Puisi: Hujan di Dataran Ilmu , Mutiara Minda Ogos-November


Tahun ini tidak produktif sangat menghantar karya, jadi tidak banyak sangat-lah yang disiarkan. Walaupun ada beberapa teman kata, “Eh jangan jemu menghantar karya sehingga editor bosan dan memilih karya kamu.” Tapi biasalah kalau namanya pemalas, mohon ampun bab menghantar karya.

Namun, saya sangat berterima kasih dengan pihak editor Mutiara Minda kerana memberi peluang kepada saya dan sudi menyiarkan cerpen Mabuk Buku pada keluaran Mei-Julai dan juga puisi Hujan di Dataran Ilmu pada keluaran Ogos-November.

Saya suka sekali dengan layanan baik pihak editorial Mutiara Minda, tanpa diminta pihak editor mengirimkan 5 naskhah Mutiara Minda kepada saya. Malah editornya juga menulis dengan muluk kepada saya menjadikan saya rasa sangat dihargai. Insya-Allah, saya akan tanpa jemu mengirim artikel serta karya-karya untuk dikongsi bersama. Kepada penulis di luar sana yang mahu mengirim sebarang material kepada majalah Mutiara Minda, bolehlah menghubungi saya untuk mengetahui caranya.

Majalah Mutiara Minda merupakan majalah sulung keluaran MPH. Diterbitkan 4 kali setahun, majalah ini boleh diperoleh secara percuma di semua rangkaian MPH Bookstores kepada sesiapa yang menjadi ahlinya. Kalau yang bukan ahli, boleh beli dengan bayaran RM3.00 sahaja.

Moga-moga majalah Mutiara Minda menjadi pilihan pembaca bahan Bahasa Melayu serta akan menerbitkan artikel-artikel yang membina dan menarik untuk dibaca.


Oh!, mahu baca puisinya, sila lah dapatkan majalahnya, kalau mahu tunggu blog ini siarkan, saya akan siarkan pada awal bulan 12 nanti. J

Notakakitangan: Dalam keluaran kali ini, masih bergandingan dengan Aidil Khalid yang rencananya turut disiarkan. Sudah dua keluaran berturut. Ha.. ahli deligasi lagi seorang itu (Nissa Yusof, nama sebenar), bila kita nak segandingan?

Nota tangan kanan: Tak sangka judul puisi dipilih untuk diletakkan dimuka hadapan, sob terharu!

Advertisements

Ramadan@2010


Malam ini Nuzul al-Quran.

Aktiviti seperti biasa.

Balik kerja, mandi, golek-golek, baca buku, siap-siap, pergi masjid.

Ya, tahun lepas saya tukang masak tak bertauliah di rumah. Aktiviti tahun lepas, balik kerja, masak-masak, mandi-mandi.

Tahun ini ada peningkatan. Bila dekat-dekat hendak pulang, tidaklah fikir, oh balik ini nak masak apa? Lauk apa ada di rumah? Balik pun terkejar-kejar dengan kereta-kereta supaya sampai rumah cepat. Tahun lepas merempit jadi bolehlah pulang awal, tahun ini sudah ada Arjuna menemani perjalanan pulang. Tahun ini, sekadar fikir malam ini mahu baca buku apa atau berapa surah yang dapat habis malam ini. Tenang sahaja.

Bulan Ramadan digalakkan menjadi tangan yang memberi tetapi kalau semua pun mahu jadi pemberi, siapa yang jadi penerima? Jadi tahun ini saya jadi penerima sahaja. Berbuka di masjid dan terima sahaja apa juadah yang mahu diberi tapi perlu fikir-fikir ayam golek, ayam percik, murtabak atau kuih sampan (oh oh oh kuih sampan). Lepas berbuka, terus solat maghrib, baca al-Quran, solat Isyak dan solat Tarawih. Sampai dirumah capai satu buku untuk dibaca. Alhamdulillah.

Ramadan kali ini disambut dengan sangat sangat sederhana. Tidak fikir pun mahu beli baju baru atau kasut baru. Mungkin pakai sahaja apa yang ada. Melintas di sepanjang bazar-bazar yang menjual segala persiapan raya pun tidak begitu teruja untuk membeli apa-apa. Entah-entah jadi seperti tahun lepas? Membeli kasut dan baju raya selepas seminggu raya? Tunggu dan lihat sahaja.

 

Ingin sahaja berkongsi pengalaman berbuka di Masjid Negeri. Pengalamannya memang berbeza. Jadi malam ini akan tangkap gambar sebanyak-banyaknya. Ya-lah mana boleh bercerita tanpa tunjuk bukti.

