T. Alias Taib – Jalan Pilihan Kita


(Kepada A, berbahagialah dia yang melukakan hati saya)

 

T. Alias Taib

Jalan Pilihan Kita

 

Jalan yang kupilih ini

berbeda daripada jalan pilihanmu

anehnya kita sering bertemu

di jalan bukan pilihan kita.

 

 

aku mengelana di lumpur perasaan

di jalan sunyi tanpa sempadan

aku mengelana di kerikil ilmu

ditemani akal menderu.

 

ku melangkah berulam riang

di jalan yang tak punya perasaan

kau sibuk mengurus hiruk pikuk

hidup yang tak terselesaikan

 

kau tak pernah mengerti

jalan sunyi yang kupilih

seperti aku tak pernah mengerti

jalan sibuk pilihanmu

 

jalan yang kupilih ini

tak mungkin menemukan kita

seperti kita tak mungkin bertemu

di jalan pilihanmu

 

 

 

Petang Condong

T. Alias Taib – Kamus Kita


(Kepada A, yang memilih untuk berdiam dan menghilang tanpa pesan)

T. Alias Taib

Kamus Kita

 

Kupilih kamus yang dipenuhi

ungkapan mewah dan indah

untuk menggubah karangan hidupmu

kaubuka lembaran kamusmu

yang menyinsing bagai fajar

yang mengumpul jaluran sinar

dan matahari  sempurna memancar

kaubentang halaman karanganmu

yang tak pernah tertulis

kata luka atau lara

atau kata-kata seumpamanya.

hanya huruf bertinta emas

mengerumuni di sana sini

pada karangan panjangmu

yang menceritakan kisah angkuhmu

berada tinggi di tangga hidup

kau mabuk memuja namamu

yang mekar bagai mawar

di dunia fana yang menghampar.

 

kupilih kamus yang sama sekali

berbeda daripada kamusmu

 

 

Petang Condong

Belajar lain, kerja lain


(entri ini respons kepada topik HOT CHAT hot fm, Belajar lain, Kerja lain)

 

BIla saya banyak cakap, orang akan bisik-bisik dan kata

“Yana, kamu patut jadi peguam.”

 

Orang tidak tahu konsep, kata-kata itu doa atau pun kata-kata itu memberi harapan.

Saya membesar dengan percaya, saya akan jadi peguam.

Tapi tidak, saya tidak jadi peguam. Saya ambil bidang lain, kerja bidang lain dan mahu sambung sarjana bidang lain. Malah ketika stess kerja, saya ada cita-cita kecil, mahu duduk di rumah jadi tukang jahit.

 

Mereka pandang saya sinis, saya tahu. Saya merugikan masa depan saya, mensia-siakan masa muda saya, negara pasti akan kekurangan modal insan kalau saya mengikut rencana.

 

Ya, jangan peduli dengan kata-kata orang. Tapi kalau 24 kali dalam 24jam & hari seminggu, orang cakap benda yang sama, lama-lama akan menanah juga dalam hati.

 

Kadang-kadang saya mahu membahagiakan hati semua orang tetapi lama-lama saya belajar tak semua hati dapat saya bahagiakan. Saya cuba buat semua orang senyum dan puas hati dan kadang-kala keinginan saya , saya usir ke tepi.

Suatu malam saat semua hati tidak dapat saya bahagiakan, saya hampir-hampir menangis. Hidup berpuluh tahun, malam itu saya jadi orang yang kalah. Untuk apa saya lakukan semua itu. ntuk diri saya? untuk kebahagiaan orang lain atau untuk kebahagiaan saya apabila melihat kebahagiaan orang lain.

 

Adi, ini entri emo. Saya tahu.

 

Sedikit sebanyak saya kena ambil peduli kata-kata orang juga. Hidup bukan sendiri-sendiri lagi. Hidup mesti akan melibatkan masyarakat juga. Macam mana kamu kata, Oh pedulikan kata orang, dunia ini aku yang punya. Tapi kamu beli makanan pun dengan orang, kamu berurusan pun dengan orang, bayar bil dengan orang (kecuali yang bayar online). Jadi macam-mana pun dengan orang. Tegaskan banyak kali pun, tetap kamu berurusan dengan orang. Hidup tetap bukan sendiri. Kan?

 

Ya, Saya tidak menjadi peguam seperti kata-kata orang. Saya tidak mungkin menyambung sarjana sama bidang seperti yang kawan-kawan saya sedang buat sekarang. Dan saya mungkin mentambung bidang yang lain daripada apa yang saya belajar semasa degree.

Kahwin oh kahwin!


(baca tajuk di atas seperti lagu katak oh katak, okey!)

Setelah percubaan ibu dalam entri ini gagal menghambat hati saya dan hal ini pun saya endah tak endah, saya rasa dia sudah mengatur stategi baru supaya saya memandang serius terhadap apa yang dikatakan.

Ehem!

Saya pulang ke kampung seperti kebiasaan.

