Buku : Beli dan Baca!


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 telah seminggu berlangsung. Saya sempat ke sana 2 kali. Satu pada hari jumaat manakala satu lagi pada hari sabtu.

Semasa hari sabtu, sempat juga berkumpul dengan kroni-kroni yang kita sayang. Malah sempat juga menjadikan sofa putih milik booth Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sebagai tempat bersantai, baca puisi, melepak dan bertukar-tukar cerita. Nasib baik staf ITNM tak kisah dan terima kasih kepada Incik Anuar Manshor yang rasanya bersabar sahaja tengok telatah kami. Kami memang suka buat majlis sendiri dalam majlis orang lain (dengan terkawal tentunya). Oh ya tidak lupa ucapan terima kasih kerana sudi mempelawa kami makan-makan secara percuma. Percuma adalah perkataan yang sungguh mengujakan!

Saya sempat juga menghabiskan sejumlah wang untuk beli buku. Walaupun terlebih 100% daripada budjet yang ditetapkan. Tetapi reda sahaja. Rak buku 3 tingkat yang baru dihadiahkan orang pada bulan lepas pun sudah penuh terisi. Maknanya, itu petanda kena kurang-kurangkan membeli buku untuk seketika. Beringatlah kepada perut dan si dia, yana. (baca dengan nada tegas)

Sepanjang seminggu sebelum dan selepas pesta buku berlangsung, maka kalau saya buka mukabuku mestilah cerita yang diperkatakan adalah mengenai pesta buku: keinginan, keasyikan, jumpa kawan-kawan lama, keghairahan dan semuanya melibatkan pesta buku. Ialah hampir 75% kawan-kawan di mukabuku dari mereka si penggemar buku walaupun mereka bukan dari golongan penulis sekalipun. Namun, selepas menayangkan jumlah buku yang dibeli, berapakah diantara kita yang menyatakan jumlah buku yang dibaca. Paling-paling status yang saya baca akan berkata begini : Banyak buku yang dibeli, tapi tak punya masa untuk membacanya @ Buku dirumah sudah banyak, tapi beli buku baru lagi dan yang seangkatan dengannya.

Lalu saya bertanya, hobi mereka membaca buku atau membeli buku atau membeli buku untuk menunjuk-nunjuk kononnya mereka baca buku? Ini mengimbau ketika zaman saya dahulu. Perpustakaan desa baru dibuku dan saya memang pengunjung setia sehingga kini biarpun sudah bertahun-tahun saya tidak datang, kakak perpustakaan itu tetap mengenali saya. Kewangan keluarga tidaklah begitu mewah untuk saya membeli buku yang saya suka. Malah di dalam keluarga saya, saya seorang sahaja yang tersesat hobi suka membaca. Jadi alternatif, perpustakaan sahaja. Jadi saya membaca buku-buku yang dipinjam. Bukan buku-buku milik saya sendiri. Bila dewasa, saya membeli buku dengan duit yang kumpul sendiri.

Untungnya duduk di asrama, abah bagi elaun bulanan dan saya tidak guna untuk perkara lain selain membeli buku. Sebab itu, saya sangat marah sekali kalau buku-buku yang saya beli hilang. Setiap buku ada kenangan tersendiri. Pernah sekali itu, saya terbeli buku yang kurang bagus isinya. Saya kecewa kerana saya membeli buku itu ketika kewangan sedikit mendesak dan rupa-rupanya promosi buku itu indah khabar dari rupa. Lalu sehingga kini, saya tidak pernah membeli buku hasil tulisan penulis itu. Itu sisi negatif saya, barangkali.

Saya tidak kagum dengan mereka yang membeli banyak buku tetapi hanya menguar-uarkan jumlah buku yang dibeli, meletakkan foto buku-buku tersebut di blog namun langsung tidak sempat membacanya. Kalau-kalau mereka membaca pun bukan dengan analisis yang kritis, malah seolah-olah buku-buku itu tidak membantu dia memandaikan fikirannya. Lalu apa sumbangannya selepas membeli buku itu?

Saya lagi kagum dengan mereka yang tidak dapat membeli buku tetapi banyak membaca. Mereka tidak dapat membeli buku mungkin kerana sebabnya seperti saya ketika saya kecil dahulu. Malah saya pernah berkenalan dengan orang-orang yang ghairah mahu membeli buku tetapi tidak cukup wang, lalu dia meminjam buku dengan banyak dan kerap diperpustakaan. Mereka membaca dengan sisi yang berbeza. Mampu mengupas isi buku dari sudut yang kadang-kala kita tak terfikir pun. Mereka memperoleh itu dari buku-buku pinjaman. Lalu kalau bercakap dengan mereka, kita jadi kagum dengan fikiran mereka.

Buku dimiliki untuk dibaca dan bukan untuk dihiasi dirak sahaja. Buku ditulis untuk dibaca, untuk diteroka fikiran penulisnya dan untuk disebarkan kepada orang lain, ilmunya. Jikalau buku dibeli untuk hiasan dirak sahaja, lebih baik beli replika buku sahaja kan?

 

Notakakitangan : Ini entri  peringatan kepada saya.