Borak Buku Dengan…….


Dahulu, saya punya cita-cita kecil. Saya mahu teman-teman yang boleh diskusi buku dengan saya. Itu cita-cita saya ketika 10 tahun dahulu. Malang sekali, saya tidak punya teman yang ada passion seperti saya. Oh, bukan menidakkan dan merendahkan teman-teman saya, bukan mereka belum berjumpa calon buku yang sesuai yang boleh membuatkan mereka obses membaca seperti saya (suatu ketika dahulu). Sebab sekarang saya lihat (melalui facebook), kawan-kawan saya zaman sekolah dahulu ramai membaca buku dan suka buku.

Saya suka apabila berbicara tentang buku. Lagi-lagi kalau buku itu saya sangat suka baca. Saya akan ingat plot-plotnya malah jalan ceritanya. Pengalaman berbicara dengan teman-teman penulis yang bukunya saya baca, saya boleh bertanya plot itu ini dan ada kalanya penulis pun kurang ingat bahagian itu. Kalau saya obses dengan buku itu, jangan dikiralah bagaimana saya beria-ia bercerita dan memetik bahagian-bahagian yang saya suka.

Kebetulannya, saya dan ahli deligasi diminta menyelenggara satu projek Borak Buku dengan kerjasama Biro Penulis Muda. Menjemput seorang tokoh sama ada dari lapangan sastera, politik, seni atau pelbagai bidang untuk berbicara tentang buku yang mereka suka. Ya, apa sahaja buku yang mereka suka. Oh, teringat cerita Jane Austen Book Club. Saya tak sempat menghabiskan cerita ini sesudah Sucy Musalmah rosak. Program yang menarik. Setiap orang antara kami akan bergilir-gilir menyelenggara slot Borak Buku ini akan memilih tokoh yang ingin dijemput dan tempat. Lokasi slot Borak Buku ini di merata-rata kafe di sekitar Lembah Klang.

Tetamu undangan kali ini ialah saudara S.M Zakir yang baru-baru ini memenangi Hadiah Mastera. Beliau telah memilih buku Taras Bulba yang ditulis oleh Nikolai Gogol untuk diborakkan. Butiran program Borak Buku Dengan….. S.M Zakir adalah

Tarikh    : 16 Januari 2011

Masa    : 3.30-5.30 petang

Hari    : Ahad (minggu ketiga)

Lokas : Kafe Starbuck, KL SENTRAL

Taras Bulba

Ya, buku Taras Bulba agak sukar di dapati di pasaran selain daripada Kinokuniya, maka sesiapa yang belum pernah membaca long short stories itu atau tales (menurut kawan saya yang sudah membacanya) bolehlah memuat-turun di sini dalam versi ebook (versi penuh). Usah khuatir soal hak cipta kerana buku ini ditulis pada 1835 dan hak cipta penulis selepas kematiannya hanya berlangsung selama 50 tahun sebelum menjadi hak awam.

Oleh itu, kepada semua yang suka buku, sama ada tua, muda, kanak-kanak, remaja, aliran bawah tanah, perdana atau apa sahaja, datanglah ke program Borak Buku Dengan…. Program ini bersifat santai. Kamu boleh sahaja datang di pertengahan, di hujung, di tengah program. Kalau datang bukan untuk dengar diskusi pun tidak mengapa, sebab selepas itu mungkin boleh berborak tentang perkara lain, memberi pandangan.

Penyertaan terbuka tanpa perlu pendaftaran. Sudah dikatakan kamu boleh sahaja datang bila-bila kamu suka, pergi bila-bila kamu mahu. Kalau beruntung, mungkin pihak penganjur akan belanja secawan kopi. Mungkin. :0

Maklumat penuh program boleh didapati di sini


Notakakitangan: Moga-moga tiada kasta sastera dalam program ini. Amin…


Catatan Bawah Sedar : DOM 18 Disember 2010


Kau bangun dengan malas pada suatu pagi hari Sabtu yang nyaman setelah seminggu bekerja penuh tekun. Kemudian memandu sejauh puluhan kilometer dalam keadaan sejuk dingin dan mujur sahaja jalan lenggang kalau tidak pasti kau akan menyeranah “Apa, hujung minggu pun jalan sesak?”