 

Selamat menyambut Ramadan, kawan-kawan.

Review : Dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas.


Nota : untuk kipas susah mati Andrea Hirata.


Ketika membaca Maryamah Karpov, percayalah, saya benar-benar terkilan dan kecewa. Ibarat layang-layang di awanan yang naik di angin, tiba-tiba sahaja entah tali mata yang kejam telah memotong saya, melayangkan saya diudara lalu jatuh terjunam. Lebih-lebih lagi dikatakan itulah buku terakhir daripada tetralogi Laskar Pelangi.

Mujur-mujur novel ini hadir. Novel ini menamatkan teka-teki apakah nasib Maryamah yang terkenal kerana permainan catur Karpovnya setelah diketepikan habis-habisan oleh pembuatan kapal Mimpi-mimpi Lintang di dalam novel Maryamah Karpov.

2 novel yang didatangkan dalam satu pakej menarik. Tengok gambar dibawah? Menarik kan?

Bertambah menarik, kebetulan novel Dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas diluncurkan pada 25 Jun 2010 dan kebetulan ada teman ke Bandung pada waktu itu. Wah apa lagi, terus minta dibelikan ole-ole Bandung. Begitulah sesiapa yang ke Indonesia kalau temannya penulis. Bukan diminta belikan baju atau kain tetapi minta dibelikan buku.

Sebelum komentar bukunya, sila-sila jenguk promo videonya.

Andrea Hirata menghadirkan kisah yang manis dalam Dwiloginya ini. Seolah-olah buku-buku ini merupakan kajian bertahun-tahun pada kaum Melayu. Biarpun tidak saintifik tetapi bila dibaca dan dibaca perlahan-lahan saya mengakui kebenaran kata-kata Andrea. Andrea menulis bukan nada sinis tetapi naif dan jujur semasa mendedahkan kebenaran dalam kehidupan masyarakat Melayu itu yang gemar ngobrol di warung kopi, sikap suka menggelar-gelar orang.


Andrea tidak mengutuk atau mengkritik tetapi Andrea menulis pandangannya sepertinya dari hatinya yang ikhlas seperti dalam laman web rasminya

Namun Kawan, sesudah engkau membaca Dwilogi Padang Bulan, kuharap dirimu paham pula mengapa aku menulis Maryamah Karpov begitu rupa. Karena, tanpa memahami kekhasan dan keeksentrikan sosiologi dari mana aku berasal, barangkali akan agak susah menerima bahwa sedikit banyak Dwilogi Padang Bulan inspired by a true story.

Maka yang kulakukan di dalam Maryamah Karpov adalah menggambarkan cultural landscape dan moralitas sebuah masyarakat di mana kemudian di atasnya kuletakkan kisah Dwilogi Padang Bulan. Ini adalah desain yang sangat sengaja sesuai dinamika kreativitas.

menjadikan kita sebagai pembaca turut menekur, menelusuri dan memikir kejujuran cerita Andrea tanpa perlu dipaksa-paksa.

Padang Bulan, berkisah Ikal, lelaki yang bertarung sampai penghabisan demi martabat dan cinta yang bersahaja. Namun saya kurang seronok membaca Padang Bulan. Mood-nya seolah-olah turun naik sedikit dan ceritanya dipecahkan terlalu mengikut mozek dan melompat-lompat sehingga emosi pembacaan saya sedikit terganggu. Namun, begitu, Andrea tetap menghidangkan kisah lelaki yang sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Sanggup menjadi tinggi, sanggup belajar catur dan bertarung habis-habisan hanya untuk meninggikan martabat dan sekurang-kurang memenangi hanya sekali salah satu daripada kelebihan si penyaing. Walaupun penghujungnya seperti sudah dapat saya terka sedikit namun keasyikan membaca novel ini masih tidak terganggu.

Apabila membuka helaian-helaian buku kedua, Cinta di Dalam Gelas. Saya seolah-olah menemui kematangan dalam kepengarangan Andrea. Gaya tulisan Andrea yang paling saya sukai seperti di dalam Sang Pemimpi dan Endensor sepertinya ditumpahkan betul-betul ke dalam acuan cerita Cinta di Dalam Gelas. Bermula hanya kisah kecil, Maryamah yang mahu tunduk pada kuasa takdir. Saya tidak membaca terlalu banyak buku yang berunsur feminisme dan ditulis oleh lelaki melalui pandangannya. Ya,perempuan dan kekuatan perempuan memang tema yang klise. Namun ketika saya membaca novel ini, seolah-olah saya tersihir untuk menantangi takdir hidup kerana kekuatan diri yang ada pada Maryamah.

