Puisi : 3 Hadiah


3 Hadiah

(Catatan Kepada F)

 

Kek Ulang Tahun

 

Setiap waktu berkunjung ke kedai resipi rahsia

aku pasti mencari alasan untuk tidak memilih

sehiris kek keju beri biru kegemaranku

 

Aku sentiasa mahu menyimpan keenakan

kek keju beri biru hadiah daripadamu

sempena ulang tahunku yang sepi

 

Sepasang Baju Kurung

 

Setiap pagi, aku berjalan di taman kembang merah

menyarung baju kusam dan kelam

kupu-kupu menari dan meneriak warna

sepantas kembang-kembang bersimpati

mengoyakkan kelopak dirinya

membentuk sepasang baju kurung baru untukku

 

Teman-teman sering bertanya

mengapa tidak kupakai

sepasang baju kurung merah

yang tergantung rapi dalam almari rumahku

 

Tidak mereka tahu, setiap kali aku memakainya

mendadak bunga-bunga tercetak pada baju

mengakar sesuatu dalam tubuhku

aku perlahan-lahan menjadi pohon

yang merindukan kehadiran hujan.

 

 

Buku

 

Buku itu mendadak tebal

bila-bila aku merasa rindu

buku mendendami aku untuk membacanya

di dalam setiap helaian ada gumpalan cerita.

 

Aku sering sahaja berdusta pada buku hadiahmu

kubilang, hariku adalah stesen hidup yang sibuk

tidak cermat aku menyisih masa membacanya.

 

Sedangkan, aku enggan menghabiskan

setiap helaian yang akan menuju ke bab perpisahan

menutupnya dan mengecup selamat tinggal

pada buku yang dibeli hasil simpanan harianmu

kenangan dari kau yang telah menghilang entah ke mana.

 

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

31032011

 

 

Notakakitangan : Selepas berjanji untuk tidak meletakkan puisi sendiri di blog kecuali yang disiarkan, ini pertama kali setelah sekian lama kerana keperluan puisi ini diletakkan di sini.

Ted Hughes – from The City


Ted Hughes – from The City


Your poems are like a dark city centre.

Your novel, your stories, your journals, your letters, are suburbs

Of this big city.

The hotels are lit like office blocks all night

With scholars, priests, pilgrims. It’s at night

Sometimes I drive through. I just find

Myself driving through, going slow, simply

Roaming in my own darkness, pondering

What you did. Nearly always

I glimpse you – at some crossing,

Staring upwards, lost, sixty year old.

 


Saya pernah melalui masa ini. Zaman ‘kegelapan’ atau ‘rebel’. Zaman puisi saya adalah kota yang gelap. Zaman awal blog ini wujud. Puisi yang dikarang oleh Ted Hudges dalam Birthday Letters (gosipnya untuk isterinya seorang penyair wanita, Sylvia Plath). Kata-katanya yang paling memikat saya dalam sajak ini ialah

Your poems are like a dark city centre.

Your novel, your stories, your journals, your letters, are suburbs

 


Pernahkah orang melihat, tulisan saya seperti itu, waktu itu?

Mari kita meraikan cinta seperti pasangan biasa yang melahirkan cinta di gedung-gedung besar pasar raya


Mari, kita keluar seperti pasangan biasa yang melahirkan cintanya di gedung-gedung pasar raya. Sewaktu kau ambil aku dengan keretamu dan mempersilakan aku duduk. Ah, manis sekali. Dengan dayamu, memandu ke gedung besar pasar raya, tempat pasangan bercinta bercanda. Ketika parkir dibayar dan terusan kau bertanya : mau makan atau jalan? aku jadi bingung.

Kau memutuskan mahu makan selepas tiket wayang dibeli. Aku menurut sahaja kerana masih terasa asing berjalan berdua denganmu di gedung besar itu. Semasa dihadapan panggung, kau bertanya filem apa yang mahu ditonton. Memilih dari skrin yang membariskan filem yang bobrok dan tiada satu berkenan di hati, namun kupilih juga cerita melayu untuk menyokong industri filemnya yang tenat. Sesudah itu, kita pergi mengalas perut yang semakin lapar.

Begitu payah memilih kedai di gedung besar kerana gudang besar dalam tempat menghimpun menu-menu dari seluruh dunia. Ada pasta, pizza, subway, agam gorengan, burger, sebut sahaja apa. Aku dan kau saling berpandangan. Di gedung besar, aku kepingin nasi dan restoran melayu kita pilih. Bersama memilih caj perkhidmatan yang mahal serta nasi sejemput yang dihidang secara seni dan profesional. Lalu lagu daripada John Lennon yang romantis menyapa serta seorang lelaki memainkan violin cinta untuk kita. Ah!

