Abstrak si pembikin filem pendek


Saya suka tonton filem yang kebanyakkan dimuat tirut secara tidak rasmi dari internet. Bukan saya tidak mahu membeli DVD tapi setelah kecewa dengan pembelian DVD The Phantom Of The Opera, saya tekad. Semua cerita harus muat turun sahaja.

Beberapa minggu lepas saya pergi Solaris semasa program Mimpilem. Solaris Dutamas, bukannya Solaris Hartamas. Ya, saya berjaya sampai juga disana biarpun sesat dan berpusing-pusing serta hampir semua orang tidak tahu tempat itu dimana.

Namun ketika saya sampai, saya hanya sempat menonton 3 filem pendek yang terakhir sahaja dan beberapa persembahan muzik. Tanggapan pertama ketika menjejakkan kaki ditempat ini. Wah! atmosfera bonjois (Wahyudi, 2010) sungguh! Sistem audionya ditahap terbaik kalau hendak dibandingkan dengan beberapa tempat yangs aya pernah pergi.

Apabila menonton ketiga-tiga filem pendek yang terakhir, ada dua orang teman saya (yang baru menjinak-jinakkan diri) bertanya, “Apakah makna filem ini?” Saya terdiam sebab saya pun mencari maknanya juga.

Itu filem pendek eksperimental. Jadi apa itu eksperimental? Haruskah dengan dialog-dialog yang sukar untuk dimengertikan atau titik-titik plot yang tidak bersambung atau cuba untuk memetaforakan atau mengabstrakkan kehidupan dari kaca mata seorang pembuat filem yang mana cacar marba sekali?

Jadi tujuan pembuat filem pendek itu apa?

Apabila pengarah dipanggil ke depan dan penerangan pengarah itu pun seakan mengalami kecelaruan identiti, kita yang jadi penonton pun tidak semangat bertanya apa-apa. Rasanya mereka pun tidak tahu apa yang mahu mereka beri kepada kita sebagai penonton.

Atau mungkin mereka terlalu taksub dengan teori sehingga semua pun hendak dihimpun-himpitkan dalam sebuah cerita pendek?

Mungkin saya fikir sesetengah iklan petronas atau iklan raya itu jauh tinggi mutunya daripada sebuah filem pendek yang entah apa-apa misi dan visinya.

Mungkin juga tahap fikiran saya tidak setinggi tahap kekreatifan dan abstraknya fikiran mereka? Mungkin juga kan.

Ah! Yana. Kalau kamu banyak bising, tulis skrip dan arahkan filem pendek sendiri. Mungkin itu yang mereka akan kata pada saya kalau mereka baca tulisan ini.

Aih!

Urm. Menarik juga idea itu kan?

Tulis skrip filem pendek??

Nota kakitangan : Saya kecewa tidak dapat tonton RonaMaya karya salah seorang teman blog Nyanyian HUjan.

Oh, ini entri yang benar-benar tertunda.

Penyelamat Cinta???


Kata mereka, “Terima kasih kerana menjadi cupid (penyelamat cinta).”

Saya senyum sahaja, terpinga dan tidak faham.

Itu cerita bertahun-tahun dahulu. Zaman saya sekolah. Zaman tudung putih disembat dihadapan.

Sekarang pun ada orang beri ungkapan yang sama. Masih berterusan beberapa tahun kebelakangan ini.

Saya rasa saya tidak buat apa-apa. Saya sekadar sudi menemankan mereka berjumpa-jumpa atau apabila mereka sedang pening dengan masalah cinta mereka, mereka seakan senang menerima nasihat-nasihat saya. Walhal saya ini lagi bebal dalam soal cinta.

Apabila semakin dewasa ini, rupanya sudah berapa ramai yang meminta saya menjadi penyelamat cinta, meminta menyambung ikatan terputus, memulakan cinta atau apa-apa. Saya masih dengan wajah manis tidak pernah menolak atau berkata tidak.

Kadang-kadang saya sendiri aneh dengan diri sendiri. Kalau orang lain, sudah menimbun rasa cemburu apabila melihat teman-teman seangkatan sudah punya cinta dihati tetapi diri sendiri masih solo juga. Saya senang sahaja menemankan mereka bila memerlukan atau menghantar dan menjemput mereka. Malah lama-lama saya menjadi perancang pula.

Saya pernah bergurau dengan seorang teman, “Agaknya aku ini boleh buka agensi mencari jodoh la. Banyak untung!”

Lama-lama saya bertanya, mengapa agaknya saya senang berbuat demikian ya?

Mungkin saya suka melihat wajah-wajah bahagia. Senyuman yang terpamer manis apabila hati dihujani kelopak mawar. Mungkin saya rasa bahagia melihat mereka memandang saya dan mengucapkan terima kasih. Mungkin saya suka mereka tertawa dan bercanda mesra. Mungkin.