Kau tiba di satu banglo di tepi jalan yang banyak sekali kereta lalu lalang tetapi tidak pernah peduli pada bangunan usang zaman kolonial itu. Orang masih belum tiba dan kau antara orang pertama bersama rakan-rakan yang baru dijemput di stesen monerail Maharajalela. Ah, pagi masih membunuh mood untuk orang membuang selimut yang hangat. Lalu, kau menolong menyusun apa yang patut. Sementara menunggu orang datang, kau memotong kek yang dibuat tengah malam semalam. Orang masih segan-segan untuk tiba dan tepat waktunya majlis dimulakan, polemik dan dialog.

Dua panel yang sama muda dan sama meningkat naik dalam dunia sastera namun punya dua idea yang berbeza. Seorang mengangkat nilai intelektual sebagai kayu ukur yang statik dan seorang lagi mengangkat nilai ekstetika dalam sastera. Kau masih mengabur dalam kantuk. Ah, apa yang mereka merepek di hadapan. Sebagai orang yang tidak terdidik rasmi dalam dunia sastera, kau cuba memahami perkataan-perkataan bombastik dan penuh intelektual dan memakai jubah sarjana yang pastinya sangat asing di fikiran kau yang fakir bahasa.

Beberapa kali dalam dialog yang kau fikir bukan santai sebaliknya ada waktunya kuliah akademik, kau sepertinya pelajar yang sesat kelas dan pensyarah di hadapan bercakap dengan laras bahasa asing. Kau mulai jadi marah oh bukan marah, sedikit geram kerana tidak dapat menstrukturkan idea panel-panel di hadapan. Sangat banyak jalan yang kau harus tempuh dan simpang siur yang mengelirukan dalam bahasa sarjana-sarjana di hadapan kau. Mujur ada buku Sultan Pun Blog, boleh lah mengalihkan sebentar tumpuan (yang bikin kepala sakit).

Kau fikir, apa nilai ilmu yang menjadi ukuran dan menolak ekstetika dan keindahan dalam sastera. Ya, mungkin ilmu atau intelektual harus menjadi kayu ukur yang mutlak, statik tetapi seharusnya tidak dapat dinafikan ada juga yang membaca buku dan sastera untuk mencari dirinya dan mencari keindahan. Tidak semuanya mahu harus memakai jubah akademik yang ada waktunya sangat lusuh, kusam dan tidak menarik perhatian. Alangkah baiknya, jika pakaian itu sangat memikat dengan warnanya yang menarik, material yang bermutu tinggi serta rekaan yang unggul. Meletakkan pada darjah yang tersendiri. Ah, mungkin ada yang terlalu terpesona dengan pakaian yang cantik sehingga lalai. Mungkin, mungkin.

Berpagian dalam dialog sedikit melelahkan. Lalu kau tanya, apa kau mahu korbankan hujung minggu yang nyaman untuk dialog yang akhirnya kau boleh sahaja baca di jurnal-jurnal akademik atau artikel-artikel kerana sepertinya ada yang mengopi dan tampal sahaja tanpa ada pendirian yang lahir daripada fikirannya sendiri.

Oh, oh! Fikiran kau yang waras lagi satu berkata, harus ada rasa percaya pada majlis-majlis sebegini, kerana dibangunkan oleh orang muda dan untuk orang muda, kita harus berikan sokongan kerana aktivis-aktivis sastera (konnonnya, mungkin) mana mahu melawan kedinginan pagi untuk datang ke sini. Kalau yang bukan aktivis sastera sekalipun, mereka akan berkata, apa dialog-dialog, macam sastera lah sangat..