Strategi 1

“Ibu rasa nak tukar dinding bilik utama, kemudian cat warna putih.”

Saya hairan. Bukan baru beberapa tahun buat ubah suai rumah ke? Bila saya tanya ini jawabnya:

“Nanti senang bila kau kahwin. Dinding warna putih, mudah nak padan dengan warna apa pun.”

Erm..

Strategi 2

“Bulan 6 ini ibu rasa mahu tukar mula beli cadar atau tempah cadar yang cantik-cantik la.”

Oh, mungkin sudah bosan dengan cadar lama. Padahal saya suka benar cadar itu kerana kalau baring mesti rasa mau lena lah.

“Iyalah. Nanti kan kau nak kahwin. Beli barang kahwin sedikit demi sedikit dari sekarang. Tak lah ralat keluar belanja banyak. Ibu rasa cadar itu biar warna putih lepas tu tekad dengan corak ungu. Jadi tema kau kahwin nanti silver purple. Okey yana?”

Huh? Sabar yana, sabar. Sejak bila pula kau pilih tema? Ish ish ish.

Strategi 3

Ibu baru pulang majlis kahwin di kampung. Saya pun belek-belek ole-ole yang diberi pengantin. Ada air kotak, gula-gula, kuih dan muih serta bermacam lagi. Entah apa, saya memang suka makan buah tangan orang kahwin. Sedapnya semacam.

“Ibu fikirkan apa yang yana nak bagi masa kahwin nanti. Air kotak pun ok. Murah je. Lepas itu gula-gula atau apa-apa bubuh dalam plastik. Untuk kawan-kawan yana, kita buat special sikit la.”

Terus rasa kuih bangkit yang manis itu terasa pahit.

Strategi 4

Semasa duduk sambil makan pisang goreng (yang saya goreng sendiri ok).

“Ibu dah minta kebenaran abah nak tebang pokok rambutan tepi rumah tu. Tapi abah tak bagi. Nanti ibu pujuklah supaya dapat tebang pokok itu.”

Saya suka pokok rambutan itu. Buahnya kuning dan sedap. Rendang dan mudah dipetik. Kenapa nak tebang tanpa tentu hala pula?

“Yelah, tempat itu nanti bina bangsal, senang sikit. Kalau kawan-kawan yana datang masa kahwin itu, boleh duduk di situ bual-bual. Nak lama-lama pun tak apa. tak adalah ganggu tetamu yang lain.”

Okey, saya sudah berketat muka. Sejak bila isu kahwin jadi bahan untuk buli saya di rumah?

……..

Semuanya saya harus dengar dalam 48 jam saya di rumah tu. Agaknya kalau saya cuti seminggu, ibu dah boleh jadi perancang perkahwinan saya kot. Huhu.

Ibu, bersabarlah. Bukan tidak mahu kahwin lagi atau memikirkan soal kahwin. Bukan soal muda lagi atau saya mahu enjoy! Tapi calon suami pun saya tak jumpa lagi. Macam mana nak bercakap soal kahwin sekalipun?

Saya rasa lelaki yang ditakdirkan menjadi suami saya sedang kehilangan GPS atau dia tak install PAPAGO dalam smartphone.Sebab itu sehingga kini, dia tidak dapat menemui saya lagi dan saya masih tidak menemui dia.

Sehingga waktu itu, ibu bersabarlah. Gunakan duit itu untuk pergi spa ikan ke? Bercuti ke? Beli baju baru ke? OK? J

Kotak Muzik Komedi Putar


Hujung minggu lepas, saya terjumpa benda yang saya cari selama ini.

Kotak muzik komedi putar!


Selalu kotak muzik berupa penari balet sahaja seperti yang ditunjukkan dalam Black Swan. Oh moment dia tidur sambil mendengar lagu daripada kotak muzik, saya sangat suka. Tetapi sangat susah untuk jumpa kotak muzik komedi putar. Kalau ada pun daripada kayu bukannya diukir daripada batu marmar.

Ketika saya terpandangnya secara tidak sengaja di dalam kedai itu, bukan niat mencari seperti kebiasaan, hati saya sudah mengelopak bunga. Si kotak muzik komedi putar sedang duduk dengan penuh anggun di sana. Siap menggoda saya.

Saya meminta pekerja kedai mengambil kotak muzik itu (yang terletak di rak yang tinggi), kemudian memutar untuk memainkan lagunya. Ah lagu kegemaran yang saya ingin dengar daripada sebuah kotak muzik sedang berdendang di sana. Ada beberapa jenis lagu yang selalu diletakkan dalam kotak muzik dan ada beberapa lagu tertentu sahaja yang saya suka dan salah satunya ada dalam kotak muzik komedi putar yang menawan itu. Adakah ini jodoh?

