Menemui diri dalam puisi


 

Dahulu, saya tidak percaya saya akan menemui diri saya dalam puisi. Saya sangat obses membaca cerpen nan panjang menjela berbanding puisi. Malah saya selalu merasakan pembacaan puisi tidak puas dan tidak meluas. Puisi adalah lantunan melodrama yang keterlaluan. Itu fikiran saya waktu itu. Oleh sebab itu, saya sanggup menghabiskan masa membaca cerpen daripada meluangkan masa membaca puisi.

Lewat kebelakangan ini, saya tidak punya masa dan kekuatan untuk bahan bacaan yang panjang. Cerpen-cerpen sudah tidak menguji dan menduga saya lagi berbanding zaman dahulu. Cerpen sudah jadi terlalu sterotaip dan jarang saya menemui keindahan dalam cerpen seperti suatu waktu dahulu. Saya menjadi dorman dan melalui fasa-kemurungan-membaca. Kemudian saya mula beralih kepada bahan bacaan puisi. Ini bermula daripada saya melalui perjalanan tren yang singkat dan saya perlukan bahan bacaan yang ringkas dan memikat. Puisi merupakan alternatif terbaik kepada saya.

Semenjak itu, saya semakin tenggelam dalam puisi dan saya cenderung menulis puisi. Ini dapat dilihat melalui kecenderungan karya yang disiarkankebelakangan ini dalam genre puisi. Mungkin saya kurang patriotik dan sangat selektif memilih penyair yang harus saya ikut. Sesiapa yang mengikuti blog ini, pasti menyedari kekasih puisi saya iaitu Sapardi dan Aan Mansyur. MAaf kalau saya meletakkan mereka terlalu tinggi tetapi saya tidak dapat menolak pengaruh mereka dalam gaya penulisan puisi saya. Saya larut dalam pesona puisi mereka. Puisi Sapardi dan Aan Mansyur biarpun sukar di dapati kerana faktor demografi, tidak menghalang saya menikmati puisi mereka. Ramai rakyat indonesi yang meletakkan puisi Sapardi serta dengan maha rajinnya meyalin dalam bentuk pdf untuk diakses oleh sesiapa sahaja. Begitu juga dengan puisi Aan Manysur yang boleh di dapati melalui tiga-tiga blognya. Namun perkara itu sukar di dapati dalam puisi Malaysia, yang ada Cuma di penyair.wordpress.com. itupun hanya sebilangan kecil sahaja puisi yang dimuatnaikkan.

Oleh kerana itu, mungkin ramai yang tidak menyedari T Alias Taib mempunyai sekian banyak puisi yang lebih baik daripada puisi Tukang Gunting atau Pasar Pengalaman. Mujur saya dapat memburu buku-buku puisi T Alias Taib bermula Pemburu kota, Seberkas kunci, Opera, Piramid, hanya satu kumpulan puisi iaitu Petang Condong yang diterbitkan oleh pustaka cipta belum saya peroleh. Semasa menyelak Piramid yang saya nobatkan buku puisi terbaik T Alias Taib (sambil menolak Pasar Pengalaman) saya sering menemui diri saya yang disebut oleh T Alias Taib dalam puisinya. Bila-bila malam sebelum tidur, saya akan membelek helai-helai dan ada waktunya puisi yang tidak memikat bisa memikat hati saya kembali dan sangat kena dengan perasaan saya waktu itu.

Saya berharap saya menemui diri dalam kumpulan puisi-puisi yang ditulis penulis Malaysia. Saya berharap kepalsuan dan pura-pura yang banyak mendominasi puisi Malaysia akan hilang dan ruintuh serta kita meraikan kebebasan dalam melahirkan puisi demi masa depan sastera kita.

Advertisements

Pasca ASCK


Akhirnya Antologi Surat Cinta Kita di tangan saya.

Beli khas dari tangan Ridhwan Saidi di Solaris, Dutamas selepas KISS short film screening & Rojak (BM) launching.

Ini judul surat saya.

Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan

 

Rupanya perasaannya sangat aneh apabila membaca tulisan kita si atas kertas kuning yang bukunya dijahit sendiri (oleh Ridhwan Saidi). Saya sangat suka bau kertas, dan kertas kuning itu jenis kertas yang saya paling suka.

Apabila membaca tulisan sendiri atas kertas itu, perasaannya jadi sangat sayu, melankolik, sedih. Dalam ASCK, ada beberapa surat yang saya suka. Biarlah surat-surat yang saya suka itu tidak dinyatakan di sini.

Saya tidak akan meletakkan versi surat ini dalam blog sampai bila-bila. Siapa mahu baca boleh dapatkan daripada Ridhwan Saidi. Cara pembelian boleh dibaca disini. Bukan apa, projek D.I.Y kita harus sokong kan?