 

Ah, kau masih sesal kan? Kasur tidur patut menggoda kau dengan lebih dahsyat lagi.

Kedai-kedai buku terpakai


Untuk kaki mabuk buku macam saya, kalau berjalan-jalan mesti cari kedai buku. Tetapi kebelakangan ini, saya suka kedai buku terpakai / second hand book / pre-love item atau apa sahaja yang kamu hendak panggil. Mana-mana tempat yang saya pergi, mesti akan buat penyelidikan ada tak kedai buku terpakai di kawasan itu. Jadi. Mari-mari kita tengok manakah kedai buku terpakai yang pernah saya pergi yang mungkin kamu teruja mahu pergi juga.

PASAR CHOWRASTA (Pulau Pinang)

Saya pernah ke sana sekali sahaja tetapi pasar Chowrasta ialah tempat idaman saya untuk pergi kalau berkesempatan ke Penang sekali lagi. Pasar Chowrasta memang terkenal dengan segala jeruk di bahagian bawah tetapi siapa yang rajin untuk naik ke atas, di bahagian hujung, tingkat 2, kamu akan terjumpa beberapa buah kedai menjual buku terpakai. Kalau mahukan tips-tips mencari buku di sini, bolehlah ke blog UlasBUku, beliau ada menyatakan tips-tips membeli buku terpakai di sini dengan harga yang murah.

NOVEL HUT (IPOH/ SHAH ALAM)

Novel Hut ini terletak di Ipoh Parade. Ehem. Novel Hut ya, bukannya Book Hut. Kalau kamu suka buku terbitan Alaf 21 atau Creative atau yang sewaktu dengannya, janganlah mengharap kedai ini. Harganya masih mahal juga dan jatuh harganya tidaklah begitu murah. Tetapi kalau kamu jenis pembaca buku sastera tegar, teori kritikan, kedai ini boleh jadi pilihan hati. Dua kali pengalaman ke Ipoh, dua kali juga saya pergi ke kedai ini dan tidak pulang dengan tangan kosong. Contohnya novel Pujangga Melayu karya Mohd Affandi Hassan ini dijual serendah RM8 sahaja. Malah saya membeli kompilasi sastera klasik Malaysia ini dengan harga RM3 sahaja. Buku sastera memang dijual dengan sangat murah berbanding buku lain. Mungkin kerana tidak ramai orang berminat untuk membelinya.

Lokasi, betul-betul di tingkat bawah cinema. Jangan tanya panggung wayang/CSG/TGV. Panggil cinema. Orang Ipoh panggil cinema tau.

Novel Hut ini juga ada di Shah Alam, menurut sumber, Shah Alam,seksyen 24. Novel Hut ini merupakan cawangan yang berpindah daripada Jusco, Ipoh. Saya belum pernah ke sana. Nanti kalau sudah pergi, boleh update gambar.

AMCORP MALL (PETALING JAYA)

Siapa yang rajin, hujung minggu setiap hari ahad (mungkin sabtu), anda boleh ke Amcorp Mall, di bahagian ground floor ada banyak meja-meja kecil dibuka untuk menjual barangan langka. Siapa yang suka vintage, kalau tak pergi tempat ini memang tak sah. Saya suka ke tempat ini, selain ada bookaxcess, ada juga yang menjual buku-buku lama. Lihat gambar dibawah

Ketika memilih-milih, saya tanya kan mana dapat buku DBP ini, mereka dapatkan terus daripada gudang DBP tetapi dalam jumlah yang banyaklah. Buku disana dijual dengan sangat murah dan mereka borong sakan. Antara buku kegemaran yang suka dan dapat disini ialah buku ini.

Cuba teka buku setebal ini, harganya berapa?

 

(gambar tak dapat diambil kerana faktor tertentu)

RM10 sahaja.

Ada masa, sesiapa boleh kesana bila tiba hujung minggu. Selalunya saya dan rakan deligasi akan jalan-jalan di ground floor sebelum ke bookxcess dan seterusnya lunch di A&W. begitulah kebiasaannya.

