DOM : Penulis Wanita – Antara Idealisme dan Realiti?


Berpolemik—meletakkan teori—menegakkan benang kering—salah faham—ilmu baru—ilmu barat—ilmu timur—sastera islamik–

Atau apa sahaja.

Saya hanya tersenyum semasa disini dan puisi Zurinah Hassan bersenandung di telinga saya

 

Satu Percakapan Singkat

(dengan teman seniman)

Temanku,
tentang cinta kita pada hidup
mungkin tak banyak perbezaan
tentang cinta kita pada puisi
itupun tak ada perbezaan
tetapi kau lelaki
dan aku perempuan
di situlah letaknya perbezaan

Seorang lelaki
Membebaskan diri untuk membataskan pilihan
Seorang perempuan
membataskan pilihan untuk membebaskan diri 

Zurinah Hassan

Advertisements

Dua puisi


Sudah dua puisi disiarkan. Tapi saya tak beritahu di blog. Beritahu di facebook sahaja. Pertamanya ‘Menjidar Kebencian’ disiarkan di Berita Harian 18 September 2010. Sajak ini bergandingan dengan Aidil Khalid yang selalu membebel dengan saya “hantarlah karya.” Tahun lepas sajak disiarkan di Berita Minggu. Minggu kedua raya juga. Judulnya Surat Doa untuk Tuhan. Bila baca balik kedua-dua sajak, baru perasaan, dua-dua syawal ini saya mohon agar saya tidak membenci orang. Ha ha. Nampaknya ada orang yang saya benci semasa dua kali hari raya ini. Tak baik betul.

Kemudian bersilih sebulan pula, sajak judulnya ‘Selamat Datang, Malam (kalau dia bisa merasa)’ pula disiarkan di Harian Metro 12 Oktober 2010. Oh sajak ini sudah lama sangat saya tulis, baru-baru ini sahaja dihantar.

Kalau dihitung-hitung, tahun ini tidaklah produktif menulis cerpen. Lalu saya alihkan pada penulisan puisi. Puisi ringkas dan cepat. Tapi puisi saya tidaklah begitu bagus. Saya jenis yang tidak memilih subjek puisi. Subjek puisi yang datang pada saya mengetuk dengan perlahan. Mana yang saya rasa, itu yang saya tulis. Maaf, sajak-sajak kemanusiaan, dunia atau apa-apa mungkin saya kurang mahir. Saya mahir menulis sajak rreemeh sahaja.

Baru-baru ini sahaja, saya rasakan produktiviti menulis sajak saya meningkat dengan jayanya. Dahulu buku puisi saya tak pandang sangat untuk beli. Sekarang, buku puisi yang saya cari dahulu. Sudah lebih 20, kumpulan puisi yang saya ada. Satu pencapaian la kan sebab selalunya saya memang tidak memandang buku puisi

Puisi adalah cara saya ekskapism. Bila-bila bersedih atau daun hati saya digoyang-goyang rasa, puisi yang saya capai dahulu.

Siapakah penulis puisi kegemaran kamu pula?

Mana tahu kita berkongsi kekasih hati yang sama.

 

Oh ya, sajak-sajak di atas boleh dibaca di sini dan disini. Hujan di dataran ilmu, harus tunggu bulan 12 baru boleh saya letakkan di blog. Yang nak baca, dapatkan di MPH sahaja.

Menulis : selepas rehat yang panjang.


Diajukan pertanyaan, bagaimana untuk menulis, kak? Membuat saya terkedu dan terdiam selama 3 saat.

Isk. Silap tanya orang ini dik. Saya pun tidaklah aktif menulis apatah lagi pernah menang hadiah sastera. Beri ceramah penulisan apatah lagi. Jadi untuk menjawab, rasanya saya bukan orang yang tepat.

Tapi, ilmu walaupun kita rasa tak berguna bagi kita mungkin berguna bagi orang lain. Jadi saya pun memperturunkan apa yang saya tahu.

Kembali menulis untuk satu rehat yang lama haruslah memerlukan semangat yang kuat. Banyak saya lihat penulis-penulis yang baru memilih subjek-subjek yang terlalu besar sehingga menjadi tak tertanggungkan untuk ditulis. Lalu mengalah dan mengatakan, maaf aku tidak boleh menulis.

Bermulalah dengan subjek yang kecil tapi bawalah makna yang besar dalam subjek yang kecil itu. Kurang jelas? Begini sahaja. Pilihlah subjek yang dekat dengan kamu semua. Contohnya daun atau apa sahaja. Kalau saya, saya memilih hujan. Subjek yang kamu lihat dan kamu dapat rasa.

Ada yang merungut. Jangankan hendak memilih subjek, kepala sungguh menjadi buntu menyusun kata sekalipun.

Nah, membacalah. Membaca boleh melahirkan inspirasi. Dan bereaksilah kita pada bahan bacaan kita. Selalu kalau saya bergalau rasa, tidak boleh menulis, saya akan memilih untuk membaca sajak-sajak dari penyair kegemaran saya. Ya, Sapardi adalah kekasih puisi saya. Baru-baru ini saya menambah Joko Pinorbo menjadi kekasih gelap saya. Tapi baca bukan baca sahaja. Baca dan fikir apa yang ditulis. Ya, saya mengakui, dahulu saya buta menulis puisi. Saya tidak pandai tulis puisi malah ketika MPR 2006, puisi saya pernah dikomen oleh Abang Lutfi Ishak (mentor saya) bahawa puisi saya sangat bercelaru makna dan tidak ada kesinambungan antara yang pertama dan kedua. Ya, saya pernah melalui kegagalan berpuisi, sebab itu saya tetap setia dengan cerpen sehingga saya bertemu puisi Sapardi dan perlahan-lahan dan tenggelam dalam puisinya dan mempelajari menulis puisi secara tidak langsung.

