Jualan gudang gedegang buku


Sebagai seseorang yang baru memulakan hidup dengan duit sendiri, mesti banyak keinginan dan keperluan yang hendak dipenuhi. Kadang-kadang antara keperluan zahiriah yang inginkan produk kecantikan, kosmetik, pakaian-pakaian cantik, keperluan capaian internet, hutang piutang PTPTN dengan keperluan batiniah seperti buku-buku yang bagus sering kali bergaduh-gaduh dengan diri. Jadi ada masanya ada yang tidak boleh dibeli. Ish ish ish. Sangat sedih kan.

Sebab itulah, bila ada jualan gudang sahaja. Kcing! Kcing! Mesti pergi. Bukan bermakna mesti beli tetapi mana tahu ada yang berkenan di hati atau yang telah disurvey ribuan kali tetapi asyik berdolak dalih untuk beli, maka ini peluang yang tidak boleh dilepas pandang. Hehehe. Asal ada jualan gudang je, mesti mata bersinar-sinar bak bulan purnama. Jadi mari kita bercerita jualan gudang yang akan datang. Jualan gudang buku ya, bukan jualan gudang metrojaya tau. Hehe.

 

MPH Member Day – 20-23 Januari 2011

Walaupun bukanlah jualan gudang tetapi MPH member sales menawarkan harga potongan sebanyak 20% kepada semua pemilik membercard-nya. Bukan itu sahaja, malah ada judul-judul terpilih yang dijual sehingga 50%. Sesiapa yang ingin mencari buku yang tiada di BookXcess, bolehlah ke jualan MPH Member Day. Tapi hanya di beberapa cawangan MPH yang terpilih sahaja dan jualan ini sudah pun tamat tempoh

 

Jualan Gudang Utusan

Lokasi Taman Shemelin Perkasa, Cheras. Di pejabat Utusan. Tahu jualan gudang sedikit lewat, kalau tidak minggu lepas mesti pergi. Jadi akan spend masa hujung minggu ini mencari judul-judul yang berkenan di hati. Tahun lepas, simpan cemburu sahaja tengok kawan-kawan borong tak ingat dunia. Tahun ini siap la, saya pun akan borong juga. Jadi, sudah siap siaga buat survey buku-buku yang berkenan di hati supaya datang boleh terus beli. Nasib baik Taman Shemelin itu dekat sahaja. Tarikhnya 20 Januari hingga 30 Januari.

 

Jualan Gudang Karangkraf.

Rasanya siapa peminat kipas susah mati novel-novel Alaf21 pasti akan menangis kesedihan kalau terlepas jualan gudang ini. Rasanya buku-buku akan dijual dengan lebih murah dan sudah namanya jualan gudang mungkin harga akan berkurangan dan terjumpa buku-buku yang sudah lama diidamkan. Saya macam berkenan nak dapatkan buku ini. Tapi tengoklah pada kewangan dihujung bulan ini. Atau ada orang mahu sponsor. Jualan gudang ini bertempat di pejabat Karangkraf iaitu seksyen 15, Shah Alam. Bermula 28, 29 hingga 30 Januari.

 

 

Notakakitangan:

Pesta bagi pencinta buku adalah bila ada jualan gudang. hehehe

Advertisements

Catatan Bawah Sedar – Borak Buku dengan S.M Zakir


Di StarBuck stesen KL Sentral, Taras Bulba mengajak kau bicara tentangnya. Kau sangat kabur. Kau pernah terdengar kisahnya ditulis oleh Nikolai Gogol dan telah banyak menginspirasikan sejumlah pengarah filem membuat filemnya.

Taras Bulba yang katanya terkenal dengan hatinya keras dan jiwanya yang besar kelihatan sangat santai petang itu dengan baju T berkolar dan beg galasnya. Bersama segelas kopi (yang kau tak pasti jenis apa) dan kuih donut, dia mengajak kau dan kawan-kawan mengenali dirinya, salah seorang bangsa Cossack yang sama-sama menyerang orang Poland kerana berfahaman Roman Catholic berbeza dengan fahaman bangsa Cossack iaitu Christian Othodoks. Taras Bulba yang mempunyai 2 orang anak lelaki, Ostap dan Andriy bersama-sama membentuk ketumbukan demi maruah bangsa Cossacks.