Saya meletakkan kembali kotak muzik itu dan mengucapkan terima kasih kepada pekerja terbabit. Ya, walaupun saya sangat menyukai kotak muzik tetapi saya sudah tetapkan bahawa ada dua benda yang saya tidak akan beli iaitu anak patung dan juga kotak muzik. Bukankah dalam entri sebelum ini, saya sudah katakan bahawa kedua-duanya adalah untuk dihadiahkan oleh orang lain bukannya untuk dibeli kepada diri sendiri. Ya, sedikit aneh di situ tetapi prinsip itu seperti sudah dipegang bertahun-tahun.

Menyedihkan kan? Kau terjumpa benda yang kamu mahu selama ini tetapi tidak boleh memiliki. Bukan tak nak memiliki…. cuma hanya tak boleh memilikinya.

Lalu saya tinggalkan kedai itu sambil membiarkan muzik daripada kotak muzik komedi putar itu beralun perlahan.

Belangsukawa: Sucy Musalmah


Rasanya genap 6 bulan Sucy Musalmah pergi. Maksudnya tidak berfungsi selepas hatinya dibakar-bakar akibat bebanan kerja yang lebih.

Sucy, saya minta maaf. Terlalu seronok menggunakan Sucy sampai lupa tahap kesabaran Sucy. Sangat sedih kerana sudah dua tahun bersama Sucy Musalmah dan saya sayang dia. Rasanya, di saat sunyi, saya bergantung harap pada Sucy Musalmah dan Arjuna sahaja.

Ya, Sucy Musalmah adalah laptop saya yang telah terbakar motherboard-nya. Membakar sekali semua manuskrip dan gambar serta cerita saya. Membuatkan kerja-kerja menulis tergendala. Mengapa namanya Sucy Musalmah padahal dia tu hitam legam bukan main. Tentulah kerana saya mahu jiwanya sentiasa menjadi suci dan lemah lembut pula tu. Dan berharap suatu hari nanti saya bisa menamakan anak saya Sucy Musalmah. Oh saya dah umumkan disini, jangan sesiapa curi idea (sambil tersenyum-senyum malu mengenangkan kisah ada anak??? Hi hi hi)

Ya, saya ingin membeli laptop yang baru. Hurm. Banyak kerja menulis tergendala. Ops menaip tergendala gara-gara cuma bergantung pada komputer di pejabat sahaja. Ini tidak boleh jadi. Macam mana nak siapkan novel macam Hafizul Osman. Huishhhhh!!! Ok terbongkar ada nak tulis novel di situ. Tengah fikir laptop apa yang sesuai.

Nissa’ Yusof, mesti sangat suka ayat selepas ini. Tak sabar nak tunggu PC Fair 😛

Permohonan maaf


Antara banyak perkara, yang paling saya tidak suka terjadi kepada saya adalah mengecewakan seseorang.

Dalam banyak tahun kebelakangan ini, saya sering melebihkan kepentingan orang lain melebihi kepentingan saya. Beberapa kali saya menolak kegembiraan hati saya semata-mata mahu menyenangkan hati kawan-kawan saya.

Saya suka melihat rakan-rakan saya bergembira. Malah saya akan tolong serta fikirkan macam mana pun cara agar kesusahan kawan-kawan saya dapat tertolong. Mementingkan diri, itu mungkin bukan saya orangnya.

Namun sebentar tadi, saya terbaca satu entri yang merujuk nama saya (melalui statistik pada blog). Sungguh, saya rasa sangat bersalah kepada tuan punya blog tersebut. Beberapa kali dia menghubungi saya supaya saya mengirimkan CD Sophie’s World namun kerana sibuk saya terlupa. Malah benar-benar terlupa sedangkan CD itu sudah saya burn dan tinggal hantarkan sahaja. Perpindahan tempat kerja serta tempat tinggal serta beberapa perkara yang melanda hidup membuatkan saya mengendahkan satu-satunya permintaan dia. Mengirimkan CD Sophie’s World.

Lalu entri ini saya tulis sebagai permohonan maaf kepadanya bahawa betapa kelalaian saya membuatkannya marah dan terasa kepada saya. Bukan kerana Cik Syarin Nusrah tidak menjadi kenalan penulis pada saya. Malah percaya lah, sebahagian pembaca blog saya bukan penulis pun. Tanyalah pada Fairuz Fauzi atau mungkin Qarinah Muizzah. Mereka bukan penulis pun namun saya senang sekali bersahabat dengan mereka. Bukan kerana Cik Syarin Nusrah bukan penulis dan malah saya bukan penulis pun. InsyaAllah, saya memang sentiasa akan ingat sesiapa pun yang pernah mengirimkan komentar di blog ini walaupun bertahun-tahun telah berlalu. Semuanya kerana memori ingatan saya yang terlalu banyak memikir perkara sehingga terlupa.

Terima kasih kerana pernah memberi kepercayaan untuk mengirimkan CD tersebut walaupun tidak sampai ke tangannya (dan sudah beroleh cerita itu sendiri tanpa bantuan saya). Saya berharap Cik Syarin Nusrah tidak terasa hati dengan saya dan sentiasa mahu bersahabat.