Atau mungkin saya kaki menyibuk! Haha.. Itu pun satu kemungkinan kan?

Apa-apa pun untuk mereka yang pernah menerima khidmat penyelamat cinta (kononnya) ini, saya harapkan semoga hubungan berkekalan dan berpanjangan. Saya harap saya dihadiahkan dengan kad berukir nama anda berdua suatu hari nanti.

InsyaAllah.

Koc Merah Jambu


Kalau sebut merah jambu, maka bersimbahlah deretan mengenai wanita, perempuan, gadis. Warna merah jambu walau dalam apa ton sekalipun pasti dikaitkan dengan feminin.

Malah bila pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan Koc Merah Jambu secara cop rasminya tentulah koc itu khas untuk perempuan kan. Hanya perempuan sahaja.

Maka, satu hari saya malas mahu memandu dan mengambil keputusan untuk menaiki komuter sahaja dari hentian Batu Tiga untuk ke Ampcorp Mall. Selain itu mahu juga merasa menaiki koc merah jambu. Blink blink itu.


Apabila tren sampai, saya lihat masih ada lelaki di dalam koc itu. Kalau seorang dua tidak mengapa. Mungkin tersalah tren. Namun lebih daripada sepuluh orang lelaki dalam koc itu. Wajah mereka langsung tidak menunjukkan serba salah apabila ada mata-mata yang memandang mereka.

Tidak mengapalah. Saya tunggu dan lihat. Mungkin mereka akan berpindah koc lain di hentian seterusnya.

Kemudian mata saya kelintar sekitar koc dan mendapati ada sepasang kekasih sedang duduk bersebelah di dalam koc merah jambu itu. Saya sangat kesal dengan atitud pihak perempuan itu. Kalau pun mahu bersama dengan pasangan 24/7, pindahlah ke koc lain bukannya dalam koc merah jambu ini. Patutnya yang pihak perempuan itu lebih sensitif dengan gendernya sendiri. Malah, di dalam koc merah jambu ini mereka masih juga bermesra sesama sendiri. Sungguh tidak sensitif.

Ketika perjalanan pulang, saya menaiki komuter di stesen KL Sentral. Ada kawasan yang ditanda kawasan menunggu koc merah jambu. Ketika tren sampai, pengawal stesen mengawasi kalau-kalau ada lelaki yang cuba memasuki koc merah jambu. Malah lelaki yang sengaja masuk koc merah jambu di stesen sebelumnya telah diminta bertukar koc. Satu perkara yang tidak sensitif disini ialah, ada perempuan (warganegara indonesia) yang berkata kepada pengawal stesen :Mana ada lelaki di dalam ini. Walhal jelas sekali ada lebih daripada tiga orang lelaki (warganegara Indonesia juga) sedang enak-enak duduk di koc merah jambu.

Apa yang saya lihat, kalau ada pengawal stesen barulah lelaki tidak masuk ke dalam koc ini. Kalau tidak, sewenang-wenang sahaja duduk dan bersenang-senang. Lelaki diluar sana harus ambil tahu bahawa koc tengah adalah koc untuk wanita. Walaupun warna koc itu bukanlah merah jambu betul-betul tetapi janganlah mementingkan diri pula dan kata saya tidak tahu.

Bagus juga ada koc merah jambu ini terutamanya diwaktu puncak. Kalau waktu puncak menaiki komuter yang macam tin sardin itu macam-macam boleh terjadi. Alhamdulillah, tidak pernah berlaku kejadian kurang diingini sepanjang saya menggunakan perkhidmatan komuter ini selama ini. Namun iya lah, malang kan tidak berbau.


Notakakitangan: Saya tetap tidak padan memakai baju merah jambu.

Guru bukan dewa dan murid bukan kerbau


 

Kalau angka ku ditahan oleh model guru yang tak tahan kritik aku akan mengadakan koreksi habis-habisan aku tidak mau minta maaf, memang demikian kalau dia bukan guru pandai tentang karangan saja dia lupa aku rasa dalam hal sastraku lebih pandai. Guru yang tidak tahan kritik masuk kedalam keranjang sampah, guru bukan dewa dan selalu benar dan murid bukan kerbau. (Sok Hok Gie – Catatan Seorang Demonstrant)

 

Untuk semua guru yang pernah memberi ilmu, menunjuk ajar dengan sabar, menebar bijaksana. Terima kasih.

 

Notakakitangan : Tulisan Gie mengingatkan saya tentang satu peristiwa di maktab atas kayangan. Sedih tapi benar.

Nanti nak kahwin macam mana?


Saya dibesarkan dengan ajaran, seorang perempuan harus mahir mengurus hal dapur. Harus pintar menggaul rencah dan rempah untuk masakan. Harus pandai mengatur kerja rumah seperti membasuh, menyapu rumah, mengemas. Harus pandai menyulam dan menjahit serta mengait.