Ketika mengepung Dubno Castle, anaknya, Andriy telah membelot kerana cintanya pada gadis Polish dan tanpa ampun dia telah menembak Andriy kerana bersifat khianat walaupun sangat menyayangi anak bongsunya itu. Taras Bulba mencerminkan bangsa Cossacks yang tulen, setia pada kawan serta berjuang secara habis-habis. Mati bukanlah perkara yang paling menakutkan sebaliknya tidak dapat mempertahankan princip itulah yang paling menakutkannya. Sungguhpun dia telah dipaku dan sedang dibakar semasa hujung hayatnya, dia masih meneriak pada orang-orangnya supaya terus berperang dan menentang musuh tanpa takut.

Bersela bunyi landasan keretapi digeser oleh LRT dan orang yang lalang, kau seolah mengenali semangat bangsa Cossacks yang berjiwa besar menghadapi peperangan. Kau melihat betapa Taras Bulba seperti sudah hilang di kalangan masyarakat. Yang ada mungkin Yankel, si yahudi talam dua muka atau Andriy yang menggadaikan jiwanya kerana cinta buta.

Nyata kau bersetuju, pembacaan yang baik akan membentuk siapa diri seseorang di masa hadapan. Kau juga begitu bukan?

Petang yang santai dan khalayak yang begitu juga membuatkan kau menanti-nanti siapakah atau apa yang akan kau kenali ketika borak-borak buku di masa akan datang??

 

 

Sastera yang sempurna adalah sastera yang tidak sempurna. S.M Zakir 2011

Dua golongan penyajak


Semasa membaca puisi, dua perkara yang saya sedari, saya akan menemui dua jenis penyajak. Sajak-sajak yang ditulis dalam golongan yang pertama akan membuatkan fikiran saya terbuai-buai, saya menemui keindahan bahasa dan makna dalam perangkapan katanya. Penyajak-penyajak ini akhirnya menjadi penyajak kegemaran saya. Antara orang-orangnya ialah T. Alias Taib, Latiff Mohidden, Zurinah Hassan, Usman Awang, Siti Zaleha Hashim. Percayalah, saya sangat payah untuk jatuh cinta pada puisi. Malah saya tidak pintar langsung menulis puisi. Oleh kerana itu, salah satu sebab saya memilih untuk berenang dalam lautan kata cerpen berbanding puisi. Saya lihat ramai rakan-rakan penulis mula memasuki dunia penulisan (enggan menyebut sastera) dengan melibatkan diri dalam penulisan puisi. Jarang saya temui yang mengatakan, karya pertama saya yang disiarkan ialah cerpen. Kalau ada sila angkat tangan! Boleh naik sekapal dengan saya. Hehehe..

Mereka yang saya sebutkan tadi iaitu Zurinah Hassan, Usman Awang, Siti Zaleha Hashim sering mengemukakan puisi-puisi yang kena dengan jiwa saya dan selalu memikat. Bukan saya menidakkan keindahan puisi orang lain, ini hanyalah selera peribadi saya sahaja. Namun, sampai di situ sahaja. Hanya memikat.

Selepas menyertai MPR 2006, saya berkenalan dengan Sapardi yang disebut secara tidak sengaja oleh mentor-mentor saya. Halnya kerana saya menulis puisi Nyanyian Hujan. Sangka mereka saya sudah tersihir oleh Sapardi Djoko Damono, tapi itulah kali pertama saya mendengar namanya. Percayalah pulang sahaja daripada bengkel itu, saya cekatan mencari siapakah Sapardi itu dan saya benar-benar telah disihir olehnya. Sapardi seorang pencinta hujan dan anda boleh temui sekian banyak perkataan hujan dalam puisinya. Saya membaca puisi-puisinya dan mendengar lagu-lagu yang dibuat daripada puisi miliknya. Saya tidak belajar menulis dengan lebih baik di dalam bengkel itu tetapi bengkel itu mengajar dan memandu saya arah mana yang mahu saya pilih dalam dunia ini. Saya belajar menulis puisi menerusi pembacaan puisi-puisi Sapardi. Kebetulan puisinya kena dengan jiwa saya yang mencintai hujan dan bahasanya yang sederhana tetapi tidak mengabaikan keindahan makna dan bahasa.

