5 Sebab Jangan Menonton Wayang di GSC, Ipoh Parade


Saya tidak tahu berapa panggung wayang di Ipoh, baru-baru ini sempat singgah tengok Harry Potter: Deathly Hollow Part 1 di GSC, Ipoh Parade. Oh jangan tanya kenapa pergi tengok Harry Potter di Ipoh? Selepas menonton, saya dan teman telah memutuskan 5 sebab jangan menonton wayang di GSC, Ipoh Parade.

  1. Orang suka keluar dan masuk sesuka hati. Kalau seorang dua tidak mengapa, tetapi ini keluar semata-mata nak beli pop corn, atau sweet corn, atau air. Keluar masuk dengan sangat berleluasa sehingga kita rasa sangat-sangat terganggu. Pelik sungguh! Buat apa bayar tiket mahal-mahal tetapi tidak menonton wayang itu sepenuhnya? Baik beli DVD sahaja.
  2. Panggung di GSC, Ipoh Parade tidak menyerap bunyi, jadi apabila ada orang keluar masuk maka lantai akan berbunyi keriuk-keriuk. Sudahlah lantai mudah berbunyi dengan dahsyatnya, orang pula kerap keluar masuk. Ha. Jadi bayangkan sahaja la kan. Kalau kita tengok cerita hantu, rasanya kita yang terkejut dengan bunyi-bunyian di wayang berbanding cerita hantunya.
  3. Kita boleh maafkan bila orang keluar masuk, itu urusan masing-masing tetapi yang tak tahan itu, perlukah menghempas pintu semasa keluar masuk? Gedegang sana gedegang sini. Sampai terkejut saya dan teman semasa asyik menikmati cerita. Ada waktunya, kami saling berpandangan dan membuat muka dengan gangguan dan altitud orang yang sedang menonton di panggung.
  4. Harry Potter 7: Deathly Hollow Part 1 telah diklasifikasikan sebagai PG13, maknanya yang bawah 13 sepatutnya tidak boleh masuk panggung. Ini diangkutnya anak-anak saudara semua itu penuhkan kerusi panggung. Sudahlah Harry Potter, ceritanya kali ini berjalan lambat sebab nak menerangkan itu ini, tentulah anak-anak berasa bosan, dan mula membuat bising. Kalau seorang dua tidak apalah, kita faham tetapi kalau buat bising beramai-ramai, kita pun jadi naik angin juga. Sememangnya tidak dapat menikmati cerita. Mujur sudah baca novelnya.
  5. Spesies ini, kalau boleh jangan tengok wayang. Beli sahaja DVD dan tonton di rumah sahaja. Spesies ini, saya rasa yang tak pernah baca bukunya. Oh tak apa, dimaafkan siapa yang tak baca bukunya tetapi kalau setiap scene kamu buat skrip sendiri siapa tak sakit hati, lebih-lebih lagi apabila skrip yang kamu buat memang nampak sangat kamu tidak pernah membaca bukunya atau tidak ikut siri Harry Potter. Mula-mula kita rasa comel la, sebab innocent sangat masa menonton dan buat skrip sendiri tapi kalau kekerapan itu sangat tinggi, darah tinggi kita pun naik la kan. Sudahlah itu, buat perangai macam menonton di rumah. Suaranya jelas pun kedengaran pada saya dan teman yang duduk di depan. Memang malang sungguh. Kita dah menjeling ke belakang pun buat tak faham. Kalau menegur nanti, takut perkara bising-bising dipanggung sudah jadi budaya di sana. Yelah kami kan orang luar.

Keluar sahaja GSC, saya sudah buat muka. Sebelum masuk panggung, tidak dapat beli pop corn kerana pop corn habis. Pop corn habis???? Rasa nak gelak sahaja. Kalau ini setakat wayang biasa macam saya dan kawan-kawan tonton di Teluk Intan dahulu itu, tidak apalah. Sebab ini franchise GSC kot, bukan panggung tak ada jenama itu. Pop corn boleh habis dan dia tidak beritahu pada kami yang beratur panjang dan perkhidmatan
yang sangat lambat. Sekurang-kurangnya letaklah nota di kaunter itu kan?

Salah satu sebab kami tidak mahu menegur mereka yang bising dan bunyi telefon yang mendering kerana seakan merasakan itulah budaya menonton wayang di sana. Semua orang tidak ambil peduli pun bila ada bunyi-bunyian sedemikian rupa. Kalau disini, baru bunyi mesej, bep bep, orang sebelah dah menjeling tajam dah. Agaknya kalau sampai tahap buat skrip sendiri itu, ada yang menoleh dan menegur dengan ayat-ayat ‘cinta’ yang menusuk kalbu.

