Dua golongan penyajak


Semasa membaca puisi, dua perkara yang saya sedari, saya akan menemui dua jenis penyajak. Sajak-sajak yang ditulis dalam golongan yang pertama akan membuatkan fikiran saya terbuai-buai, saya menemui keindahan bahasa dan makna dalam perangkapan katanya. Penyajak-penyajak ini akhirnya menjadi penyajak kegemaran saya. Antara orang-orangnya ialah T. Alias Taib, Latiff Mohidden, Zurinah Hassan, Usman Awang, Siti Zaleha Hashim. Percayalah, saya sangat payah untuk jatuh cinta pada puisi. Malah saya tidak pintar langsung menulis puisi. Oleh kerana itu, salah satu sebab saya memilih untuk berenang dalam lautan kata cerpen berbanding puisi. Saya lihat ramai rakan-rakan penulis mula memasuki dunia penulisan (enggan menyebut sastera) dengan melibatkan diri dalam penulisan puisi. Jarang saya temui yang mengatakan, karya pertama saya yang disiarkan ialah cerpen. Kalau ada sila angkat tangan! Boleh naik sekapal dengan saya. Hehehe..

Mereka yang saya sebutkan tadi iaitu Zurinah Hassan, Usman Awang, Siti Zaleha Hashim sering mengemukakan puisi-puisi yang kena dengan jiwa saya dan selalu memikat. Bukan saya menidakkan keindahan puisi orang lain, ini hanyalah selera peribadi saya sahaja. Namun, sampai di situ sahaja. Hanya memikat.

Selepas menyertai MPR 2006, saya berkenalan dengan Sapardi yang disebut secara tidak sengaja oleh mentor-mentor saya. Halnya kerana saya menulis puisi Nyanyian Hujan. Sangka mereka saya sudah tersihir oleh Sapardi Djoko Damono, tapi itulah kali pertama saya mendengar namanya. Percayalah pulang sahaja daripada bengkel itu, saya cekatan mencari siapakah Sapardi itu dan saya benar-benar telah disihir olehnya. Sapardi seorang pencinta hujan dan anda boleh temui sekian banyak perkataan hujan dalam puisinya. Saya membaca puisi-puisinya dan mendengar lagu-lagu yang dibuat daripada puisi miliknya. Saya tidak belajar menulis dengan lebih baik di dalam bengkel itu tetapi bengkel itu mengajar dan memandu saya arah mana yang mahu saya pilih dalam dunia ini. Saya belajar menulis puisi menerusi pembacaan puisi-puisi Sapardi. Kebetulan puisinya kena dengan jiwa saya yang mencintai hujan dan bahasanya yang sederhana tetapi tidak mengabaikan keindahan makna dan bahasa.

Kemudian saya berkenalan dengan Aan Mansyur, penulis dari Makassar. Membaca satu dua puisinya saja, saya sudah putuskan, dia menjadi kekasih puisi saya. Betapa dia menyenangi hujan dan senja. Melalui puisi Aan, entah mengapa sangat memberi inspirasi kepada saya untuk gigih menulis sahaja. Ilham dan kata-kata bagaikan anak-anak yang mudah mesra kepada saya. Mereka sering datang mengunjungi saya dan buat saya tertawa dan senyum ketika menuliskan mereka menjadi puisi dalam laptop saya.

Aan Mansyur dan Sapardi Djoko Damono adalah kekasih puisi saya kini dan mereka adalah golongan penyajak yang kedua, Penyajak yang Berjaya sering menulis sajak yang memberi idea dan imaginasi kepada saya untuk saya menulis sajak. Setiap kali saya membaca sajak-sajak mereka, seolah-olah mereka yang bermata bening itu, merenung saya dengan pandangan yang teduh, mereka akan mengajak saya bermain-main hujan di tepi jendela dan sesekali memeluk saya daripada belakang bila-bila saya kesedihan. Pengalaman membaca sajak-sajak mereka, tidak pernah gagal membuatkan jantung saya berdebar-debar dan saya pantas sekali menjadi anak perawan yang baru pertama kali bertemu kekasihnya. Ah, susah untuk saya tuliskan perasaan membaca sajak mereka dalam kata-kata dalam blog ini.

Begitulah saya dan penyajak-penyajak. Saya berharap saya terasuh dan membesar menjadi penulis yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menulis atau sekurang-kurangnya mencintai kehidupan.