Ini bukan kisah ratapan hidup yang harus ditangisi, namun seburuk-buruk takdir hidup Maryamah, dia menangisi nasibnya hanya semalaman dan selepas itu disekang seluruh air matanya dan menantangi hidup keesokan harinya. Ya, bermula hanya kisah kecil, MAryamah mahu memenangi nasibnya, Andrea terus-terusan mengalirkan saktinya dalam penulisan, membuatkan kita terpesona dengan wibawa dan kekuatan Maryamah yang bukan sedikit, kelicikan dan kepintaran dan sikap obses Detektif M. Nur, kegigihan dan kepintaran Ikal dalam membantu Maryamah menentangi lawannya. Watak-wataknya sepertinya benar-benar hidup. Semua pesona itu dimulai dengan catur. Hanya permainan catur. Menarik sekali sungguh menarik. Mungkin kerana saya salah seorang penggemar kopi dan juga pernah bermain catur menjadikan roh-roh dalam buku ini mudah benar saya hadam dan rasai.


Malah Buku Besar Peminum Kopi yang diomel Ikal membuatkan saya terkikik-kikik tertawa kerana benar lucu, komedi dan sedikit halus memerli. Dalam segelas kopi seperti menyimpan semua rahsia hidup. Antara kata-kata indah dan manis (menyentuh hati saya) ialah

“Jika kuseduhkan kopi,ayahmu menghirupnya pelan-pelan lalu tersenyum padaku.” Mesti tak terkata, anak-anak tahu bahwa senyum itu adalah ucapan terima kasih antara ayah dan ibu untuk kasih sayang yang balas membalas, dan kopi itu adalah cinta di dalam gelas. |Cinta di Dalam Gelas|

Membaca buku Cinta di Dalam Gelas membuatkan saya menimbang-nimbang juga rencana untuk menyambung pengajian, Ingin sekali membuat riset (kajian) budaya. Betapa budaya tidak pernah gagal untuk mempesonakan saya.


Walaupun, Andrea menyatakan, cerita ini based on true story, saya memutuskan ada unsur fiksi dan non fiksi di dalam novel ini. Saya juga tertanya-tanya benarkan lumba catur dianggap seperti permainan hidup dan mati untuk pencintanya ketika sambutan hari kemerdekaan Indonesia? Namun, teman saya di Makassar, Firdaus Amyar memberitahu bahawa apa yang dinukilkan oleh Andrea benar malah Firdaus sendiri memasuki pertandingan catur dan memenanginya.

Tahniah Andrea kerana menghadiahkan buku ini untuk semua peminat dan pembaca sastera nusantara.

Nota : Untuk kawanku, yang telah menghilang


Nota : Untuk kawanku, yang telah menghilang

Dahulu, waktu saya berduka saya ada beberapa orang kawan yang datang menghiburkan hati, menawarkan duka yang makin lama makin membisa dalam dada. Dia, kawan yang sentiasa saya ingat.

Saya benar-benar kenali dia sekejap waktu, namun mungkin dalam sekejap waktu itu, kami adalah orang-orang yang sedang diduga soal hati, maka mudah benar menjadi rapat dan akrab.

Bagaimana ya kawan, untuk saya membalas jasa waktu-waktu saya berduka dahulu. Bagaimana ya untuk saya berterima kasih kerana buat saya ketawa dahulu? Bagaimana ya, untuk saya tidak melupakan kebaikan yang sentiasa diberikan dahulu?


Selain daripada ikhlas berkawan tanpa mengharapkan apa-apa? Sentiasa ada untuk berkongsi kisah sedih dan duka?

Namun, benarlah setiap pilihan yang kita pilih dalam hidup, kadang-kadang memungkinkan kita kehilangan orang-orang yang kita rapat.

Setelah itu, perlahan-lahan saya kehilangan dia. Kehilangan semua rencana yang telah dirancang kalau-kalau saya pulang dari tanah duka itu. Semuanya hanyalah tinggal puing-puing sahaja. Tinggal untuk luluhawa dihakis angin. Selepas pilihan-pilihan itu dibuat.

Kawan, saya hormati setiap keputusan dan pilihan yang telah dibuat. Semoga pilihan yang telah dibuat akan sentiasa membahagiakan hati kawan saya. Semoga, pilihan yang dibuat, tidak pernah dia sesali dalam hidup.


