untuk membaca semasa naik perkhidmatan awam. Ya, saya ada kebolehan membaca dalam train yang bergerak-gerak.

Ketika itu mungkin saya dilihat sebagai alien atau mungkin dianggap sebagai mengada-ngada dan menunjuk-nunjuk pandai dengan membaca sekian-kian judul buku yang aneh-aneh di dalam train. Tetapi ada saya kisah? Keanehan itu selagi tidak menyakitkan hati orang lain, tidak apa kan? Daripada duduk di train membuang pandang pada kelakuan-kelakuan manusia akan mencetuskan pelbagai spekulasi liar, baik saya habiskan sekian banyak buku yang tidak terbaca itu.

Bila ada program ini, saya senyum-senyum sahaja di dalam hati.

Jadi kawan-kawan. Sokonglah ya.


Notakakitangan : Beg saya sudah terkoyak. Siapa mahu sponsor beli baru? Kamu? Ya, terima kasih . 🙂

Maskara 19 – Satu malam yang cemerlang untuk saya!


Untuk pertama kalinya saya ke rumah pena tanpa sesat atau berpusing-pusing atau terpaksa menghubungi kawan kerana tidak jumpa jalan yang lurus ke Rumah Pena. Ucapan tahniah untuk pencapaian saya yang cemerlang, gemilang dan terbilang ini. Tidak lupa juga kepada Nissa yang sudi jadi co-pilot yang tidak bertauliah.

Masuk ke simpang rumah pena kami disambut oleh baton bercahaya warna-warni dan kami dapat parking yang baik dan orang seperti tidak ramai lagi. Melihat Rumah Pena yang di atas bukit, Nissa sudah menggeleng-geleng kepala. (Nissa baru pulang dari bermain paint-ball yang menyebabkan sedikit kecederaan fizikal). Nissa, bertabahlah! Kami pun mendaki bukit bukau itu dan berjumpa dengan khayalak MASKARA. Saya masih malu-malu lagi dan sedikit gementar sehingga terpaksa mengambil air sejuk percuma yang disediakan di depan pintu Rumah Pena.

Kemudian, setelah meletakkan majalah Dewan Sastera (yang masih banyak dalam simpanan) untuk dijual dengan harga lelong mengalahkan jualan gudang DBP, saya terpandang seseorang. Macam kenal. Saya cuba menahan lidah daripada tergelincir dan menyeru namanya tetapi tidak berjaya. Salahkan lidah saya ya. Tidak sangka saya dapat jumpa En Kelambu secara langsung. Sampai berdebar-debarlah juga. Hihi. Oh siapa dia? Sila rujuk entri ini.

Selepas berjaya mendapat tempat yang agak strategik, kami pun mula duduk dan menunggu majlis bermula sambil mendail kawan-kawan yang masih belum tiba dengan semberani masing-masing. Maskara dimulakan dengan upacara ala-ala jepun oleh Dean Sham. Cuma tiada pedang samurai sahaja. Kalau tidak, mesti sudah lengkap.

Kemudian, RainWonder(saya suka kata-kata dalam poster) muncul dan membacakan teksnya. Baik. Mungkin darjah kefahaman saya tidak sampai dengan takah kefahaman dia menyebabkan saya jadi kabur dengan apa yang mahu diperkatakan. Suaranya yang berbalam-balam membuatkan saya tidak berapa menyukai persembahannya. Mungkin saya perlu baca teksnya untuk menyukainya. Mungkin. Apa-apa pun kita semua ini alien. Aneh pada orang lain yang menganggap diri kita aneh dan kita anggap orang itu juga aneh.