Sementara menunggu masa wayang berlangsung, kita pun memilih berjalan dari kotak kedai ke kotak kedai. Seperti pasangan biasa lakukan untuk melahirkan rasa cinta. Aku melihat-lihat baju yang diperagakan di kaca pameran. Kau melihat-lihat kasut yang rapi jahitan. Sehingga kita menjadi bosan walaupun baru sahaja 15 minit berlalu, lalu akhirnya kita terperuk di kedai buku dan hilang dalam sunyi sehingga lupa wayang akan ditayang.

Buru-buru mengejar wayang kerana terlupa masa di kedai buku. Kita sempat masuk panggung dan melihat sekian banyak pasangan sudah memenuhi panggung. Filem berputar, baru 10 minit, kita sudah jadi terlalu jemu dengan apa yang kita tonton serta saling tertanya kenapa filem ini banyak penontonnya. Bila melihat sekeliling rupanya ada wayang di kerusi lebih menarik daripada wayang di layar. Lalu kita berkeluh kesah menunggu satu jam berlalu sambil cuba tertawa atau menakut-nakutkan diri dengan cerita di layar.

Sesudah itu, apa caranya lagi untuk kita melahirkan cinta seperti pasangan biasa di gedung besar? Ya, mungkin melontar bola bowling atau karaoke? atau mungkin apa?

Kita sama-sama kebingungan di tengah-tengah gedung besar pasar raya dan pasangan biasa yang sedang melahirkan rasa cinta.

Trivia Ulang Tahun : hadiah


Mula mendapat hadiah semasa darjah 6. Walaupun hanya secawan mug bertampal corak yang sangat biasa, saya hampir sahaja mahu menangis. Hadiah mug itu dariapda kawan sekelas saya, Rubiah Mat Zin (jika dia masih ingat). Mug itu masih ada di dalam rumah, digunakan untuk minum oleh ibu, abah, abang dan adik saya.

Ketika tingkatan 1, teman muhibbah, Chong Poh She saya beri saya calendar yang dia design sendiri. Saya masih simpan calendar itu. Ketika berpindah ke sekolah baru, kalender itu saya masih letak di antara kertas palstik atas meja belajar. Untuk kenang-kenangan. Seorang teman saya pula, Adilah Azahar (baru terserempak dia pada tahun lepas) memberi saya pot porri warna hijau. Saya meneriak gembira. Saya sangat suka pot porri gantung itu. Sehingga dua tahun lepas masih ada dengan saya sehinggalah ketika renovation rumah dan perpindahan rumah,pot porri itu hilang. Saya bermurung sepanjang hari.

Bila dewasa begini, saya sedar ada beberapa barang yang saya tidak akan beli walaupun saya sangat mahukan benda itu. Benda itu sepertinya telah saya khususkan untuk dihadiahkan oleh orang bukan untuk diberi. Antara barang tersebut ialah kotak muzik (yanga ada penari ballet, sekarang saya sedang memburu kotak muzik komidi putar) dan anak patung. Alhamdulillah,impian saya makbul. Saya mendapat dua anak patung, berselang tahun. Satu saya namakan Momo (anak lembu) satu lagi Shiro (yang sebiji macam shiro dalam sin chan). Kedua-dua ini dihadiahkan oleh mantan housemate saya iaitu Masitah Saini dan Panda. Kedua-dua ini kesayangan saya.

Oh ya, saya pernah dapat sejambak bunga berangkai 3 kuntum untuk pertama kalinya dalam hidup saya ketika ulang tahun. Saya sangat terkejut. Hadiah itu menjadi satu-satunya hadiah bunga yang saya terima sehingga kini. Hi hi hi.

Selain itu, kejutan hadiah hari lahir yang buat saya terkenang sehingga ialah sebentuk kek secret recipe perisa blueberry. Ampun, kek itu bagi saya sangat mahal. Saya masih dibelajar di tanah duka waktu itu, dan proses pembelian kek itu dibuat online melalui rakan bilik saya. Mereka berpakat secara rahsia tanpa pengetahuan saya. Dia di utara. Kepada kawan saya yang menghiburkan hati saya yang lara kerana harus menyambut ulang tahun di dalam hutan, saya tidak pernah akan melupakan ingatan dan usaha itu sepanjang hidup saya.

hadiah kek, kad daripada Huda Hadi dan beruang dari kawan terbaik

Ada juga kiriman sepasang anting-anting yang masih lagi ada sehingga kini. Kiriman ini daripada seseorang yang sentiasa tidak pernah lupa mengucapkan ulang tahun pada saya dan mengirimkan hadiah untuk saya. Walaupun mungkin hadiahnya biasa kecil dan kini dia sudah tercampak jauh di Sarawak, saya tidak pernah lupa. Dia berselang sebulan dengan tarikh ulang tahun kelahiran saya.

