Mungkin saya seorang pengarang/penulis yang ego?


Saya penulis yang ego. Ini kenyataan yang jujur. Saya ego untuk menunjukkan karya saya pada sesiapa. Saya ego untuk beri sesiapa baca puisi saya. Saya ego untuk menghantar karya di mana-mana penerbitan. Kadang-kala saya ego untuk menulis.


Begitulah saya dan ego. Entah macam mana perkataan yang dihuraikan oleh Sigmund Freud dalam teori Ego-Defense Mechanism berjaya mengganggu saya.

Malah ada orang pernah bertanya, apakah saya sering menulis atau tidak? Saya jawab, ya. Cuma saya jarang hantar. Setahun, saya hanya hantar sekali dua. Adalah setahun itu sekali dua juga karya saya tersiar. Lalu orang itu kata, Eh, kenapa jarang hantar. Hantarlah.

Mungkin itu cara saya denial. Mungkin saya tak suka rejection atau penolakan sama ada secara halus atau tidak. Saya hanya akan hantar jika saya yakin benar-benar diterima untuk disiarkan. Bukan, Oh sekadar cuba-cuba! Dulu mungkin ya, sekarang mungkin tidak.

Karya seperti anak-anak kepada saya dan sebagai ibu kepada anak-anak, saya hanya akan melepaskannya pergi jika anak-anak boleh survival dalam persekitarannya yang kejam. Malah saya ada sifat sayang yang melampau pada tulisan sehingga sukar melepaskannya pergi kecuali ia benar-benar boleh menyakinkan saya untuk hidup bebas.


Untuk sesiapa yang mahu jadi penulis dan konon-kononnya membaca blog ini memohon tips menulis. Jangan ikut saya. Ini satu perkembangan yang tidak baik untuk seseorang yang menulis. Penulis yang besar dan terkenal bersedia menerima karyanya ditolak serta diusahakan hantar kepada beberapa penerbitan sehingga diterima. Contohnya, J.K Rowling.

Persoalannya apakah saya ego atau takut menerima kritikan?

Ketika menghadiri ‘bengkel khalwat’ menulis puisi di Rumah Pena tempoh hari, saya menemui tiga jawapan terhadap pertanyaan diatas.

1. Jawapannya saya jumpa dalam sajak Dr. Zurinah Hassan – Malu Seorang Penyair.

Malunya Seorang Penyair

Seorang penyair menulis puisi-puisi

mengumpul dan menyebarkannya

lalu kumpulan itu dibaca


Tiba-tiba ia merasa malu

seperti orang sedang membuka

lembar demi lembar dari hatinya

seperti orang sedang membaca

dirinya.


Zurinah Hassan

Antologi Keberangkatan (DBP, 1985)

2. Saya bukan menulis puisi. Ya, puisi adalah pemilihan kata terbaik dalam susunan bahasa terbaik. Saya masih tidak dapat berbuat demikian rupa. Saya masih belum begitu baik untuk tercampak dalam golongan penyair pun. Saya jadi malu kalau-kalau puisi saya entah apa-apa. Rupanya saya tidak ego tetapi saya malu. Malu untuk menunjukkan karya yang biasa-biasa itu kepada umum.

3. Mungkin saya sekadar menyenangi puisi. Gemar memberi komentar, menggeledah khazanah dan rahsianya, Mungkin saya hanya ditakdirkan untuk mengkritik sajak-sajak sahaja. Seperti seorang pencari bakat bola sepak. Tidak semestinya dia pandai bermain bola sepak. Tapi boleh mengesan bakat-bakat bola sepak yang baru. Kan? Mungkin saya begitu.

Saya masih mencari kedewasaan dalam meluahkan kata. Kalau berbicara tentang bulan dan bintang bukan hanya klise, tidak matang. Mungkin saya patut berdiri atas meja seperti dalam Dead Poets Society untuk mencari prespektif baru.


Advertisements

Memilih bahagia dan derita


Nota : Untuk semua yang pernah mendengar

Sayang, yang merasa derita dan bahagia itu adalah kamu. Jadi aku hanya boleh beri pandangan tetapi bukanlah sesuatu yang wajib engkau ikut ya.

