Warna-Warni Raya – Lemang


Keluarga saya menyambut hari raya sedikit lain dengan rumah disekeliling kami. Kami tiada lemang atau ketupat kerana jarang antara kami menyukai ketupat atau lemang. Kalau ada nasi impit, maka nasi impit yang habis dahulu berbanding yang lain lain-lain. Oleh itu, ibu telah protes terhadap lemang dan ketupat serta tidak mahu langsung membuatnya.


Kami hanya merasa lemang ketika pergi bertandang ke rumah orang atau ketika pulang ke kampung halaman. Atuk akan siap-siaga dengan lemang dan nenek sudah siap-siap menganyam ketupat, tinggal direbus. Sebab itu saya tidak pernah mahir menganyam ketupat. Kalau bakal mak mertua mahu menguji kredibiliti saya, jangan pilih ketupat sebagai ujian. Tentu saya gagal. Gagal dengan teruk sekali.


Raya tahun lepas, entah angin ribut mana, ibu membawa pulang tiga batang lemang dari kampung. Oleh kerana, kami sudah ada ahli keluarga alien (abang ipar saya) yang menyukai benda di luar tabii keluarga kami (seperti suka makan daging, lemang dan ketupat) maka haruslah mengambil kira selera dia juga.


Seperti biasa, saya akan menguruskan hal dapur dan menyediakan juadah. Kakak? Ah! Dia selalu gunakan anak-anak sebagai perisai dan alasan terbaik untuk bermalas-malasan (Baca dengan nada tak puas hati)

Saya siap dengan parang untuk membelah lemang. Dengan muka yakin!, saya pun membelah lemang itu dan meletakkan di atas meja untuk mengambil pinggan mengisinya.

Abang ipar saya masuk ke dalam dapur dan dengan nada sedikit tinggi

“Ini siapa yang belah lemang macam belah kayu api ni?”

Huh?

Lemang? Kayu api?

“Entah, adik kot”

Jawab saya, sambil meletakkan pinggan hidangan dan berlalu keluar dari dapur (sambil buat muka tak bersalah)


Selamat Hari Raya


Macam biasa.

Tiba hari raya, semua blogger-blogger mesti mengucapkan selamat hari raya dan meminta maaf.

Penat saya cari gambar yang sesuai untuk diletakkan di blog. Yelah, saya mana ada kamera canggih (DSLR la, yana) nak tangkap gambar cantik-cantik. Jenuh cari yang tak ada ketupat,lemang atau pelita. Sebab saya memang tidak beraya dengan ketupat, lemang selain nasi impit yang enak. Nyum. Balik kampung nak masak nasi impit yang harum dan dibalut dalam daun pisang. Eh eh, lari topik pula.

Oleh itu, pilih sahaja gambar ini.


Selamat hari raya aidilfitri kepada semua pembaca blog birungu atau selalu orang panggil nyanyian hujan dan yang mengenali saya. Kalaulah saya ada menulis entri yang menyakitkan hati, emosional serta menggangu sensitiviti hati nurani, saya benar-benar mohon maaf.

Sesiapa yang hendak ajak ke rumah, sila tinggalkan mesej di inbox. Radar kawasan hanyalah selangor dan kuala lumpur. Jauh-jauh tak dapat la. Sebab kena simpan duit untuk kembara kenduri kahwin kawan-kawan (maknanya lebih daripada satu orang) selepas raya.

Oh ya, mana yang dekat dengan rumah saya, jemput datang rumah. Tapi rumah saya tak ada kuih raya. Hehe.. ada nasi impit sahaja.

Oh ya, tahun ini baju raya saya warnanya biru. Jadi sesiapa yang terjumpa saya dan memakai baju ungu, bolehlah cakap begini, “hari ini kau berbaju biru dan bajuku ungu.” hihihi


Resensi Novel – Gerhana


Judul : Gerhana

Penulis : M.F. Kencana & Nissa’ Yusof

Rumah Penerbitan : PTS Fortuna

Harga : RM13.50

Novel Gerhana hadir sebagai novel sai-fi sewaktu sastera kita masih kekurangan novel-novel sebegini. Secara peribadi, saya tidak cenderung menyukai novel sai-fi kerana novel-novel sai-fi selalunya menghalalkan unsur-unsur kurang logik atas tiket sains, kreativiti dan imaginasi. Saya boleh menerima imaginasi dan sains, malah saya menyukai cerita Star Wars, Back To The Future, Transformers, namun ada kalanya pengarang sering kali dilihat berlebih-lebihan sehingga menimbulkan keraguan dan mengganggu pembacaan saya.

Namun, menyusur 158 halaman novel Gerhana, saya menemui keseronokan dalam membacanya. Sebagai seorang yang pernah berobsesi dengan buruj, zodiak, bintang, astronomi suatu ketika dahulu (gara-gara memasuki kuiz angkasa lepas semasa sekolah rendah), maka mulanya saya sedikit berjaga-jaga jika novel ini merupakan syarahan astronomi kepada saya namun sangkaan saya jauh tersasar.