GIANT, SHAH ALAM

Ingat tak entri ini? Saya beli buku ini di Giant, Shah Alam. Walaupun pilihan tidak banyak dan hanya ada kiosk kecil sahaja tetapi bolehlah untuk melihat buku-buku terpakai. Namun awas, pemilik kedai ini, tahu mana intan dan mana permata. Pengalaman meminta harga yang lebih murah tidak Berjaya kerana dia tahu jenis buku mana yang susah nak diperoleh sekarang ini.

Lokasi kedai, di lorong kedua, betul-betul di tepi McD dan di tempat agensi pelancongan.

 

 

….

Jangan tanya kenapa saya cenderung menyiarkan kedai buku melayu sahaja. Ini kerana kalau difikirkan, lebih baik beli buku baru di bookXcess yang jauh lebih murah. Walaupun pilihan tidak banyak tetapi berbaloi juga. Di entri lain, saya akan tulis pasal kedai-kedai buku yang pernah/sedang gemari. Boleh kongsi dengan kedai buku kamu juga.

Ada sesiapa yang mahu berkongsi kedai buku terpakai pilihannya pula? AMna tahu kalau berkunjung ke sana, saya akan pergi ke kedai buku itu. 🙂

 


Musikalisasi Puisi : Nyanyian Hujan


Bulan lepas, saudara Airmas telah menghubungi saya dan meminta puisi penuh Nyanyian Hujan. Menurutnya, dia tertarik dengan header blog saya. Sebenarnya puisi penuh Nyanyian Hujan 1 hanyalah sebaris sahaja iaitu : Engkaukah yang mencipta pelangi pada jemari hujan. Hanya itu sahaja. Nyanyian Hujan merupakan puisi yang mempunyai sekual dan terhimpun dalam puisi besar Surat-surat Nyanyian Hujan.

Tapi, saya usahakan juga untuk mencipta puisi khusus buat saudara Airmas jadikan lagu puisi. Selepas bertoleransi dengan beberapa baris yang minta diubah, maka inilah lagu puisi tersebut.

Kalau pembaca lama blog ini, pasti tahu yang saya memang berkeinginan supaya puisi saya dibuat lagu. Sebenarnya nak buat lagu puisi sendiri. Ini semua terdorong oleh Sapardi Djoko Damono, kekasih puisi saya. Tapi sampai sekarang tak pandai main satu pun alat muzik.

Nikmatilah puisi yang sederhana ini dan bukanlah apa-apa. Kredit untuk saudara Airmas yang susah payah memuat-naikkan lagi ini di youtube.


 

Engkaukah yang mencipta pelangi pada jemari hujan?

Melayahkan warna-warna di jemarinya

yang berderai sayu

Meneriakkan cinta pada langit kelabu


 

Engkaukah yang menari bersama nyanyian hujan?

Bersenandung lagu-lagu cinta di dalam diam

Mencuri hati si lara di jendela


 

korus

Engkaukah itu selama ini?

Muncullah hadirkan dirimu

Diawan, di langit bahkan di balik jendela

Lahirkan pertemuan meski hanya dalam mimpi

Bertemulah sayang meski hanya di dalam mimpi


 

Engkaukah yang mengabur pulang?

selepas memercikkan pelangi indah

Di dalam hati yang telah lama diguris ilalang


 

Selain daripada itu, kamu juga boleh mendengar banyak lagi puisi yang telah dijadikan lagu oleh Airmas di sini, disini

 

Ohoi.. Jadinya bolehlah saya pasang aplikasi lagu dalam blog ini sebab blog Nyanyian Hujan dah ada lagu sendiri.