Ya, dirumah tiada orang gaji yang boleh disuruh itu ini dan kalau saya disekolah menengah masih tidak tahu masak apa-apa, maka saya akan dileteri ibu sehingga telinga sudah menjadi tuli. Ayat yang paling sterotaip yang akan digunakan

“Nanti nak kahwin macam mana?”

Secara peribadi, saya rasa kemahiran ilmu rumah tangga bukanlah satu kewajiban atau syarat untuk seseorang bergelar wanita. Saya lebih suka menyatakan kemahiran rumah tangga itu merupakan satu cara penghargaan isteri terhadap suami (jika sudah berkahwin) atau kelebihan. Maka saya cukup tidak suka jika ada orang kata tempat seorang perempuan di dapur. Ayat itu kurang relevan sekarang ini.

Macam satu pokok bunga, biarpun tidak dicantas, dihias, digubah maka tetap dipanggil pokok bunga. Masih boleh menghias rumah. Namun jika digubah, dicantas daunnya jangan berselirat dan berserabut, diletakkan dibekas yang cantik, maka bunga itu akan jadi lebih dari penyeri rumah. Kemahiran-kemahiran yang ada pada seseorang perempuan merupakan gubahan, bekas yang cantik, cantasan bagi sepohon pokok bunga.

Jadi, saya tidak berapa menyenangi kalau-kalau ada lelaki mahu bakal isterinya pandai itu ini tetapi dia tiada apa-apa kelebihan selain mengarah sahaja. Bagi saya, kemahiran rumah tangga harus dimiliki oleh lelaki juga. Kalau perempuan sudah memilih untuk bekerja menampung keluarga juga, lelaki harus begitu. Belajar menolong isteri di dapur walau sekadar hanya membancuhkan air, menggaul gulai semasa isteri sibuk mahu menyiang sayur.


Saya suka belajar kemahiran rumah tangga bukanlah sebagai keperluan atau syarat untuk berumah tangga suatu hari kelak tetapi sebagai penghargaan atau hadiah kepada suami yang menerima saya sebagai teman hidupnya kelak. InsyaAllah. Tidak punya kemahiran rumah tangga bukan bererti tidak layak untuk berkahwin, kemahiran itu boleh diasah dan dilatih sesudah berumah tangga sekalipun.

Saya teringat petua yang diperturunkan oleh emak kawan saya kepada saya.

“Kalau tidak pandai memasak semua jenis hidangan sekalipun, kita kena mahir memasak satu resipi. Contohnya nasi ayam. Belajar buat nasi ayam yang paling sedap sampai semua orang akan ingat nasi ayam kita.”

Nota kakitangan: Untuk teman saya yang sedang memilih itu, moga-moga Allah permudahkan.

Nota lagi : Teringat ayat dalam filem cinta : Isteri bukan hak milik tetapi anugerah.


Chairil Anwar – Sia-sia


Apa yang kau cuba tawarkan lagi. Cinta? Yang kau sendiri tidak pernah belajar mahu mengejanya. Lalu apa yang sebenarnya mahu kau tawarkan pada aku? Cukup. Berhenti. Sepatah lagi darimu, membuat aku akan mengeluarkan kata-kata yang sama-sama akan kita kesali.


Chairil Anwar – Sia-sia


Penghabisan kali itu kau datang

Membawa kembang berkarang

Mawar merah dan melati putih

Darah dan suci.

Kau tebarkan depanku

Serta pandang yang memastikan: Untukmu.


Sudah itu kita sama termangu

Saling bertanya: Apakah ini?

Cinta? Keduanya tak mengerti.


Sehari itu kita bersama. Tak hampir-menghampiri.


Ah! Hatiku yang tak mau memberi

Mampus kau dikoyak-koyak sepi.


Chairil Anwar

Februari,1943

Mari kita menjawab soalan…


Tidak cukup dengan buang masa di facebook, maka saya akan cuba membuang masa lagi disini.

Siapa yang ada soalan, boleh tanya saya. Soalan ya, bukan kenyataan atau pernyataan. Ha… Soalan yang sangat baik, menarik hati, meninggikan intelektual dan  membuatkan boleh bertukar-tukar fikiran (wah! baca ayat disebelah pun dah gerun) akan ditulis sebagai entri di blog ini.

Tak menarik kan tawaran ini? Aih. Apa nak buat. Saya blogger miskin je. Iklan nuffnang pun tak ada. Jadi saya tawarkan kata-kata sahaja lah. sebab itu sahaja yang saya ada 🙂

Jadi jangan malu-malu. Soal-soal lah 🙂

http://www.formspring.me/ainunlmuaiyanah.