Gerhana menemukan kita dengan watak Iman Muhaimin, mahasiswa tahun akhir jurusan astronomi (adakah di Malaysia, jurusan itu? maka imaginasi bermula) yang ingin mengkaji Gerhana Matahari Anulus atau gerhana cincin sebagai tesis tahun akhirnya. Semasa membuat penyelidikan di pangsapurinya, tanpa diduga satu letupan berlaku dan sewaktu sedarkan diri, dia bertemu seseorang yang serupa dirinya iaitu Zikri. Di sinilah konflik dan plot-plot terjalin. Lelaki yang serupa dengannya ialah Zikri yang datang daripada tahun 2100, 90 tahun ke hadapan yang tertarik ke dalam satu lubang (galaksi??) semasa gerhana anulus berlaku.

Iman memperoleh kuasa haba manakala Zikri punya kuasa luar biasa. Awas, ini bukan filem super-hero. Lepas dapat kuasa, tiba-tiba ada kuasa jahat dan perlu jadi penyelamat dunia. Bukan sama sekali. Ini kisah pencarian dan penyiasatan di sebalik kejadian aneh gerhana anulus. Kebetulan, Iman merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menyiapkan tesis tahun akhir dan Zikri pula sememangnya berminat mengkaji teori kerelatifan masa di zamannya. Selepas kejadian itu, mereka saling bertukar fikiran, teori dan pengetahuan untuk membalikkan situasi kepada keadaan asal. Oleh kerana, kuasa haba yang diperoleh Iman menyebabkan dia jatuh sakit dan lemah, mereka harus pantas memikirkan cara supaya Zikri kembali ke zamannya. Mujur sahaja, penyelia tesis Iman, Dr Amatine merupakan mereka yang percaya pada keajaiban dunia astronomi dan sama-sama membantu Iman dan Zikri untuk mencari penyelesaian masalah mereka.

Jalinan antara sains dan ceritanya sangat menarik sekali. Ada kalanya apabila membaca sai-fi, pengarang selalu sahaja menggunakan lesen sai-fi untuk berlebih-lebihan dalam bercerita serta seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata, namun di dalam novel Gerhana, setiap yang di imaginasi pada zaman 2100 adalah berdasarkan teori-teori sekarang seperti kesan pemanasan global di masa sekarang akhirnya mengakibatkan pulau-pulau kecil tenggelam ketika tahun 2100. Penerokaan planet baru, kenderaan yang memanipulasi kuasa graviti. Sebagai seseorang yang terdidik dengan disiplin sains, saya jadi teruja apabila teori-teori dan info sains tidak disampaikan dengan kosong tetapi membantu perjalanan plot dan cerita di dalam novel Gerhana. Itulah kekuatan novel Gerhana.

Walaupun ada sentuhan cinta (fitrah, kalau lelaki dan perempuan mesti ada unsur tertarik kan?), namun disampaikan dengan sederhana seperti menambahkan rencah sebagai penyedap rasa tanpa menghilangkan rasa sebenar hidangan cerita ini.

Namun, sayangnya novel yang menarik ini terdapat banyak juga typing-error sehingga bacaan saya sedikit terganggu. Malah kadang kala ada pertukaran nama watak, seperti dalam m/s 22 dimana sepatutnya nama wataknya Wana tetapi ditulis sebagai Syifa. Adakala juga watak Syifa menjadi Shifa. Disebabkan novel sai-fi yang menonjolkan pertukaran zaman dan watak-watak yang celaru identiti, maka kesalahan-kesalahan pertukaran nama watak ini membuatkan imaginasi saya sedikit terencat. Mood pembacaan terjejas sedikit sebanyak. Saya berharap pihak editor dan rumah penerbitan mengambil pertimbangan perkara ini.

Bacalah novel Gerhana yang sederhana, manis, penuh info astronomi dan menguja ini. Oh ya, pasti selepas ini anda pun mahu mendalami ilmu kaji bintang selepas membaca novel ini.

Notakakitangan : Hehe.. lihatlah bahagian dedikasi 2. (sambil mata bulat dan bersinar-sinar)

ahli 'deligasi': yana aidil yang menjadi teman seuniversiti di meja makan, pesaing di trek basikal dan tengah tasik

Notatangankanan : Saya membeli buku ini sebelum masuk gudang lagi. Baru panas dari oven dan siap dapat tanda tangan dua pengarangnya.

Notatangankiri : Ketika pelancaran novel gerhana di Red Wok Restoran. Pelancaran kecil-kecilan sahaja.

Notakakikanan : Kalau mahu beli novelnya dan tandatangan pengarang, silakan ke laman sesawang ini, Nissa’ Yusof.

Nissa' Yusof dan M.F Kencana