Kemudian saya berkenalan dengan Aan Mansyur, penulis dari Makassar. Membaca satu dua puisinya saja, saya sudah putuskan, dia menjadi kekasih puisi saya. Betapa dia menyenangi hujan dan senja. Melalui puisi Aan, entah mengapa sangat memberi inspirasi kepada saya untuk gigih menulis sahaja. Ilham dan kata-kata bagaikan anak-anak yang mudah mesra kepada saya. Mereka sering datang mengunjungi saya dan buat saya tertawa dan senyum ketika menuliskan mereka menjadi puisi dalam laptop saya.

Aan Mansyur dan Sapardi Djoko Damono adalah kekasih puisi saya kini dan mereka adalah golongan penyajak yang kedua, Penyajak yang Berjaya sering menulis sajak yang memberi idea dan imaginasi kepada saya untuk saya menulis sajak. Setiap kali saya membaca sajak-sajak mereka, seolah-olah mereka yang bermata bening itu, merenung saya dengan pandangan yang teduh, mereka akan mengajak saya bermain-main hujan di tepi jendela dan sesekali memeluk saya daripada belakang bila-bila saya kesedihan. Pengalaman membaca sajak-sajak mereka, tidak pernah gagal membuatkan jantung saya berdebar-debar dan saya pantas sekali menjadi anak perawan yang baru pertama kali bertemu kekasihnya. Ah, susah untuk saya tuliskan perasaan membaca sajak mereka dalam kata-kata dalam blog ini.

Begitulah saya dan penyajak-penyajak. Saya berharap saya terasuh dan membesar menjadi penulis yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menulis atau sekurang-kurangnya mencintai kehidupan.

Saya dan Interlok.


Naskhah Interlok ini saya baca seingatnya semasa saya Tingkatan 1 atau 2. Saya jumpa bukunya (versi sasterawan Negara) dalam rak buku yang disorokkan daripada murid-murid dan diletakkan di bilik lain. Saya tidak tahu apa fungsinya pengasingan rak yang menghimpunkan sekian banyak buku sasterawan Negara ini tetapi dengan kuasa pustakawan, maka saya telah menceroboh baca dan Interlok termasuk salah satu daripada rompakan buku yang sempat dilakukan. Mungkin kerana judulnya yang aneh atau kerana saya ‘rompak’ pada hari Jumaat (hari mulia, ‘rompak’ buku, ish ish ish) yang memerlukan novel yang tebal untuk dihabiskan semasa hujung minggu.

Saya memulakan pembacaan tanpa mengetahui apakah isi kandungan naskhah tebal ini. Jalan ceritanya pun tidak. Sinopsis apatah lagi. Masa itu juga barulah saya tahu, oh Abdullah Hussin merupakan salah seorang sasterawan Negara rupanya.

Semasa membaca novel, perasaan saya sangat terbuai, mulanya saya dibawa mengenali watak orang melayu kemudian watak cina dan akhirnya watak india Kemudian watak-watak ini ditemukan dalam bahagian kedua dalam novel ini. Ketika itu, saya rasa novel Interlok itu seribu kali lebih baik daripada teks sejarah. Saya sangat menyukai pelajaran Sejarah tetapi apabila masuk dalam sejarah Malaysia entah kenapa momentum kesukaan saya jadi merundum, penyampaian teks sejarah sangat membosankan. Bukan salah ilustrasi tetapi kandungan teks Sejarah ketika itu seperti tidak jujur dan sangat kering kupasannya. Saya lebih kenal Malaya melalui teks Interlok berbanding buku teks Sejarah. Secara jujur, kerana Interlok la saya menyukai Abdullah Hussin, saya mencari buku-bukunya yang lain seperti Noni. Namun tidak dapat menandingi kehebatan Interlok di mata saya (yang baru sahaja tingkatan 2 ketika itu.)