Sesiapa yang sudah membeli, selamat menikmati surat ini.


Notakakitangan: Jangan membuat spekulasi bukan-bukan tentang judul surat ini dengan kehidupan saya yang tenang aman dan sentosa. Hi hi hi.

Catatan Bawah Sedar : Cerita-cerita Dunia Kaca


Dahulu kami sukakan buku, bersantai pun di kedai buku, memilih untuk menyelak-selak buku-buku yang kami suka, menunjukkan baris-baris yang memikat.

Gilakan buku dan bau buku.

Tapi itu dahulu, sebelum dunia kaca merampas dia.

Sekarang dia obses dengan kecantikan, pakaian cantik dan padan, padanan busana yang sesuai, bentuk badan yang menggiurkan, berlibur dengan dunia hiburan.

Sewaktu di ke Indonesia (beberapa tahun lalu), Bandung lebih tepatnya, saya sedar, dia langsung tidak menyebut tentang buku atau buku-buku buruannya. Tidak seperti dahulu. Dia menyebut nama factory outlet, tempat membeli belah terbaik, makanan terbaik tetapi bukan tempat membeli buku terbaik. Saya baru sedar itu sekarang.

Mujur dia masih cintakan budaya Melayu, mujur sahaja masih cintakan seni berpantun, mujur sahaja..

Kalau tidak, dia sama sahaja seperti orang lain di luar. Tasteless.

Dahulu dia sederhana pada darjahnya tersendiri. Tanpa perlu apa-apa, dia sudah terlalu istimewa.

Kini, dunia kaca telah mengkosmetikkannya dengan solekan murah yang disangka mahal. Dia semakin hanyut dalam dunianya. Dia seperti sudah hilang istimewa. Dia sudah sama seperti manusia lainnya. Dan saya pasti dia sudah sangat lama tidak membaca buku.

Dan saya lagi dalam dunia kami dahulu, masih menunggu di bangku yang sama di kedai buku itu.

Dan saya tidak pasti bila dia akan kembali dan menemankan saya memilih buku-buku seperti dahulu. Atau mungkin dia sudah tidak mahu kembali dan meninggalkan saya menunggu disitu?

Pilihan raya kampus


Sekarang bendera pilihan kampus sedang berkibaran. Petang tadi keputusan diumumkan. Yang menang akan naik dan cuba menunaikan janji mereka. Yang kalah, akan bersedih dan cuba membantu mana terdaya.

Melihat wajah polos dan penuh inspirasi, saya jadi tertawa sendiri.

Ah, mereka telah tercandu. Tercandu pada aspirasi dan perjuangan seperti yang dikatakan oleh pihak atasan. Atau buku-buku perjuangan mahasiswa yang pernah mereka baca. Cinta hari-hari rusuhan mungkin?

Saya melihat mereka tidak hanya bidak-bidak catur dan kuda tunggangan pihak atasan. Benarkah mereka membawa suara dan aspirasi mahasiswa? Apa yang mereka buat? Tidak hanya membuat kertas kerja atau program-program yang pihak universiti minta. Ada waktunya saya lihat itu bukan kerja MPP sebaliknya mereka sudi jadi babu membuat kerja remeh dan rencam hanya untuk mengejar mata kredit.

Saya bertanya, apakah ada program yang benar-benar memantulkan apa yang mahasiswa, seperti laungan mereka sewaktu pilihan raya kampus. Benarkah suara mahasiswa masih relevan sehingga sekarang. Masihkah suara mahasiswa didengari? Bukankah semenjak dari sekolah lagi kita sudah diajar untuk menutup mulut dan mengekor peraturan. Di universiti juga begitu bukan?

Atau apa MPP sebenarnya?

Ya, MPP boleh menjadi medan untuk menjadi apa sahaja. Anda boleh menimba pengalaman. Anda boleh belajar bahawa dunia di luar sana tidak polos dan penuh tipu daya dan licik sekali. Orang mahu naik dengan memijak sesiapa sahaja dibawahnya. Mereka yang berkata, pilihanraya tiada campur tangan luar tetapi semuanya hanya penipuan sahaja. Semuanya hanyalah anekdot-anekdot boneka.

Adakah saya pesimis dan spetikal? Adakah pandangan saya tidak benar? Kalau tidak benar, saya mohon maaf saya, tetapi itu yang saya lihat sewaktu saya di universiti. MPP atau apa-apa hanya sekadar liburan, mengisi waktu senggang di kampus. Benar, ada yang terdidik dan menjadi manusia berguna, cemerlang gemilang tetapi berapa ramai yang benar-benar begitu? Atau yang ramai tercicir dalam pelajaran dan diguna-gunakan?

Cinta, Apakah Tandanya?


