Catatan Bawah Sedar : DOM 18 Disember 2010


Kau bangun dengan malas pada suatu pagi hari Sabtu yang nyaman setelah seminggu bekerja penuh tekun. Kemudian memandu sejauh puluhan kilometer dalam keadaan sejuk dingin dan mujur sahaja jalan lenggang kalau tidak pasti kau akan menyeranah “Apa, hujung minggu pun jalan sesak?”

Kau tiba di satu banglo di tepi jalan yang banyak sekali kereta lalu lalang tetapi tidak pernah peduli pada bangunan usang zaman kolonial itu. Orang masih belum tiba dan kau antara orang pertama bersama rakan-rakan yang baru dijemput di stesen monerail Maharajalela. Ah, pagi masih membunuh mood untuk orang membuang selimut yang hangat. Lalu, kau menolong menyusun apa yang patut. Sementara menunggu orang datang, kau memotong kek yang dibuat tengah malam semalam. Orang masih segan-segan untuk tiba dan tepat waktunya majlis dimulakan, polemik dan dialog.

Dua panel yang sama muda dan sama meningkat naik dalam dunia sastera namun punya dua idea yang berbeza. Seorang mengangkat nilai intelektual sebagai kayu ukur yang statik dan seorang lagi mengangkat nilai ekstetika dalam sastera. Kau masih mengabur dalam kantuk. Ah, apa yang mereka merepek di hadapan. Sebagai orang yang tidak terdidik rasmi dalam dunia sastera, kau cuba memahami perkataan-perkataan bombastik dan penuh intelektual dan memakai jubah sarjana yang pastinya sangat asing di fikiran kau yang fakir bahasa.

Beberapa kali dalam dialog yang kau fikir bukan santai sebaliknya ada waktunya kuliah akademik, kau sepertinya pelajar yang sesat kelas dan pensyarah di hadapan bercakap dengan laras bahasa asing. Kau mulai jadi marah oh bukan marah, sedikit geram kerana tidak dapat menstrukturkan idea panel-panel di hadapan. Sangat banyak jalan yang kau harus tempuh dan simpang siur yang mengelirukan dalam bahasa sarjana-sarjana di hadapan kau. Mujur ada buku Sultan Pun Blog, boleh lah mengalihkan sebentar tumpuan (yang bikin kepala sakit).

Kau fikir, apa nilai ilmu yang menjadi ukuran dan menolak ekstetika dan keindahan dalam sastera. Ya, mungkin ilmu atau intelektual harus menjadi kayu ukur yang mutlak, statik tetapi seharusnya tidak dapat dinafikan ada juga yang membaca buku dan sastera untuk mencari dirinya dan mencari keindahan. Tidak semuanya mahu harus memakai jubah akademik yang ada waktunya sangat lusuh, kusam dan tidak menarik perhatian. Alangkah baiknya, jika pakaian itu sangat memikat dengan warnanya yang menarik, material yang bermutu tinggi serta rekaan yang unggul. Meletakkan pada darjah yang tersendiri. Ah, mungkin ada yang terlalu terpesona dengan pakaian yang cantik sehingga lalai. Mungkin, mungkin.

Berpagian dalam dialog sedikit melelahkan. Lalu kau tanya, apa kau mahu korbankan hujung minggu yang nyaman untuk dialog yang akhirnya kau boleh sahaja baca di jurnal-jurnal akademik atau artikel-artikel kerana sepertinya ada yang mengopi dan tampal sahaja tanpa ada pendirian yang lahir daripada fikirannya sendiri.

Oh, oh! Fikiran kau yang waras lagi satu berkata, harus ada rasa percaya pada majlis-majlis sebegini, kerana dibangunkan oleh orang muda dan untuk orang muda, kita harus berikan sokongan kerana aktivis-aktivis sastera (konnonnya, mungkin) mana mahu melawan kedinginan pagi untuk datang ke sini. Kalau yang bukan aktivis sastera sekalipun, mereka akan berkata, apa dialog-dialog, macam sastera lah sangat..

 

Ah, kau masih sesal kan? Kasur tidur patut menggoda kau dengan lebih dahsyat lagi.

2 thoughts on “Catatan Bawah Sedar : DOM 18 Disember 2010”

  1. Salam kunjungan,
    Belum pernah ke DOM. Serba salah mahu meninggalkan murid yang dahagakan ilmu di surau kecil. Mahu juga ke DOM, jika ada hari lain. SABAH barangkali (Sabtu+Ahad) Hari yang ke-8 selepas Ahad🙂 Apapun, sekali-sekali membaca catatan di bawah sedar ini menarik juga.

    Like

    1. Ustaz Azman: Selepas ini DOM akan diubah kepada hari Ahad, minggu ketiga setiap bulan. Sebab setiap hari Ahad, ramai orang yang berkelapangan. Saya baru sahaja 3 kali datang DOM.
      Marilah menjadi orang muda dengan datang ke DOM, ustaz. Nama pun dialog orang muda… hehe

      Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s