Saya selalu kata begitu sebelum beri apa-apa pendapat yang melibatkan hubungan diantara dua insan kepada kawan perempuan saya (sesekali kawan lelaki, sesekali itu mungkin maknanya sekali sahaja. mungkin)

Sebab saya tidak mahu pendapat saya mempengaruhi pertimbangan kawan saya sehingga bukan membuat keputusan yang dia sendiri akan menyesal. Kita hanya boleh beri pandangan dai sudut orang luar.

Ada orang yang boleh merasa bahagia biarpun dimarah dan selalu ditengking oleh kekasihnya atau suaminya.

Ada orang yang berasa bahagia memilih ketidaksempurnaa pasangan sebagai beautiful in perfectionist.

Bahasa bahagia ini pelbagai kan.

Jadi kalau kawan-kawan saya bahagia dengan cara begitu, saya hanya layak memberi sokongan dan sokongan. Jika mereka tersilap, saya akan berada disisi mereka saat sedih. Kesilapan akan mendewasakan mereka. Biarlah mereka silap masa muda dan memperbaiki keadaan kan?


Saya tinggalkan dengan sepotong sajak daripada Rendra – Pamflet Cinta


Yaaah, Ma mencintai kamu adalah bahagia dan sedih

Bahagia kerana mempunyai kamu dalam kalbuku

dan sedih kerana kita sering berpisah

Ketegangan menjadi pupuk cinta kita

tetapi bukankah kehidupan sendiri adalah bahagia dan sedih?

Bahagia kerana nafas mengalir dan jantung berdetak

Sedih kerana fikiran diliputi bayang-bayang

Adapun harapan adalah penghayatan dan ketegangan


Review Teater Anugerah Merdeka


Teater Anugerah Merdeka telah berlalu. Saya sempat pergi untuk dua hari, 2 sesi pementasan. Hari kedua dan hari keempat. Hari kedua saya tiba sedikit lewat jadi sempat menonton tiga tayangan sahaja.

Mari saya kongsikan pandangan saya terhadap teater ini dari sudut pandangan orang cetek-ilmu-teater.


Sesi Pertama


1 Perigi

Saya sempat menonton ketika babak perbualan antara India dan Melayu sebelum watak lelaki Cina dimasukkan ke dalam perigi kerana berhutang dengan Along. Di dalam perigi itu mereka berbual dan bertanya punca-sebab mereka dicampak ke dalam perigi oleh Along itu. Watak Melayu suka bermain nombor ekor, watak India kerana anaknya sakit manakala watak Cina kerana ingin mengembangkan perniagaan.

Saya tiada masalah untuk memahami skrip dan watak dalam teater ini. Perbualan dalam teater ini adalah perbualan seharian yang boleh kita dengar kita kita duduk semeja dengan 3 kaum yang berbeza. Tipikal kan. Mungkin watak yang paling kuat ialah watak Melayu berbanding watak India yang seperti sedikit blur dan tertagak-tagak dalam menuturkan dialognya.

Saya rasa penggunaan back-ground muzik ketika watak Melayu-Cina-India bergaduh sangat tidak kena. MAcam tak sesuai sahaja.

Secara peribadi, saya suka ending-nya. Sharp!


Memoir Merah : Ali Mengamuk Lagi


Saya, Aidil dan Nissa mempunyai pandangan yang berbeza terhadap teater ini. Perbezaan ini adalah mengenai apakah yang mewakili watak Ali, Merah dan Buana serta tangga.

Watak Ali kabur. Pendiriannya kabur. Watak Merah pun kabur. Ya. penulis skrip ini mungkin cuba bermain dengan simbol tapi kami penonton sendiri kabur dengan simbolnya.

Kemudian, apa itu yang watak yang berbaju putih? Ya, selingannya sinikal tapi kadangkala tidak ada kolerasi antara watak Merah dan Ali (dibelakangnya).