Itulah akibat kalau orang Selangor dan Kuala Lumpur yang tiba-tiba menonton wayang di luar negeri. Memang terkena kejutan budaya.

Namun, bahagian panggung wayang sahaja yang saya komen. Saya tetap suka ke Ipoh yang seolah-olah bandar yang tidur. Membangun dalam style tahun 70-an, menurut teman saya. Bangunan lamanya, bau kopi dan penduduknya yang ramah. Ada masa nak buat rombongan berjalan-jalan ke Ipoh lagi.

 

 

Anekdot :

  • Orang Ipoh tak panggil wayang ikut jenama. Disini kita akan tanya, GSC mana, TGV mana? Macam itu kan? Bila kami tanya, “Kak, GSC mana?” mereka akan jadi terpinga-pinga. Disana mereka panggil cinema. Comel pula rasanya.
  • Yang paling seronok di Ipoh Parade ialah Novel Hut, Novel Hut ya kawan-kawan bukan Book Hut.
  • Harry Potter 7: Part 1 memang sangat-sangat menyeronokkan. Cerita sudah semakin menunjukkan sisi gelap dan dingin.

Facebook Kejam!!


Selepas berbual dengan kawan-kawan, baca balik semua entri lama di blog. Entri zaman emo dan emosi sangat tak seimbang.

Buka entri, baca entri, baca komen, gelak seorang diri.

Dalam hati,

“Facebook kejam!! Facebook kejam!! Dia rampas semua kekasih blog aku.”

 

.

.

.

Rindu kekasih-kekasih blog yang dahulu. Mana mereka pergi?

Puisi Di Bawah Pohon – Berita Harian 21 November 2010


Saya sedang sibuk membalut hadiah perkahwinan untuk rakan saya di stesen KTM Ipoh. Teman sebelah sedang sibuk membelek-belek surat khabar yang baru dibelinya. Entah kenapa semasa ruangan sastera, saya mencuri pandang dan ternampak nama saya. Ya, senyum manis sahaja. Teman kata

“Hari ini hari yang membahagiakan untuk awak lah ya.”

Membaca kembali sajak itu yang ditulis dalam telefon semasa ralit di Dialog Orang Muda (DOM) tempoh hari. Pengalaman dua kali ke DOM dengan jumlah khalayak dan isu yang berbeza buat saya berfikir. Polemik dan pertelingkahan kecil serta menegakkan idealogi masing-masing sering membuatkan kita jadi teruja. Namun hati-hati, polemik antara hutan yang dahsyat, tanpa ilmu dan keteguhan hati, boleh sahaja tersesat.

Ya, semasa DOM yang membincangkan isu wanita, seseorang menghantar isyarat menyuruh saya bersuara dan saya tetap tegas tidak mahu. Lalu ditanya selepas DOM habis, mengapa saya tidak mahu melontar pendapat atau memberi apa-apa kata, saya senyum sahaja dan biarlah saya jawab dalam puisi saya ini.

Nikmatilah puisi saya yang bersahaja ini. Moga-moga saya sudah menjawab pertanyaan daripada orang itu tempoh hari.

Klik disini juga

Apa rasanya orang membenci kamu?


Bagaimana rasanya orang membenci kamu?

Bagaimana perasaan bila tiada orang yang boleh kamu harapkan disekeliling kamu ketika kamu perlukannya?

Bagaimana bila orang sentiasa merasa meluat, menyampah dengan kamu?

Bagaimana agaknya apabila semua orang tidak suka tindakan, kata-kata dan gerak geri kamu?

Bagaimana untuk kamu lalui hidup sedemikian rupa?

Bagaimana untuk hidup dengan mengendahkan manusia lain sedangkan setiap adalah kamu saling bergantungan?

Ah! Betapa susahnya dan betapa peritnya rasa itu.

Dan apa kamu fikir, orang yang membenci kamu tidak menanggung rasa dan keperitan?

Menahan gejolak api benci di dalam dada agar tidak keluar dan membakar dirinya. Apa kamu fikir mudah? Tidak semudah itu kawan.

Kamu fikir, dia mahukan semua itu? Menanggung derita membenci orang? Oh, tidak sama sekali. Tetapi, manusia bukannya sempurna. Betapa dia menahan dan bertahan, ada juga yang terlepas. Betapa manusia tidak pernah sempurna dalam tindakannnya, hatinya.

Lalu begini sahaja, kamu pilihlah jalan kamu bersama komrad-komrad kamu. Begitu juga dengan pembenci-pembencimu, memilih jalannya sendiri. Lebih mudah begitu, sehingga perlahan-lahan rasa benci itu meruap ke udara, meresap ke tanah.

