Saya dan Interlok.


Naskhah Interlok ini saya baca seingatnya semasa saya Tingkatan 1 atau 2. Saya jumpa bukunya (versi sasterawan Negara) dalam rak buku yang disorokkan daripada murid-murid dan diletakkan di bilik lain. Saya tidak tahu apa fungsinya pengasingan rak yang menghimpunkan sekian banyak buku sasterawan Negara ini tetapi dengan kuasa pustakawan, maka saya telah menceroboh baca dan Interlok termasuk salah satu daripada rompakan buku yang sempat dilakukan. Mungkin kerana judulnya yang aneh atau kerana saya ‘rompak’ pada hari Jumaat (hari mulia, ‘rompak’ buku, ish ish ish) yang memerlukan novel yang tebal untuk dihabiskan semasa hujung minggu.

Saya memulakan pembacaan tanpa mengetahui apakah isi kandungan naskhah tebal ini. Jalan ceritanya pun tidak. Sinopsis apatah lagi. Masa itu juga barulah saya tahu, oh Abdullah Hussin merupakan salah seorang sasterawan Negara rupanya.

Semasa membaca novel, perasaan saya sangat terbuai, mulanya saya dibawa mengenali watak orang melayu kemudian watak cina dan akhirnya watak india Kemudian watak-watak ini ditemukan dalam bahagian kedua dalam novel ini. Ketika itu, saya rasa novel Interlok itu seribu kali lebih baik daripada teks sejarah. Saya sangat menyukai pelajaran Sejarah tetapi apabila masuk dalam sejarah Malaysia entah kenapa momentum kesukaan saya jadi merundum, penyampaian teks sejarah sangat membosankan. Bukan salah ilustrasi tetapi kandungan teks Sejarah ketika itu seperti tidak jujur dan sangat kering kupasannya. Saya lebih kenal Malaya melalui teks Interlok berbanding buku teks Sejarah. Secara jujur, kerana Interlok la saya menyukai Abdullah Hussin, saya mencari buku-bukunya yang lain seperti Noni. Namun tidak dapat menandingi kehebatan Interlok di mata saya (yang baru sahaja tingkatan 2 ketika itu.)

Saya melihat Interlok boleh memenuhi selera saya. Ketika itu, saya yang dibesarkan di kampung melayu, bersekolah kebangsaan dan kemudian melanjutkan pelajaran di sekolah asrama yang semuanya melayu. Saya cuma berkesempatan mempunyai kawan yang berlainan bangsa ketika di sekolah rendah, namanya Mehala (satu-satunya pelajar india yang dapat masuk ke kelas saya). Ketika tahun 5, saya memilih untuk duduk disebelahnya di tempat hadapan kelas. Kemudian, saya berjumpa dengan Chong Poh She ketika di sekolah menengah harian (sebelum ke sekolah berasrama). Ketika itu saya rasa kami bertiga sahaja yang berkawan berlainan bangsa yang kalau rehat mesti mau duduk dan makan sama-sama dalam seluruh tingkatan kami.

Interlok mengimbau saya pada rakan-rakan saya ini yang setiap kali perayaan mereka, saya sangat suka datang. Ketika Deepavali, mereka akan siap-siap menyediakan maruku kerana mereka tahu saya sangat suka makan maruku. Kemudian, semasa tahun baru cina, mak ayah Chong Poh She telah menempah caterer orang melayu untuk memasak makanan khas untuk kami kerana menghormati agama kami yang ada halal haram dalam makanan. Ya, saya sangat rindukan mereka. Saya pernah tulis tentang mereka dalam entri ini. Dalam Interlok, saya seolah-olah membaca sejarah nenek moyang mereka, bagaimana nenek moyang mereka datang ke tanah melayu yang katanya semenanjung emas, dan bagaimana mereka survival dalam persekitaran yang baru ini. Watak-watak dalam Interlok, seolah-olah hidup di mata saya.

Saya belajar menerima pandangan dan pelukisan watak dan ceritanya. Ketika itu, saya rasa Abdullah Hussin sangat jujur melukiskan karyanya tanpa ada sebarang berat sebelah. Begitu yang ada diluar, begitu juga yang ada di dalam novel. Walaupun telah membaca karyanya yang lain, saya rasa Interlok merupakan masterpiece Abdullah Hussin (pandangan saya ketika itulah), saya tak menemui keseronokan membaca yang sama seperti saya membaca Interlok pada novel-novel Abdullah Hussin yang lain. Kecuali Konserto Terakhir la…

 

Begitulah kenangan antara saya dan Interlok.

10 thoughts on “Saya dan Interlok.

  1. owh kita hampir sama acuan. saya juga di awal usia terdedah pada mahakarya sasterawan negara kita. umur baru mencecah 9 tahun tapi suapan bacaan di sekolah yang ada cuma dari DBP (sumbangan bulanan). bayangkan jiwa mentah membaca kalam dewasa. sedikit penat mencerna makna cerpen atau novel bersiri dalam Dewan Siswa. tapi secara relatif, itu lah titik pencetus akan minat saya pada sastera dan kekayaan bahasa kita.

    dan hubungan antara bangsa Malaysia saya juga bermula dengan skrip hampir sama. hehe

    Like

    1. tak dapatlah tu, kau baca Ainunl, ala ayah aku tak bagi baca SHIT, masa tu aku kecil lagi ayah kata, lepas ayah sorok buku, aku cari tak jumpa sampai sekarang,

      aku cadang nak beli Interlok lah…

      Like

      1. Syahidah : Ala.. SHIT itu penuh dengan analogi politik, tak ada apa-apa pun. rasanya karya Shahnon tiada masalah untuk dibaca cuma ya lah kadang-kadang analoginya keras. SHIT gunakan saluran najis sebagai anologi politik.. tapi kalau SUTAN BAGINDA…. lagi dahsyat. aku belum berkesempatan baca TIVI. dengarnya TIVI lagi dahsyat. 🙂

        Ya, belilah karya interlok dan bacalah 🙂

        Like

    2. shukri : saya ada naskhah SHIT tetapi baru mula membaca sudah terasa lain macam.
      Jadi berhenti dahulu dan masih lagi tidak punya masa untuk menyambungnya.. hehe..

      Tapi kalau SHIT, TAK mungkin jadi teks sekolah. Orang tak kan bakar teksnya, orang bakar rumah kot. hehe

      Like

  2. aku tak pernah baca pun interlok, naskah yang aku nampak kat perpustakaan tu pun dah bersepai keadaannya… tapi aku tetap sokong penulis tu, sebab aku dapat rasakan penulis tu bukan seorang yang rasis.

    politikus yang cuba mainkan sentimen kaum untuk meraih sokongan undi adalah sangat tongong. Etnic chauvinist mmg semua tongong

    nanti aku akan cuba baca kalau jumpa naskah yang tak koyak rabak atau hilang muka surat

    Like

    1. Adiospunk : Aku baca masa aku tingkatan 2, masa aku sekolah. tak ada pula aku rasa nak bakar sekolah atau timbulkan sentimen politik selepas baca novel itu. Ya, Abdullah Hussin tidak rasis tapi orang yang timbulkan isu ini yang rasis. biasalah nak dekat pilihan raya kan.

      aku harap orang tidak baca novel ini kerana nak cari kesalahan di dalamnya tetapi mencari pemikiran dan keindahan ceritanya.

      Like

Tinggalkan komen