Mungkin saya sendiri tidak faham bahasa teater sehingga saya kabur dengan pengakhirannya

“hentikan demonstrasi”????????<—-Apa itu?

Dalam Peperangan: Siapa Kawan, Siapa Lawan


Ini kisah budak sekolah Tingkatan 3 yang hendak buat kerja rumah dan ada perbentangan esok. Seorang budak lelaki warga pasca-merdeka yang bervisi jauh sehingga tidak perlu hendak ambil tahu apa yang berlaku semasa perang kerana zamannya sudah moden dan maju. Wataknya berkesan dibantu dengan mimik muka dan bahasa tubuhnya yang mencerminkan betapa tidak perlu endah dengan apa yang berlaku sekarang, apa yang penting dia senang dan dapat meneruskan hidup.

Namun selepas dia diancam olok-olok oleh temannya yang berpura-pura menjadi perompak, barulah dia menyedari betapa pentingnya nikmat merdeka dan kepentingan hidup dalam suasana aman.

Cerita biasa. Sederhana. Saya rasa kalau tiada watak utama lelaki itu, ceritanya hanya biasa sahaja.


Pra-Perkahwinan


Sebelum pementasan, Aidil Khalid bertanya kepada saya :Ini teater merdeka kenapa ada pra-perkahwinan pula?

Mungkin di situ membezakan teater ini berbanding teater yang kami tonton malam itu. Ini tentang kemerdekaan diri sendiri. Perkahwinan dilihat sebagai satu titik menentukan kemerdekaan diri yang mutlak dalam membuat keputusan, memilih bahagia dengan cara sendiri tanpa campur tangan orang lain. Namun benarkah ketika saat itu tiba, apakah kita sudah benar-benar merdeka? Itu yang cuba dipersoalkan oleh teater ini, rasanya.

Benarkah orang berkahwin, kerana hatinya benar-benar mahu berkahwin atau ikut trend atau semuanya hanya kosmetik kehidupan seperti dialog pertama watak perempuan “Tengok, hari ini kita pakai bulu mata palsu.”

Namun sayangnya, saya sedikit terganggu kerana terlalu banyak sangat penggunaan dialog “ish ish ish” sampai hampir jugalah ber ish ish ish semasa menonton teater ini.

Sesi kedua

Merdeka, Murdeka, Mirdeka

Saya tak berapa faham sangat apa yang cuba disampaikan. Teater ini terlalu banyak kosong. Apakah yang saya ingat hanya pertukaran watak dari berbaju melayu-berkemban-berbaju moden-duduk dalam almari. Ketika pengakhiran teater ini barulah saya faham, watak-watak dalam teater ini cuba mencari makna merdeka sehingga mereka tidak menemui makna yang tepat untuk menggambarkan erti kemerdekaan sendiri.

BlackOut

Saya faham keseluruhan idea yang teater ini mahu sampaikan namun sayangnya apabila dialog terlalu panjang menjela dan meleret-leret serta wataknya yang asyik melontarkan vokal pada nada yang tinggi membuatkan saya sedikit stress menonton teater ini.

Blackout : monotonous

Jalan Mati

Ini kisah banduan yang cuba melarikan diri. Lari-lari (keliling dewan budaya tun syed nasir) sampai jumpa satu rumah kosong dan bersembunyi disana. Disinilah mereka mula berbicara tentang kebebasan. Mengapa mereka mahu bebas?

Tapi bab asyik susun kerusi itu memang membuatkan saya sedikit membosankan. Sepertinya tidak bersedia untuk berlakon dan main taram sahaja. Ini teater yang pendek dan setiap gaya dan apa yang dibuat diatas pentas itu perlu diberi makna.

Mungkin.

Keras Menunggu

Voila~ Keras Menunggu sangat menghiburkan. Watak Tuah dan Jebat diolah dengan baik oleh penulis skripnya. Jebat dengan sangat rileks membaca surat khabar tamil dan Tuah yang boroi dengan membawa beg sandang.

Sembah Markabu.