Benar, tidak selamanya dia mahu membenci, dia sekadar mahu ruang untuk memaafkan dirinya agar boleh memaafkan kamu. Dia sekadar mahu masa sehingga dia terlupa dia pernah membenci kamu. Dia hanya mahu masa-masa lalu yang indah tanpa segaris pun kebencian pada orang disekelilingnya. Dia mahu bila mana dia ketawa dan bergurau adalah datang dari hatinya yang ikhlas dan bukan pura-pura, sama seperti satu ketika dahulu.

Bolehkan kamu hormatinya permintaannya seperti kamu menghormati diri kamu sendiri selama ini? Bolehkah kamu jangan tuangkan perasaan benci ke dalam hatinya lagi dan lagi?

Oh ya, dia kata, dia sudah membuka pintu yang mengurung kebencian dalam dadanya. Dia mahu membebaskan segala-galanya. Dia hanya mahu semua yang di dalam pintu itu terbebas.

Salahkah menulis puisi bertemakan percintaan atau kasih sayang?


 

 

Secara peribadi, saya tidak menolak untuk membaca puisi romantis serta cinta. Malah saya tidak akan hantukkan kepala di dinding kerana pernah menulis puisi cinta. Semuanya ada rasa cinta dalam diri tetapi bagaimana puisi itu ditulis, itulah persoalannya.

Malah kalau tidak puisi cinta, puisi ketuhanan, alam sekitar, kemiskinan kalau ditulis tidak kena caranya, tetap saya samakan dengan puisi cinta yang konon-konon beberapa orang penyair berasa malu kerana pernah menulis puisi cinta itu.

Usman Awang yang begitu terkenal dengan sajak Kekasihnya menulis puisi cinta tetapi betapa indahnya susunan dalam setiap ayat seolah-olah ingin memilih intan di dalam kaca yang berselerak. Begitu berhati-hati dan hasilnya nah! yang kita nikmati sekarang.

 

Kekasih

Akan kupintal buih-buih 
menjadi tali 
mengikatmu 
akan kuanyam gelombang-gelombang 
menjadi hamparan 
ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan 
menjadi selendang 
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung 
menjadi baju 
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur 
menjadi kerongsang 
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana 
menjadi lampu 
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari 
menjadi laut malammu 
menghirup sakar madumu

Kekasih, hitunglah mimpi 
yang membunuh realiti 
dengan syurga ilusi.

 

Sapardi Djoko Damono juga dikatakan penyair hujan yang sangat romantis apabila menukilkan hujan dalam puisinya. Hujan dalam puisinya seolah-olah seorang perempuan yang penyegan, manis dan sangat lemah lembut. Lihatlah sajak Aku Ingin yang menjadi kegilaan bakal pengantin di Indonesia dan menyelitkan sajak itu dalam jemputan kad kahwin mereka

Aku Ingin

 

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana

dengan kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api

yang menjadikannya abu

 

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana

dengan isyarat yang tak sempat disampaikan awak kepada hujan

yang menjadikannya tiada.

 

Nah! Romantis bukan? Cinta yang sederhana apa itu, kalau sanggup menjadikan dirinya tiada. kalau itu dipanggil sederhana, apa yang cinta luar biasa besarnya? Pasti dahsyat bukan?

Saya tetap berpegang pada prinsip, tiada sempadan atau batasan dalam menulis puisi. Apa sahaja tema boleh dipilih. Jangan memalsukan rasa dalam hati, semua orang punya rasa cinta kan? Kenapa harus menidakkan dalam puisi tersebut. Namun pakaikan cinta itu dengan pakaian yang cantik dan indah sehingga yang melihatnya terasa gembira. Usah pakaikan dengan pakaian yang jelek sehingga orang merasakan cinta itu buruk sekali untuk dilihat, ditulis.

Seperti ketika kita memilih masakan. Kalau hidangannya diberi dalam pinggan biasa, diletakkan begitu sahaja tentu kita jadi kurang tertarik walaupun masakannya sedap sekali. Namun, jika dihidang dengan segala seni kulinari, dihias dengan daun saderi atau apa sahaja, dalam pinggan yang cantik tentu sahaja terlahir rasa teruja untuk makan, menikmatinya.

Berilah puisi yang buat saya tersenyum-senyum, turut berasa marah, sesekali sayu, sepi. Berilah saya puisi yang punya perasaan di dalamnya.

Dalam menulis puisi, saya selalu memandang penulis yang menulis daripada hatinya. Yang benar dekat dengan jiwanya. Usahlah menulis puisi yang penuh pura-pura dan bertopeng. Hidup ini sudah terlalu banyak yang begitu dan puisi juga?

