Apabila Ibu sudah berbicara soal kahwin?


Adakah saya patut risau?

Rasanya tidak kot.

Dahulu zaman remaja, ibu cukup pantang kalau telefon asyik berbunyi atau tangan asyik berketik-ketik menaip mesej. Itu boleh jadi satu point yang cukup baik untuk dia bersyarah sehingga sehari semalam.

Bila sudah masuk zaman universiti pula, saya jarang sekali berketik-ketik menaip mesej atau menjawab panggilan telefon semasa dirumah. Berbeza sekali. Itulah namanya keremajaan yang mahu mencuba dan kedewasaan yang membosankan. haha.

Tapi rupanya kelakuan itu diperhatikan oleh ibu saya, Malah dia pernah menegur saya, apakah saya tiada ‘seseorang’, melihat saya tidak lagi sibuk dengan telefon. Malah telefon merupakan perkara yang ke 80 untuk difikirkan semasa pulang ke rumah selepas makan-tengok tivi-jaga anak saudara-dan lain-lain. Saya pun aneh, saya semakin tidak menghiraukan telefon saya sejak dua-tiga tahun ini. Satu perkara yang harus dibimbangkan!

Apabila saya sudah tamat belajar, maka soalan itu jadi bertalu-talu pula. Nasib baik saya pandai tepis dengan bantuan kakak saya, tentunya!

Tapi bila jiran sebelah rumah yang sebaya dengan saya dan teman saya bermain rounders masa kecil-kecil sudah berkahwin awal tahun ini dan sedang mengandung, ibu sudah menjeling-jeling ke arah saya setiap kali pulang rumah. Malah ditambah dengan perkahwinan sepupu-sepupu perempuan saya yang muda setahun dan tua setahun dari saya menambahkan point yang cukup baik untuk bercakap soal ini. Malah topik kahwin, warna pelamin, warna bilik pengantin, hantaran, jamuan makan, cenderamata serta apa sahaja berkaitan dengan perkahwinan bukanlah menjadi perkara taboo untuk diperkatakan oleh ibu saya. Aneh sekali!

Kakak saya pun sudah jadi rakan-kongsi ibu tentang soal ini dan pernah sekali ketika saya menghantar kakak pulang dari kampung ke rumahnya di kajang, dia bersyarah soal kahwin sahaja. Malah adik-adik pun sibuk mahu menengok siapa bakal abang ipar mereka dan ingin melaksanakan segala rancangan nakal untuk membuli ‘dia’. Sebab niat kamu-kamu yang nakal itu telah dikesan malaikat, maka kakak kamu tidak temu jodoh lagi, mengerti!

Ibu sudah pandai mengeluh bila kawan-kawan dia bertanya, bila giliran saya memandangkan sekian banyak teman sebaya saya memilih untuk berkahwin tahun ini sampai saya tertanya apakah tahun ini merupakan acara kahwin secara berjemaah? Ibu sudah mula bertanya, apakah tiada orang mahukan saya memandangkan saya tidak langsung bercerita soal itu sedangkan kakak saya sudah bertunang semasa sebaya umur saya. Kalaulah Harian Metro ada ruangan iklan ‘Siapa Mahu Kahwin Dengan Anak Saya?’, mesti ibu akan berusaha memasukkan nama saya. Saya pasti itu.

Saya pula masih menjadi yang paling irit untuk bercerita soal nikah-kahwin dengan ibu sedangkan ibu seolah-olah mahu cepat-cepat menikahkan saya dan syoo saya dari rumah. Jadi saya ada pernah juga terfikir, apakah ibu tak sayangkan saya sehingga mahu cepat-cepat saya berkahwin?

Itu memang patut buat saya risau. Risau!

Tapi saya tahu, seorang ibu mestilah risau anak daranya ke sana kemari tanpa pengawasan sesiapa. Memandangkan saya suka sahaja buat aktiviti luar secara spontan, mungkin itu antara punca-punca kerisauannya. Malah dengan kadar jenayah yang naik dimana-mana lagilah membuatkan dia risau. Ditambah dengan ada sejarah, mak cik saya masih tidak berkahwin-kahwin kerana terlalu mahu mengejar kerjaya dan sekarang susah nak buat pilihan untuk berkahwin sebab terhad, itu pun sudah menambahkan kerisauannya. Kalau cepat saya kahwin, kerisauannya mengenai keselamatan saya akan berkurangan. Itu teori saya (perasaan tak setiap ayat ada perkataan risau? perasan tak? tak?)

Aih! Setelah taip dengan panjang lebar, saya sudah mula rasa bosan tentang topik ini.

Ha.. perkara ini lagi patut saya risau!

Bosan soal kahwin? Ish Ish Ish….