Sembah Markabu 9 Sempadan menceritakan tentang pepecahan di negeri selangor yang 9 sempadan itu. Teater ini sangat berat, monotonous malah watak-wataknya seperti tidak benar-benar dijiwai. Seperti kurang latihan. Malah semasa menonton teater ini, saya menghelakan nafas yang berat untuk menunggu setiap dialog dihabiskan. Tumpuan saya entah dimana-mana. Tahu-tahu sudah habis.

Jadi saya tak tahu bagaimana nak buat review. Maaf ya


Ubi Kayu Mozarella

Saya sangat suka teater ini. Ubi kayu mozarella membawa pandangan lain dalam pementasan teater kemerdekaan ini. Saya terhibur dengan dialog dan mimik muka yang sangat sarkastik. Teater ini hidup kerana mungkin pelakon yang pandai membawa watak. Mungkin sedikit over-gediks tetapi tidaklah sehingga memualkan.

Sepanjang teater ini saya asyik ketawa. Idea teater ini untuk tema merdeka yang lain dari unsur-unsur perjuangan, teriak merdeka dan dialog yang susah untuk dimengertikan, wajar dipuji.


P/s : Bila saya baca balik review ini, seperti dibuat oleh orang yang sedang berdepan dengan penyakit malasnisme menaip keyboard. Haih~

Notakakitangan : Baru terjumpa fail ini dalam laptop, sebab itu lambat update entri. Maaf.

Berkayak+berbasikal sambil bakar molekul lemak


Setelah lama menggemukkan diri kerana faktor kerja, maka kami, deligasi Shah Alam telah tekad untuk meneroka lapangan sukan ekstrem dengan harapan semua molekul lemak dapat dihapuskan dengan jayanya!

Setelah direncana, maka pagi Sabtu yang sepoi-sepoi bahasa, lokasi Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam, Bukit Cherakah Shah Alam (bukan Bukit Serakah ya Nissa) telah dipilih. Kami tekad untuk berbasikal dan menawan seluruh Bukit Cherakah menjadi tanah jajahan.

Selamat Datang

Oleh kerana masalah teknikal (Aidil lambat untuk chop basikal, hi hi hi), maka tinggallah saki baki basikal untuk remaja sahaja. Oleh itu pesanan penaja, kalau hendak berbasikal pada musim cuti, datanglah pada awal pagi. Kalau boleh datanglah pada pukul 8.30 untuk mendapatkan basikal ditahap yang terbaik. Ada dua tempat untuk menyewa basikal. Kadar sewaan

Basikal lama : RM 3 – jam pertama

RM 1 – tambahan jam seterusnya

Basikal baru : RM 5 – jam pertama

RM 1 – tambahan jam berikutnya

Awat la basikal ini rendah sangat - Nissa Yusof

Kalau hendak berbasikal digalakkan meneroka kawasan sebelah barat berbanding kawasan sebelah timur kerana kawasan barat tiada bas akan ke sana kecuali bas ke Skytrex. Boleh jumpa dusun buah-buahan. Kalau kena dengan musimnya, boleh rasa buah-buahan secara percuma!


Ketika berbasikal tidak pula terjumpa binatang-bintang yang lain kecuali Macaca fecicularis.


Setelah penat berbasikal, kami pun mengambil keputusan untuk menaiki bas, meneroka kawasan timur pula. Diperhentian terakhir, kami mengambil keputusan untuk makan breakfast+lunch=brunch di tepi empangan Sungai Baru.

Tada..

Nyum nyum

Potato Salad yang sedap itu Aidil buat (dia single lagi, sesiapa nak isi borang boleh dapatkan dari dia), Sandwich telur dan tuna, saya dan Nissa. Manakala Bihun Goreng itu hasil masakan sendiri. Kopi O Ipoh yang pekat itu, Nissa yang buat. Memang terbaik lah.

Kemudian kami pun menjenguk-jenguk kawasan penternakan ikan. Disini pak cik itu memberikan kami secawan makanan ikan untuk diberi makan.

Ini dua orang bakal penternak ikan yang berjaya.

Ikan oh Ikan kenapa engkau timbul - Aidil Khalid
Nissa sedang memanggil ikan..