Apa yang saya cari bila membaca puisi?


 

Puisi adalah eskapisme terbaik saya. Setelah saya tidak sempat menulis di blog untuk eskapisme seperti entri terdahulu. Tidak punya kesabaran dan masa untuk membaca cerpen yang sarat fakta (oh, saya seorang yang akan kajian selepas membaca cerpen, apakah faktanya betul, apa cerita di dalam cerita, jadi keterlaluan fakta buat saya tertekan). Maka saya alihkan dengan membaca puisi.

Ya, sesiapa yang mengikuti blog ini, pasti tahu saya adalah peminat tegar, kipas susah-mati Sapardi Djoko Damono. Sapardi memang kekasih puisi saya, sampai bila-bila. Dia mengajar saya menulis puisi melalui puisi-puisinya. Saya tidak bermaksud mahu mengangkat dia. Tapi bagi saya setiap penyair, penulis atau pembaca tentu mempunyai kekasih puisinya sendiri.

Oh ya, apa yang kita bincangkan tadi?

Apa yang saya cari ketika membaca puisi ya? Saya mencari perasaan.

Ya. Perasaan.

Puisi yang tidak dapat memberi perasaan kepada saya, saya akan terusan bakul sampahkan puisi tersebut. Puisi bagi saya, adalah pandora perasaan paling hebat. Seorang penyair yang bagus akan berjaya memasukkan perasaannya ketika menulis dan perasaannya tertumpah pada pembaca. Pembaca akan cuba menerka-nerka makna yang mungkin tidak dia fahami. Mungkin tema dan subjek serta pemahaman penyair ketika menulis berbeza dengan interpretasi pembaca, tidak mengapa. Terpulang. Tiada satu akta khas, pembaca harus memahami puisi seperti pemahaman penulisnya.

Antara puisi Sapardi yang memberi perasaan kepada saya (contoh ini mungkin bukanlah puisi terbaik Sapardi) ialah puisi Hatiku Selembar Daun.

Hatiku Selembar Daun

Hatiku selembar daun melayang jatuh di rumput;
nanti dulu, biarkan aku sejenak

Terbaring di sini;
ada yang masih ingin kupandang,
yang selama ini senantiasa luput;

Sesaat adalah abadi sebelum kausapu
tamanmu setiap pagi…

 

Setiap kali saya membaca saya ini, saya akan terbayang perasaan sepi, kesedihan dan kesetiaan. Mendadak perasaan itu meresap ke jiwa saya.

Setiap kali membaca sajak-sajak Sapardi, selalunya saya seolah-olah terasa sedang berpayungan dengan Sapardi dalam rebas yang merenyai melalui bunga-bunga yang meriak, pohon-pohon menghijau, langit yang membiru dan sesekali mendung. Aduhai.

Terbaru, saya menyenangi puisi dari M. Aan Mansyur (seterusnya disebut Aan). Terima kasih kepada Azriq kerana memperkenalkan Aan kepada saya. Yang ini kekasih puisi baru yang dahsyat. Ketika membaca puisinya, seolah-olah saya sedang direnung kekasih dengan matanya yang bening, sepantasnya suasana menjadi romantis, manis dan saya tiba-tiba menjadi segan kepada kekasih puisi saya.

Membaca puisi yang bagus, membuatkan jantung saya seolah-olah mahu terkeluar, tangannya saya menjadi dingin dan sayangnya tidak banyak penyair yang boleh membuatkan saya selalu berperasaan begitu. Ada beberapa penyair yang saya ikuti kumpulan puisinya, biarlah saya mengambil kira, yang menulis puisi tetapi enggan membebaskan segenap perasaannya dalam puisi.

Beberapa penyair yang saya ladeni, memberikan baris pembukaan yang cukup memikat, lalu saya teruja pada baris kedua. Ya masih memikat dan baris-baris seterusnya emosi mendadak hilang. Ah! penyair itu tinggalkan saya berseorang sahaja di dalam puisinya.

Seperti memimpin saya masuk ke dalam hutan, mempesonakan saya dengan pohon, kicau-kicau burung dan tiba-tiba menghilangkan diri begitu sahaja. Tinggallah saya berseorangan mencari jalan keluar, entahkan saya jumpa atau pun tidak. Sungguh tidak adil!

Saya tidak ada bias sama ada puisi itu media arus perdana, bawah tanah (underground), ditulis di blog, zine-zine, kalau bisa tawarkan perasaan kepada saya, tentu sahaja saya akan menguliti, menikmati dan tenggelam dalam puisi tersebut.

Apa-apa pun, itu yang saya cari dalam puisi. Iaitu perasaan. Mungkin pandangan orang lain berbeza dengan saya. Ya, terpulang.