(untuk Shukri Mohd Ali dan Fairuz Fauzi yang hati mereka telah menjadi serbuk beberapa hari ini)

Ehem…

Sebelum meneruskan bacaan cinta mungkin yang sedikit melodrama, apa kata kita layan lagu ini dahulu. Sengaja saya letakkan versi P. Ramlee dan Lena Abdullah dalan filem Anjuran Nasib. Walaupun mungkin tiada kena mengena dengan keseluruhan konteks entri ini.


Mungkin, hari ini kita menemui cinta, mungkin esok cinta akan meninggalkan kita. Apa yang kita tahu tentang aturan yang tertulis di atas sana? Mungkin hari ini kita tidak menyenangi seseorang, mungkin esok, hati kita dibolak-balikkan dan nyala cinta tiba-tiba terbakar dalam hati?

Tiada satu pun daun yang gugur tanpa pengetahuan-nya. Tiada siapa pun yang boleh menjangka esok hari.


Kawan,

Ada waktunya, kita merasakan cinta telah hadir dalam hidup, kita siap siaga membuka pintu dan mempersilakan cinta masuk ke dalam kamar kita yang hangat. Kita menyeduhkan kopi panas dan hujan sedang merebas-rebas di luar mengisyaratkan cinta supaya berlama-lamaan di rumah kita. Di luar jendela, daun hijau seolah-olah menari dan meraikan cinta.

Tetapi siapa yang dapat menduga, rupanya cinta hanya mahu melintas di perkarangan rumah kita, mungkin sekadar mahu melihat bunga mekar yang kita tanam, atau mungkin sekadar tertarik pada ukiran kerusi kayu yang disusun rapi di hadapan rumah. Cinta yang tidak pernah berniat untuk singgah atau tinggal menginap di kamar kita.

Jika cinta punya hati begitu, siapkan dirinya dan iringi dia di muka pintu. Ucapkan selamat tinggal penuh hormat dan biarkan cinta itu berkelana mencari kamar yang sesuai untuk dia diami dan membina kehidupannya di situ. Jika tidak kamar kita akan berterusan menjadi dingin dan cinta yang berwajah cantik mulus, mungkin akan mendedahkan diri kepada kelukaan yang tidak dapat kita tanggungkan.

Cinta yang tidak punya hati untuk kita, untuk apa kita kurung dan tahan dia berlama-lama di dalam kamar kita yang hangat? Biarlah kita mengesat air mata ketika mengucapkan selamat tinggal pada cinta itu daripada melukakan hatinya, melukakan hati kita dalam kepalsuan dan pura-pura. Membuatkan kita berterusan menangis kerana cinta itu begitu dingin kepada kita. Kamar kita yang hangat bukan taraf untuk cinta yang begitu.

Di luar sana, mungkin ada cinta yang sedang berkelana, mencari kamar dan kopi hangat yang sesuai untuknya, yang sesuai untuk kita. Bersabarlah sebentar. Mungkin cinta tersesat ketika kerana belum punya wang beli GPS untuk jalan yang tepat ke kamar hati kita.

Sampai waktu itu, bersabar ya.

 


Panduan mendapatkan Antologi Surat Cinta Kita


Catatan kepada sesiapa yang merasakan surat cinta penting untuk dibaca, sila teruskan pembacaan. Kepada yang merasakan subjek itu sia-sia, berhentilah membaca kerana masa anda akan sia-sia.

dirompak dari blog binfilem.com

Langkah pertama :

Sila datang ke majlis KISS short-film screening & ROJAK (Versi BM) launch, Black Box, Solaris, Jalan Dutamas pada 22 Februari, 8.30 malam. Kemudian, sila jumpa Ridhwan Saidi dan tanyakan buku Antologi Surat Cinta Kita itu. Keluarkan RM20 dan bayar. Selepas itu, kamu boleh sahaja membaca surat-surat cinta yang mungkin pelbagai rupa dan warna. Surat yang saya tulis ada di muka surat 91 (kalau tak silap). Judulnya : Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan.

Langkah kedua :

Boleh pesan melalui saya. Saya akan tolong kamu ke majlis itu dan tolong beli untuk kamu. Pesan dengan bayaran sekali ya. E-mel saya melalui ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com yang kamu mahukan buku itu dan saya akan balas dengan nombor akaun untuk urusan pembayaran. Jika kamu beli dari saya, mungkin ada cenderamata dan hadiah dari saya semasa saya kirim atau beri buku itu kepada kamu.

Langkah ketiga :

Langkah ini hanya boleh dilakukan selepas 22 Februari, iaitu memesan melalui Ridhwan Saidi sendiri.

 

 


Untuk maklumat lanjut sila ke sini

Blog Bin Filem

Maklumat Acara

KISS short-film screening & ROJAK (Versi BM) launch