Selepas memberi makan ikan, kami singgah di Spa Fish. Bayarannya hanya RM5 selama 30 minit. Pak cik yang menjaga tempat itu sungguh baik sekali. Dia akan memberi minuman teh o ais limau semasa kami membiarkan ikan makan kaki kami eh eh tak, sel kulit mati kaki kami.

Ikan-ikan makan kaki kami!!!

Mulanya geli dan kebas. Seperti orang menguis kaki atau menggeleteknya. Setelah beberapa kali menjerit kerana geli, maka saya dan Nissa berjaya melawan ketakutan itu. Aidil tidak turut serta kerana dia takut ikan-ikan makan kaki dia. Ha ha ha

No camera please! - Aidil Khalid

Selepas spa fish, maka kami pun pulang dengan kepenatan dan lemak-lemak yang dibakar.

Pada hari Ahad pula, selepas pergi ke BookAxcess, maka kami meneruskan rencana membakar lemak dengan berkayak pula. Ini merupakan kali pertama kami berkayak di Tasik Shah Alam berhadapan bangunan PKNS itu. Bayarannya murah RM5 selama sejam.

Sesiapa yang mahu bersampan, boleh juga bersampan. Tetapi bagi kami bersampan itu tak thrill dan hanya untuk orang bercinta saja. Apa barang naik sampan?hi hi hi.. Kan Aidil kan kan kan.

Kami berkayak di tengah tasik sambil disaksikan oleh orang ramai. Kemudian kami berhenti di satu pulau yang ada di tengah tasik. Pulau itu menempatkan burung merak dan juga ayam. Aidil hampir sahaja mahu menangkap ayam itu tetapi usahanya tidak berjaya.

Selepas itu kami berlumba berkayak hingga hujung tasik. Perlawanan dimenangi oleh Aidil. Ala, dia lelaki, tenaganya kuat. Bolehlah. Saya kena elak perlanggaran berlaku (dengan nada tidak puas hati)

Selepas itu kami melalui bawah jambatan. Ada masanya kami sengaja membiarkan kayak itu terapung-apung tanpa mengayuhnya. Sangat mengujakan. Ada masanya kami terjumpa kura-kura dan buaya???

Nissa dan Aidil telah merencanakan stategi untuk menjatuhkan kayak saya yang gagak itu. Namun tidak berjaya. Hi hi hi. Kemudian kami telah bereksperimen untuk menyangkut tali di hujung kayak dan mmerangkaikan kayak seperti kereta api. Apa yang tidak seronok, saya yang kena berkayak tetapi mereka berdua dibelakang hanya meluncur mengikut kayak saya. Membuli sungguh!!! Sudah nasib kayak saya tiada tali yang boleh mengikat kayak saya pada yang lain. Tapi langsung tidak terasa membawa beban dibelakang.

Selepas berkayak, kami merencana mahu menikmati ABC yang sedap tetapi tidak jumpa pula yang ada di tepi tasik. Oleh itu kami singgah di kedai Ayam Bakar Wong Solo. Terbaik la.

Aktiviti bersukan akan menjadi aktiviti hujung minggu kami. InsyaAllah.

Gambar berkayak tidak diambil kerana takut kamera terkena air.

Hari Sabtu membakar lemak dikaki, hari ahad membakar lemak dilengan. Setahun lagi saya yakin akan menjadi kurus kering 🙂 Percayalah!

Blog : Arah dan Tujuan (sila baca tajuk dengan nada formal)


(Cis! Tajuk ala-ala artikel di majalah)

Dalam entri Azree Hanifiah, membuatkan saya membaca balik entri-entri lama dan bertanya, dimanakah kategori blog saya?


Nombor 1? Nombor 2 atau nombor 3?

Mungkin nombor 4, maksudnya entri dalam blog ini terlalu mencapah. Tidak fokus. Tulis ikut suka hati. Tidak mengikut Gaya Dewan atau Kamus Dewan Edisi Keempat.

Oleh itu harus lebih muhasabah diri. Muhasabah blog.