Saya melihat Interlok boleh memenuhi selera saya. Ketika itu, saya yang dibesarkan di kampung melayu, bersekolah kebangsaan dan kemudian melanjutkan pelajaran di sekolah asrama yang semuanya melayu. Saya cuma berkesempatan mempunyai kawan yang berlainan bangsa ketika di sekolah rendah, namanya Mehala (satu-satunya pelajar india yang dapat masuk ke kelas saya). Ketika tahun 5, saya memilih untuk duduk disebelahnya di tempat hadapan kelas. Kemudian, saya berjumpa dengan Chong Poh She ketika di sekolah menengah harian (sebelum ke sekolah berasrama). Ketika itu saya rasa kami bertiga sahaja yang berkawan berlainan bangsa yang kalau rehat mesti mau duduk dan makan sama-sama dalam seluruh tingkatan kami.

Interlok mengimbau saya pada rakan-rakan saya ini yang setiap kali perayaan mereka, saya sangat suka datang. Ketika Deepavali, mereka akan siap-siap menyediakan maruku kerana mereka tahu saya sangat suka makan maruku. Kemudian, semasa tahun baru cina, mak ayah Chong Poh She telah menempah caterer orang melayu untuk memasak makanan khas untuk kami kerana menghormati agama kami yang ada halal haram dalam makanan. Ya, saya sangat rindukan mereka. Saya pernah tulis tentang mereka dalam entri ini. Dalam Interlok, saya seolah-olah membaca sejarah nenek moyang mereka, bagaimana nenek moyang mereka datang ke tanah melayu yang katanya semenanjung emas, dan bagaimana mereka survival dalam persekitaran yang baru ini. Watak-watak dalam Interlok, seolah-olah hidup di mata saya.

Saya belajar menerima pandangan dan pelukisan watak dan ceritanya. Ketika itu, saya rasa Abdullah Hussin sangat jujur melukiskan karyanya tanpa ada sebarang berat sebelah. Begitu yang ada diluar, begitu juga yang ada di dalam novel. Walaupun telah membaca karyanya yang lain, saya rasa Interlok merupakan masterpiece Abdullah Hussin (pandangan saya ketika itulah), saya tak menemui keseronokan membaca yang sama seperti saya membaca Interlok pada novel-novel Abdullah Hussin yang lain. Kecuali Konserto Terakhir la…

 

Begitulah kenangan antara saya dan Interlok.

Zurinah Hassan – Laut Membiru Bagai Surat Rindu


Semasa menghadap laut di pulau pangkor, puisi Zurinah Hassan ini benar-benar menampar perasaan saya. Puisi Zurinah Hassan jarang gagal menggugah perasaan saya untuk menyelam dalam bait-bait puisinya.

Laut Membiru Bagai Surat Rindu

Zurinah Hassan

Laut adalah suara rindu yang biru
awan yang jauh membawa resahku
ombak di pasir mengukir namamu
tapi angin lalu menyapu

Kapal pun telah berangkat
bersama arus kehidupan
yang mempertemu dan memisahkan kita
rinduku pun jatuh
pada pulau yang jauh

Ombak yang tidak putus bersuara
dan pantai yang menanti sentiasa
seperti aku yang terus membaca
puisi-puisi setia

Penyajak yang baik boleh menulis puisi yang membangkitkan inspirasi kepada pembacanya. Saya baru sahaja berenang dalam lautan puisi dan hanya beberapa orang penyajak sajak yang apabila saya membaca puisinya, seolah-olah matahari terbit dalam dada, jantung saya berdegup kencang dan saya seolah-olah sedang terapung-apung di antara celah perangkapan makna dan kata.

