Sayembara Mencipta Lagu Puisi X


Fuh!! (meniup habuk dan menguak sesawang)

Sebagai seseorang yang menjadikan lagu puisi makanan hariannya, ubat ketika sedih, escapism paling berjaya, maka saya seringnya mencari lagu-lagu puisi terbaru. Zubir Ali, Kopratasa dari Malaysia manakala Ebiet G Ade dan musikalisasi puisi Sapardi Djoko Damono adalah senarai lagu wajib dengar saya.

Puisi terdiri dari susunan kata yang penuh rasa tetapi kalau hanya dibaca adakala emosi di dalam puisi tidak terbebas. Deklamasi dan lagu puisi merupakan cara membebaskan rasa dalam puisi untuk dirasai oleh pembaca dan pendengarnya. Oleh kerana itu, bukan senang untuk membuat lagu bagi puisi-puisi jika rasa dalam puisi tidak meresap dalam jiwa penciptanya. Kalau tidak teresap apatah lagi untuk terbebas di kalangan pendengar.

Tidak semestinya lagu puisi haruslah bernada sedih dan berlirih. Ada masanya lagu-lagu puisi memiliki rasa bahagia, rasa gembira. Ebiet G. Ade ada masanya membaca (baca; menyanyikan) puisinya ada lagu-lagunya yang berentak gembira dan membuat kita melonjak mendengarnya. Ada masanya saya dapat merasakan lagu-lagu Ebiet seolah-olah menyimpan senyum kerana berbahagia.

Minggu lepas berkesempatan untuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyaksikan Sayembara Mencipta Lagu Puisi X di Auditorium DBP. Pertama kali ke Audotorium walaupun sudah menjadi tetamu dewan bertahun-tahun. Biasalah golongan Marhaen kan.

Mendengar sepuluh lagu yang bertanding, saya arifi pereka lagu masih lagi tidak tahu bagaimana satu-satu puisi itu harus dijadikan lagu. Dalam lagu puisi biasanya saya akan melihat pada dua perkara. Pada nada dan emosi puisi. Puisi bukanlah lagu yang ada bridge dan chorus mengikut susunan. Chorus dalam puisi boleh jadi ada di baris kedua. Boleh jadi di baris akhir. Boleh jadi dibaris awal. Chorus dalam puisi ialah persoalan yang benar-benar dalam puisi. Namun yang saya lihat, rata-rata pereka lagu sesuka hati sahaja memilih chorus semasa mencipta lagu puisi itu. Ini merendahkan pemahaman pencipta lagu terhadap puisi terbabit.

Malah apabila dilabel lagu puisi, maka haruslah beringat. Bahawa lagu puisi ialah membebeaskan ekspresi puisi / jiwa dan rasa puisi dalam bentuk lagu. Bukan membebaskan ekspresi lagu dan muzik. Lagu puisi umpama kicap yang menaikkan lagi deria rasa dalam makanan. Lagu puisi meninggikan perasaan untuk mengamati puisi. Minggu lepas yang ada hanyalah lagu-lagu yang sedap, pop tapi menipiskan deria rasa dalam menikmati puisi tersebut. Lagu dalam puisi seharusnya tidak melebihi keindahan dalam puisi. Seharusnya lagu dilihat setara ataupun di bawah kekuatan puisi tersebut. Namun itu tidak saya nikmati. Saya saya dapat hanyalah muzik-muzik bingit dan selera saya menjadi nipis.

Jadi tidak hairanlah Badrul Hisyam yang memenangi sayembara puisi ini tahun lepas, lihatlah kedalam puisi ‘puisi terakhir kepada lautan’ dan bagaimana kesedihan dan kepedihan dalam perpisahan dengan lautan dilagukan. Puisi bukan dinyanyikan dalam senyum meski dalam bahasa puisi adalah derita, kesedihan dan sengsara. Tapi tidak salah untuk tersenyum dalam puisi-puisi yang manis sifatnya.

Tahniah kepada Izzad Izzuddin Borhan  untuk lagu Senja nukilan Zamri Mohd . Walaupun sajak ini biasa-biasa tetapi Izzad Izzuddin Borhan mengangkat sajak ini melihat senja dengan jiwa besar seperti lewat baris terakhir dalam puisi terbabit.

Bagus juga perjalanan program kali ini, ringkas cepat dan tidak buat penonton resah. Tetamu kehormat tidak berucap untuk ucapan yang kurang perlu. Ada masanya tidak semestinya setiap kali ada majlis wakil harus berucap.

Apa apa pun tahniah tahniah kepada pemenang.

Nota kaki : sempatlah menolong wartawan Bernama buat Berita. J

Nota kaki tangan : Siapa mahu menjadi puisi saya lagu? Ini pertanyaan serius! Kalau tidak, ajarkan saya bermain gitar pun okey. Biar saya cipta lagu puisi sendiri. Hehe J