Ya, dulu blog adalah escapism saya. Tempat saya berlari-lari tanpa ada orang tahu, dimana saya berlari dan kenapa?

Selepas itu ramai orang sudah tahu tempat bersembunyian saya. Teman-teman saya berlari-lari pun sudah ramai yang sibuk dan melupakan tempat ini. Mood saya menulis blog sudah menurun. Lalu saya menulis tulisan yang hanya bermanfaat kepada diri sendiri tidak kepada orang lain.

Blog ini sudah menjadi semakin membosankan.

Ketika berbincang dengan teman saya mengenai blog dan tulisan dalam blog, kami mengakui ada orang menulis blog hanya untuk mendapat traffic yang tinggi. Lalu tulisannya selalu ke laut. Saya tidak mahu begitu

Saya sudah menginjak dewasa begini, apakah yang mahu saya tulis. Takkan mahu kata hari ini saya bangun, pergi kerja, buat assignment. Huh, tulisan yang tidak memandaikan bangsa sungguh! Kalau tidak mahu menulis untuk memandaikan bangsa, sekurang-kurangnya harus menulis untuk memandaikan diri sendiri. Tiba-tiba teringat puisi ini. Hish.

Hibernasi sekejap lah. Mana tahu dapat idea kan. 🙂

.

.

.

.

.

Oh tak jadi hibernasi sebab tiba-tiba dapat idea. Saya nak buat satu projek tribute untuk pembaca dan penulis komen blog ini yang tegar. Hanya 10 orang sahaja yang akan saya pilih. Jadi nantikan.

Selain itu, selepas ini saya akan menulis aktiviti-aktiviti yang telah saya pergi. Satu masalah saya tidak menulis aktiviti tersebut sebab tak ada gambar. Keghairahan menangkap gambar sudah kurang malah tiada langsung. Oleh itu mungkin saya perlu guna Sheikh Maulana Google untuk mencuplik gambar-gambar dari blog orang lain.

Mungkin saya akan aktif menulis sesuatu yang memandaikan bangsa selepas mendapat ini? Siapa yang baik hati mahu beri (Dengan mata bulat dan bersinar-sinar)


Canon Ixus!! Dah lama saya impikan. 🙂


Nota : Nyanyian hujan, siapakah yang melukis pelangi pada jemari hujan? Hanya kamu 🙂

Cerpen Mabuk Buku di majalah Mutiara Minda, MPH


Cerpen ini bermula daripada entri Cara Menangani Mabuk Buku selepas baru sahaja turun dari bas pada jam 5 pagi selepas 8 jam perjalanan (Kuala Terengganu-Kajang). Otak beku dan sementara menanti azan subuh, saya terilham menulis entri untuk blog dan kemudian dikembangkan menjadi cerpen.


Saya dedikasikan cerpen ini untuk semua pencinta buku dan juga pembaca blog tanah birungu yang sentiasa tanpa jemu memberi komen, membaca blog ini dan menyimbah api pada tanah blog yang sunyi sepi sehingga menjadi meriah. Untuk Adi, Angra Mainyu , Mohd Jai, Koboi dan kawan-kawannya yang sentiasa mahu memburu buku nadir-langka serta berkongsi isi buku tersebut, cerpen ini diilhamkan daripada kalian. Oh lupa, dengan ucapan, dimana kalian sekarang 😛

Saya hanya akan letakkan cerpen ini di dalam blog selepas edisi ketiga majalah Mutiara Minda diterbitkan iaitu pada bulan Ogos. Untuk kamu-kamu yang ingin membaca cerpen ini, dapatkan sahaja majalah Mutiara Minda di kedai MPH berdekatan dengan harga RM3.00 tetapi untuk ahli MPH, majalah ini adalah percuma!


Kalau tidak dapat, nikmati sahaja idea dan tempias cerpen Mabuk Buku di entri ini.

Ironi 1 : Cerpen ini ada sedikit kisah dengan cerita muka depan majalah

Notakakitangan : Saya suka ilustrasi untuk cerpen ini 🙂