Jika kehilangan adalah lebih baik dan membahagiakan kawan saya, maka saya merelakan kehilangan ini. Insya Allah, dengan hati ikhlas.

Terima kasih kerana pernah menjadi kawan saya, dahulu.

Terima kasih.

Saya bukan seorang teman yang baik


Jika kamu harapkan saya sebagai kawan yang akan sentiasa menghubungi atau keep in touch setiap bulan sebagai lambang persahabatan, saya bukan orangnya.

Kalau kamu mengharapkan saya akan kemana-mana sahaja dengan kamu jikalau tidak, kamu kata persahabatan ini tidak bermakna, maka saya tidak boleh menjadi kawan kamu.

Saya bukan kawan yang begitu. Dari zaman sekolah, matrik sampailah universiti, saya bukan teman tidur sebantal, jalan seiring, makan bersama sentiasa. Saya tetap bukan begitu.

Saya jenis yang boleh makan di kedai makan depan universiti seorang-orang sambil menonton tivi atau membaca novel tanpa memikirkan betapa loser-nya saya tanpa kawan. Saya boleh berjalan seorang-orang tanpa perlu ada kawan yang menemankan saya setiap masa dan saat dan akan merajuk jika tidak boleh ikut kemana pergi. Saya bukan jenis yang akan tersinggung bila teman-teman baik lebihkan teman lelakinya setelah bercinta, malah saya jadi tukang pom-pom girl. Saya juga bukan jenis yang kalau mahu pergi sekadar kedai di bawah asrama, harus pergi segerombolan seperti rombongan cik kiah. Saya boleh pergi seorang diri tanpa perlu menjeruk rasa. Saya juga mungkin tiada batu t-shirt yang tercop nama-nama kawan best friend forever atau gambar-gambar mesra tanda kami akan berkawan sampai mati.


Bukan sebab saya suka berseorangan. Begitulah cara saya, yang mungkin bukan cara best-friend-forever.

Saya tahu kawan seperti saya sering dilupakan oleh kamu-kamu. Kawan seperti saya adalah teman ketawa kamu ketika kamu berduka dan kamu akan lupakan apabila ditempat baru. Teman seperti saya yang tidak sentiasa keep in touch, update perkembangan terkini adalah seperti tambahan kenalan di facebook tetapi tiada dalam kewujudan. Kawan yang ditambah hanya sekadar ‘kami pernah sekelas meski tak pernah bercakap” “pernah satu sekolah meski tak pernah berselisih bahu”.

Namun saya jenis yang tidak pernah berkata tidak kalau ada orang minta pertolongan walaupun bukan kenalan rapat.

Saya sentiasa menyediakan bahu untuk kamu bersandar dalam keadaan kesedihan walaupun ketika itu saya juga dalam duka yang amat berat.

Saya bukan di depan kamu pijak semut pun semut kata kenapalah aku tak mati, kemudian dibelakang menikam kamu atau merampas orang kesayangan kamu.

Kalau kamu terjumpa saya di tengah jalan walaupun jarang berjumpa, percayalah saya tetap akan membalas senyum bukannya membuat muka tidak tahu. Saya tetap tegur kamu dengan girangnya (mungkin terlebih ramah)

Jika kamu pernah rapat dengan saya, walaupun sekejap waktu dan satu hari kamu menghubungi saya, saya pasti boleh berbual dengan kamu berjam-jam lamanya seperti kita rapat sepanjang tahun.

Saya boleh ingat apa yang pernah kamu beri pada saya walaupun benda itu sudah 12 tahun berlalu dan perkara itu kamu tidak ingat pun.

Itulah saya.

Mungkin sebab itu, hanya beberapa orang sahaja yang masih mahu berkawan rapat dengan saya. Mereka adalah yang memahami cara saya berkawan.


Kepada kawan-kawan yang pernah berkawan dengan saya, yang pernah berkongsi saat-saat manis bersama, Saya ucapkan terima kasih.

Selamat Hari Bersahabat, kawan..

Sudah boleh baca cerpen Mabuk Buku!!!!


Masa karya Mabuk Buku disiarkan di majalah Mutiara Minda, saya berjanji akan muat naik cerpennya di blog selepas masa penyiaran cerpen Mutiara Minda tamat.

Oleh itu nikmatilah cerpen Mabuk Buku disini. Atau beli sahaja / dapatkan majalah Mutiara Minda di mana-mana kedai MPH.

Silalah memberi komentar dan pandangan ya.