Menulis walau apa-apa pun niat kamu. Menulis walaupun kamu mahu merakam kepedihan dalam hidup. Ataupun senyum melihat peristiwa. Menulislah biarpun sebaris ayat. Pengalaman peribadi dalam menulis puisi, selalunya saya menulis puisi sebelum tidur, ketika emosi dalam keadaan sedih. Waktu hujan turun.

Perlahan-lahan kamu akan menemui puisi dalam diri kamu juga

Sayembara Mencipta Lagu Puisi X


Fuh!! (meniup habuk dan menguak sesawang)

Sebagai seseorang yang menjadikan lagu puisi makanan hariannya, ubat ketika sedih, escapism paling berjaya, maka saya seringnya mencari lagu-lagu puisi terbaru. Zubir Ali, Kopratasa dari Malaysia manakala Ebiet G Ade dan musikalisasi puisi Sapardi Djoko Damono adalah senarai lagu wajib dengar saya.

Puisi terdiri dari susunan kata yang penuh rasa tetapi kalau hanya dibaca adakala emosi di dalam puisi tidak terbebas. Deklamasi dan lagu puisi merupakan cara membebaskan rasa dalam puisi untuk dirasai oleh pembaca dan pendengarnya. Oleh kerana itu, bukan senang untuk membuat lagu bagi puisi-puisi jika rasa dalam puisi tidak meresap dalam jiwa penciptanya. Kalau tidak teresap apatah lagi untuk terbebas di kalangan pendengar.

Tidak semestinya lagu puisi haruslah bernada sedih dan berlirih. Ada masanya lagu-lagu puisi memiliki rasa bahagia, rasa gembira. Ebiet G. Ade ada masanya membaca (baca; menyanyikan) puisinya ada lagu-lagunya yang berentak gembira dan membuat kita melonjak mendengarnya. Ada masanya saya dapat merasakan lagu-lagu Ebiet seolah-olah menyimpan senyum kerana berbahagia.

Minggu lepas berkesempatan untuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyaksikan Sayembara Mencipta Lagu Puisi X di Auditorium DBP. Pertama kali ke Audotorium walaupun sudah menjadi tetamu dewan bertahun-tahun. Biasalah golongan Marhaen kan.

Mendengar sepuluh lagu yang bertanding, saya arifi pereka lagu masih lagi tidak tahu bagaimana satu-satu puisi itu harus dijadikan lagu. Dalam lagu puisi biasanya saya akan melihat pada dua perkara. Pada nada dan emosi puisi. Puisi bukanlah lagu yang ada bridge dan chorus mengikut susunan. Chorus dalam puisi boleh jadi ada di baris kedua. Boleh jadi di baris akhir. Boleh jadi dibaris awal. Chorus dalam puisi ialah persoalan yang benar-benar dalam puisi. Namun yang saya lihat, rata-rata pereka lagu sesuka hati sahaja memilih chorus semasa mencipta lagu puisi itu. Ini merendahkan pemahaman pencipta lagu terhadap puisi terbabit.

Malah apabila dilabel lagu puisi, maka haruslah beringat. Bahawa lagu puisi ialah membebeaskan ekspresi puisi / jiwa dan rasa puisi dalam bentuk lagu. Bukan membebaskan ekspresi lagu dan muzik. Lagu puisi umpama kicap yang menaikkan lagi deria rasa dalam makanan. Lagu puisi meninggikan perasaan untuk mengamati puisi. Minggu lepas yang ada hanyalah lagu-lagu yang sedap, pop tapi menipiskan deria rasa dalam menikmati puisi tersebut. Lagu dalam puisi seharusnya tidak melebihi keindahan dalam puisi. Seharusnya lagu dilihat setara ataupun di bawah kekuatan puisi tersebut. Namun itu tidak saya nikmati. Saya saya dapat hanyalah muzik-muzik bingit dan selera saya menjadi nipis.

Jadi tidak hairanlah Badrul Hisyam yang memenangi sayembara puisi ini tahun lepas, lihatlah kedalam puisi ‘puisi terakhir kepada lautan’ dan bagaimana kesedihan dan kepedihan dalam perpisahan dengan lautan dilagukan. Puisi bukan dinyanyikan dalam senyum meski dalam bahasa puisi adalah derita, kesedihan dan sengsara. Tapi tidak salah untuk tersenyum dalam puisi-puisi yang manis sifatnya.

Tahniah kepada Izzad Izzuddin Borhan  untuk lagu Senja nukilan Zamri Mohd . Walaupun sajak ini biasa-biasa tetapi Izzad Izzuddin Borhan mengangkat sajak ini melihat senja dengan jiwa besar seperti lewat baris terakhir dalam puisi terbabit.

Bagus juga perjalanan program kali ini, ringkas cepat dan tidak buat penonton resah. Tetamu kehormat tidak berucap untuk ucapan yang kurang perlu. Ada masanya tidak semestinya setiap kali ada majlis wakil harus berucap.

Apa apa pun tahniah tahniah kepada pemenang.

Nota kaki : sempatlah menolong wartawan Bernama buat Berita. J

Nota kaki tangan : Siapa mahu menjadi puisi saya lagu? Ini pertanyaan serius! Kalau tidak, ajarkan saya bermain gitar pun okey. Biar saya cipta lagu puisi sendiri. Hehe J