 

*sambil tersipu-sipu malu*

Tilikan Pisces 2011


 

Sumber : Saharil.com

 

Baca horoskop tahun 2011 yang ditulis oleh Saharil buat saya tergelak besar. Seolah-olahnya benar, sepertinya Saharil sedang mengata tentang diri saya

Tapi mempercayai horoskop itu hukumnya syirik, sebab mempercayai tilikan. ha, baca horoskop hanya untuk suka-suka dan bergelak ketawa.

Selamat menyambut awal muharam. Apa azam dan impian untuk tahun ni?

 

Disember Yang Dingin


Disember sering sahaja dingin dan sejuk. Apalah disember tanpa hujan. Malah semasa di Terengganu, saya lengkap menerima hujan sebagai pasangan paling akrab. Malah, Kopratasa telah mengangkat puisi Akhir Disember nukilan Abdul Aziz HM sebagai lagu.

Akan datang akhir Disember ini,
Bulan di ranting pohonan
Dan angin yang berdesir
Dalam nafas malam
Mengalir antara malam dan sepi
Sementara, menunggu
Lebur jagat ini

Saya selalu mengulang lagu ini sambil melihat hujan turun dan laut yang bergelora. (Masa tahun dua, bilik saya menghadap laut.)

Disember akan mencumbu Januari tidak lama lagi. Menghampiri hujung tahun kadang-kala saya bertanya, apa yang saya capai dalam hidup, sekurang-kurangnya dalam bidang yang saya cintai ini. Kalau pembaca veteran blog ini, pasti macam sedar, tahun ini saya hanya rajin menghantar puisi sahaja ke media. Tidak gigih menulis cerpen. Moga-moga tahun depan jadi seimbang. Menvariasikan menulis tidak hanya pada cerpen atau puisi sahaja. Artikel, rencana, skrip drama, skrip drama radio dan novel yang sudah berhabuk dan bersawang tidak terusik.

Bukanlah saya seorang yang sastera lah sangat (dengan nada tipikal) tetapi saya sekadar cinta dan suka. Saya tidak berapa mahu peduli cubit-cubit manja dan gosip-gosip Jarum Peniti orang sastera. Bukan tidak mahu, belum masanya. Sekarang jadi pemerhati senyap sahaja. Sebab itu juga, saya menulis puisi Di Bawah Pohon.

Oh ya, entri ini ditulis kerana selalunya bulan Disember, wordpress.com akan menurunkan salji putih di blog. Salji yang seperti hujan ini benar-benar menampakkan jiwa blog Nyanyian Hujan. Perasan tak? Saya suka sekali membuka blog sendiri pada bulan Disember. Ya, mungkin akan letak lebih banyak entri pada bulan ini.

 


Puisi lama yang baru nak letak di blog


Mengikut entri ini, puisi Hujan di Dataran Ilmu telah disiarkan di Majalah Mutiara Minda. Namun demi menjaga hak cipta pihak Mutiara Minda yang bersiaran 3 bulan sekali, maka saya masih tidak meletakkan puisi itu di blog. Oleh kerana salah faham, saya fikir bulan Disember baru hak cipta itu tamat rupanya Majalah Mutiara Minda November-Januari. Bukannya Disember-Februari.

Puisi ini sudah terlalu lama ditulis, sewaktu editor lama Mutiara Minda mengirimkan emel kepada saya meminta agar saya mengirimkan puisi atau cerpen, maka puisi ini yang saya fikirkan sangat sesuai dengan konsep majalah tersebut. (masa itu saya tidak pernah melihat majalah ini di depan mata saya). Ya, saya tidak banyak puisi yang serius, puisi saya banyak yang remeh.

Puisi yang ditulis di dataran, Fakulti Sains Universiti Malaya semasa menunggu untuk bertemu dengan teman lama saya. Ketika itu hujan turun dan saya pantas merakamkan apa yang saya lihat dalam puisi Hujan Di Dataran Ilmu.

Haha, kebetulan sekali sewaktu menghadiri majlis konvokesyen ahli deligasi, Aidil Khalid, hujan turun mencurah. Pantas sekali kami teringat puisi ini.

*senyum*