Ya, saya mungkin mudah rasa terharu untuk perkara ini. Sesuatu yang kau tidak biasa dapat, bila kau dapat, apa yang kamu rasa? Bahagia bukan?

Kepada mereka yang telah meletakkan sedikit ruang dalam ingatannya untuk mengucapkan ulang tahun kelahiran kepada saya. Apalah yang dapat saya berikan selain ucapan terima kasih.

*senyum*


Trivia Ulang Tahun : Terima Kasih!


Untuk Shukri Mohd Ali, Faiz Abd Rahim, Wan Nor Azriq, Alawiyah Othman, Masai Masitah Saini, Nabiha Mashut, Kak Malissa, Filzah Hanis yang mengucap selamat ulang tahun melalui khidmat SMS dan telefon dan twitter. Apakah yang boleh saya katakan selain ucapan terima kasih dan lagu ini untuk kamu semua. Tanda terima kasih dari hati saya.

 

 

Untuk 70 orang yang telah mengucapkan selamat ulang tahun menerusi media facebook. Ternyata facebook telah membuatkan saya rasa glamour dan dihargai. Ada ala-ala artis gitu. Terima kasih juga.

Tiada apa yang lebih bahagia selain diingati oleh orang-orang di sekeliling kita yang mendoakan perkara yang baik-baik. Moga doa kalian dinaikkan ke langit dan dimakbulkan.

Mujur semua mengucapkan panjang umur kecuali abang Fazallah Pit, Alawiyah Othman, Filzah Hanis di akhir ucapannya supaya cepat kahwin. Ehem, ini tengah tunggu orang meminang la. Baru takat merisik je ini. Hi hi hi

 

Sambutan ulang tahun: di pejabat menyiapkan kerja dan menikmati ayam penyet sedap seorang diri. Haha. Bunyi macam sedikit tamak. Hi hi hi

Trivia Ulang Tahun : Birthday Party


Seumur hidup tidak pernah menyambutnya.

Ibu dan abah telah kehilangan abang beberapa hari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang dibuat secara besar-besaran. Hilang untuk selama-lamanya. Masa itu saya belum lahir. Oleh itu, Abah seolah memerangi setiap sambutan hari ulang tahun saya dan aadik-adik. Mungkin, itu cara abah melawan rasa sedih kehilangan abang. Melupakan keraian hari ulang tahun. Oleh kerana itu, saya tidak pernah merasa majlis ulang tahun sama ada dibuat secara besar-besaran atau kecil-kecilan.

Sehingga dewasa begini, saya tidak pernah menggantung harapan pada sebuah sambutan ulang tahun untuk membuatkan hari ulang tahun saya bahagia.

Selalu menghiburkan diri sendiri sahaja. Saya akan memilih pakaian yang terbaik, bersolek (walaupun hanya keluar untuk ke kedai mamak) ketika tarikh itu. Ada waktunya, saya hanya mahu menghabiskan hari di sebuah kafe untuk secawan kopi dan sehiris kek untuk diri sendiri. Hanya itu.

Apakah yang lebih baik daripada meraikan ulang tahun daripada membahagiakan diri dalam kesederhanaan?

Trivia Ulang Tahun


Saya jarang menulis tentang ulang tahun kelahiran. Entah apa. Untuk tahun ini, sepanjang seminggu, bermula hari ini, saya akan cuba menulis trivia-trivia berkaitan dengan diri saya dan ulang tahun.

Mungkin ada yang tak pernah saya tulis, mungkin ada yang pernah saya tulis.

Semoga saya punya hati yang kuat dan masa yang cukup untuk tulis semua itu

Huwa!

Nak cuti ketika hari ulang tahun, pun tak boleh. Masa, kau sangat kedekut dan kejam, ok!

 

Notakakitangan : mengharap tanggal 14 Mac nanti, melalui hari yang indah, bermula secawan kopi pun mungkin sudah membahagiakan.