Ada juga persembahan Mohd Jayzuan. Saya fikir saya pernah berhubung dengannya melalui blog. Rasanyalah. Saya komen di entrinya yang berkisar pasal kucing. Bertahun-tahun dahulu sebelum dia terkenal. Rasanya dia pun tak ingat saya. Haha. Baik. Kembali pada persembahan. Mohd Jayzuan mempersembahkan beberapa buah lagu dan lagu yang terakhirnya bertajuk Lelaki Pop Ini. Sebelum ini pun saya sudah dengar lagu Lelaki Pop Ini kerana dipaksa untuk memuat-turun di blognya. Tentulah saya suka lirik lagu ini berbanding yang lain. Masa depan lebih menakutkan dari hantu-hantu dan jembalang. Huu. Nak tujukan untuk seseorang lah. Haha. Baik, Sila abaikan ayat yang terakhir.

Ada juga Anna Raffali. Sesiapa yang minat pada dia, yang bagai bidadari turun dari kayangan dengan berbaju kurung bukannya gaun, patut rasa menyesal sekarang. Saya rasa masa dia sound check lebih sedap vokalnya berbanding dengan buat persembahan. Suara dia sedap. Sungguh dan dia buat saya rasa menyesal tidak pandai bermain gitar. Kalau tidak mesti saya yang berada ditampat dia sekarang. (ayat perasan!!) Tentulah saya suka Hujan Bunga Di Kuala Lumpur. Saya suka liriknya. Segar.

Bila Jonos membacakan 10 fakta tentang Soljah, saya rasa saya pun nak buat 10 fakta tentang kawan-kawan yang saya suka. Maka, kawan-kawan yang saya suka, nantikan bingkisan daripada saya ya.

Persembahan mikrofon terbuka seterusnya ialah dari Meor. Saya sangat suka puisi Abdullah Jones yang dilagukan olehnya. Puisi Membenarkan Kebodohan. Antara sebabnya, saya rasa puisi itu mirip dengan puisi saya : Menulis Kebodohan. Sila cari diblog ini, kalau-kalau saya tidak buang lagi. Suara Meor ini sangat sesuai dengan lagu ini. Penuh marah tetapi tidak menyakitkan telinga mendengarnya. Boleh tidak tidur malam ini. Kalau Mohd Jayzuan cuba menyanyi lagu ini, mungkin saya beri markah separuh dari markah yang diberi kepada Meor. (dengan ketawa jahat dihujung kata).

siapa agaknya/yang membenarkan/kebodohan/tidur terlentang/dalam kehidupan/menjerit-jerit/tentang kematian/pekik lolongnya kosong/siapa agaknya/yang memberi izin/kepada kebodohan/datang ke rumah kami/semadikan diri di jiwa kami/bicaranya bohong/janjinya bohong/semangatnya bohong/juangnya bohong/siapa agaknya/yang meletakkan kebodohan/di tempat yang amat tinggi/tentu saja siapa itu adalah kami yang/berjalan berkaki ayam/kerana sepatu kami/tertinggal di rumah bapak menteri

Di akhir majlis, sebelum saya tinggalkan rumah pena, saya sempat mengucapkan salam berpisah kepada Encik Kelambu. Rasa sedikit menyesal tak tangkap gambar. Entah bila akan bertemu (sambil lagu syahdu dibelakang melatari pemergian saya). Sebelum pulang juga, Anna Raffali sempat juga bergambar dengan kami. Haha. Anna yang pergi pada kami apabila kami memanggilkan. Tak baik betulkan? Tapi biasalah kenalah melayan peminat. Oh tidak lupa juga kami sempat menculik masa En Meor untuk bergambar bersama kami.

Oh! Baru saya perasan. Ini satu-satunya Maskara yang saya tengok dari mula sampai ke akhir ditempat yang sama. Selalunya lambat sampai. Pulang awal, bertukar tempat duduk. Atau tersesat di luar Rumah Pena tak jumpa jalan masuk ke dalam rumah itu. Sememangnya malam ini merupakan malam Maskara yang cemerlang untuk saya. Tahniah!

Gambar-gambar tidak dapat dimuat-naikkan kerana masalah hak cipta. Harap maklum.


Notakakitangan : Saya suka ke Maskara. Saya suka ke majlis sastera.