Tidak kurang, sajak-sajak yang baik bisa menggoda pembaca untuk menulis sajak yang mirip atau hampir dengannya. Sajak-sajak ini memberi inspirasi untuk kita menulis tentang subjek yang telah ditulis dalam sajak itu. Bagi saya, tidak salah kita terinspirasi dan mengikut gerak geri gaya penyajak itu. Dalam perjalanan seorang penulis (jika boleh dipanggil begitu) ada yang memilih untuk bertatih perlahan-lahan dengan usaha sendiri, ada yang mengikut sesiapa yang mahu memimpinnya sehingga boleh berjalan sendiri dan ada yang menggunakan topeng orang lain yang telah berjaya dan dikenali supaya dia cepat naik ke puncak. Ya, apa-apa sahaja cara pun boleh tetapi cara yang terakhir itu minta-minta tidak digunakan. Dunia sastera Malaysia ini kecil sahaja. Pusing kanan pusing kiri bersentuh bahu dengan orang yang sama juga. Lebih-lebih lagi dengan kemudahan maklumat segalanya di hujung jari.

 


 

Tahun Baru dan Karya Baru


Sudah tahun 2011 rupanya.

Saya melaluinya seperti biasa, cuma suasananya sedikit berubah. Saya menyambutnya di tepi pantai di tengah sebuah pulau. Bersama sorak-sorai orang ramai dan bunga api.

Dalam perjalanan pulang, saya mendapat khabar dari Shukri Mohd Ali bahawa cerpen saya disiarkan dalam ruangan Berita Minggu. Saya mengetahui perkara itu agak sedikit lewat iaitu pada waktu tengah hari dan ketika itu surat khabar Berita Minggu sudah habis di Teluk Intan. Mujur ketika tiba di Selangor, saya Berjaya mendapat naskhah yang terakhir di sebuah kedai mamak.

Ini Rahsia Saya membuka tirai tahun baru dan merupakan cerpen pertama yang disiarkan di surat khabar. Mengenangkan ini, saya teringat sajak pertama yang disiarkan di akhbar juga melalui Berita Minggu iaitu sajak “Baju Kurung Merah Darah” pada Januari 2009.

Bagi saya apabila karya disiarkan, perkara yang menakutkan saya ialah bagaimana mahu konsisten menghasilkan karya dan rajin menghantar karya. Penyiaran karya menunjukkan editor percaya pada potensi karya dan bakat kita, oleh itu berkemungkinan mengharapkan saya akan menghasilkan karya-karya yang lebih baik lagi di masa akan datang. Itu satu tanggungjawab besar bagi saya. Malah, jikalau melihat pada ucapan di facebook, semuanya menunjukkan ke arah ” Teruskan usaha menulis dan hasilkan karya-karya yang lebih baik.”. Saya berharap saya mempunyai stamina dan kekal menulis. Dan yang paling penting RAJIN menghantar karya.

Teman-teman rapat saya tentu tahu, yang saya paling malas menghantar karya. Mungkin sesetengah penulis, suka mencuba-cuba menghantar dan untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Saya pula tidak begitu. Perangai saya dalam setahun, kalau mood saya baik, sekali dua saya akan menghantar beberapa karya kepada beberapa penerbit. Hanya pada sekali dua itu sahaja. Selepas itu, senyap, menikus. Sikap saya yang ini pernah saya tulis dalam entri ini.

Mujur, dua tiga menjak ini ada kawan-kawan yang tidak habis-habis mendesak saya menghantar karya yang telah lengkap ditulis. Kawan-kawan ini kalau tahu saya sudah selesai menulis, akan berleter dan mengingatkan saya, JANGAN LUPA HANTAR KARYA ITU, JANGAN MALAS HANTAR KARYA. Ya, ya. Saya ambil kira nasihat dan leteran tersebut, Aidil Khalid. Ha ha ha.

Oleh kerana, sampai la ni Berita Harian Online masih tidak menyiarkan cerpen itu, maka bolehlah membaca cerpen “Ini Rahsia Saya” di sini.